Dibawah ini diabadikan 4 artikel bertajuk:
 

1. WADAH PARA SUAMI JADI PEMIMPIN YANG ADIL
2. BERAKHLAK DALAM MENDIDIK ISTERI
3. NUSYUZ: BUKAN ISTERI SAHAJA
4. POLIGAMI: GELANGGANG PERCATURAN IMAN
 
 


 

  WADAH PARA SUAMI JADI PEMIMPIN YANG ADIL
 

Menyentuh soal perkahwinan ianya bukan suatu yang
asing untuk diperbincangkan. Malah ianya adalah perlu
kerana perkahwinan itu di samping ia menjadi fitrah
hidup manusia juga beberapa peraturan yang
disyariatkan oleh Islam.

Selama saya menulis artikel ini saya telah banyak
memperkatakan tentang tanggungjawab suami isteri serta
bagaimana membina sebuah rumahtangga bahagia yang
dipandu oleh Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw.
Lebih-lebih lagi kewajipan suami isteri yang kini
telah difahami tetapi ramai yang mengabaikannya.
Lantaran itu banyaklah kes-kes perceraian yang hari
ini semakin membinggungkan.

Ekoran daripada itu telah banyak akta serta
enakmen-enakmen jabatan agama negeri digubal serta
dikuatkuasakan namun ianya belum memberi erti yang
sebenar kepada umat Islam dalam usaha mewujudkan
kebahagiaan rumahtangga.

Menyorot perkara ini adalah terlalu panjang masalah
yang sedia wujud cuma marilah kita memahami semula
alam kekeluargaan yang telah dibangunkan dengan
pengorbanan cinta dan air mata itu dengan
sungguh-sungguh. Dengan itu si suami akan menjadi
pemimpin yang bertanggungjawab kepada ahlu-baitnya dan
si isteri menjadi pembantu yang bijaksana.

Kemampuan seseorang itu memimpin diri, ahlu-baitnya ke
jalan yang benar akan dapat mengelakkan dirinya dari
kebinasaan. Binasa di sini ialah binasa besar iaitu
binasa terjun ke dalam api neraka. Jadi, kalau suami
dapat mengelakkan dirinya terjun ke neraka, maka
itulah bukti cintanya yang sebenar. Allah swt telah
berfirman yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu
pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang
mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari
manusia-manusia yang sombong dan engkar kepada Allah
iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga
daripada batu-batu berhala….”

Allah swt menyuruh kita memelihara diri itu bukan
hanya sekadar mematuhi segala perintah Allah tetapi
menjauhi segala larangan-Nya termasuklah dosa besar
mahupun dosa kecil. Maksiat lahir mahupun maksiat
batin, yang makruh lebih-lebih lagi yang haram.

Tanggungjawab kita kepada ahli keluarga ialah menjaga,
mendidik, mengajar dan memimpin mereka dalam melakukan
perkara-perkara sepertimana yang Allah
tanggungjawabkan pada diri kita sendiri.

Suami perlulah suruh anak isteri melakukan
perkara-perkara yang berbentuk fardhu ain, fardhu
kifayah dan perkara-perkara sunat yang lain. Wajib
pula menghalang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti
berzina, mencuri, dedah aurat, hasad dengki, takabur,
riak dan lain-lain lagi.

Walau bagaimana banyak amalan seseorang itu, ianya
akan terhapus disebabkan ia tidak dapat melaksanakan
tanggungjawabnya terhadap isteri-isteri dan
anak-anaknya dan semua mereka yang berada di bawah
jagaannya, Jadi nyatalah bahawa lebih besar keluarga
kita, maka lebih beratlah tanggungjawab kita. Ini
bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah saw yang
bermaksud:

“Tiap-tiap kamu adalah pengembala dan kamu akan
ditanya tentang apa yang digembalakan. Seorang suami
akan ditanya tentang isteri dan anaknya. Seorang
isteri akan ditanya tentang pengendaliannya terhadap
harta suaminya. Seorang anak akan ditanya bagaimana ia
melaksanakan amanah-amanah serta nasihat-nasihat dan
juga harta-harta ayah dan ibunya. Dan raja akan
ditanya bagaimana dia memerintah akan rakyatnya.
Adakah dia memerintah ke arah kezaliman atau adalah
dia memerintah ke arah keadilan.”

Ini bermakna semua orang tidak akan dapat lepas dari
tanggungjawab ini. Kita bukan boleh berpuas hati
semata-mata dengan ibadah yang kita buat sahaja tetapi
hubungan kita dengan manusia juga perlu kita buat.
Beban yang kita tanggung sebenarnya berat, lebih-lebih
lagilah seorang suami. Kalau dia mempunyai anak isteri
yang ramai. Dan bayangkanlah pula bebannya yang
ditimpakan ke atas seorang suami kalau ia mempunyai
empat isteri dan dua puluh orang anak!

Anak-anak adalah merupakan tanggungjawab yang berat ke
atas seorang ayah atau penjaganya. Sebab itu terdapat
di dalam sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Apabila mati seorang anak Adam, terputus amalannya
kecuali tiga perkara, iaitu amal jariah, ilmu yang
bermanfaat dan anak yang soleh.”

Anak yang soleh di sini iaitu anak yang sentiasa taat
kepada perintah Allah serta menjauhi larangan Allah.
Pahala daripada ketiga perkara di dalam hadis di
ataslah yang seterusnya akan mengalir kepada seseorang
itu walaupun dia sudah mati. Dan di antaranya yang
tidak putus itu pula ialah pahala dari anak yang
soleh. Beruntung kalau mempunyai ramai anak yang
soleh!

Malangnya kita hari ini bukan bercita-cita hendak
mlahirkan anak yang soleh tetapi bercita-cita hendak
melahirkan “anak tholeh”. Kerana itu bukan setakat
bermula dari tujuh tahun kita telah mendidiknya
menjadi “anak tholeh” malah ketika dia sudah berumur 3
tahun kita sudah salurkan dia menuju ke arah itu.
Ertinya masa umur anak itu sebegitu kecil lagi dia
telah kita ajar melanggar perintah Allah seperti
mendedahkan aurat dengan berpakaian “mini sekerat” dan
mengikut cara hidup Kristian dan Nasrani. Dari kecil
kita tidak kenalkan dia pada Allah dan Rasul-Nya. Dan
bayangkanlah kalau kita mendidik sepuluh anak kita
dengan cara begini, dapatkah dia memberi manfaat
kepada kita bila kita telah meninggal kelak?

