Anda adalah pelawat yang ke:
 

Laman 11
 

Assalaamu'alaikum....
 

  JANGAN JADI TUKANG NILAI

Dunia kini dipenuhi oleh ahli fikir, ilmuan dan
cerdikiawan yang kemampuan mereka sudah diiktiraf oleh
berbagai jenis sijil dan ijazah yang mereka miliki,
golongan ini selalunya mengisi kelas pertama dan
superscale, dalam sistem pembahagian kaya miskin
manusia di dunia ini. Ertinya golongan ini merupakan
master-mind yang menentukan corak dan arah, tamadun
dan budaya manusia sejagat.

Sebaliknya fikiran dan pandangan merekalah yang
diterima sebagai penentu, benar atau tidak sesuatu
perkara itu. Kalau mereka berkata benar (tentang
sesuatu perkara) maka masyarakat kata benar tapi kalau
mereka kata tidak benar, maka masyarakat juga kata
tidak benar. tegasnya kalau mereka kata hitam, maka
hitamlah, kalau kata putih, putihlah kata masyarakat.

Menjadi satu trend golongan bijak pandai dalam
masyarakat kita ini, iaitu mereka suka mengkritik,
menilai tentang sesuatu yang berlaku dalam masyarakat.
Malah seakan menjadi satu “trend” golongan ini untuk
menulis dalam akhbar, dalam buku atau dalam internet
tentang kritik mereka terhadap sesuatu isu.
Bahan-bahan tulisan mereka menjadi bacaan dan santapan
fikiran masyarakat yang kemudiannya mencorakkan
fikiran masyarakat, selari dengan aliran fikiran
mereka. Kalaulah sikap ini digunakan untuk
menyampaikan kebenaran pada masyarakat, maka sikap ini
besar faedahnya. Tapi kalau ianya untuk menyatakan
kepalsuan dan kejahatan, maka seseungguhnya sikap ini
mesti ditentang habis-habisan.

Apa yang terjadi kebelakangan ini ialah kecenderungan
kritikus-kritikus ini menilai dan mengkritik
individu-individu pemimpin samada dari kalangan orang
dakwah atau orang politik, pemimpin negara dan
pemimpin masyarakat. Hasil penilaian mereka
tercungkillah kebaikan dan keburukan, kejayaan dan
kegagalan, kelebihan dan kekurangan individu yang
difokuskan itu.

Demikian seterusnya golongan ini ghairah mengkritik
dan menganalisa sesuatu harakah atau jemaah Islamiah,
samada yang sedang giat sekarang atau di zaman silam.
Seperti tadi, maka terdedahlah segala keistimewaan dan
kegagalan yang ada pada badan yang difokuskan itu.
Selalunya hasil analisa mereka itu dapat kita tatap di
muka akhbar, dalam buku, majalah dan dalam internet.

Saya bukan tidak akui kebolehan mereka kerana mampu
mengkaji dan menganalisa sesuatu perkara, tapi sikap
ini sebenarnya sama seperti apa yang dikatakan oleh
pepatah “Baling batu sembunyi tangan” Iaitu satu sikap
dari seorang yang tidak bertanggungjawab, seorang yang
hanya suka berteori tanpa praktikal atau seorang yang
berfikir dangan tujuan melakukan mental exercise
semata-mata, tidak untuk bekerja dan beramal. Dalam al
Quran Allah menyatakan kebenciannya pada sikap
demikian maksudnya:

“Wahai orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa
yang tidak kamu lakukan. Sangat besar kebencian Allah
bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.”

Tukang-tukang nilai kita itu tahu akan
kebaikan-kebaikan sesebuah jemaah Islam, harakah Islam
atau sesuatu hukum Islam, tapi dia tidak pun mahu
berjuang bersama-sama untuk melaksankan kebaikan itu.
Seterusnya mereka tahu pula akan keburukan dan
kelemahan sesebuah jemaah atau harakah Islam, tapi
mereka tidak pun mahu membantu atau menampung
kekurangan dan keburukan yang berlaku.

Apa maksud sebenarnya dengan mengatakan kelebihan dan
keburukan (kelemahan) sesuatu jemaah atau harakah,
tapi tidak mahu terlibat menanggung kebaikan dan
keburukannya? Allah swt tidak membenarkan umat Islam
hanya mengkaji dan menilai, tapi memerintahkan agar
manusia bekerja dan melaksanakan. Firmannya yang
bermaksud:

“Hendaklah kamu melaksanakan, Allah akan menilai,
Rasul juga menilai dan orang mukmin juga menilai.”

