Dibawah ini diabadikan 4 artikel bertajuk:
 

1.  DETIK-DETIK HIJRAH RASULULLAH
2.  YANG TERSIRAT DARI TINDAKAN RASULULLAH
3.  UZLAH JUGA SUATU HIJRAH
4.  TAKKAN KUTINGGALKAN SINAR YANG INDAH
 


 

DETIK-DETIK HIJRAH RASULULLAH
 

Setelah musim haji selesai, Rasulullah sempat tinggal
di kota Mekah hingga bulan safar. Desas-desus yang
mengatakan bahawa baginda akan berhijrah ke kota
Yatsrib telah diketahui oleh kaum musyrikin. Mereka
mula mengadakan perundingan bagaimana caranya untuk
menghalang Rasulullah dari berhijrah.

Akhirnya setelah berbagai pandangan dan cadangan
diajukan, akhirnya mereka memutuskan Rasulullah mesti
dibunuh. Walau bagaimana rancangan jahat kafir Quraisy
telah dikhabarkan oleh Allah kepada baginda melalui
Jibril. Rasulullah diperintahkan oleh Allah supaya
berhijrah ke Yatsrib.

Dengan tekad untuk melaksanakan perintah wahyu Ilahi
yang baru diterimanya, baginda segera mengatur
persiapan-persiapan yang diperlukan. Seketika itu
juga, walaupun di tengah panas yang terik, Rasulullah
berangkat menuju ke rumah sahabat karib baginda, Abu
Bakar As Siddiq dengan maksud menyampaikan perintah
hijrah itu.

Tatkala Rasulullah masuk ke rumah Abu Bakar, maka
kedua puteri Abu Bakar, iaitu Siti Asma’ dan Siti
Aisyah yang mula-mula melihat kedatangan baginda,
sudah merasakan tentu ada hal luar biasa yang hendak
disampaikan. Jika tidak masakan baginda datang di
waktu-waktu tengahari begini.

Rasulullah, kemudiannya memberitahu Abu Bakar
sesungguhnya Allah telah mengizinkan kepadanya untuk
berhijrah. Ketika itu juga airmata Abu Bakar menitis
membasahi mukanya. Ia menangis kerana kegembiraan yang
tidak terhingga. Sebelum ini Abu Bakar memang telah
menyusulkan kepada Rasulullah supaya mereka berhijrah
disebabkan keadaan yang begitu menekan dari masa ke
semasa. Tetapi Rasulullah selalu mengatakan belum ada
petunjuk dari Allah. Walaupun begitu, sebagai seorang
yang mempunyai pandangan jauh, maka sejak lama dulu
Abu Bakar telah mengatur persiapan-persiapan yang
diperlukan untuk hijrah. Cuma menunggu detik dan
saatnya saja lagi.

Setelah segala persiapan yang diperlukan siap diatur,
Rasulullah mengarahkan kepada Sayidina Ali supaya
tidur di kamar baginda. Tujuannya ialah supaya
pemuda-pemuda Musyrikin menyangka baginda masih tidur.
Di malam itulah juga iaitu malam Jumaat, bulan
RabiulAwal, tahun ke 13, setelah diutuskan menjadi
Rasul, pada 28 Jun 622 M, Rasulullah bersama dengan
Abu Bakar meninggalkan kota Mekah, tanahair tempat
tumpah darah mereka, bukan kerana takut, tapi atas
matlamat untuk menyelamatkan perjuangan Islam atas
petunjuk dan perintah Allah.