Di antara sebab-sebab yang boleh menjerumuskan suami
dan anak-isterinya ke dalam neraka ialah: Punca yang
pertama menyebabkan dia binasa setelah berkahwin,
iaitu disebabkan oleh anak dan isterinya. Anak-isteri
boleh membimbang hati daripada ingat kepada Allah,
yang mana kalau semasa bujang, seseorang itu dapat
khusyuk beribadah kepada Allah tetapi apabila ia
mempunyai anak-isteri, ingatannya boleh terganggu.
Hingga kadang-kadang di dalam sembahyang pun boleh
mengelamun fikiran kerana anak-isteri. Dan kalaulah di
dalam sembahyang seseorang itu tidak boleh menumpukan
ingatannya kepada Allah, maka jangan mimpilah di dalam
perkara-perkara lain, ia boleh ingat kepada Allah
seperti sewaktu bekerja mencari rezeki, ketika
mendapat kesenangan dan sebagainya.

Sebenarnya alam kekeluargaan adalah suatu latihan
khusus kepada para suami untuk melatih diri menjadi
pemimpin yang adil dan penuh hikmah. Apa juga bentuk
kepimpinan yang ditampilkan, maka ianya juga merupakan
wajah kekeluargaan dan sekaligus masyarakat itu
sendiri.

Ragam anak-anak, kerenah isteri-isteri dan masalah
lain yang wujud dari alam kekeluargaan menjadi penguji
kepada para suami untuk menunjukkan sikap adil,
bertanggungjawab dan bijaksana menghadapinya.

Tanggungjawab suami adalah lebih berat daripada
tanggungjawab isteri. Meskipun ramai si isteri merasa
lebih banyak beban berbanding dengan suami tetapi bila
berada di alam akhirat suami mempunyai bebanan yang
terlalu berat untuk dilaksanakan.

Setiap inci perbuatan dan tuturkata yang menyebabkan
anak-anak atau isteri menuju ke neraka Allah swt
adalah menjadi kewajipan si suami atau si ayah
membetulkannya. Si suami tidak boleh ambil ringan
dengan perbuatan yang melampaui batas agama itu. Jika
di dunia tidak ditegah maka persoalan itu tidak dapat
lari untuk ditanya lagi oleh Allah swt di Yaumal
Mahsyar kelak.

Justeru itulah alam kekeluargaan atau alam perkahwinan
itu bukan suatu memberatkan tugas tetapi ianya sebagai
melatih diri suami itu menjadi pemimpin yang adil lagi
bertaqwa. Jika tidak dapat memahami hakikat ini dengan
sebenar-benarnya maka telah berlaku hari ini kaum
lelaki yang membujang. Faktor utama yang dirasakan
ialah tidak sanggup menghadapi risiko dalam
rumahtangga. Mungkin mereka merasakan dari pengalaman
orang lain dan sebagainya.

Bagi kaum lelaki tidak seharusnya itu menjadi alasan
kerana tuntutan serta kelebihan sebagai seorang suami
itu telah dijelaskan oleh Allah dan Rasul. Kerana itu
Rasulullah saw berkahwin dan berjaya menjadi suami
yang adil. Malahan menjadi pemimpin ummah yang
dikagumi.

Demikian juga dengan para sahabat r.a. Mereka tidak
pergi menemui Allah swt sebelum mereka mencecahkan
batang tubuhnya ke alam kekeluargaan. Mereka tahu
tugas perjuangan itu lebih besar dengan hanya
memikirkan anak dan isteri tetapi itu adalah
ketinggian darjat yang Allah berikan kepada mereka.
Ditegaskan oleh sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Ada terdapat di kalangan dosa-dosa itu tidak dapat
dihapuskannya, kecuali dengan cita-cita dan hasrat
seseorang itu untuk mencari nafkah hidup.”  (Riwayat
Muslim)

Sabdanya lagi:
“Siapa yang membelanjakan untuk dirinya sendiri,
supaya badannya sihat, maka perbelanjaan itu adalah
sedekah. Begitulah juga siapa yang memberi saraan
terhadap isteri dan anaknya dan ahli rumahnya maka
semua dikatakan sedekah)”   (Riwayat Ahmad)

Seperkara lagi yang perlu dijelaskan di sini ialah
sifat sabar. Kita seringkali menyuruh para isteri
bersabar dalam menghadapi masalah berumahtangga.
Isteri perlu bersabar terhadap kenakalan anak-anak,
sabar terhadap suami yang tidak bertanggungjawab dan
sabar dalam segala hal yang lain.

Sifat penting ini juga perlu dihayati oleh para suami
sebagai pemimpin di dalam rumahtangga. Si suami perlu
sabar menghadapi kerenah isteri yang seringkali
tindakan atau tuturkatanya menyakitkan hati. Sebagai
seorang suami tidak boleh menyelesaikan sifat isteri
begitu dengan perasaan emosional yang tidak menentu.
Sebaliknya memberi nasihat yang baik dan penuh kasih
sayang. Mungkin teguran si suami itu hari ini tidak
dapat diterimanya, insyaAllah di hari-hari akan datang
dia dapat berubah.

Misal kata, si isteri itu tidak dapat mengubah
perangainya maka si suami perlu bertindak supaya tidak
menjejaskan masa depannya, anak-anak dan
rumahtangganya. Sekalipun si suami terpaksa
menceraikannya, setelah syarat-syarat dibolehkan oleh
syariat maka si suami perlu memastikan kehidupan
anak-anak dan isteri itu tidak terabai dan terbiar.

Kerana itulah kepimpinan serta kematangan para suami
itu sangat penting dalam menerajui sebuah rumahtangga.
Andaikata kepimpinan itu pincang maka keadilan dan
kebahagiaan tidak wujud. Bila sebuah institusi
rumahtangga tidak melambangkan adanya keadilan dan
kebahagiaan maka ianya juga membayangkan tidak akan
wujud juga situasi mayarakat yang adil dan bahagia.

Oleh itu. suami mahupun isteri mempunyai tanggungjawab
yang besar dan berat dalam usaha untuk menentukan
model rumahtangga yang beriman hingga terserlah dalam
kehidupan masyarakat yang turut sama menjadi teladan
kepada ummah yang lain.
 


