ZAPIN MELAYU JOHOR


Salah satu bentuk kesenian tarian pergaulan masyarakat Melayu yang masih utuh dan popular pada hari ini ialah Tari Zapin. Tarian Zapin yang sudah menular luas di kalangan pencinta dan penggemar seni tari di Malaysia telah berkembang dengan pesat sebagai salah satu seni tari popular di tanah air sejak dari zaman perang dunia kedua lagi. Namun demikian, banyak antara bentuk dan ragam tari zapin hari ini telah dicipta berdasarkan kepada bentuk dan ragam tari zapin yang lebih tradisional sifatnya. Idea penciptaan dan kreativiti pengubahsuaian motif tari dan gerak dalam tari Zapin telah dilahirkan daripada genre Zapin yang lebih tradisional. Banyak antara genre Zapin tradisional ini cuma terdapat pada kawasan-kawasan atau daerah-daerah tertentu sahaja di negara tanpa tersebar luas ke daerah-daerah lain. Salah satu daripada genre Zapin tradisional yang dinamik dan anggun ialah Zapin Melayu yang wujud di negeri Johor.

Di Johor, Zapin dikenali dalam dua bentuk yang masing-masing mempunyai struktur gerak dan sifat tari yang khusus. Satu dikenali sebagai Zapin Melayu manakala yang satu lagi dikenali sebagai Zapin Arab. Zapin Melayu umumnya ditarikan oleh orang-orang Melayu manakala Zapin Arab ditarikan oleh masyarakat keturunan Arab. Zapin Melayu berkembang hasil dari pengadaptasian dari unsur-unsur Zapin Atab. Gerak tari dalam Zapin Melayu lebih halus dan santun berbanding dengan Zapin Arab yang gagah dengan ayunan langkah dan lenggangan yang lebih luas dan tinggi. Walaupun demikian, kedua-dua genre Zapin yang terdapat di Johor hari ini berasal dari satu tradisi kesenian masyarakat Arab yang dibawa dari Hadhramaut.

Keunikan tradisi Zapin Melayu ini terletak pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh kesenian Arab. Gambus (alat bunyian bertali), marwas (gendang tangan), dan dok (gendang panjang) memberi kesan bunyi dan irama yang berhubung kait dengan kesenian semenanjung Arab. Begitu juga keistimewaan tari Zapin terletak pada sifat segregasi antara penari dan penonton. Zapin Melayu secara tradisional ditarikan oleh penari lelaki sahaja dan mereka dipisahkan dari tari penonton apabila mereka menarikan tarian tersebut di tengah-tengah ruang khas di dalam rumah, di anjung balai ataupun di pelantaran khas semasa acara kenduri perkahwinan. Pada masyarakat Melayu Johor, Zapin adalah kesenian yang wajar untuk acara-acara sambutan sosial dan juga keagamaan. Tradisi tersebut bukan sahaja bersifat Melayu tetapi juga mempunyai hubungan dengan kesenian Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab.

Tari Zapin dan Orang Melayu Johor

Zapin sebagai tradisi tari di Johor bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan pada acara-acara sekular tetapi juga sebagai acara sambutan hari-hari kebesaran agama Islam. Sambutan dan perayaan hari-hari besar seperti Maulud Nabi, Hari Raya dan Awal Muharam disambut dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran atau kitab berzanji juga disambut dengan persembahan zapin. Oleh kerana Zapin di Johor, sama ada Zapin Arab atau Zapin Melayu, telah dianggap sebagai seni yang mempunyai ikatan kuat dengan tradisi kesenian Arab, tradisi tersebut juga diterima secara meluas sebagai seni yang berunsurkan kesenian Islam. Tradisi Zapin diterima secara terbuka sebagai seni yang bukan sahaja melambangkan ketinggian budaya Melayu tetapi juga kemantapan budaya Arab-Islamnya dalam seni budaya Melayu. Mungkin juga kesahihan tradisi Zapin sebagai seni yang mempunyai unsur-unsur ke-Islaman didasarkan kepada status orang-orang Arab yang dimuliakan sebagai penghubung kepada dunia Islam yang lebih besar.