Keesokan harinya, ketika Ali bangun dari tidur,
pemuda-pemuda Quraisy yang diperintahkan mengepung
rumah Rasulullah mendapati yang ada di rumah itu hanya
Ali, bukannya Rasulullah. Dengan rasa hampa mereka
kembali dengan tekad untuk terus mencari Rasulullah
walau di mana juga baginda berada. Rasulullah saw dan
Abu Bakar meneruskan perjalanan mereka menuju
Pergunungan Tsaur yang jaraknya kira-kira setengah jam
saja berjalan kaki dari luar kota Mekah. Rasulullah
sendiri tidak memakai kasut hingga menyebabkan
luka-luka kecil dikakinya. Abu Bakar bertindak
melebihi seorang pengawal biasa. Sebentar beliau
berada di hadapan baginda dan sebentar kemudian berada
di belakang.

Menjelang tengah malam, sampailah mereka di gua Tsur,
yang terletak di lereng pergunungan. Abu Bakar-lah
yang membuka pintu gua dan kemudiannya masuk ke dalam
untuk membersihkannya terlebih dahulu. Ketika itulah
tangan Abu Bakar digigit oleh seekor binatang bisa,
tetapi hal itu tidak diceritakan kepada Rasulullah.
Sehinggalah apabila Rasulullah berbaring di pangkuan
Abu Bakar dan merasai titisan air mata beliau kerana
menanggung kesakitan, barulah Abu Bakar menceritakan
hal yang sebenarnya. Rasulullah lantas berdoa kepada
Allah dan seketika itu juga hilanglah bisa dan bengkak
pada tangan Abu Bakar.

Pada hari kedua, serombongan musuh yang diketuai oleh
Abu Jahal telah sampai di sekitar gua Tsaur tempat
persembunyian Rasulullah dan Abu Bkar. Sesama mereka
terjadi pertikaian, ada yang ingin masuk dan ada yang
enggan kerana memandangkan keadaan pintu gua yang
diliputi sarang labah-labah dan sarang burung
membayangkan tidak logik ada manusia yang baru masuk
ke dalamnya. Akhirnya mereka menerima keputusan dari
Umaiyah bin Khalaf yang menggesa supaya mereka jangan
membuang masa di pintu gua itu, malah lebih baik
mereka pergi saja ke tempat lain untuk mencari
Rasulullah.

Perbincangan antara sesama musuh-musuh yang
berlangsung di hadapan pintu gua itu jelas dapat
didengar oleh Rasulullah dan Abu Bakar. Jantung Abu
bakar sudah berdebar-debar kerana khuatir kalau-kalau
musuh dapat mengesan yang mereka berada di dalam gua.
Debar jantung Abu Bakar segera diketahui oleh
Rasulullah. Dalam suara perlahan, baginda membisikkan
di telinga Abu Bakar bahawa sebenarnya mereka berdua
di gua itu tetapi bertiga iaitu dengan Allah swt.

Setelah dirasakan ancaman musuh sudah agak reda, maka
pada hari yang keempat, Rasulullah dan Abu Bakar
meninggalkan gua Tsaur untuk meneruskan perjalanan
menuju Yatsrib. Rasulullah mengendarai unta yang
bernama “Al Quswa” berdua dengan Abdullah bin Arqat
dan seekor lagi dinaiki oleh Abu Bakar dengan Amir
Fuhairah. Abdullah bin Arqat-lah yang bertindak
sebagai petunjuk jalan kerana dia memang arif dengan
jalan-jalan yang sepi dan aman.

Di pertengahan jalan, ketika mereka sedang menyusur
melalui tepi Laut Merah, tiba-tiba Abu Bakar menyedari
Surakah bin Malik iaitu orang upahan kafir Quraisy
yang ditugaskan untuk membunuh Rasulullah sedang
mengejar mereka dari belakang. Abu Bakar segera
memberitahu Rasulullah. Di wajah baginda sedikit pun
tidak membayangkan rasa cemas dan takut. tetapi Abu
Bakar kelihatan agak cemas. Sekali lagi Rasulullah
menenangkan Abu Bakar, bahawa Allah sentiasa bersama
dan akan membantu mereka.