 
 

BERAKHLAK DALAM MENDIDIK ISTERI

Sebuah rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang
dikendalikan mengikut nilai-nilai yang dikehendaki
oleh Allah swt. Tidak boleh dikatakan rumahtangga
sekiranya sesebuah rumahtangga itu tidak dapat diatur
dan disusun mengikut apa yang dikehendaki Allah
walaupun keadaan rumahtangga itu nampaknya tenang dan
aman.

Dalam hal ini, kebijaksanaan suami dalam mengendalikan
rumahtangga menjadi faktor penting untuk mencapai
tujuan itu. Perkara yang utama yang patut dilakukan
oleh suami ialah berakhlak dengan isterinya.

Maksud berakhlak di sini ialah si suami mestilah
seorang penyabar dalam mendidik isterinya. Dalam
ertikata yang lain si suami mestilah sanggup
menghadapi derita dan sengsara disebabkan kerenah
isterinya. Ini adalah kerana kaum perempuan itu
dijadikan oleh Allah sebagai makhluk yang lemah.
Terutamanya, akal fikiran mereka adalah pendek dan
sebab itulah mereka bertindak gopoh dan mudah
melenting.

Oleh yang demikian ketika isteri marah, suami kenalah
menaruh perasaan belas kasihan dengan mendiamkan diri
dan bersabar. Biarkan dia bercakap apa sahaja kerana
apabila kehabisan modal untuk bercakap dia akan diam.
Jangan dilawan cakapnya kerana akan lebih banyaklah
modal percakapannya. Jangan pula lari meninggalkannya
kerana kalau lari, apabila suami balik semula, si
isteri akan sambung balik percakapannya. Tunggu dan
diam sampai si isteri berhenti bercakap. Lepas itu
kalau si suami hendak bercakap pun sudah boleh.

Sebenarnya itulah rahsia yang ada pada seorang isteri,
apabila telah habis melepaskan apa yang hendak
dicakapnya, dia akan tenang kembali kerana seperti
yang dikatakan, fikirannya adalah di atas lidah
sahaja. Sebab itulah, kalau si suami tidak melawan
cakap-cakap isteri, rumahtangga akan lebih selamat.
Pokoknya si suami hendaklah sabar banyak-banyak dan
sanggup menanggung kesakitan itu.

Tentang kaum perempuan ini kurang akal atau
fikirannya, Rasulullah saw ada bersabda yang
bermaksud:

“Kurang akal fikiran perempuan ini Tuhan jadikan
begitu.”

Sebab itulah, Allah swt menghendaki dua saksi orang
perempuan untuk menyamai satu saksi kaum lelaki. Atas
dasar inilah, para suami diseru oleh Allah swt di
dalam Al Quran dengan firman yang bermaksud:

“Hendaklah suami-suami bergaul dengan isteri-isteri
itu dengan sebaik-baiknya.”

Rasulullah saw ada menyatakan bahawa barangsiapa yang
sanggup menahan penderitaan atau sabar di atas
kejahatan serta perangai isteri mereka Allah swt akan
memberi mereka pahala sebagaimana pahala bagi Nabi
Ayub.

Menurut sejarah Rasulullah saw adalah orang yang
paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.
Beliau dapat menahan segala kemarahan terhadap
isterinya yang kadang-kadang membuat ragam juga. Sebab
itulah sabda Rasulullah saw yang maksudnya:

“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik dengan
isterinya. Aku adalah orang yang paling baik dengan
isteriku.”

Dalam satu peristiwa, Siti Aisyah telah memarahi
Rasulullah. Kata Siti Aisyah kepada beliau, “Engkaukah
orang yang mengaku Nabi?” Nabi hanya senyum sahaja.
Kemudian Rasulullah berkata, “Aku tahu, kalau engkau
marah kepada aku, kau cakaplah begini, “Demi Allah
Tuhan Ibrahim.” Kalau engkau gembira dengan aku, kau
katalah “Demi Tuhan Muhammad.” Jawab Aisyah, “Betul
kata engkau itu. Masa aku marah, aku tidak sebut nama
engkau.”

Di masa lain pula Siti Aisyah telah menolak Rasulullah
saw dari belakang hingga beliau hampir jatuh. Emak
Siti Aisyah ternampak perangai Aisyah lalu ditamparnya
muka Aisyah. Kemudian berkata Rasulullah saw,
“Biarkanlah dia begitu. Sebenarnya dia telah banyak
berbuat kepada aku, lebih dari itu lagi.”

Sewajarlah para suami mengambil iktibar daripada
banyak ragamnya isteri-isteri Rasulullah saw.
Sebenarnya bukan Siti Aisyah sahaja yang membuat
karenah malah isteri-isteri Rasulullah yang lain juga.
Tetapi Rasulullah boleh hadapi semuanya dengan senyum
sahaja.

Kalau isteri Rasulullah bertaraf Ummahatul Mukminin
itu pun ada juga ragamnya dan wanita-wanita solehah di
zaman Rasulullah yang mendapat didikan langsung dari
Rasulullah itu pun banyak ragamnya, apa lagilah
wanita-wanita dan isteri-isteri di zaman yang telah
jauh dari zaman Rasulullah ini.

Sebenarnya Allah swt jadikan isteri-isteri Rasulullah
demikian ragamnya supaya dapat menjadi contoh kepada
umat Nabi Muhammad yang kemudian ini tentang akhlak
Rasulullah saw bila berhadapan dengan
isteri-isterinya.

Kalaulah Allah jadikan isteri Rasulullah itu baik
semuanya, jadi tidak ada contohlah para suami tentang
bagaimana sikap yang patut dilakukan ketika isteri
meragam untuk mengekalkan kebahagiaan rumahtangga.
Sebab itulah, bila Allah jadikan Siti Aisyah dan
isteri-isteri Raulullah begitu untuk menjadi contoh
dan dapatlah diambil teladan darinya. Yang demikian,
bolehlah si suami memujuk hati dengan mengatakan,
“Sedangkan Rasulullah tidak marah-marah, sepatutnya
aku pun bagitu juga.”

Lagipun, banyak ragam ini tidak mencacatkan kesolehan
wanita. Sebab itu, para suami jangan lekas naik radang
dan menuduh isteri nusyuz, engkar dan sebagainya.
Banyak ragam tidak menjadikan isteri nusyuz. Cuma
ketika itu isteri sedang naik angin, biarkan sahaja
sehingga angin itu sejuk. Nanti akan baiklah dia.
Sebab itulah para suami dikehendaki banyak bersabar
dalam mendidik isterinya.

