KERAJAAN terdesak tetapi ia tidak akan menyerah. Ia mengambil langkah tertentu untuk mengelak keadaan ekonomi terus bertambah buruk. Semua kenaikan gaji dihentikan, pemergian ke luar negara untuk menteri dan kakitangan kerajaan dibataskan dan elaun dikurangkan. Malah, ada cubaan untuk mengurangkan penggunaan gula dan pengimportan makanan dan produk lain. Semua langkah ini tidak berkesan. Ia cuma mengurangkan tahap kepenggunaan dan taraf hidup orang ramai. Pengimport, peniaga dan peruncit, semuanya menderita. Akhirnya, kerajaan sendiri juga merasai keperitan itu menerusi pendapatan yang berkurangan.
Pembinaan, jualan runcit, pembelian hartanah dan kenderaan bermotor menurun dengan teruk. Nasib baik, pekerja Malaysia tidak diberhentikan secara besar-besaran, kerana permintaan untuk barangan perusahaan keluaran Malaysia, kebanyakannya elektronik, kekal tinggi. Untuk beberapa tahun, Malaysia mengalami masalah kekurangan pekerja dan terpaksa membenarkan kira-kira dua juta pekerja asing ke negara ini. Walaupun sejumlah rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan, beban ekonomi yang perlahan itu dirasai oleh pekerja asing apabila kebanyakan mereka yang tidak mendapat pekerjaan terpaksa pulang ke negara asal mereka.
Hakikat bahawa ekonomi negara maju tidak terjejas dan sebenarnya berjalan dengan baik ketika ini, membantu ekonomi Malaysia dengan membolehkan Malaysia meningkatkan eksportnya. Eksport minyak sawit (dijual dalam dolar Amerika) memperolehi lebih ringgit kerana kelemahan tukaran asing serta permintaan yang tinggi. Malaysia dengan cepat mencapai lebihan akaun semasa, baik dalam mata wang ringgit mahupun mata wang asing, sesuatu yang tidak dapat dicapai sebelum ini disebabkan defisit besar dalam akaun perkhidmatan.
Perdana Menteri muncul dengan idea luar biasa bagi menangani krisis. Bagi melawan penurunan nilai ringgit, beliau berfikir dengan idea menaikkan pendapatan dengan menaikkan gaji dan upah dan membiarkan harga barangan dan perkhidmatan juga naik secara berkadar. Beliau sedar ini akan menyebabkan inflasi tetapi beliau merasakan bahawa kerajaan akan berupaya untuk menguruskan inflasi supaya ia kurang daripada kadar penurunan nilai ringgit. Kesan negatif berikutan langkah itu ialah kos pengeluaran di Malaysia akan meningkat dan eksport akan terjejas serta keuntungan daripada eksport juga berkurangan. Konsep itu tidak diterima oleh anggota lain dalam kerajaan dengan alasan bahawa ia tidak praktikal dan boleh mencetus inflasi dengan pantas.
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menubuhkan jawatankuasa eksekutif terdiri daripada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Menteri dengan Tugas-Tugas Khas, Timbalan Gabenor Bank Pusat (atas beberapa sebab Gabenor tidak pernah menghadirinya), Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, ketua sebuah badan pemikir (think tank) Malaysia dan seorang daripada sektor perniagaan. Kemudian, penasihat Bank Pusat dan Menteri Kewangan Kedua juga dilantik ke dalam jawatankuasa. Jawatankuasa ditugaskan untuk mengawasi prestasi ekonomi dan kewangan negara dan untuk membuat keputusan serta bertindak, jika perlu. Jawatankuasa mengadakan pertemuan setiap pagi semasa krisis bagi menilai angka perdagangan dan semua yang berkaitan dengan kewangan dan ekonomi. Taklimat diberi oleh agensi kerajaan. Jawatankuasa diberi kuasa untuk bertindak cepat, apabila perlu, tanpa perlu menunggu kelulusan Kabinet.