Bila kita beramal, Allah akan beri pahala, Rasul akan
memberi syafaat, dan orang mukmin akan turut memberi
perhatian dan sokongan. Barulah kita dikatakan telah
memberi sumbangan pada kebangkitan agama Islam kita.
Barulah ada pembelaan yang sebenar terhadap kebenaran.
Dan barulah kita akan memperolehi hasil yang
selayaknya kita terima. Dan barulah layak kita
mendapat “title” ilmuan (cendikiawan) yang berpotensi
dan praktikal. Rasulullah saw kerana tidak mahu
menjadi seorang ilmuan yang lembab, telah mengajar
kita satu doa:

“Ya Allah, berilah kami ilmu yang bermanfaat dan
berlindung dengan ilmu yang tidak memberi manfaat.”

Bahayanya ilmu yang tidak bermanfaat ini ialah seorang
yang banyak ilmu tapi tidak digunakan atau ilmu untuk
dirinya saja atau ilmu yang dibekukn dalam gulungan
sijil degree dan masternya saja. Kalaupun digunakan
hanya untuk mengkritik dan menilai tapi tidak untuk
dipraktikkan dalam kehidupan. Bila ilmu tidak
dipraktikkan jadilah empunyanya seorang yang pasif,
tidak aktif berjuang dan melibatkan diri dalam
masyarakat. Tidak tahu dan tidak meresa apa yang
berlaku dalam masyarakat. Mereka terasing, lone ranger
dan kalaupun muncul sekali-sekala dalam
seminar-seminar membentangkan kertas-kertas kerja.

Mereka hanya menyatakan sesuatu untuk diamalkan, tapi
entah siapa yang mahu mengamalkan mereka sendiri tidak
tahu. Beramal dan bekerja itu lebih penting dan
produktif dari berkata-kata saja. Tapi yang selalu
disibukkan bukan bekerja tapi berkata-kata dan
kata-kata itu seakan ditujukan pada orang lain, agar
orang itu mengamalkannya.

Sampai bila kita dilalaikan atau tertipu oleh sikap
ini? Sedangkan hasil yang kita tunggu-tunggu mustahil
datangnya. Umpamanya orang yang ingin makan nasi tapi
tidak berusaha memasaknya, mana beras boleh jadi nasi
dengan sendirinya kalau tidak dimasak.

Sepatutnya kita berjuang untuk membangunkan jemaah
Islam, samada ikut serta dengan jemaah yang sudah ada
atau kalau yang ada semuanya tidak betul, bangunkan
jemaah sendiri. Corakkan masyarakat dengan apa yang
kita fikirkan itu dan kemudian rasakan beban berat
yang mesti dipikul kerana berkorban dan berjuang di
dalam masyarakat. Barulah kita tahu susah payahnya
berjuang dan mudah-mudahan waktu itu kita sedar bahawa
“berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.”

Bahawa orang yang bergelumang dengan masyarakat
menanggung susah payah yang tidak dirasakan oleh
orang-orang yang menjenguk masyarakat dari menara
gadaingnya sahaja. Kalau begitu untuk apa dikritik.
Bukankah patut berterima kasih pada pejuang-pejuang
masyarakat yang sanggup mengorbankan jiwa raga untuk
masyarakatnya, walhal orang lain berenak-enak di
kerusi empuk dan tilam “dunlop” setiap siang dan
malam.
 


 

 PERTEMBUNGAN ANTARA KEBANGSAAN DAN AGAMA

Agak susah bagi sesiapa pun hendak menimbang sesuatu
kebenaran dari satu-satu perkara bila bertembung
antara kehendak agama dengan kehendak kebangsaan.
Contoh yang mudah, katakanlah tarian asli menurut
kebangsaan adalah baik. Tetapi menurut Islam adalah
haram, atau bersanding menurut kebangsaan adalah
mempertahankan adat warisan datuk nenek tetapi menurut
agama adalah haram. Dan satu contoh lagi ialah
menepung tawar adalah ajaran adat  yang dikaitkan
dengan fahaman bangsa boleh disebut juga di dalamnya
ada semangat kebangsaan tetapi sekiranya menurut agama
Islam hukumnya harus atau makruh.

Sebenarnya kalau saya hendak senaraikan pertembungan
antara kebangsaan yang salah dengan ajaran agama yang
benar terlalu banyak. Oleh sebab itu kalau satu-satu
bangsa menjadikan kebangsaan sebagai asas perjuangan
dan dalam masa yang sama juga mereka hendak
mempertahankan agama, maka mereka akan menempuh
pertentangan fikiran yang sangat hebat yang boleh
membawa kepada sakit jiwa. Benar juga perkataan salah
seorang menteri di negara jiran, “Kita tidak akan
memberi jawatan yang tinggi kepada tentera yang
beragama Islam di negara ini kerana ditakuti akan
pertentangan jiwa mereka sewaktu berhadapan dengan
musuh. Apakah yang dipertahankan itu agama atau
bangsa?”