Si suami bukan sahaja mesti bersabar dengan kelakuan
isterinya malah disuruh juga oleh Allah supaya
bergurau-gurau dan bermain-main dengan isterinya. nabi
juga menyuruh para suami bermesra dengan bergelak
ketawa bersenda-senda dengan isteri. Janganlah
suami-suami sentiasa bersikap terlalu serius dengan
para isteri untuk mempertahankan kehebatan. Kalau
sesama lelaki bolehlah menjaga kehebatan masing-masing
dan tidak digalakkan selalu sangat bergurau sesama
lelaki. Tetapi dengan isteri sepatutnya si suami
mestilah banyak bergurau.

Malah Rasulullah saw sendiri amat suka bersenda gurau
dengan isterinya, hinggakan semasa Rasulullah bergurau
dengan isterinya, dia sanggup menurunkan darjatnya
seperti seorang perempuan. Ertinya, Rasulullah turut
bergurau macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir
menyindir, cubit mencubit dan sebagainya.

Pernah dalam satu gurauannya dengan Siti Aisyah
mengajak isterinya itu berlari-lari. Sedangkan ketika
itu Siti Aisyah muda belia berumur 16 tahun. Sedangkan
Rasulullah sudah berumur 60 tahun, tapi Rasulullah
tetap lakukan juga kerana hendak menghibur-hiburkan
hati isterinya. Walaupun begitu, apabila beliau
berlumba lari dengan Siti Aisyah, Rasulullah tetap
menang sebab Rasulullah tetap menang sebab Raulullah
juga adalah ahli sukan yang pantas disebabkan beliau
sentiasa riadah dengan menunggang kuda, bermain pedang
dan lain-lain senjata.

Justeru itu para suami eloklah memperbanyakkan gurau
senda dengan isteri masing-masing dan eloklah sekali
sekala mengajak isteri berlumba-lumba dan sebagainya.
Begitu juga dalam soal masak-memasak dan mengemas
rumah, suami hendaklah membuat kerja tersebut
sebagaimana telah dilakukan oleh Rasulullah saw.
Sesungguhnya sunnah nabi itu adalah ikutan yang paling
baik.

Suami yang baik ialah suami yang memberi contoh
tauladan dalam mendidik isteri. Jadikan masa yang
terluang atau masa rehat itu dipenuhi dengan
aktiviti-aktiviti yang memberi faedah, bukan dengan
aktiviti-aktiviti seperti berbual-bual kosong di
kedai-kedai kopi, di tempat-tempat maksiat dan
sebagainya. Begitu juga dengan aktiviti memancing atau
bersukan dan lain-lain yang kadang-kadang sampai
tertinggal ibadah sembahyang.

Di sini saya ingin menyentuh sedikit tentang ibadah
sembahyang di surau-suaru atau di masjid-masjid. Hari
ini, baik di surau-surau atau di masjid-masjid sudah
kurang dikunjungi oleh umat Islam untuk bersembahyang
jemaah atau mendengar kuliah agama. Apa yang
menyedihkan, ada di antara orang-orang yang
rumah-rumahnya berhampiran dengan masjid atau
surau-surau pun tidak terlangkah oleh kaki untuk
mengerjakan ibadah sembahyang berjemaah atau mendengar
kuliah agama.

Ada di setengah-setengah tempat sampai imam sembahyang
yang dilantik pun jarang sembahyang berjemaah, ini
tidak termasuk lagi ahli jawatan kuasa masjid atau
surau yang tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberi
contoh kepada makmum-makmun yang lain.
 


 
 

NUSYUZ: BUKAN ISTERI SAHAJA

Nusyuz dari segi bahasa membawa makna derhaka. Dalam
konteks perhubungan di antara suami isteri, nusyuz
memberi erti kebencian salah seorang isteri atau suami
terhadap yang lain, samada isteri bencikan suami atau
suami bencikan isteri atau boleh jadi kedua-duanya
sekali benci membenci antara satu sama lain.

Berdasarkan penggunaan bahasa, digunakan perkataan
nasyaza yang bererti meninggikan atau melebihi.
Perkataan ini dipadankan pula dalam perhubungan suami
isteri yang mana isteri selalu meninggi melebihi
suami. Maka keadaan perempuan yang begini dikatakan
nusyuz iaitu telah menderhakai suaminya. Lazimnya
apabila nusyuz berlaku, rumahtangga juga akan bergolak
dan bergelora.

Perkara nusyuz juga boleh berlaku kepada seorang
suami. Seorang isteri yang nusyuz, disyaratkan untuk
memperbaiki keadaannya yang nusyuz itu. Bagaimanakah
pula dengan nusyuz seorang suami, bila dan
bagaimanakah penyelesaiannya?

Nusyuz boleh terjadi pada suami disebabkan oleh
dirinya sendiri. Ini terjadi kerana sifat dan
perangainya yang memang semulajadinya buruk, zalim dan
tidak berperikemanusiaan serta tidak memahami langsung
konsep kekeluargaan atau kurang faham dengan hakikat
kefahaman yang sebenarnya iaitu tanggungjawab nafkah
lahir dan batin sepertimana huraian saya dalam
siri-siri artikel yang lepas.

Banyak terdapat di hari ini suami yang berhidung
belang walaupun sudah beranak pinak dan beristeri,
tetapi masih lagi mencari peluang dan kebebasan tidak
terbatas di luar rumah tanpa pengetahuan isterinya. Si
suami mempunyai perempuan simpanan sehingga melupakan
tanggungjawab serta kewajipan terhadap keluarganya
yang mana itu adalah anugerah dan amanah dari Allah
kepadanya.

Hatinya sedikitpun tidak merasa gembira berada di
rumah malah sentiasa gelisah walaupun si isteri telah
memberi sepunuh kasih sayang dan ketaatan terhadapnya.
Isterinya dipandang buruk dan hina serta tidak berguna
lagi untuk dirinya.

Suami yang begini akan selalu menghabiskan masanya di
luar. Dia akan pulang jauh malam dengan berbagai-bagai
alasan yang mana semuanya itu untuk membohongi
isterinya sahaja.

Nusyuz seorang isteri terhadap suami ialah menderhakai
perintah suami, engkar dalam tanggungjawabnya, tidak
melayan suaminya, bermasam muka, keluar tanpa izin
atau sebagainya. Nusyuz seorang suami pula ialah
bersikap dingin terhadap isteri tanpa sebab. Isterinya
tidak menyakitkan hatinya ataupun engkar. Tetapi itu
adalah kerana sikap buruknya sendiri. Sedangkan
isterinya itu merupakan seorang isteri yang solehah.