Salah satu langkah diputuskan oleh jawatankuasa adalah untuk menghidupkan semula dagangan dengan jiran Asean. Semua negara Asean menghadapi masalah kewangan dan tidak mempunyai tukaran asing yang mencukupi untuk membiayai import. Mekanisme aturan bayaran dua hala boleh digunakan, yang mana aliran dagangan dua hala dibayar setiap tiga bulan dan baki bersih diselesaikan dalam mata wang negara pengeksport. Bayaran akan dibuat di antara dua Bank Pusat masing-masing. Pengeksport akan dibayar dalam mata wang tempatan oleh Bank Pusat dengan segera ke atas eksport dan pengimport akan membayar kepada Bank Pusatnya, juga dalam mata wang tempatan. Mekanisme aturan pembayaran dua hala begini sudah diguna pakai untuk beberapa tahun di antara Malaysia dan banyak negara membangun. Aturan itu dipelopori Malaysia dan telah membantu untuk meningkatkan dagangan Malaysia dengan rakan dagang bukan tradisional sehingga 400 peratus. Cuma perbezaan di antara amalan sedia ada dan aturan yang dicadangkan untuk negara Asean ialah, sementara penyelesaian baki bersih sebelum ini dibuat dalam dolar Amerika, kini negara-negara Asean yang berada dalam kegawatan dan kekurangan tukaran asing, akan menyelesaikan bayaran mereka dalam mata wang tempatan.
Perdana Menteri pergi ke Bangkok, Manila dan Jakarta untuk mengemukakan cadangan ini kepada Perdana Menteri dan Presiden negara terbabit. Cadangan itu diterima, tertakluk kepada undang-undang dan amalan negara-negara berkenaan. Malangnya, proses birokrasi mengambil masa terlalu lama dan cadangan aturan bayaran dua hala tidak dapat dilaksanakan.
Dalam pada itu, keadaan ekonomi terus memburuk dan nilai ringgit tetap menurun bersama dengan mata wang Indonesia, Thailand, Filipina dan Korea Selatan. Keadaan ini seolah-olah tidak berkesudahan dan Malaysia akan terus terjerumus ke dalam kemelesetan yang semakin teruk. Gambarannya ialah seperti tidak ada had bagi kuasa dana lindung nilai untuk merosakkan ekonomi mana-mana negara hanya bagi membolehkan mereka meraut perolehan pulangan 30 peratus daripada pelaburan mereka.
Malaysia terus percaya bahawa punca sebenar kegawatan ekonomi dan kewangan adalah perdagangan mata wang oleh dana lindung nilai dan bank. Jika ada sesuatu untuk dilakukan oleh sesebuah negara dengan caranya sendiri bagi menangani dana lindung nilai, mekanisme perdagangan mata wang perlu difahami sepenuhnya bagi membolehkan sesuatu dirancang untuk mengalahkan spekulator mata wang dalam arena permainan mereka. Malangnya, seorang pegawai di Bank Pusat (yang menyandang jawatan penasihat) yang mempunyai pengalaman antarabangsa dalam urus niaga tukaran asing, telah meninggalkan Bank Pusat pada 1994.
Mungkin pada peringkat ini, cerita penggeledahan Bank Negara ke dalam pasaran tukaran asing di antara 1985 dan 1993 perlu diberitahu. Sehingga 1985, Bank Negara tidak menguruskan rizab luarnya secara cergas. Bagaimanapun, keadaan ini berubah selepas Perjanjian Plaza 1985 apabila negara G7 memutuskan untuk memperkukuh yen supaya Jepun menjadi kurang bersaing. Malaysia yang mempunyai pinjaman besar dalam dominasi yen, mengalami kerugian besar. Bagi mengimbangkan kerugian disebabkan keputusan negara G7, Bank Negara mula menguruskan rizab luarnya dengan cergas, termasuk memantapkan tukaran asing. Penasihat kanan Bank Negara ditugaskan untuk tujuan itu. Kegiatan tukaran asing dihadkan kepada mata wang negara G7. Ia tidak menguruskannya dalam mata wang negara membangun. Memandangkan kecairan banyak dalam mata wang negara G7, urus niaga Bank Negara tidak mempunyai sebarang kesan sebenar ke atas kadar tukaran asing negara G7. Bank Negara mencapai kejayaan dalam kegiatan perdagangan tukaran asing dan memperolehi keuntungan besar. Ia menjadi terkenal di pasaran tukaran asing antarabangsa sebagai pedagang tukaran asing yang pintar. Kegiatan perdagangannya, bagaimanapun dikutuk oleh beberapa pakar kewangan. Tetapi mereka ini jugalah yang kemudiannya menyokong kegiatan perdagangan mata wang yang merosakkan ekonomi “harimau Asia”. Jelas, yang salah bukanlah apa yang dilakukan tetapi siapa yang melakukannya.
