Zapin Tenglu


Encik Yakop Bin Amir Hamzah penggiat Tari Zapin Tenglu ini lebih dikenali sebagai Pak Akop. Berusia 53 tahun, Pak Akop bekerja dalam sektor swasta di Mersing. Pak Akop mula melibatkan diri dalam dunia Tari Zapin Tenglu sejak beliau berusia 18 tahun. Selain boleh menari zapin, beliau juga seorang yang berkebolehan bermain alat-alat muzik seperti marwas, bonggo dan marakas.

Berbeza dengan Pak Othman dan Mak Usu, Pak Akop belajar menari dengan seorang berketurunan Arab yang sudah menetap di Kampung Tenglu, Mersing yang dikenali sebagai Pak Syed Ali. Menurut Pak Akop, beliau terpaksa menjalani latihan tari dengan latihan berubah-ubah dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain. Latihan dilakukan selepas solat Isyak. Sebelum latihan menari dilakukan, penari-penari akan berzanji dan berqasidah. Kemudian, tarian zapin ditarikan sehinggalah larut malam.

Sesuatu yang menarik tentang Pak Akop ini ialah pewaris Zapin Tengluapabila beliau dan tiga orang lagi rakannya melakukan tarian zapin di atas sehelai tikar purun. Mereka menari di atas tikar purun dengan keadaan tikar ini tidak berubah daripada kedudukan asal dan tidak akan terlipat -lipat. Pergerakan tari atas tikar ini akan dapat mengukur kemahiran penari dalam menggerakkan tari zapinnya. Apabila tikar purun tidak berubah, maka penari itu bolehlah dikatakan penari yang handal.

Ada pandangan mengatakan sesiapa sahaja yang menyaksikan tarian Zapin Tegelu Johor pasti akan menghentikan seketika segala perbuatan yang sedang dilakukan baik makan, minum, berjalan mahupun berbual.

Pandangan ini ada kebenarannya kerana aksi tari Zapin Tegelu jauh berbeza jika dibandingkan daripada tarian-tarian tradisional Melayu lain yang kebanyakannya berentak perlahan dengan gerakan lemah gemalai.

Tarian Zapin Tegelu bercorak agresif, sedikit akrobatik dan mempunyai unsur-unsur luar jangkaan tapi penuh keceriaan. Dengan berbaju Melayu Teluk Belanga, bersampin dagang dalam dan bersongkok tinggi, penari-penari Zapin Tegelu rancak menggegarkan pentas dengan aksi pusingan dan lenggokan kepala yang sungguh mengasyikkan mengikut rentak irama lagu Salatollah.

Oleh kerana tarian ini bercorak agresif tidak hairanlah ada pihak-pihak yang mempertikaikannya dengan mengatakan Zapin Tegelu kasar dan tidak melambangkan seni tari asli Zapin yang penuh kesopanan dan kelembutannya yang tersendiri.