Suami yang nusyuz tidak akan menjalankan
tanggungjawabnya dengan sempurna. Dia akan bersikap
ganas dan zalim, tidak menghiraukan langsung nafkah
lahir  dan batin isterinya.

Suami juga boleh dikatakan nusyuz andainya dia gemar
menyusahkan isterinya dengan memaksanya melakukan
sesuatu yang di luar kemampuannya seperti kerja-kerja
berat yang pada lumrahnya memang tidak terdaya
disempurnakan oleh seorang wanita. Dia juga bermasam
muka dan tidak mahu berbicara tanpa sebab dan
kesalahan dari pihak isteri.

Ada juga sebab-sebab luaran yang mendorong suami
berlaku nusyuz. Antaranya ialah kesan dari pergaulan
yang penuh dengan khayalan dengan perempuan pelacur
atau perempuan simpanan. Di samping itu juga dadah,
arak dan judi adalah antara faktor penyebab yang sama
bahayanya dengan perempuan lacur dan perempuan
simpanan. Dalam surah Maidah ayat 91 Allah telah
berfirman yang maksudnya:

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
dengan sebab arak dan judi.”

Sesungguhnya atas apa sebab sekalipun, syariat Islam
tidak pernah membenarkan seorang suami itu berlaku
nusyuz. Ini kerana isteri adalah amanah Allah terhadap
seorang suami itu. Suami bertanggungjawab untuk
memelihara, menjaga, melindungi isterinya. Malah
seorang suami bertanggungjawab untuk mendidik
isterinya ke jalan kebenaran sekiranya isterinya itu
telah berlaku nusyuz kerana seorang isteri tidak
diwajibkan untuk mengawal dan menjaga atau memperbaiki
keadaan suaminya kerana suami adalah pemimpin
sedangkan isteri adalah orang yang dipimpin.

Justru itu di manakah logiknya di akal apabila orang
yang lemah hendak memikul orang yang kuat kecuali
benar-benar terdesak. Maka itu, suami yang berlaku
nusyuz ini merupakan petanda yang kurang baik kerana
ianya mengancam keharmonian rumahtangga.

Maka Allah telah menggariskan cara-cara untuk
mengatasinya iaitu kedua suami isteri hendaklah
berbincang dan berdamai. Elakkan dari berlakunya
perceraiaan. Dalam hal ini Allah telah berfirman yang
maksudnya:

“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari
suaminya nusyuz atau tidak melayaninya, maka tidaklah
salah bagi mereka (suami isteri itu) untuk berdamai
kerana perdamaian itu lebih baik dari bercerai……”

Demikianlah yang telah digariskan oleh Allah. Apabila
berlakunya perkara nusyuz seorang suami ini maka
seharusnya perkara pertama yang dilakukan ialah dengan
berbincang secara elok dan tenang. Semoga dengan itu
akan dapat dicapai suatu kata sepakat tentang apakah
yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah itu.
Perceraian bukanlah satu jalan yang terbaik.

Terdapat segolongan pasangan suami isteri yang mudah
sekali membuat keputusan untuk bercerai. Dalam Al
Quran Allah ada berfirman bahawa talak adalah perkara
halal yang paling dibenci Allah. Seharusnya apabila
berhadapan dengan masalah begitu, carilah jalan
penyelesaian yang baik.

Namun begitu, seandainya berbagai cara telah
dilakukan, berbincang sudah, tetapi retah sudahpun
belah, kaca sudahpun berkecai dan penceraian pula
dirasakan sebagai jalan penyelesaian yang paling baik,
pilihlah jalan itu. Namun haruslah diambil kira apakah
nasihat kadi. Dalam surah An Nisa’ ayat 130 Allah
telah berfirman dengan maksudnya:

“Dan, jika keduanya bercerai maka Allah akan cukupkan
keperluan masing-masing dari limpah kurnia-Nya dan
Allah amatlah luas limpah kurnianya lagi amat
bijaksana.”

Sesungguhnya kebahagiaan Rumahtangga itu hanyalah
terlahir dari kesefahaman dan kasih sayang yang
seimbang. Keselarasan dalam fikrah dan prinsip
merupakan sebuah keadaan yang perlu dititik beratkan
agar kestabilan rumahtangga dapat diujudkan.

Para suami haruslah menyingkap kembali lipatan sejarah
Rasulullah seorang suami yang amat menghargai
isteri-isteri baginda. Jika diteliti dan dicontohi
serta diamalkan, insyaAllah persoalan nusyuz tidak
akan timbul.

Ini adalah kerana masing-masing tahu tanggungjawab
masing-masing. Maka akan tersimpullah ikatan kasih
sayang yang diredhai Allah di atas rumahtangga. Semoga
dengan itu akan lahirlah pula pula generasi yang soleh
dan solehah. tetapi jika sebuah rumahtangga itu
dikemudikan oleh seorang juragan (suami) yang tidak
beriman, bagaimana pula awak-awaknya (anak isteri)
boleh terdiri di atas kebenaran.

Perlu ditegaskan lagi bahawa suami adalah tunggak
rumahtangga. Sekaligus ianya adalah penentu arah dan
haluan hidup keluarganya samada di dunia lebih-lebih
lagi di akhirat.
 


 
 

POLIGAMI: GELANGGANG PERCATURAN IMAN

Dalam masalah wanita lebih ramai daripada lelaki
dengan iman saja tidak dapat melegakan umat.
Membiarkannya bererti membuka seluas-luasnya
pintu-pintu “maksiat” dan menutup pintu-pintu
kebaikan.

Rasulullah saw ketika berlaku masalah wanita lebih
ramai dari lelaki – kerana peperangan banyak meragut
jiwa lelaki, kemudian Rasulullah menganjurkan pada
para sahabat berpoligami.

Kita hari ini sekalipun kekurangan lelaki bukanlah
kerana peperangan dan perempuan yang keseorangan itu
pula kebanyakannya bukannya janda, tapi masalahnya
sama saja. Kerana itu saya berani mengatakan sudah
sampai masanya poligami perlu diperjuangkan. Untuk ini
peranan perempuan sangat diperlukan.

Kalau ustaz-ustaz sanggup berjaga siang dan malam
untuk berdakwah ke sana ke mari yang mana Ustazah
tentu tidak mampu maka untuk poligami, Ustazah tentu
bersedia untuk dimadukan.