Dengan pertolongan Allah, kuda dan Surakah sendiri
beberapa kali tersungkur ke bumi hingga menimbulkan
rasa cemas dan bimbang akan keselamatan dirinya, maka
dia pun menyeru kepada Rasulullah agar dimaafkan
segala kesalahannya dan dia juga berjanji akan
memberikan apa saja keperluan yang dihajati oleh
baginda. Namun Rasulullah menolak tawaran itu dan
Surakah dibebaskan begitu saja. Rasulullah kemudiannya
meneruskan perjalanan ke Yatsrib.

Rasulullah dan rombongan akhirnya sampai ke kota Quba,
satu tempat berhampiran dengan Yatsrib. Di Quba-lah
batu asas pertama diletakkan oleh Rasulullah bagi
membangunkan masjid pertama didirikan dalam sejarah
Islam.

Kini tibalah saat yang paling bersejarah bagi penduduk
kota Madinah. Rasulullah dan rombongannya telah tiba
di kota Yatsrib. Kedatangan baginda dialu-alukan
dengan selawat dan lagu selamat datang. Inilah satu
keramaian yang tidak pernah wujud sebelum dan selepas
itu.

Penduduk Yatsrib masing-masing mengharapkan Rasulullah
akan singgah di tempat mereka sebagai tamu kehormat.
Walau bagaimanapun demi untuk menjaga hati mereka,
maka Rasulullah hanya membiarkan saja ke mana arah
untanya pergi maka disitulah nanti baginda akan
singgah.

Akhirnya unta baginda berhenti di suatu lorong tempat
tinggal kaum Bani Najjar. Di situlah Rasulullah mula
menjejakkan kakinya di bumi Madinah. Di situ baginda
menjadi tamu di rumah Abu Ayub Al Ansari. Sejak itulah
kota Yatsrib ditukar namanya oleh penduduknya sendiri
menjadi Madinatun Nabi, yakni Kota Utusan Allah dan
kemudian disebut Madinatul Munawwarah iaitu kota yang
memancarkan cahaya.
 


 

YANG TERSIRAT DARI TINDAKAN RASULULLAH

Nabi Muhammad saw ialah seorang pemimpin dan pejuang
yang pintar dan berjiwa besar serta berpandangan jauh.
Seorang pemimpin yang berjiwa besar dan berpandangan
jauh sentiasa berfikir dan menyusun rancangan dan
strategi perjuangannya, untuk menguat dan
mengembangkan Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Berbagai-bagai cara, taktik dan tiknik telah digunakan
oleh Nabi Muhammad saw termasuklah teknik berhijrah di
samping hijrah itu kemudian diperintahkan oleh Allah.
Tetapi sebelum itu baginda atas hemahnya selaku
seorang pemimpin ummah, telah menganjurkan para
sahabat berhijrah ke Habsyah, yatsrib dan beberapa
buah negara yang berdekatan dengan Mekah.

Melihatkan usaha untuk menyebarkan dan menyampaikan
risalah Islamiah di bumi Mekah terganggu maka
terlintas di hati baginda untuk mencari bumi lain yang
diharapkan di sana nanti ada umat yang menerima Islam.

Baginda pun menyusun strategi hijrah, di mana para
sahabat diarahkan lebih dahulu melakukan hijrah ke
beberapa buah negara yang tersebut di atas. Sabda
Rasulullah saw kepada para sahabatnya:

“Pergilah kamu ke merata tempat (berpecah-pecah) di
muka bumi ini, nanti kelak Allah akan mengumpulkan
kamu semula.” Para sahabat bertanya, “ke mana kami
handak tuju?” Rasulullah pun mengisyaratkan dengan
tangannya menunjukkan ke arah Habsyah.”  Rujuk Syarah
Al Muwaahibbul Laduniayah, jld. 1 halaman 270.