Ketika kegawatan mata wang antarabangsa berikutan dengan Perjanjian Maastricht tidak disahkan oleh Denmark pada 1992, Bank Negara telah mengalami kerugian. Penasihat itu meletakkan jawatannya di Bank Negara. Kerajaan mengarahkan Bank Negara supaya tidak meneruskan perdagangan tukaran asing. Ia sebenarnya satu putar balik sejarah yang aneh bahawa pengalaman pahit dalam dagangan mata wang asing telah menyediakan Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi melaksanakan rejim kawalan tukaran asing berpilih bagi mengecewakan pedagang mata wang dan membantu memulikan ekonomi negara.
Bekas penasihat Bank Negara itu dipanggil oleh Perdana Menteri untuk taklimat. Berikutan beberapa perjumpaan di antara kedua-duanya, Perdana Menteri buat pertama kalinya faham mengenai selok-belok pasaran tukaran asing yang sememangnya kompleks dan rumit, termasuk cara harga ditentukan serta faktor psikologi yang mendorong peniaga mata wang (ketamakan dan ketakutan) dan konsep wang luar pesisir. Kefahaman Perdana Menteri berhubung pasaran tukaran wang asing itu amat penting dalam usaha merumuskan satu pelan menyelamatkan Malaysia daripada IMF dan spekulator mata wang.
Kini jelas bahawa sebelum ini, sesetengah maklumat yang disampaikan oleh Menteri Kewangan kepada kerajaan, termasuk perangkaan mengenai aliran keluar ringgit, dalam bentuk tunai secara besar-besaran ke Singapura adalah tidak tepat. Menteri Kewangan tidak faham sepenuhnya konsep ringgit luar pesisir. Dia berpendapat istilah “ringgit luar pesisir” merujuk kepada kewujudan fizikal wang itu di luar negara, terutama di Singapura. Bank Negara pula, sama ada tidak menjelaskan mengenai perkara itu kepadanya atau memang turut tidak faham. Apapun, sesuatu yang pasti ialah Bank Pusat tidak menghalang menteri dan kerajaan daripada mengarahkan supaya pegawai kastam memeriksa semua individu yang menyeberangi sempadan ke Singapura, sama ada mereka membawa ringgit dalam bentuk tunai atau tidak. Tindakan bodoh ini sebenarnya tidak dapat menghalang ringgit daripada keluar atau diniagakan.
Perbezaan di antara ringgit luar pesisir dengan ringgit domestik sebenarnya bukanlah bergantung kepada keadaan, sama ada ringgit itu memang wujud dan berada di Malaysia atau pun tidak. Selain daripada sejumlah kecil ringgit yang dimiliki pengurup wang atau bank di luar negara, wang itu sebenarnya memang sentiasa berada di dalam negara. Apabila ringgit dijual oleh seorang bukan pemastautin kepada seorang bukan pemastautin yang lain, apa yang berlaku ialah pemilikan ringgit itu berpindah daripada akaun penjual kepada akaun pembeli berkenaan di dalam bank tempatan dan bank asing. Tiada tunai yang bertukar tangan secara fizikal, hanya nilainya yang berubah di dalam buku bank di antara keduanya.
Apabila seorang peniaga mata wang meminjam ringgit, perkara yang sama berlaku. Pihak yang memberi pinjam, biasanya bank antarabangsa asing, hanya memindahkan pemilikan ringgit itu kepada peminjam dalam buku akaunnya dan buku akaun bank Malaysia yang memegang ringgit itu. Selepas itu, peniaga berkenaan boleh membuat jualan singkat terhadap ringgit itu, iaitu menyerahkannya hanya selepas nilainya diturunkan dan ini sekali lagi boleh dibuat dengan memindahkannya ke dalam buku pembeli seterusnya.