Walaupun terdapat Zapin Arab dan Zapin Melayu di Johor, Zapin Melayu dianggap lebih intim dengan budaya orang-orang Melayu berbanding Zapin Arab. Pada orang-orang Melayu Johor, Zapin Arab lebih kasar, keras dan terlalu bertenaga tinggi berbanding dengan Zapin Melayu yang lebih halus lembut dan ayu. Penari-penari Zapin Arab yang terdiri daripada masyarakat keturunan Arab di Johor menarikan tari tersebut dengan langkah-langkah luas, hayunan tangan yang tinggi dan hinjutan kaki yang keras. Penari-penari Melayu pula yang rata-rata terdiri daripada orang-orang Melayu menarikan Zapin Melayu dengan hayunan tangan yang lebih kecil atau sempit, langkah kaki yang tidak terlalu luas dan tinggi serta hinjutan tapak kaki yang lembut. Penari-penari Zapin Melayu dimestikan menari tanpa menyebabkan lantai rumah atau balai bergoyang dan membuai.

Penari Zapin Melayu yang baik akan menarikan Zapin tanpa mengubah atau menggulung bucu-bucu tikar atau permaidani yang terhampar. Ketentuan seperti ini dianggap sebagai penunjuk kepada kemurnian dan kehalusan tari Zapin Melayu berbanding dengan Zapin Arab. Orang-orang Melayu cuma memilih dan menyesuaikan ciri-ciri kesenian yang dianggap mencerminkan kesinambungan resam budaya yang halus dan murni. Adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif sama ada sedar atau tidak, dalam menghasilkan seni Zapin Melayu menunjukkan kemampuan orang-orang Melayu Johor memilih unsur-unsur pertunjukan yang tidak bercanggah dengan naluri dan citarasa estetik orang-orang Melayu.

Walaupun Zapin Arab jika dibandingkan dengan Zapin Melayu nyata lebih gagah, besar dan luas perlakuannya, Zapin Arab dan Zapin Melayu tidak pula dipandang sebagai seni yang terpisah. Hubungan simbiotik antara kedua-dua genre itu tercermin apabila kedua-dua bentuk Zapin tersebut saling dipertontonkan pada upacara sambutan dan keramaian yang sama di tempat yang sama. Kedua-dua bentuk Zapin itu diterima sebagai kesenian yang mempunyai pertalian rapat dan berasal dari sumber kreativiti kesenian yang sama. Ketiadaan konflik di antara seniman kedua-dua genre ini membolehkan seniman-seniman daripada kedua-dua genre itu khususnya pemuzik dipinjamkan ke mana-mana genre apabila keadaan mendesak. Justeru itu, sudah menjadi kebiasaan di Johor, pemuzik-pemuzik yang bermain gendang peningkah seperti marwas, pemain gambus, biola ataupun akordian berpindah-pindah dari satu genre Zapin ke genre Zapin yang lain apabila diperlukan.

Di kampung-kampung di kawasan timur laut negeri Johor, Zapin merupakan acara sosial yang berkesempatan memberi peluang kepada peminat-peminat genre tersebut keluar menari atau bermain muzik secara berkumpulan tanpa rasa malu dan segan. Rasa persaudaraan antara penari dan pemuzik dan sifat esprit de corps di kalangan mereka mematahkan rasa malu atau kurang percaya pada diri apabila beraksi di depan khalayak ramai. Setiap pertunjukan itu dianggap sebagai usaha bersama kelompok seniman di kampung dan bukannya suatu usaha peribadi untuk menunjukkan lagak diri sendiriutk kepentingan ego semata-mata. Sifat takbur tidak pernah ada di kalangan orang-orang Melayu walaupun pada peringkat pertunjukan kesenian. Dalam tradisi Zapin Melayu, tumpuan kepada bintang atau jaguh seperti sifat primadona tidak pernah ada. Malahan sifat demikian yang dianggap sombong dan bongkak merupakan pemisah kepada keharmonian hubungan masyarakat di kampung. Zapin adalah kesenian yang memerlukan usaha bersama dan bukannya usaha individu.