Peristiwa penghijrahan umat Islam ke negara-negara
yang berdekatan di sekeliling bumi Mekah telah
diketahui oleh orang kafir Quraisy. Mereka telah mula
bimbang dengan perkembangan baru taktik dan strategi
Rasulullah saw itu. lalu mereka berusaha menyekat
dengan  berbagai-bagai cara.

Kalau dilihat pada logiknya, untuk apa kaum kafir
Quraisy bimbang dan cuba menyekat umat Islam dari
meninggalkan bumi Mekah, padahal mereka memang benci
dan berusaha untuk menghapuskan umat Islam.

Sepatutnya apabila tindakan umat Islam termasuk
Rasulullah berserta orang kanannya Sayidina Abu Bakar
keluar meninggalkan Mekah sebagai suatu perkembangan
yang menyeronokkan mereka (kafir Quraisy), kerana
kalau umat Islam tiada di Mekah, tidaklah mengganggu
mereka lagi dan tidaklah kedudukan mereka tergugat.
Secara tidak langsung pengaruh Rasulullah akan hilang
di Mekah.

Akan tetapi kafir Quraisy tidak berperasaan demikian
bahkan tindakan Rasulullah dan para sahabat berhijrah
dari Mekah ke negara-negara lain telah membimbangkan
mereka sehingga anggota perwakilan suku-suku
masyarakat di Mekah terpaksa mengadakan sidang
parlimen tergempar khusus untuk membincangkan perkara
tersebut.

Mereka memutuskan untuk menyekat penghijrahan umat
Islam terutamanya Rasulullah sendiri. Beberapa pasukan
tentera yang terdiri daripada pemuda yang gagah
berani, lagi cekap bermain senjata telah diatur di
segenap jalan keluar daripada Mekah. Mana-mana umat
Islam yang hendak berhijrah akan ditangkap, kalau
degil terus dibunuh. tetapi Rasulullah saw dan para
sahabatnya berjaya meloloskan diri.

Para pengkaji sejarah terpaku sewaktu memikirkan
betapa besar dan tingginya hikmah  dan taktik
Rasulullah saw menyelitkan iman para pengikutnya dan
betapa cekapnya Rasulullah saw mengatur strategi untuk
perkembangan dan kekuatan politik, ekonomi dan sosial
umat Islam akan datang.

Di sebalik amanat Rasulullah, para sahabat yang pintar
telah dapat menyelam isi maksudnya iaitu apabila
baginda mengucapkan perkataan,   “…..kelak Allah akan
mengumpulkan kamu semula….”

Jelas setelah itu Allah mengumpulkan semula umat Islam
pada peristiwa “Futuh Al Makkiah” (pembukaan Mekah).
Demikian hikmah hijrah yang tersirat kalau kita sorot
di sebalik peristiwa yang tersurat itu.

1. HIKMAH DI SEGI AQIDAH

Hikmah hijrah di segi agama ini lebih tepat dikatakan
strategi untuk menyelamatkan iman dan aqidah umat
Islam ketika itu sewaktu mereka diancam oleh orang
kafir Quraisy supaya kembali kepada agama berhala.

Peristiwa Bilal bin Rabbah, Ammar bin Yasir dan
keluarganya serta beberapa sahabat lain yang diseksa
dan ada yang dibunuh telah menimbulkan rasa
tanggungjawab Rasulullah saw untuk mencari jalan
menyelamatkan iman dan fizikal umat Islam.

Hanya dengan mencari suatu tempat yang mempunyai
suasana dan lingkungan tersendiri sahaja umat Islam
akan dapat bebas mengamalkan agama Islam yang dianuti
dan diyakini mereka.

Sebab itu di dalam beberapa hadis Rasulullah
menegaskan tentang kedudukan umat Islam yang tinggal
dan hidup bersama di dalam masyarakat bukan Islam.
baginda bersabda, maksudnya:

“Jangan kamu tinggal bersama-sama dan jangan bercampur
gaul dengan orang musyrik kerana sesiapa yang tinggal
dan bercampur gaul dengan orang musyrik termasuk ia ke
dalam golongan orang musyrik.”  - Hadis Hassan dari
Anas yang dipetik oleh Imam As Subki.