Dalam mempertahankan bangsa, orang yang mengetahui
agama terpaksa menerima kemungkaran yang dibuat oleh
bangsanya sendiri seperti seorang ustaz yang
ditugaskan di kementerian kebudayaan terpaksa
menyaksikan tarian budaya bangsanya yang sudah tentu
haram di sisi hukum syariat. Waktu itu dia mesti pilih
antara dua samada mengorbankan agama atau mengorbankan
adat bangsanya. Kalau di dalam hatinya lebih banyak
kepentingan bangsa, kepentingan diri dan dunia, maka
sudah tentu dikorbankan agama. Tetapi kalau agama yang
menjadi kecintaannya maka dikorbankan kepentingan
bangsa.

Ramai orang mempertahankan kejahatan bangsanya
walaupun jelas bangsanya jahat kerana di dalam hatinya
mempunyai jiwa atau semangat kebangsaan dan
kadang-kadang juara yang mempertahankan bangsanya yang
jahat itu terdiri daripada mereka yang boleh menguasai
ilmu Al Quran dan hadis. Dicarinya hujah dalam hadis
untuk mempertahankan kebatilan itu. Inilah golongan
yang disebut Rasul: “Mereka yang menggunakan bahasa
kamu (bahasa Al Quran) tetapi mengajak kamu ke jurang
neraka.”

Setengah-setengah daripada negara bekas jajahan telah
pernah memperjuangkan kesatuan bangsa. Semasa hendak
menghalau penjajah, orang-orang agama menyangka di
waktu itu biarlah bangsa itu merdeka lebih dahulu,
setelah itu barulah kita perbaiki agama umat kita.
Tetapi rupa-rupanya setelah merdeka semangat nafsu
bangsa diletakkan di hadapan. Dan sesiapa sahaja yang
menentang kehendak nafsu bangsa dengan menggunakan
agama akan disumbat ke dalam penjara.

Inilah salah satu kesalahan yang besar yang dilakukan
oleh mereka yang mencampur-adukkan agama dengan
kebatilan bangsa. Bukannya sedikit perasaan duka yang
terpaksa ditanggung oleh pejuang-pejuang agama
lantaran kesilapan ini.

Perjuangan menegakkan Islam ialah perjuangan membina
iman. Iman dengan kufur tidak boleh barsatu. Iman
dengan kufur tidak sehaluan. Iman jalannya ke akhirat
dan syurga manakala kufur pula jalannya setakat pintu
kubur sahaja dan di akhirat habuannya ialah nerana…..

Perjuangan Rasulullah ialah perjuangan cinta iman dan
Islam. Bukan perjuangan dicampur-aduk dengan semangat
bangsa yang mana semangat bangsa adalah semangat
daripada bara api kekufuran. Kalaulah orang Arab itu
berjuang kerana bangsanya maka Islam tidak akan sampai
kepada bangsa lain. Tetapi yang paling mulia dalam
agama bukan Yahudi dan Arya tetapi yang paling mulia
ialah orang yang bertaqwa. Sifat taqwa itu boleh
dimiliki oleh bangsa apa sekalipun.

Tidak ada bangsa yang lebih baik dari bangsa lain
kecuali bangsa yang lebih bertaqwa. Melayu yang
bertaqwa lebih baik dari Cina yang tidak bertaqwa
seperti juga Cina yang bertaqwa pasti lebih mulia dari
Melayu yang tidak bertaqwa. Oleh itu janganlah kita
sensitif atau melenting bila soal kebangsaan
disinggung tetapi pejam mata bila Islam dan cara
hidupnya diperkecil-kecilkan.

Jaguh pejuang bangsa adalah kerdil dibandingkan dengan
pejuang Islam. Sebab itu jaguh bangsa adakalanya
dilupakan tetapi pejuang Islam sentiasa harum namanya
dari zaman ke zaman. Kita merasa hairan dengan
sebilangan kecil ulama di merata dunia Islam yang
telah mengarang banyak kitab-kitab agama (samada kitab
tauhid, fekah mahupun tasauf) tetapi melenting dan
marah-marah bila adat atau sikap kebangsaannya yang
bertentangan Islam ditegur. Merasa megahlah dengan
Islam bukan dengan bangsa sepertimana kata Umar ibnul
Khattab: “Mulia Umar kerana Islam bukan kerana Arab.”