Dengan keupayaan membuat leveraj sehingga 20 kali ganda daripada modal mereka, dana lindung nilai mempunyai kekuatan luar biasa. Ini bermakna, mereka boleh menggunakan kedudukan gearan itu untuk menentang Bank Pusat yang hanya boleh menggunakan posisi tunai mereka saja. Selain itu, dana lindung nilai juga mempunyai kencenderungan untuk bertindak secara berkelompok, menjual dan membeli sesama sendiri dan seterusnya menaik atau menurunkan nilai ringgit sesuka hati mereka bagi memaksimumkan keuntungan. Mereka tidak membeli ringgit atau mana-mana mata wang untuk membayar perkhidmatan atau barangan. Mereka sebenarnya tidak memerlukan pun wang itu selain untuk memanipulasi dan membuat spekulasi terhadapnya. Bagi mereka, wang ialah satu komoditi - sama saja dengan komoditi lain yang diniagakan di bursa komoditi. Seperti juga dalam pasaran hadapan komoditi, kewujudan fizikal wang itu tidak mustahak.
Adalah menjadi keutamaan Malaysia untuk berbuat sesuatu secara drastik bagi melindungi dirinya daripada tindakan spekulator mata wang. Meminjam daripada IMF bukanlah jalan penyelesaiannya. Ini adalah kerana sebahagian besar wang itu pasti dikehendaki digunakan untuk membayar hutang kepada bank asing. Ia hanya akan memindahkan hutang kita kepada IMF dan Malaysia pasti terpaksa mencari wang untuk membayar semula kepada IMF nanti. Usaha untuk keluar daripada belenggu ini akan mengambil masa berdekad dan dalam tempoh itu, negara terpaksa akur kepada arahan IMF, sekali gus menggadaikan kebebasan kewangannya.
Langkah serius pertama Malaysia dalam cubaannya untuk menentang spekulator tamak, yang membuat perjudian sehala ini ialah dengan membuat mereka sedar bahawa menjual ringgit tidak sepatutnya menjadi pertaruhan sehala selama-lamanya. Wujud satu keperluan untuk mengenal pasti beberapa sumber bekalan dolar Amerika yang boleh dijual bagi mendapat ringgit untuk tujuan mengimbangi pembelian mata wang itu berbanding ringgit oleh spekulator mata wang. Ketika itu, Bank Pusat sudah diarahkan supaya tidak menggunakan rizab luarannya untuk campur tangan. Kita bernasib baik kerana Malaysia mempunyai beberapa syarikat yang mempunyai pendapatan eksport besar dan mereka ini memang selalu menjual dolar Amerika. Apa yang diperlukan ialah untuk menyelaraskan penjualan dolar Amerika dalam satu cara yang akan menyebabkan pihak yang membuat jualan singkat ringgit tadi terperangkap, seterusnya mencetuskan perasaan takut dikalangan mereka sehingga mendorong mereka membeli semula ringgit tadi kerana bimbang nilainya akan naik semula dan mengakibatkan mereka kerugian. Sudah tentu, apabila mereka membeli semula ringgit itu, harganya akan naik lagi.
Ketika strategi ini dilaksanakan, ia pada mulanya berhasil. Kejatuhan nilai ringgit terhenti dan selepas itu, ia mula naik ke tahap 3.00 berbanding dolar Amerika. Wujud tanda-tanda seolah-olah ringgit akan kembali ke tahap asalnya iaitu 2.50 berbanding dolar Amerika. Ketika itu, dana lindung nilai yang mula sedar apa yang berlaku sebenarnya bertindak membalas dendam. Mereka menjual lebih banyak ringgit dan dalam jumlah yang lebih besar. Syarikat Malaysia tadi tidak dapat terus bertahan daripada serangan hebat dana lindung nilai dan bank asing yang membabitkan berbilion-bilion dolar Amerika serta leveraj mereka sekali. Dengan mengambil kira Quantum Fund (Quantum) dan Long Tem Credit Managemet Fund (LTCM) yang dipermodalkan pada kira-kira AS$10 bilion, leveraj 20 kali bermakna mereka mempunyai keupayaan berurus niaga yang tidak terhad untuk bertahan daripada sebarang cubaan pihak tempatan untuk mengehadkan kejatuhan nilai ringgit. Tidak lama kemudian, syarikat yang cuba mempertahankan nilai ringgit juga berputus asa.