Ustaz dan Ustazah yang diharapkan rela menyambut baik
amalan poligami kerana hanya mereka – saya yakin –
dapat melaksanakan sesuai dengan kehendak Allah swt
dan Rasulullah saw. Orang lain tidak. Kenapa? Kerana
poligami bukanlah “medan” yang disiapkan untuk
percaturan “seks” oleh lelaki “buaya” dan perempuan
“bangkai”. Poligami juga bukan untuk orang yang
sekadar mampu mengadakan tanggungjawab untuk nafkah
zahir sahaja.

Peranan yang boleh dimainkan oleh wanita dalam usaha
melaksanakan poligami ialah mengizin dan membenarkan
suami mereka kahwin. Saya sangat faham bahawa meskipun
peranan ini meminta tenaga dan wang ringgit, tetapi
adalah berat dari itu semua.

Kalau ada lelaki yang sanggup berkorban masa, tenaga,
fikiran, wang ringgit dan harta benda dalam usaha
memperjuangkan Islam, tapi saya yakin tidak akan ada
seorang lelaki pun yang sanggup melihat isterinya
menduakan suami (kalau ini dibenarkan syariat).

Tapi itulah yang dituntut dari siisteri suatu tuntutan
yang saya andaikan seperti meragut sebahagian dari
nyawa dan kehidupan isteri itu sendiri. Manusia yang
paling dikasihi tempat bergantung hati dan bergantung
hidup mahu diminta serahkan pada orang lain?
Sesungguhnya memang berat.

Di sini keimanan, kehebatan dan kegagahan wanita dapat
dinilai kalau dia (wanita) dapat melawan fitrahnya
kerana tunduk dan patuh pada perintah Allah dan pada
kehendak suaminya. Jadi, sesungguhnya dia adalah lebih
baik dari 1000 orang lelaki yang tidak beriman.

Sebaliknya kalau dia biarkan nafsu menjadi hati
menentang poligami tanpa alasan yang dibenarkan
syarak, tamakkan kasih sayang suami atau bertindak
“boikot” suami dan melanggar peraturan syariat maka
imannya adalah di sangsikan. Dia mungkin jatuh kufur,
waliyazubillah.

Relakanlah suami kahwin. Sesungguhnya itu semua
pengorbanan yang besar malah mungkin yang terbesar
yang dapat diberikan oleh seorang perempuan. Kalau
manusia biasanya hanya sanggup mengorbankan masa,
tenaga dan wang ringgit maka wanita beriman sanggup
mengorbankan suaminya dan kalau itu diniatkan kerana
Allah.

Sesungguhnya wanita itu adalah luarbiasa dan di
akhirat pasti Allah mengangkat setinggi-tingginya
dengan diberikan berbagai-bagai nikmat yang tidak
mungkin diperolehi oleh wanita-wanita lain malah oleh
suaminya sendiri.

Kenapa tidak? Sedangkan di dunia dia telah
mengorbankan hidupnya demi menegakkan rasa
tanggungjawab dan rasa cintanya pada Allah. Dia telah
menyerahkan bahagiannya pada suami dan kaum sejenisnya
kerana mengharapkan kebahagiaannya di syurga.

Dia telah menjual dunia untuk akhiratnya. Alangkah
mulianya wanita ini dan alangkah tingginya
mertabatnya. Sebab itu tidak heran kalau Allah
sebariskan dia (wanita) dengan Nabi dan Rasul di
Padang mahsyar nanti. Untuknya adalah syurga yang
tertinggi.

Ibnu Mas’ud meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda:
“Tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan
agama, maka Allah masukkan dia ke dalam syurga lebih
dulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia
memuliakan suaminya di dunia maka dia mendapat pakaian
dan bau-bauan syurga untuk turun mengadap suaminya di
mahligainya.”

Mungkin kebanyakan wanita akan bertanya: “Apakah
baiknya poligami bagi pihak isteri? Atau kenapa Allah
benarkan perkara sepahit ini berlaku di kalangan
masyarakat manusia?

Allah swt dan Rasulullah saw tidak ada langsung
menetapkan hukum boleh menyiksa manusia lelaki dan
wanita. Allah dan Rasul menginginkan keselamatan dan
kebahagiaan seluruh manusia. Wajib kita sedar bahawa
hidup bukan saja di dunia, tapi hidup sebenar yang
lebih besar dan lebih bererti ialah di Akhirat.

Sebab itu disisi Allah dan RasulNya, kebahagiaan yang
utama untuk manusia ialah kebahagiaan hidup di
Akhirat. Untuk mengajak manusia supaya berlumba-lumba
memburu kebahagiaan di akhirat. Allah dan Rasul
mengajak manusia ini beriman, beribadah, berjuang,
berjihad, berkorban dan lain-lain yang sangat
bertentangan dengan nafsu dan syaitan.

Sesiapa yang berjaya menunaikan ini barulah dapat
menikmati kebahagiaan yang dijanjikan Allah dan Rasul.

Lelaki dan wanita adalah mahluk yang berbeza Allah
ciptakan lahir dan batin. Dan mereka berlainan peranan
dan kepentingannya. Sebab itu dalam merebut
kebahagiaan Dunia dan Akhirat – medan perjuangan
lelaki dan wanita turut berbeza.

Orang lelaki mempunyai peranan di luar rumahnya.
Wanita di dalam rumahnya. Lelaki menghadapi cabaran
luar yang ganas dan kejam sedangkan bagi wanita
medannya aman dan tenang di rumah.

Dengan keganasan dan kekejaman cabaran ujian yang
dihadapi oleh orang lelaki sebenarnya sebagai mendidik
jiwanya supaya lebih kuat bergantung dengan Allah
supaya bersih dari segala sifat Mazmumah.

Bila jiwa bersih dari sifat-sifat Mazmumah dan kuat
pula bergantung pada Allah maka tandanya dia telah
bertambah imannya. Iman adalah satu-satunya “pas” yang
dapat melepaskan manusia dari azab api neraka.

Apa halnya dengan wanita? Suasana dalam rumahtangga
agak lemah untuk mengajarnya mendekatkan dirinya
dengan Allah swt. Apalagi untuk membuang sifat
Mazmumah. Ini bukan saja melemahkan iman, tapi akan
turut mengurangkan ibadah mereka kepada Allah swt.
Kalau begitu mana syurga yang layak bagi mereka?