Dalam hadis itu Rasulullah menegaskan lagi, maksudnya:

“Aku berlepas diri ke atas orang Islam yang tinggal di
celah-celah masyarakat musyrik.’ Sahabat bertanya,
“Mengapa?” Jawab baginda, “Agar jangan nampak api di
antara kedua pihak.”

Dengan melakukan hijrah, iman dan aqidah umat Islam
yang dahulunya tinggal di dalam masyarakat musyrik
dapat terselamat daripada ancaman. Di Habsyah
umpamanya, umat Islam mendapat kebebasan hidup
sekelompok sesama mereka dan mereka dapat mendirikan
masyarakat kecil serta bebas menegakkan syariat dan
membentuk suasana dan aktiviti tersendiri. Mereka
tidak lagi diganggu, kerana kerajaan Habsyah ketika
itu menganut agama “Nasrani asli” yang sifatnya
mencintai kebenaran.

2. HIKMAH DI SEGI POLITIK

Selaku tokoh politik agung, Rasulullah mempunyai
pandangan yang amat jauh sekali di sebalik strageti
hijrah itu. Tindakan baginda memerintahkan umatnya
berhijrah keluar negeri secara tidak langsung
merupakan strageti untuk Islam berkembang ke beberapa
buah negeri sekaligus ke seluruh dunia.

Habsyah yang pada mulanya tidak tahu menahu tentang
agama yang baru muncul yang dibawa oleh seorang Rasul
yang baru dilantik itu, setelah kedatangan umat Islam
dan disusul oleh rombongan para pembesar Quraisy untuk
menuntut kembali pelarian (rakyat Mekah) itu maka
Maharaja habsyah makin bertambah tahu dan kenal akan
agama Islam dan nama Rasul baru itu yang memang telah
tercatat di dalam kitab Injil Nasara.

Tokoh-tokoh politik jahiliah daripada kalangan kaum
Quraisy tidak kurang juga pintarnya otak mereka.
Mereka telah dapat membaca dan menganalisa taktik
penghijrahan Rasulullah sebagai satu usaha ke arah
pemindahan pengaruh dan aktiviti agama Islam keluar
negari dan yang kelak akan merbahayakan kepada
kedudukan politik mereka di Mekah.

Sungguhpun mereka sedar rakyat Habsyah tidak mungkin
akan terpengaruh dengan agama Islam yang dibawa oleh
Rasulullah kerana di samping mereka asal agama
Nasrani, Habsyah memang mempunyai permusuhan terhadap
Mekah berikutan dengan cemburu mereka, Mekah menjadi
pusat tumpuan dunia untuk beribadah di Kaabah yang
didirikan oleh Nabi Ibrahim a.s dan melakukan kegiatan
perdagangan dan kebudayaan.

Akan tetapi yang membimbangkan mereka bukan pengaruh
agama di Habsyah tetapi akan terbentuknya pusat
kegiatan Islam (di kalangan rakyat Mekah) di Habsyah
dan dibimbangkan mereka akan mendapat sokongan dan
bantuan daripada Habsyah untuk menyerang Mekah di satu
ketika nanti.

Oleh sebab itulah mereka berusaha untuk menuntut
kembali pelarian rakyat negara mereka itu daripada
Maharaja Habsyah. Lebih menyakitkan hati mereka lagi
ialah apabila tuntutan mereka ditolak oleh Maharaja
Habsyah atas sebab beliau yakin Rasulullah saw adalah
sebenarnya utusan Allah yang membawa kebenaran.

Inilah di antara strategi hijrah yang jarang dapat
disorot hikmahnya oleh para pejuang Islam akhir zaman
ini. Tetapi para ahli politik dahulu di kalangan orang
Mukmin yang hidup tidak begitu jauh jaraknya dengan
zaman Rasulullah telah menyedari hal ini.