Oleh kerana strategi pertama tidak berhasil, sesuatu yang lain harus dicuba. Kerajaan kemudiannya mempertimbangan cadangan untuk mengikat nilai ringgit kepada yen tetapi tindakan itu pasti tidak akan bermakna selagi ringgit masih mampu diperolehi spekulator untuk dimanipulasikan.
Akhirnya, keputusan dibuat bahawa satu-satunya pilihan yang ada ialah untuk mengenakan kawalan tukaran asing berpilih. Pada awal 1998, satu cadangan yang meluas berhubung langkah kawalan dirumuskan.
Unsur paling penting dalam memastikan langkah kawalan kewangan yang dilaksanakan berhasil ialah untuk menghalang ringgit sampai ke tangan peniaga mata wang.
Ringgit memang sebenarnya tidak ada diluar negeri. Ini ialah kerana ringgit tidak sah diperlakukan di negara lain. Ringgit yang ada di luar negara hanya berguna jika mahu ditukarkan oleh mereka yang ingin membawanya masuk semula ke Malaysia yang mana ia boleh digunakan untuk pembelian atau pembayaran. Pengurup wang dan bank ada menyimpan sejumlah kecil tunai ringgit untuk ditukarkan kepada individu yang hendak datang ke Malaysia.
Jumlah ringgit yang besar hanya dibenarkan masuk ke Malaysia menerusi arahan bank yang boleh dituntut daripada bank Malaysia. Bagi mereka yang hendak membeli ringgit, bank asing itu akan menerima sejumlah wang asing dan kemudian mengeluarkan arahan bank untuk memindahkan ringgit bernilai sama dengan nilai wang asing itu kepada akaun pembeli terbabit disebuah bank di Malaysia.
Cara bagaimana peniaga mata wang membeli dan menjual ringgit sudah dijelaskan. Semua urus niaga itu tidak telus. Urusan itu juga boleh dibuat dengan pantas kerana menggunakan komputer di bank. Dengan cara ini berratus juta dolar boleh bertukar tangan dan merentasi sempadan dalam masa beberapa saat saja.
Untuk menghalang peniaga mata wang daripada memperolehi ringgit, kita hanya boleh melakukannya menerusi bank Malaysia yang tertakluk kepada arahan bank pusat. Selepas mengamati modus operandi peniaga mata wang, ditetapkan bahawa oleh kerana urus niaga ringgit di luar negara mesti dimasukkan ke dalam buku akaun bank Malaysia yang memang mempunyai wang itu, semua bank tempatan dan asing di negara ini dihalang untuk memindahkan ringgit dari satu akaun ke satu akaun yang lain. Hak pemilikan sah bagi ringgit akan kekal pada pemiliknya pada ketika langkah kawalan dilaksanakan, tidak kira sama ada penjualan sudah dibuat. Pembelinya pula tidak berhak terhadap ringgit yang sudah dibelinya itu. Secara langsung, ia bermakna tiada urus niaga ringgit luar pesisir boleh dilakukan.
Jualan ringgit di luar Malaysia terhenti tiba-tiba. Memang wujud beberapa pembelian saat akhir ringgit oleh peniaga mata wang berikutan jangkaan bahawa kerajaan akan menilai semula mata wang itu. Akibatnya, nilai ringgit naik sedikit. Mata wang negara Asia yang lain turut meningkat kerana wujud kebimbangan menyeluruh terhadap kemungkinan negara lain mengikuti jejak langkah Malaysia. Bagaimanapun, sudah tentu negara berkenaan tertakluk kepada kawalan IMF dan tidak dapat bertindak secara bebas.