Pada perayaan acara sambutan perkahwinan dan sebagainya, masyarakat kampung diberi kesempatan bukan sahaja menonton Zapin tetapi juga mengambil bahagian dalam persembahan tersebut. Setiap ahli masyarakat yang sudah tahu dan hafaz bunga tari yang ditarikan oleh satu-satu kumpulan Zapin dibolehkan menari bersama apabila ada kesempatan. Seringkali kesempatan tersebut terbuka apabila salah seorang atau kedua pasangan penari Zapin ingin mengundur diri kerana keletihan atau kerana ingin memberi kesempatan orang lain menari. Oleh kerana pusingan ragam tari tersebut diulang-ulang untuk beberapa pusingan dalam satu-satu persembahan, kesempatan untuk meniru ragam tari tersebut dengan cepat memudahkan lagi sesiapa sahaja antara penonton lelaki untuk ikut serta dalam persembahan tersebut. Begitu juga bagi penari-penari yang lain. Mereka juga boleh berhenti atau menyambung menari apabila setiap pusingan ragam tari selesai dilakukan. Demikian juga halnya dengan pemain muzik gendang peningkah yang memainkan marwas. Oleh kerana pola rithma pukulan marwas mendatar sewaktu nyanyian lagu masih dalam pola pantun yang belum lengkap baitnya, pemain marwas boleh mengambil alat dan bermain alat tersebut. Ketangkasan pemain-pemain marwas cuma kelihatan apabila pola rithma marwas meningkat dengan mendadak dengan tingkahan yang berlapis dan berselang-seli dalam bentuk pola interlok.

Rasa persaudaraan antara pemain muzik dan penari adalah sebahagian daripada sifat keluarga besar masyarakat di kampung. Pemain muzik dan penari Zapin umumnya lebih senang mempersembahkan Zapin secara kelompok sosial yang mempunyai hubungan dari segi pekerjaan atau aktiviti riadah. Di kawasan timur laut negeri Johor, pemain Zapin terdiri daripada perkumpulan yang mempunyai profesion yang sama seperti penarik beca, penjual kecil-kecilan atau penambang. Aktiviti riadah yang menjadi penghubung sosial pemain-pemain Zapin adalah seperti aktiviti memikat burung, kelab bola, persatuan belia dan lain-lain persatuan. Zapin menjadi penarik atau pendorong kepada individu-individu yang mempunyai kesamaan aktiviti atau pekerjaan untuk bersatu berlatih sambil menganggapkannya sebagai suatu aktiviti sosial di kampung. Mereka akan belajar ragam tari yang terdiri daripada rangkaian bunga tari yang diperturunkan daripada pemain-pemain yang lebih arif dalam seni tersebut. Ragam wainab yang merupakan ragam gerak cepat yang ditandai oleh tingkahan beberapa buah marwas dipelajari berulang-ulang supaya berlaku kesinambungan antara ragam tari biasa dan ragam wainab apabila koda muzik dimulakan dengan pukulan marwas yang tingkah meningkah.

Begitu juga pemain muzik yang memainkan alat-alat muzik seperti marwas, dok, gambus, akordian atau biola, memanfaatkan waktu tersebut untuk sama-sama berlatih mengasah kesepaduan permainan dan kelicinan persembahan. Kebiasaan berlatih secara berkumpulan ini juga merupakan faktor utama terhindarnya rasa takut atau malu di kalangan penari dan pemuzik apabila mempersembahkan tari zapin di khalayak ramai. Oleh kerana zapin tidak menggalakkan persaingan antara pemain baik dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, ketertiban persembahan sentiasa menjadi asas utama persembahan Zapin Melayu.