Contohnya, para perancang politik bani Abbasiah
sewaktu mereka hendak merebut kekuasaan daripada bani
Umaiyah di Damsyik mereka telah berhijrah ke Khurasan
(Iran) dan menanamkan perjuangan di sana.

Strategi perkembangan Islam demikian (secara hijrah)
merupakan sunnah yang sepatutnya dilakukan oleh para
pejuang dan para pengembang agama zaman mutaakhirin
ini samada melalui cara berdagang sepertimana yang
dilakukan oleh para pengembang Islam daripada tanah
Arab ke Malaysia dan terus berpindah negeri,
meninggalkan kampung halaman dan bermastautin di
tempat yang menjadi sasaran dakwah Islamiah mereka.

3. HIKMAH DI SEGI EKONOMI

Setelah orang kafir Quraisy gagal memujuk Maharaja
Habsyah untuk membawa pulang pelarian Islam, yang
diketuai oleh Jaafar bin Abi Talib, mereka kembali ke
Mekah dan merancang suatu taktik tekanan lain ke atas
umat Islam yang ada di Mekah termasuk Rasulullah saw.

Keputusan yang telah mereka buat setelah berbincang
sesama politikus-politikus Quraisy ialah mereka mesti
mengadakan permulaan terutama di bidang ekonomi.
Selain daripada mereka mengeluarkan pengisytiharan
supaya jangan bergaul dan mengadakan sebarang hubungan
dengan orang Islam, mereka juga melarang diadakan
hubungan jual beli dengan umat Islam dan para simpati
mereka.

Hasil pemboikotan barang-barang makanan, umat Islam,
lebih-lebih lagi anak-anak, orang tua dan wanita
berada di dalam keadaan lapar dan kekurangan bahan
makanan begitu lama. Kalaupun mereka hendak
mendapatkan bahan makanan, mereka terpaksa pergi ke
pasar yang jauh memakan masa dan belanja yang tinggi.

Demi menjaga iman, para sahabat yang diriwayatkan di
dalam beberapa kitab sejarah, telah terpaksa memakan
kulit kayu dan ada yang merebus kulit kasut untuk
dijadikan makanan.

Melihat keadaan umat islam di Mekah tertekan oleh
kejatuhan ekonomi akibat pemulauan itu, maka bertambah
lagilah Rasulullah saw dan beberapa orang sahabat lain
merancang untuk lebih cepat berhijrah.

Setelah Rasulullah saw dan umatnya berhijrah ke
Madinah dan setelah mereka mendapat kebebasan hidup,
maka di sanalah Rasulullah merancang untuk
membangunkan dan membina ekonomi tersendiri melalui
seorang sahabat yang bernama Abdul Rahman bin Auf.

Setelah ada masyarakat sendiri dan terbinanya sektor
ekonomi umat Islam, maka mereka dapat menikmati
kemakmuran melalui perniagaan sesama Islam tanpa
terlibat dengan tekanan sistem riba dan lain-lain
sistem ekonomi jahiliah yang menyulitkan.

Kesan daripada wujudnya sektor ekonomi umat Islam di
Madinah, ekonomi orang kafir yahudi yang bernadi di
atas nadi riba dan penindasan, telah runtuh dan pasar
mereka terpaksa ditutup. Ekonomi Islam yang dasarnya
“berkhidmat” mendapat perhatian semua pihak.

Demikian kesan daripada hijrah yang membebaskan diri
daripada sebarang kongkongan telah melahirkan kekuatan
di bidang ekonomi dan daripada kekuatan itulah, umat
Islam dapat membina masyarakat dan negara dengan baik.

4. HIKMAH DI SEGI SOSIAL

Dilihat peranan hijrah di segi pembentukan sosial ini
lebih penting daripada aspek-aspek lain. Kerana aspek
politik dan ekonomi lebih banyak bergantung kepada
sosial atau masyarakat.