Apabila ringgit diniagakan pada 3.80 berbanding dolar Amerika, kerajaan mengumumkan bahawa harga itu ialah paras tukaran di antara ringgit dengan dolar Amerika.
Begitupun, strategi menetapkan nilai kadar tukaran ringgit dengan cara tidak membolehkan peniaga mata wang memperolehinya tidaklah semudah yang dirancangkan. Cadangan itu didebatkan dengan hangat pada peringkat Jawatankuasa MTEN. Pada mulanya, kebanyakan anggota tidak mempersetujuinya. Timbalan Gabenor Bank Pusat menjelaskan bahawa insutitusi kewangan antarabangsa, malah negara kaya juga mungkin bertindak membantahnya.
Malaysia akan menjadi negara pariah dan dipencilkan oleh sistem perbankan dunia. Ia sudah tentu tidak dapat meminjam jika ia memerlukan wang untuk tujuan apa sekali pun. Kadar faedah bagi pinjaman seumpama itu pasti dikenakan sehingga ke tahap yang tidak munasabah. Ancaman sekatan ekonomi terhadap negara juga dibayangkan.
Tambahan pula, Malaysia terpaksa membayar bagi importnya. Persoalannya, adakah kita mempunyai tukaran asing yang cukup untuk membiayai import ini. Dalam pada Malaysia terus bergantung kepada modal dan barangan perantaraan untuk dikilang menjadi eksport, ketidakupayaan membayar import akan mengurangkan ekpsortnya sekali gus kemasukan tukaran asing.
Bagaimana jika semua pelabur, jangka panjang dan pendek, menarik diri. Ekonomi Malaysia sudah pasti musnah. Wujud juga kemungkinan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap Malaysia oleh beberapa kumpulan yang teruk terjejas oleh langkah kawalan itu. Malaysia tidak akan mampu mempertahankan dirinya.
Salah seorang daripada anggota Jawatankuasa MTEN itu memberikan 32 alasan mengapa Malaysia tidak harus mengguna pakai langkah kawalan tukaran asing itu seperti yang dicadangkan. Walaupun semua hujah itu boleh dipatahkan, ketakutan terhadap kemungkinan itu adalah nyata dan risiko yang dihadapi cukup menakutkan.
Ketika itu, kedudukan politik di Malaysia masih stabil. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan masih di dalam kerajaan. Bagaimanapun, jika cadangan langkah kawalan itu gagal, kredibiliti kerajaan akan tergugat dan parti kerajaan mungkin tewas dalam pilihanraya yang akan datang.
Sepanjang perbincangan, Timbalan Gabenor Bank Pusat masih tidak yakin dan membatah langkah kawalan itu. Apabila dijelaskan bahawa China mempunyai sekatan yang sama terhadap dagangan mata wangnya, dia berhujah bahawa negara itu memang tidak pernah membebaskan mata wangnya berbanding ringgit yang ketika itu bebas diapungkan dan tindakan mengawalnya hanya akan menyebabkan kita melangkah ke belakang.
Akhirnya, walaupun maseh terdapat perasaan berat hati dikalangan sesetengah ahli keputusan dibuat juga bahawa kawalan itu perlu dilaksanakan. Sesuai dengan tugasnya, Bank Negara diberi tanggung jawab melaksanakan pelbagai langkah utamanya mengarahkan bank di Malaysia tidak memindahkan ringgit kepada mana-mana akaun apabila diarahkan berbuat demikian oleh bank pelanggan mereka di luar negara. Bank Negara juga perlu mengawal selia pengurusan ringgit yang dimiliki warga asing dengan ketat bagi meamstikan tidak berlaku kebocoran. Bagaimanapun, ringgit yang dimiliki warga asing boleh digunakan untuk membeli apa sahaja di negara ini dan dieksport kemudiannya. Ini bermakna, ringgit akan disalurkan ke pasaran dan meningkatkan kecairan. Dengan cara ini, sebahagian besar daripada wang yang dulunya digunakan untuk spekulasi kembali semula ke Malaysia, membolehkan bank Malaysia meminjamkannya kepada warga tempatan.