Berkata Jaafar bin Abi Talib sewaktu mengadap Najasyi:
“Dahulu kami bangsa Arab adalah bangsa padang pasir
yang ganas dan berperang sesama sendiiri. Kami menanam
anak-anak perempuan kami, memakan bangkai dan meminum
arak. Tetapi datang Nabi Muhammad membawa Islam dan
mengubah cara hidup kami kepada persaudaraan dan kasih
sayang.”

Jadilah seperti Umar dan Jaafar yang rasa mulia dengan
Islam walaupun terpaksa mencaci adat buruk bangsanya.
 

 DIDIK ISTERI PERLU STRATEGI

Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa
kretif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada
kita kaum lelaki kekuatan akal yang  rasional, tidak
terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan.
Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan
wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan
dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta
kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami
akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.
Firman Allah yang bermaksud:

“lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi
wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari
yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan
sebahagian daripada hartanya.”

Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila
suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta
kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri –
makhluk yang kuat perasaannya.

Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk
akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan
wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan
keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita,
lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau
umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang
untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di
sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.

Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu
dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan
sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu
seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan
seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka,
pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung
dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah
lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu
dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada
diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh
saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti
dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak
tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.

Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan
kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga
jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak
mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu
untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta
memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulan nanti
dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri
sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang
mencabar kesabaran kita.

Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran.
Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran
tanpa kebijaksanaan menyebabkan sumi menurut saja
kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala
kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami
tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas
dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa
kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan
tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan
tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu
diusahakan melalui latihan bepandukan ilmu tasauf.

Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu
wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan
tua yang suka mengganggu Rasulullah saw. Tatkala
Rasulullah saw lalu di sebelah rumahnya dia akan
membaling sampah kepada Rasulullah saw. Adakalanya dia
menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan
yang akan dilalui oleh Rasulullah saw. Bahkan pernah
juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di
sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan
oleh baginda Rasulullah saw.

Suatu hari Rasulullah rasa pelik kerana perempuan tua
itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan
serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan.
Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran
perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit.
Lalu baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk
berziarah. Rasulullah bertanyakan khabar dan tolong
memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah
terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak
Rasulullah sanggup menziarai dan membantunya tatkala
dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar
Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu
menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam.

Pada masa yang lain, pernah Rasulullah melintasi
sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam.
Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda.
Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam
juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri
salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila
ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang
pertama dan kedua mereka menjawab, “Kami sengaja mahu
Rasulullah saw mendoakan untuk kami.”

Begitu Rasulullah saw mendidik kaum wanita. Walaupun
sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi
Rasulullah masih dapat menunjukkan akhlak yang paling
baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum
perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah
naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya
perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu
perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari
hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah
pemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki mestilah
bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih
sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang
panjang.

Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa
Rasulullah dan bertanya tentang mendi hadas.
Rasulullah menjawab, “Ambillah sepotong kain perca
yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.”
Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami
keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi
pertanyaannya, “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan
itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan
baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum
memahaminya. Lalu Rasulullah meminta kepada Siti Aisah
supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti
Aishah pun berkata, “Ambil sepotong kapas yang bersih,
lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap
putih tanda haid sudah berhenti,”

Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam
mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana
atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat
dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai
ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.

Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama
isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita.
Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala
bersama Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan
dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala
Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala
Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan
Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti
kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari.
Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya
Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna
sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan
kehendak isterinya tanpa menjatuhkan mertabatnya
sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh
isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu
suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak
sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan
isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami.
Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas
tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan
sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat
dan perjuangan terpaksa diketepikan.

Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah
rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan
menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh
kerana wanita seringkali bertindak mengikut
perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu
emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada
kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit
lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar,
mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah
tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk
macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama
ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan
Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).

Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk
mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan
ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai
kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan
sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan
terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa
perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana
tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan
perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja
mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka
lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya
kendur. Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada
perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya
diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari
pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya
bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan
melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di
belakang isteri. Tetapi jika perkara yang
disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat,
memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung
dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk
menerimanya.

Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah
saw. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda
dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya,
“Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,
yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?”
Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu.
Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda
menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji
akan memberikan jawapannya kemudian.

Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh
isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan
kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini
diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai
memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan
isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana
mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.

Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa
Rasulullah saw mendatangi isteri-isterinya mengikut
giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak
menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu.
Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya,
setiap seorang baginda hadiahi sebentuk cincin dan
baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada
isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah
ditetapkan Rasulullah saw menyuruh isteri-isterinya
berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada
persoalan yang dikemukakan.

Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk
mengetahui siapakah di antara mereka yang paling
disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti
jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda
di antara mereka. tetapi dengan kebijaksanaan
Rasulullah, baginda pun berkata, “Isteri yang paling
disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.”
Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana
setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima
cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami,
pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.

Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka
berleter atau setengah orang kata macam mulut murai.
Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab
leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah,
tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang
sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut
kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu
sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut.
Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan
dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur
barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah
kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan
dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada
kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan
dengan kerenah perempuan yang suka berleter.
Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi
peluang kepada perempuan tersebut meluahkan
ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah
diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun
memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.

Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah.
Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya
terlalu pangasih terhadap suami dan anak-anak.
Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan
raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia
akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong
dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya
suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini
bukan sahaja tidak membebankan suami dengan
masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk
menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw
yang bermaksud:

“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka
sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:

“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah
memiliki isteri yang solehah.”

Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia
dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di
tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang.
Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang
solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.
 


 

 BILA MANUSIA MEMPERALATKAN MANUSIA
 

Manusia hidup menjadi alat kepada siapa? Apabila
seseorang umpamanya berkata, “Saya memperhambakan diri
kepada seni.” Apakah pengertian yang dapat ditangkap
daripadanya? Mengapakah orang tidak berkata saja,
“Saya memperhambakan diri kepada peminat seni.”

Ungkapan yang pertama bersifat kabur dan terlalu am.
Seseorang tidak boleh menjadi hamba kepada benda tidak
bernyawa, apatah lagi benda yang dia sendiri hasilkan.
Ungkapan kedua lebih tepat kerana jelas siapa
memperhambakan siapa, atau siapa membiarkan dirinya
diperhambakan oleh siapa. Cuma orang susah untuk
menerima hakikat dirinya diperhambakan (diperalatkan)
kerana rata-rata manusia mahukan kebebasan.

Sebenarnya manusia hidup di muka bumi Allah ini memang
menjadi alat kepada satu sama lain, samada kita sedar
atau tidak.

Allah yang Maha Adil dan Bijaksana menjadikan nasib
menusia berbagai-bagai ragam. Allah jadikan segolongan
manusia miskin, segolongan lagi kaya. Allah menjadikan
manusia bodoh dan manusia cerdik, manusia lemah dan
manusia kuat. Dengan kedudukan diri yang pelbagai ini,
dapatlah manusia saling alat-memperalati untuk hidup.

Kalau umpamanya Allah menjadikan semua manusia bodoh,
tidak terpimpin kehidupan mereka. Kalau Allah memenuhi
bumi ini dengan manusia-manusia cerdik belaka, rosak
binasalah sistem kehidupan kerana tiada siapa bersedia
menerima tunjuk ajar lagi. Begitu juga kalau Allah
jadikan semua manusia sama-sama mempunyai bakat seni
yang tinggi, tiada siapa lagi yang akan menyanjung
tinggi hasil seni.

Kalau demikian, bagaimanakah manusia boleh saling
memperalati tanpa masing-masing pihak rugi di dunia
dan rugi di akhirat? Allah berfirman yang maksudnya:

“Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk
memperhambakan diri kepada aku.”

Dalam satu ayat lain, Allah menerangkan bahawa tugas
menusia di muka bumi ialah sebagai khalifah Allah.

Apabila manusia membiarkan dirinya diperhambakan oleh
Allah dengan melakukan ibadah, manusia mewujudkan
Hablumminallah. Dan apabila mereka alat-memperalati
untuk menyempurnakan tugas sebagai khalifah Allah,
mereka mewujudkan hablumminannas. Inilah hakikat
kehidupan manusia. Kalau manusia berpegang kepada
hakikat ini dan meyakininya sungguh-sungguh, tiada
siapa yang akan rugi membiarkan dirinya diperalatkan
atau ketika masing-masing saling memperalati. Malah
Allah menjamin kebahagiaan di dunia dan di kampung
akhirat.

Apabila seseorang dilantik menjadi pemimpin misalnya,
pada hakikatnya dia menjadi alat kepada orang-orang di
bawah kepimpinannya dalam ertikata orang-orang bawahan
itu mesti mendapat faedah daripada kepimpinannya.
Sebagai pemimpin pula, dia menjadikan orang-orang
bawahannya sebagai alat untuk menjayakan
kepimpinannya. Pemimpin mesti adil manakala
orang-orang bawahan atau rakyat mesti taat. Alat
memperalati secara ini menepati kehendak kedua-dua
ayat tadi dan manusia-manusia inilah yang dijamin
dengan rahmat Allah. Mendapat rahmat Allah bererti
mendapat kebahagiaan sebenar di dunia dan akhirat.

