Rabiah binti
Ismail al-Adawiyah tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah
Islam. Dia dilahirkan sekitar awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota
Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah keluarga yang miskin dari segi
kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada Allah. Ayahnya pula
hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai Dijlah dengan
menggunakan sampan.
Pada akhir kurun
pertama Hijrah, keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani
Umaiyah yang sebelumnya terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah.
Pergaulan semakin bebas dan orang ramai berlumba-lumba mencari
kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat tersebar luas. Pekerjaan
menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan. Maka ketajaman
iman mulai tumpul dan zaman hidup wara serta zuhud hampir lenyap sama
sekali.
Namun begitu,
Allah telah memelihara sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus
ke dalam fitnah tersebut. Pada masa itulah muncul satu gerakan baru
yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin oleh Hasan al-Bashri.
Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka menghabiskan
masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala
tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba
yang benar-benar taat.
Bapa Rabiah
merupakan hamba yang sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan
dunia dan tidak pernah letih bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak
perempuannya menjadi muslimah yang berjiwa bersih. Pendidikan yang
diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata. Natijahnya Rabiah
sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran sehigga
berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah
sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta
keimanan yang mendalam.
Menjelang
kedewasaannya, kehidupannya menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin
buruk setelah beliau ditinggalkan ayah dan ibunya. Rabiah juga tidak
terkecuali daripada ujian yang bertujuan membuktikan keteguhan iman.
Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak dalam kancah maksiat.
Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan yang belum
padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali bertaubat.
Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong
hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap
kepada belas ihsan Tuhannya.
Marilah kita
teliti ucapan Rabiah sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika
bermunajat kepada Allah:
Ya Allah, ya
Tuhanku. Aku berlindung diri kepada Engkau daripada segala yang ada
yang boleh memesongkan diri daripada-Mu, daripada segala pendinding
yang boleh mendinding antara aku dengan Engkau!
Tuhanku!
bintang-bintang telah menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua
pemilik telah menutup pintunya dan inilah dudukku di hadapan-Mu.
Tuhanku! Tiada
kudengar suara binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang
bergeser, tiada desiran air yang mengalir, tiada siulan burung yang
menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang melindungi, tiada tiupan angin
yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan melainkan aku dapati
semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada sesuatu yang
menyamai-Mu.
Sekelian manusia
telah tidur dan semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang
tinggal hanya Rabiah yang banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka
moga-moga Engkau berikan suatu pandangan kepadanya yang akan
menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat kepada-Mu.
Rabiah juga pernah
meraung memohon belas ihsan Allah SWT:
Tuhanku! Engkau
akan mendekatkan orang yang dekat di dalam kesunyian kepada
keagungan-Mu. Semua ikan di laut bertasbih di dalam lautan yang
mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak di laut bertepukan.
Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap, siang yang
terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang
berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab
Engkaulah Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.
Setiap malam
begitulah keadaan Rabiah. Apabila fajar menyinsing, Rabiah terus juga
bermunajat dengan ungkapan seperti:
Wahai Tuhanku!
Malam yang akan pergi dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya
diri! Apakah Engkau akan menerima malamku ini supaya aku berasa
bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku diberikan takziah?
Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau
menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika
Engkau menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak
bergerak juga dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu.
Seperkara menarik
tentang diri Rabiah ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan
alasan:
Perkahwinan itu
memang perlu bagi sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada
mempunyai pilihan untuk diriku. Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah
perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa pun.
Rabiah seolah-olah
tidak mengenali yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus
mencintai Allah semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali
untuk mencapai keredaan Allah. Rabiah telah mempertalikan akalnya,
pemikirannya dan perasaannya hanya kepada akhirat semata-mata. Dia
sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya dan sentiasa
membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun
dia terus-menerus mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya:
Ya Tuhanku!
Tenggelamkanlah aku di dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang
dapat memalingkan aku daripada-Mu.
Antara syairnya
yang masyhur berbunyi:
Kekasihku tiada
menyamai kekasih lain biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia di dalam hatiku mempunyai tempat manapun,
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun,
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik
pun.
Rabiah telah
membentuk satu cara yang luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia
menjadikan kecintaan pada Ilahi itu sebagai satu cara untuk
membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman sufinya dengan
menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah
diluahkannya:
Wahai Tuhanku!
Apakah Engkau akan membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan
lisan yang menyebut-Mu dan hamba yang takut kepada-Mu?
Kecintaan Rabiah
kepada Allah berjaya melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah
semata-mata.
Jika aku
menyembah-Mu kerana takut daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di
dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu kerana tamak kepada syurga-Mu maka
haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku menyembah-Mu kerana
kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang besar, berilah
aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia itu.
Begitulah keadaan
kehidupan Rabiah yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan
serta kecintaan kepada-Nya. Rabiah meninggal dunia pada 135 Hijrah
iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun. Moga-moga Allah meredainya,
amin!
Sekarang mari kita
tinjau diri sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang
disebut oleh Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud:
Apakah kamu
mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah
orang yang berjihad di antaramu dan belum nyata orang yang sabar.
Bagaimana perasaan
kita apabila insan yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah
kita terus berkecil hati dan meletakkan kesalahan kepada insan
berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan di dalam hati seumpama
ini:
Ya Allah!
Ampunilah aku. Sesungguhnya hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha
Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja
yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada tipu daya yang
mengasyikkan.
Sesungguhnya apa
juga lintasan hati dan luahan rasa yang tercetus daripada kita
bergantung kepada cara hati kita berhubung dengan Allah. Semakin kita
kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka bertambah erat pergantungan
hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan cinta dan kasih yang
sentiasa subur.
Lanjutan itu jiwa
kita tidak mudah berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang
pelbagai ragam. Keadaan begini sebenarnya terlebih dahulu perlu
dipupuk dengan melihat serta merenungi alam yang terbentang luas ini
sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat kehidupan manusia.
Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita.
Dengan itu kita
akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah.
Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap
Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah
perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu
cinta Allah yang kekal abadi.