Jadi, Allah swt menyediakan satu “medan” yang layak
bagi mereka (wanita-wanita) iaitu “bermadu”. Wanita
yang menerima dan melaksanakan kehidupan bermadu ini
bererti telah merelakan dirnya memasuki satu
perjuangan yang sengit satu medan yang memaksa dia
melawan hawa nafsu, syaitan dan segala sifat-sifat
Mazmumah yang ada dihatinya.

Medan yang di dalamnya ada “iman” untuk yang berjaya
menempuhnya dan bagi mereka yang tidak memasukinya
(alam poligami) tidak ada peluang untuknya.

 Mungkin ada orang yang menganggap saya telah
mewajibkan poligami sedangkan hukum poligami adalah
harus saja. Saya jawab begini: “Dalam kontek membuang
sifat Mazmumah maka “bermadu” adalah kemuncak dari
segala bentuk mujahadah. Oleh itu sangat patut kalau
pun hanya harus saja.

Apa alasan kita untuk meringankan? Makan, minum, tidur
dan kahwin itu semuanya harus. Tapi kenapa kita
perjuangkan melebihi perjuangan mendirikan sembahyang
fardhu yang wajib?

Ada pula yang mendakwa, banyak ujian selain dari
poligami yang boleh mendatangkan iman dan membuang
Mazmumah seperti kemiskinan, kesakitan, kata nista
orang, kematian, kecacatan dan lain-lain.

Semua bentuk “mehnah” ini adalah latihan yang Allah
berikan buat mendidik hati. Saya tidak nafikan ini.
Tetapi untuk wanita ujian yang terbesar walau mereka
lulus pasti makin tinggilah darjat disisi Allah. Ujian
itu tidak lain tidak bukan ialah “poligami”.

Seperti anak-anak di dalam persekolahan mereka mesti
hadapi banyak ujian untuk meningkatkan pencapaian,
ujian penggal, ujian akhir tahun, peperiksaan SPM dan
yang terbesar kalau lulus layaklah mereka menjejakkan
kaki ke Universiti.

Bagi pelajar yang tidak mahu mengambil peperiksaan
tidaklah ada peluang baginya untuk memasuki Universiti
atau bagi mereka yang mengambil peperiksaan tetapi
gagal samalah nasibnya.

Begitulah keadaannya poligami. Wanita yang menolak
peluang meninggikan darjat di sisi Allah atau bagi
yang menempuhnya samada sengaja atau terpaksa, tapi
gagal bererti juga ia telah gagal menghampiri dirinya
dengan Allah swt.

Lebih malang nasibnya ialah dia makin jauh malah
tersisih dari rahmat Allah sekiranya menjadi penentang
atau penghasut orang lain agar jangan melakukannya
secara menyibarkan dakyah yang menakut-nakutkan orang
lain.

Dengan poligami seorang isteri terpaksa melepaskan
sedikit pergantungannya dengan suami. Terasa
berkurangan kasih dengan suami dan mula merasa
kelemahan dan kekurangan diri. Bagi yang insaf, inilah
ketikanya ia belajar bergantung hidup dan menyerahkan
diri kepada Allah swt. Dia mula mencari kasih sayang
Allah dan ia akan berusaha cukup dengan pujian dan
sanjungan Allah swt.

Cintanya pada dunia dan pada hidup jadi berkurangan
dan nafsunya dapat dipatahkannya, bisikan syaitan
diketepikan maka ia akan memperolehi kemerdekaan dan
kebahagiaan yang hakiki; Itulah iman.

Kemudian persaingan antara madu-madu disebabkan
kelebihan dan kekurangan masing-masing akan melatih
isteri-isteri membersihkan hati dari sifat-sifat
tamak, hasad dengki, sombong mementingkan diri sendiri
dan bakhil akan dapat dikikis dari jiwanya.

Sifat-sifat ini memang menonjol pada semua isteri yang
bermadu, tapi bagi yang beriman ia akan melawan
(mujahadah) dan tidak akan dilayan semua mazmumah itu.
Dia sanggup bertolak ansur, pemurah, memikirkan hak
orang lain, rendah diri dan lapang dada.

Mula-mula tidak semua dicapai tapi lama kelamaan
kerana tiap hari dididik jiwanya maka semua sifat
Mahmudah itu akan mengisi dan menghayati hati dan
hidupnya. Waktu ini ia sudah hampir dengan Allah dan
imannya pun sempurna.

Itulah harga dari pengorbanan berpoligami, suatu harga
yang tidak terbayar dengan mata benda dunia dan tidak
juga oleh mana-mana manusia dan dia akan dibayar
sendiri oleh Allah iaitu dengan diberinya syurga.

Bila seorang suami ingin berkahwin lagi, seringlah
kita dengar isteri akan membangkang dengan berbagai
alasan, diantaranya ialah:

1. Suami tidak boleh berlaku adil.
2. Keadaan ekonomi tidak mengizinkan
3. Hilang atau berkurangan kasih sayang isteri dan
anak-anak.
4. Poligami sebagai punca perceraian.

Sebenarnya alasan itu tidak timbul kalau si isteri
faham konsep dan perlaksanaan poligami menurut syariat
Islam. telah saya katakan di awal tadi bahawa poligami
ialah amalan orang yang beriman yang sempurna imannya,
pun yang benar-benar patuh melaksanakan cara hidup
yang telah ditetapkan oleh Islam. Lelaki atau wanita
kalau menepati syarat ini akan mendapati poligami
bukanlah satu beban yang berat dan susah, alasan tidak
adil tidak timbul sebab dengan iman seseorang lelaki
tidak akan berani melanggar peraturan poligami yang
telah ditetapkan oleh syariat. Dia lebih takut pada
hukuman Allah daripada mengikut perasaan dan nafsunya.
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan adapun orang yang takut di depan kebesaran
Tuhannya dan menahan diri dari hawa nafsu maka
sesungguhnya syurgalah tempat keindahannya.”
(An-Zi’at, 40-41).

Begitu pula seorang wanita yang beriman, dia akan
sentiasa menjaga batas-batas poligami sebagaimana yang
dikehendaki Islam, ia akan membantu suaminya, taat dan
adil menjalankan perintah Allah swt. Iman menjadikan
ia bimbang kalau-kalau kerana dia suaminya tidak dapat
lurus melaku adil.

