Zapin Pulau (Mersing)


Pak Othman Mat Hussin, 55 tahun, merupakan pengasas dan penggiat tari zapin yang telah mengasaskan Kumpulan Zapin Warisan Pulau-pulau Mersing di Mersing. Beliau mula berkecimpung dalam seni Tari Zapin Pulau ini sejak tahun 1952 iaitu ketika beliau masih di bangku sekolah lagi.

Guru tari zapin beliau pada masa itu adalah Allahyarham Pak Ali Bakri, Allahyarham Pak Harun, Allahyarham Pak Ali Awang dan Allahyarham Pak Yahya. Atas Pak Othman Mat Hussintunjuk ajar guru-guru tari tersebutlah Pak Othman berjaya mengetengahkan dan mengekalkan seni tari zapin hingga ke hari ini. Menurut Pak Othman, tarian Zapin Pulau (Mersing) telah dibawa oleh Raden Salleh dari Sambas, Indonesia yang telah berhijrah ke negeri Pahang. Pada tahun 1962, Raden Salleh telah bermastautin di Pulau, Mersing dan mendirikan rumah tangga di Pulau. Sempena asal Raden Salleh dari Sambas jugalah, telah diciptakan satu gerak yang disebut langkah sambas dalam Tarian Zapin Pulau yang sehingga kini masih utuh diamalkan.

Pak Othman juga menjelaskan gerak asal Tari Zapin Pulau ini berpandukan daripada aktiviti harian dan pengamatan terhadap alam sekitar. Kebiasaanya, beliau memulakan tarian dengan membuat olah tubuh atau 'warm- up'. Menurut beliau lagi, pada mulanya tarian zapin hanya ditarikan oleh golongan lelaki, tetapi pada tahun 1970-an tari zapin ini telah mula ditarikan juga penari-penari wanita. Busana yang digunakan oleh penari lelaki dalam tarian ini ialah baju Melayu, songkok dan samping; manakala penari wanita mengenakan baju kurung, kain samping dan tudung.

Alat muzik yang digunakan oleh Kumpulan Zapin Pulau ini antara lain ialah gendang (jidur) yang di pukul dengan 2 batang rotan, biola, marwas dan gambus. Menurut Pak Othman, gerak Tari Zapin Pulau ini terdiri daripada langkah lurus, langkah empat, langkah berulang (langkah tak jadi), langkah basrah, langkah udang, langkah dolmat, langkah serong, langkah Johor dan langkah sambas.