Orang-orang yang tidak yakin dengan rahmat Allah akan
alat memperalati untuk memuaskan kehendak nafsu
semata-mata. kalau nafsu sukakan kemasyhuran, meraka
akan berusaha mendapatkan kemasyuran, dan dalam menuju
kemasyhuran itu meraka akan memperalatkan orang lain
samada mereka sedar atau tidak.

Seorang penyanyi misalnya memperalatkan
peminat-peminatnya untuk membantu dia menjadi masyhur.
Disogoknya mereka dengan hiburan yang melalaikan
sesuai dengan nafsu mereka yang sukakan keseronokan.
Peminat-peminat ini mengorbankan masa dan wang untuk
membantu penyanyi yang mereka minati menuju
kemasyhuran, tanpa menyedari diri mereka sebenarnya
menjadi alat.

Penyanyi itu pula, tanpa dia sedari, diperalatkan oleh
peminat-peminatnya untuk kepuasan nafsu mereka. Kalau
hati kecil peminat boleh diselami, ia mungkin berbunyi
lebih kurang begini, “Kamu mahukan kemasyhuran, kami
boleh tolong dapatkan tetapi puaskan nafsu kami dan
jangan cerita masalah kamu kepada kami. Kami hanya
mahukan hiburan, tidak mahu dengar masalah kamu.”

Sebab itu kita lihat penyanyi sering berpura-pura di
depan peminat. Kalau ada masalah, mereka masih boleh
ketawa riang di pentas semata-mata untuk memuaskan
nafsu peminat.

Alat memperalati secara demikian merugikan kedua-dua
pihak. Tukang hibur rugi kerana dalam usaha hendak
memuaskan nafsu orang lain yang sukakan hiburan,
dirinya sendiri mungkin tidak terhibur. Dan di akhirat
dia akan dibalas dengan siksa neraka kerana
menggunakan suara dan kecantikannya untuk melalaikan
manusia daripada mengingati Allah. Pencari-pencari
hiburan diperolehi hanya bersifat sementara. Mereka
tidak menemui kebahagiaan sebenar melalui hiburan yang
melalaikan dan mereka juga rugi di akhirat kerana
dibalas neraka oleh Allah kerana mensia-siakan masa
dengan berlalai-lalai.

Kalau tukang hibur itu mendakwa dia memperhambakan
diri kepada seni, dia sebenarnya menyembunyikan
ketelanjurannya. Dia sebenarnya benar-benar telah
menjadi alat kepada nafsunya sendiri yang sukakan
kemasyhuran dan kemewahan dan manjadi alat pula kepada
nafsu orang lain yang sukakan keseronokan dan hiburan.
Inilah yang dikamsudkan oleh Allah sebagai
“bantu-membantu mengerjakan kejahatan.”

Alat memperalatkan perlu-memerlukan dan bantu-membantu
adalah fitrah semulajadi manusia. Supaya tidak rugi di
dunia dan di akhirat, manusia perlu menyesuaikan
fitrah semulajadi itu dengan syariat yang telah Allah
gariskan. Manusia tidak boleh mengelak daripada
menjadi alat.

Seorang yang mempunyai bakat melukis misalnya, mesti
merelakan dirinya diperalatkan dalam perjuangan
menegakkan kalimah Allah menerusi lukisan.
Lukisan-lukisannya mesti diisi dengan roh Islam, boleh
mendorong hati mencintai Allah dan boleh menginsafkan
orang kepada kebenaran. Pelukis tidak boleh melukis
atas dorongan perasaan semat-mata. Untuk
membolehkannya mengisi lukisan-lukisannya dengan roh
Islam, pelukis perlu menghayati Islam sungguh-sungguh.

Begitu juga seorang yang Allah kurniakan suara baik,
dia mesti merelakan dirinya diperalatkan untuk
perjuangan menegakkan kalimah Allah, mungkin sebagai
penceramah atau pendendang lagu-lagu dakwah (tanpa
muzik yang haram). Dia mesti melepaskan dirinya
daripada belenggu nafsunya sendiri yang suka dipuja
dan disanjung serta nafsu orang lain yang sukakan
hiburan melalaikan.

Dalam kehidupan ala jahiliah, tiada siapa suka dirinya
diperalatkan walaupun hampir tidak ada seorang pun
yang terlepas daripada menjadi alat. Sebab, apabila
manusia alat-memperalati untuk tujuan selain daripada
menegakkan hukum hakam Allah, pihak yang diperalatkan
selalunya rugi. Mungkin rugi harta, rugi maruah, rugi
kebahagiaan atau mungkin juga rugi nyawa. Tetapi oleh
kerana pihak yang diperalatkan tidak sedar dirinya
diperalatkan, dia tidak sedar dirinya rugi.