Lebih hebat dari itu wanita yang beriman senantiasa
bersedia memaaf dan meredhakan suaminya sekira berlaku
kesilapan dan ketelanjuran ketika menunaikan
tanggungjawab terhadap isteri-isterinya, sebab wanita
yang beriman cukup faham untuk adil-seadil-adilnya
adalah suatu yang amat sukar. Rasulullah saw sendiri
mengakui perkara ini dengan keluhnya; Wahai Tuhan,
telah aku tunaikan hak-hak terhadap isteri yang
terdaya olehku, selebihnya aku serahkan padaMu, kerana
ianya di luar kuasa keupayaanku.

Apa yang baginda maksudkan di luar kuasanya ialah
tentang kasih sayang, ianya sangat sukar malah
mustahil untuk disamakan. Kerana itu isteri harus
faham dan meredhakan keadaan itu, jangan pula timbul
irihati dan dendam kesumat pada orang lain. Ingatlah
firman Tuhan dalam surah An Nisa’ ayat 37 yang
bermaksud:

“Dan janganlah kamu irihati terhadap apa yang
dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak
dari sebahagian yang lain.”

Sekiranya terasa kekurangan diri ingatlah bahawa itu
adalah ujian dari Allah swt, hadapilah dengan sabar
dan tabah di samping doakan semoga Allah mengurniakan
sesuatu yang lebih baik. Dengan itu tidak akan timbul
masalah tidak adil dalam rumahtangga, sebab isteri
telah sedia meredhakan suaminya sebagaimana anak-anak
meredhakan bapanya atas lebih kurang yang terbuat si
bapa antara mereka.

Tentang masalah kewangan yang ditimbulkan saya rasa ia
tidaklah begitu serius. Sebab nafkah yang dituntut
dari suami ialah mencukupkan makanan, tempat tinggal
dan pakaian harian, bukan untuk mewah dengan rumah
besar yang berisi perabut-perabut moden yang membazir,
makan sedap hingga berlebih-lebihan dan pakaian yang
indah bersusun di dalam almari. Wanita yang beriman
tidak akan bersifat materialistik (gila benda dan gila
dunia), dia bangga dengan kesederhanaan ia akan
sanggup berkorban untuk suaminya, soal ekonomi tidak
pernah timbul alasan untuk menyempit dan menyusahkan
kebebasan hidup dan perjuangan suaminya.

Seterusnya ada orang berkata; poligami ialah punca
keretakkan dan penceraian suami isteri. Saya terpaksa
menolak kenyataan ini kerana memandangkan peratus
penceraian yang meninggi hari ini bukanlah disebabkan
oleh poligami. Ya, ada isteri yang minta diceraikan
setelah suaminya berkahwin, tapi bukanlah poligami
puncanya, ada sebab lain yang lebih besar dan penting,
kerananya beratus-ratus rumahtangga retak dan pecah
hari ini. Faktur itu tidak lain ialah manusia hari ini
sangat lemah iman serta jahil pula tentang tugas dan
hak masing-masing. Isteri tidak tahu tugas dan batas
seorang isteri, suami pula jahil tentang tanggungjawab
dan haknya sebagai suami.

Kelemahan iman dan kejahilan ini akan bertindak
memecahkan ikatan perkahwinan bila ujian-ujian
perkahwinan mendatang mereka, maka berlakulah
penceraian di antara suami isteri samada poligami atau
tidak. Sebab itu Islam awal-awal lagi telah menetapkan
supaya pemilihan jodoh mestilah berdasar pada agama.
Hanya orang yang mengamalkan ajaran Islam dapat
menyelamatkan suami isteri dari bertindak liar
mengikut nafsu syaitan tanpa agama usah tunggu
poligami masalah yang kecil-kecil pun sudah cukup
untuk mengeroh dan mengocak ketenangan rumahtangga.
Tanpa penghayatan agama, suami isteri yang berkahwin
dasar ‘cinta sama cinta’ pun sering kita dengar
bergaduh dan bercerai setelah setahun saja mereka
kahwin. Tanpa penghayatan agama, seseorang suami akan
terasa amat susah untuk mengawal isterinya yang
seorang, apalagi kalau 2, 3 atau 4. Begitu juga tanpa
penghayatan agama, si isteri sangat susah untuk
mempercayai suaminya, sekalipun suami itu pernah
bersumpah tidak mendua, mentigakan isterinya.

Demikianlah penghayatan agama begitu penting, tanpa
penghayatan agama, kemewahan, kebendaan saja tidak
menjamin kekalnya kebahagiaan, persatuan rumahtangga
untuk mengimbang dan menyelamatkan kehidupan manusia,
poligami atau tidak hanya akan selamat dengan
penghayatan agama dan iman sebagai satu-satunya sumber
kebaikan manusia adalah juga sebagai penentu kepada
kejayaan seorang suami atau isteri melaksanakan
poligami.

Manusia yang hatinya gelap pekat, tandus dari iman,
gila dunia tidak lansung cinta pada kehidupan akhirat,
bukan saja akan gagal kalau poligami tapi akan terus
merasa poligami adalah satu penyeksaan, peniayaannya
dan lebih tepat mereka istilahkan sebagai ‘neraka
dunia’.

Saya berani mengatakan orang begini adalah orang yang
berada jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah swt.
Kalau pun dia tidak dimadukan, jiwanya tidak akan
tenang dan bahagia. Dia akan sentiasa dibuai oleh
nafsu dan syaitan dalam keraguan dan kegelisahan yang
tidak menentu, ujian hidup yang sedikit sudah
membingungkan dia, apalagi ujian-ujian poligami dan
lain-lain akan bertambahlah penderitaan dan
kedurhakaannya. Wanita begini akan selalu menyusahkan
suami menjaganya, lebih susah menjaga lembu sekandang.

Sebagai penutup artikel ini saya tegaskan sekali lagi
bahawa Islam adalah tetap mulia dan tinggi kerana
mengharuskan poligami. Asas kejayaan poligami adalah
iman manakala matlamatnya adalah untuk mencari
keradaan Allah swt.

Sekiranya ada masalah yang timbul dari poligami,
janganlah poligami yang disalahkan tapi salahkan diri
sendiri yang kurang beriman, pun yang tidak berusaha
untuk mendekatkan diri dengan Allah swt. Allah swt
berfirman yang maksudnya:

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu
sehingga mereka berusaha mengubah apa yang ada dalam
diri mereka (yakni hati mereka).”

Sekian semoga Allah swt memberi petunjuk dan pimpinan
untuk mencari keredhaannya. Amin…..
 
 


 


 


1