Ringgit tidak lagi boleh dibawa keluar daripada negara ini dalam apa bentuk sekali pun. Bagaimanapun, dividen atau unjuran daripada pelupusan aset dalam negara dibolehkan dibawa keluar dalam mata wang asing pada kadar 3.80 setiap dolar Amerika, yang diperolehi daripada bank tempatan atau Bank Pusat. Penjualan aset pada ketika itu bagaimanapun tidaklah semudah sebelumnya kerana jumlah pembeli tempatan amat terhad dan harga yang tidak menggalakkan. Penjualan kepada warga asing akan membabitkan aliran masuk dana dan tidak akan menjejaskan rizab apabila tukaran asing dibawa keluar.
Sudah juga dijelaskan bahawa kegawatan ekonomi yang berlaku juga disebabkan pelabur jangka pendek menarik keluar modal mereka dari Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Harga saham menjunam, menyebabkan pengurangan permodalan pasaran yang ketara. Ketika kegawatan kewangan mula berlaku, bursa Kuala Lumpur dianggar bernilai lebih RM800 bilion atau kira-kira AS$320 bilion, pada kadar RM2.50 setiap dolar Amerika. Sebaik ringgit diserang dan nilainya jatuh, harga saham di BSKL turut jatuh. Indeks Komposit berada pada paras 1,000 mata pada awal 1997. Pada akhir 1997, ia menjunam ke paras 600 mata saja.
Kerajaan cuba mengurangkan kejatuhan itu dengan mengharamkan jualan singkat. Bagaimanapun, harga saham terus jatuh. Sesuatu yang jelas ialah berlaku kebocoran dan ia wujud dalam bentuk jualan di pasaran atas kaunter di Singapura yang dikenali sebagai Central Limit Order Book (Clob) yang diwujudkan oleh pihak berkuasa Singapura ketika bursa saham negara itu dan BSKL dipisahkan pada 1989.
Jualan saham di BSKL mesti didaftarkan kepada akaun CDS di Malaysia. Penjualan itu pula tertakluk kepada syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa di Malaysia. Broker Malaysia dan BSKL mendapat manfaat daripada komisen yang dikenakan. Jualan di Singapura sudah tentu tidak memberi apa-apa manfaat kepada warga tempatan atau kerajaan.
Walaupun kerajaan Malaysia membantah penubuhan dan operasi Clob, tiada usaha serius dilakukan untuk menghentikan kegiatan menjual saham syarikat Malaysia di Singapura ini. Malah, walaupun banyak khabar angin yang menyebabkan pasaran saham di sini jatuh dan kemudiannya naik semula apabila khabar angin itu didapati tidak benar, pihak yang bertanggung jawab di Malaysia tidak berbuat apa-apa. Sudah tentu spekulator di Singapura mengaut banyak keuntungan daripada khabar-khabar angin dan turun-naik harga saham itu.
Bagaimanapun, sebaik saja krisis mata wang berlaku, kejatuhan harga saham semakn menjadi walaupun penjualan singkat diharamkan. Mengesyaki Clob sebagai punca kegagalan sekatan itu, bekas Pensihat Bank Negara itu diminta membuat kajian terperinci terhadap mekanisme bagaimana dagangan saham Malaysia dikendalikan di Clob. Didapati bahawa Clob dimiliki Central Depository (Pte) Limited Singapore (CDPL). Semua saham yang dibeli menerusi Clob disalurkan ke CDPL, yang mempunyai akaun CDS dengan broker Malaysia dengan sebahagian besar hak penjagaannya berada dengan Hwang-DBS Bhd di Pulau Pinang. Ini bermakna bagi CDS Malaysia, pemilik bermanfaat saham Clob di Singapura sebenarnya tidak mempunyai hak perundangan yang sah bagi saham terbabit. Apa yang mereka ada hanyalah satu penyata bulanan daripada CDPL, yang mengesahkan jumlah berbagai saham yang mereka pegang termasuk yang dibeli menerusi Clob.