Islam menyelamatkan manusia daripada kerugian dengan
menyediakan jalan bagaimana manusia boleh
mengeksploitasi bakat dan kebolehan satu sama lain
tanpa masing-masing pihak rugi. Setiap kebolehan dan
bakat itu dieksploitasi sungguh-sungguh supaya manusia
berjaya dengan peranannya sebagai khalifah Allah.
Bakat dan kebolehan yang digunakan bukan mengikut
jalan yang Allah gariskan ialah bakat dan kebolehan
yang disia-siakan walaupun ia mungkin melahirkan
kepuasan kepada individu. Ibarat beruk diberi bunga,
dia tidak menggunakan bunga itu untuk berhias. Dia
mungkin puas dengan mengunyah-ngunyah bunga itu saja.
Orang begini tentulah mendapat kemurkaan yang besar
daripada Allah. Kemurkaan Allah tidak lain balasannya
kecuali neraka.
 


 

 KEPUTUSAN ALLAH PALING TEPAT
 

Dalam membuat sesuatu keputusan kebanyakan manusia
hari ini tidak menyandarkan setiap keputusan yang
diputuskan itu pada Allah. Justeru itulah kelihatan
dewasa ini ramai manusia yang sakit jiwa, hidupnya
menderita, tertekan, sangka buruk kepada Allah.
Seringkali juga menyalahkan orang lain jikalau apa
yang diingininya gagal.

Ada segolongan manusia hari ini membuat keputusan
ingin jodohkan anaknya dengan si fulan si fulan,
tiba-tiba perancangan atau keputusan yang mereka
putuskan itu dengan kehendak Allah gagal. Jadi mereka
yang tidak yakin dengan keputusan Allah itu adalah
sebaik-baik keputusan, di saat itulah akan berlakunya
pertengkaran.

Boleh jadi kaum keluarga pihak lelaki akan marahkan
kaum keluarga pihak perempuan sekiranya pihak
perempuan yang menolak pinangan mereka. Hasil dari
perasaan tidak puas hati itu, akan putuslah
persaudaraan sekiranya selama ini mereka ada pertalian
darah, akan putuslah ukhwah dan silaturahim, sesama
jiran sekampung sekiranya mereka berjiran dan akan
putus hubungan persahabatan sekiranya mereka selama
ini merupakan sahabat karib yang paling akrab dan
begitulah seterusnya.

Perselisihan faham demikian tidak akan selesai
sekiranya manusia hari ini masih lagi merasakan setiap
keputusan dari akal fikiran mereka itu adalah lebih
baik daripada keputusan orang lain ataupun mereka
merasakan keputusan dari Allah itu tidak adil dan
menyeksakan.

Begitu juga dalam peperiksaan, kebanyakan para pelajar
ataupun mahasiswa-mahasiswi akan kecewa kiranya mereka
gagal dalam peperiksaan yang mereka hadapi. Dalam hal
ini si ibu atau si bapa (penjaga) akan menyalahkan
anak jika si anak gagal dalam peperiksaan,
terluncurlah dari mulut kedua ibu bapa dengan
kata-kata yang kesat dan menyakitkan.

Antara kata-katanya,  “Anak tak guna, bodoh, bengap,”
dan sebagainya. tambahnya lagi “Rugi duit aku,
sekolahkan engkau tinggi-tinggi tapi tak seperti anak
orang lain, tak boleh diharap.” Kata-kata seperti ini
menyebabkan jiwa si anak tertekan lantas mengambil
keputusan yang singkat seperti membunuh diri,
melibatkan diri dengan kumpulan-kumpulan jahat, liar,
lari dari rumah, jadi pengacau di kotaraya, jadi kutu
di kaki-kaki lima dan sebagainya.

Kedua ibu bapa malu pada orang ramai kiranya anak
mereka gagal dalam peperiksaan. Malunya mereka tidak
dapat diucapkan dengan lidah. Begitulah perasaan yang
menguasai setiap jiwa yang tidak yakin dengan
keputusan dari Allah itu adalah sebaik-baik keputusan.

Bagi ibu bapa yang yakin bahawa anaknya gagal dalam
peperiksaan, mungkin mengandungi hikmah yang banyak
akan berkata, “Alhamdulillah, tak apa nak… sudah
begitu kehendak Allah, Allah Maha Mengetahui, tahun
depan boleh cuba lagi.” Mendengarkan ungkapan
kata-kata seperti itu jiwa anak yang kacau, sedih dan
pilu itu kembali bertenaga dan hidup serta bersyukur
pada Allah kerana kedua ibu bapanya faham akan isi
hatinya. Barulah aman dan bahagia rumahtangga yang
demikian.

Hubungan suami isteri boleh juga retak disebabkan satu
kes kecil seperti kes hendak balik kampung.

Si isteri yang tidak berpegang teguh dengan keputusan
dari Allah adalah paling tepat, ia akan kecewa kiranya
si suami berjanji hendak balik kampung sekian-sekian
haribulan, sekian-sekian hari, tiba-tiba bila tepat
hari sebagaimana yang telah dijanjikan, suaminya ada
urusan lain yang lebih penting, maka dibatalkannya
keputusan untuk balik kampung.

Bagi si isteri yang tidak faham dan tidak yakin dengan
keputusan ini ia akan mengamuk, akan membuat kerenah
akhirnya tidak mustahil sebab kes hendak bailk kampung
saja, hubungan suami isteri tegang dan akan berlakulah
kes perceraian.

Ada juga menusia hari ini ia tidak redha dengan
keputusan dari Allah tentang kehidupan sehari-harian.
Hasratnya belajar tinggi-tinggi, bertungkus lumus
mengulangkaji pelajaran untuk memperolehi sijil yang
baik. Tiba-tiba itu semua diperolehinya tetapi bila
temuduga minta kerja tidak juga dapat-dapat.
Bercita-cita ingin jadi Pegawai Daerah tetapi
malangnya dapat jadi kerani biasa, bercita-cita nak
jadi doktor tetapi jadi pemandu kereta ambulan,
bercita-cita nak jadi pramugari tetapi tidak terpilih,
hanya berjaya jadi pelayan-pelayan restoran sahaja,
bercita-cita nak jadi pemimpin negara tetapi keputusan
dari Allah jadi rakyat jelata, maka kalau jiwa tidak
bersedia sabar, redha dan syukur dengan ketentuan
Allah, hal ini boleh menyebabkan orang berkenaan sakit
jiwa serta menderita lahir dan batin.

Lebih parah lagi sekiranya sampai ke peringkat
merasakan, “Allah tak patut, aku nak ini Ia beri yang
lain, aku nak jadi pegawai, Allah beri aku jadi kerani
pula.”

Rasa tidak puas hati seringkali mencuit isi hati,
“Allah tak adil betul, sepatutnya layak aku jadi
pramugari kenapa si fulan itu pula yang dipilih.
Sedagkan sifulan tu…. bukannya cantik sangat, dah la
tu…. tak ada degri dan kelayakan langsung,” dan
macam-macam lagilah bisikan syaitan pada hati kecil
kita. Akibatnya kita menjadi musuh Allah tanpa sedar.

Hendak jadi orang kaya, tiba-tiba Allah beri miskin.
Salahkan Allah lagi, “Kenapalah Allah tak beri aku
jadi orang kaya, kalau aku kaya kan lebih baik dari si
fulan tu. Kalau aku kaya aku akan bantu semua fakir
miskin yang memerlukan bantuan, tak seperti si fulan
tu…. dah lah bakhil, sombong pulak tu…..”

Begitulah jahatnya hati kecil kita yang terselit
bisikan syaitan. Sudah banyak nikmat lain yang Allah
beri, tidak juga bersyukur. Masih lagi menagih nikmat
yang bukan hak kita. Sebelum dapat macam-macam yang
baik boleh kita lafazkan, bila sudah dapat belum tahu,
mungkin kita lebih gelojoh, bakhil dan sombong
daripada orang yang kita maksudkan sebelum ini. Sebab
itulah Allah tidak beri pada kita sebab Dia sayangkan
kita dan hendak selamatkan iman kita.

Sepatutnya bersyukurlah Allah tidak beri apa yang kita
tidak mempu, mungkin kalau Allah beri kita yang rugi.
Menyesal tidak sudah. Bersyukurlah sekiranya apa yang
dihajati oleh nafsu kita tidak diberi oleh Allah.
Kerana banyak mengandungi hikmah sebaliknya, Allah
yang Maha Mengetahui sedangkan kita buta
segala-galanya. Kita tidak nampak apa yang belum
berlaku sedangkan Allah Maha Melihat. Sebab itu
yakinlah bahawa keputusan dari Allah itu adalah yang
paling tepat dan sebaik-baik keputusan.

Jadilah hamba yang redha dan sabar dengan setiap
keputusan dari Allah swt.
 


 







1