Oleh kerana pemegang amanah bagi saham berkenaan kekal sama, urus niaga di Clob tidak dinyatakan dalam CDS. CDPL di Singapura juga boleh meminjamkan saham itu untuk penjualan singkat di Clob dan CDS Malaysia tidak akan mengetahui urusan jual beli itu. Walaupun demikian segala urusan di Clob akan menjejas prestasi harga di BSKL.
Bagi menghentikan Clob, pendaftaran pemilikan menerusi pemegang amanah tidak lagi dibenarkan. Semua pemilik saham perlu mendaftarkan semua saham di atas nama mereka sendiri. Saham yang dimiliki menerusi Clob tidak boleh diniagakan sehingga pemiliknya mendaftar dengan CDS. Ini bermakna pendaftaran atas nama pemegang amanah tidak boleh dibuat dan pembeli saham itu tidak mempunyai hak terhadap saham yang dibelinya sehingga ia didaftarkan dengan namanya sendiri kepada CDS.
Secara langsung, ini menamatkan operasi Clob.
Selepas memutuskan cara menghentikan dagangan dalam mata wang Malaysia dan aktiviti Clob, proses melaksanakannya pula perlu dilakukan. Seperti biasa, bank pusat perlu menjadi agensi pelaksana utamanya. Satu usaha di saat-saat akhir dilakukan oleh Gabenor Bank Negara dan timbalannya ujntuk menggagalkan langkah kawalan itu. Kedua-dua mereka meletakkan jawatan. Kerajaan dengan serta-merta terpaksa memberi kuasa kepada Penolong Gabenor untuk bertindak selaku ketua Bank Pusat dan melaksanakan langkah berkenaan.
Pada 2 September, langkah kawalan itu mula berkuat kuasa. Dunia terkejut dan hampir setiap orang dan sudah tentunya jaguh ekonomi dan kewangan terkemuka dunia menjangka ekonomi Malaysia akan musnah sama-sekali. Tidak masuk akal sebuah negara kecil seperti Malaysia mahu menentang hampir seluruh dunia.
Apakah sebenarnya langkah kawalan tukaran asing berpilih-pilih? Sebenarnya, langkah kawalan itu adalah dibuat secara yang amat minimum. Ia hanya mengandungi tiga langkah iaitu:-
i) Pasaran ringgit luar pesisir dihapuskan sama-sekali dan spekulator tidak lagi mempunyai peluang mendapatkan modal dalam mata wang itu. Ia dibuat dengan membekukan semua akaun ringgit luaran bagi bukan pemastautin di Malaysia. Mereka tidak dibenarkan meminjam atau menjual ringgit kepada bukan pemastautin yang lain tetapi boleh melaburkan dana mereka secara bebas di Malaysia. Dengan yang demikian, peniaga mata wang tidak lagi boleh membuat jualan singkat ringgit atau menukar nilai tukarannya.
ii) Kerajaan menetapkan kadar tukaran bagi ringgit ialah pada RM3.80 bagi setiap dolar Amerika.
ii) Satu “peraturan 12 bulan” dikenakan bagi menyekat penyaluran keluar dana portfolio bagi tempoh setahun. Peraturan 12 bulan itu perlu kerana keadaan pasaran kewangan yang amat tidak stabil ketika itu. Kemungkinan berlakunya kempen publisiti buruk terhadap langkah “unorthodox” Malaysia itu akan mencetuskan pengaliran keluar modal jangka pendek secara besar-besaran. Oleh itu, sekatan 12 bulan dirasakan perlu. Bagaimanapun, apabila keadaan mula reda enam bulan kemudian, peraturan 12 bulan ini digantikan (bagi modal baru) dengan levi dan kemudiannya levi itu pun dilonggarkan dan dikenakan hanya kepada hasil dividen yang dibawa keluar. Menariknya, apabila tempoh 12 bulan itu berakhir pada September 1999, tidak berlaku pengaliran keluar modal secara besar-besaran. Ini bermakna persepsi pasaran sudah jauh berbeza sepanjang tempoh September 1998 hingga September 1999. Pelabur asing semakin gembira dengan kenaikan harga saham mereka di BSKL dan prestasi keseluruhan ekonomi Malaysia.