Sewaktu berada di Mekah bercampur baur dengan
masyarakat jahiliah, Rasulullah tidak dapat membina
dan membentuk masyarakat Islam yang sifatnya
tersendiri sepertimana yang dikehendaki oleh Allah
iaitu masyarakat tauhid yang bersih daripada berhala,
kerana mereka mendapat tekanan yang kuat daripada
penguasa masyarakat dan pemerintah berhala musyrik di
mekah.

Walaupun usaha dilakukan selama 13 tahun untuk
menumbangkan masyarakat berhala itu dari dalam,
sebenarnya sudah menjadi sunnatullah bahawa untuk
menumpaskan sesuatu itu adalah melalui kekuatan yang
dibina dari luar.

Maka Rasulullah pun menyusun strategi untuk berhijrah
keluar daripada Mekah untuk mencari tempat di mana
baginda akan dapat membentuk sebuah masyarakat contoh
dan membina kekuatan sekiranya rencana penyebaran
risalah Islamiah dapat tentangan secara militan
daripada orang kafir dan musuh Islam.

Para sahabat diarahkan supaya meninjau ke Habsyah dan
lain-lain negara dan baginda sendiri mencuba ke Thaif.
Peringkat permulaan tidak mendapat Kejayaan.
Sehinggalah peristiwa Hijrah Madinah. Disanalah tempat
yang sesuai dan di situlah bermulanya sejarah
pembentukan masyarakat dan negara Islam yang ideal.

Bermula dari Madinah-lah titik tolak pembangunan di
bidang-bidang zahiriah melalui benih asas iman dan
ukhwah yang disemai selama 13 tahun di Mekah. Setelah
jalan membentuk dan mempertingkatkan pembentukan
masyarakat Islam yang dapat dijadikan contoh terbuka
luas dan bebas di Madinah, maka dari situlah
Rasulullah merancang strategi untuk mengembangkan
Islam ke seluruh dunia.

Islam di waktu itu telah menjadi umat yang disegani
oleh kawan dan ditakuti oleh lawan, termasuk kafir
Quraisy sehingga peristiwa “Futuh Al Makkiah”
(penawanan Mekah) dilakukan secara damai tanpa
pertumpahan darah.

Demikianlah natijah daripada hijrah, suatu strategi
yang hanya berjaya dilakukan oleh pemimpin yang
mempunyai hikmah dan hemah yang tinggi. Perkara itu
cuma dapat dilakukan oleh para Nabi dan Rasul dan
orang-orang yang mendapat pimpinan Ilahi sahaja dari
kalangan orang-orang yang berjiwa tauhid.
 


 

UZLAH JUGA SUATU HIJRAH

Peristiwa hijrah Rasulullah saw 1400 tahun yang silam,
mengandungi banyak manfaat, pengajaran serta iktibar
untuk umat Islam hari ini.

Hijrahnya baginda Rasulullah saw ke Madinah dari segi
zahir membuka era baru bagi perjuangan Islam. Di sana
dibuat penyusunan baru baik dari segi strategi
perkembangan dakwah Islamiah kepada manusia dan alam
sejagat. Manakala hikmah di segi batinnya,
penghijrahan itu melahirkan jiwa yang tahan diuji,
sabar, berani dan cekal di samping lebih mengharapkan
rahmat dan pertolongan Allah.

Cuba kita perhatikan sebuah hadis yang diriwayatkan
oleh Abu Said Al Khudri, di mana Rasulullah bersabda
yang maksudnya:

“Hampirlah bahawa sebaik-baik harta seorang Muslim itu
ialah kambing yang diikutinya bersama kambing itu ke
puncak-puncak bukit dan tempat-tempat iringan unta.
kemudian, ia lari (berhijrah) dengan agamanya dari
segala fitnah dari dataran tinggi ke satu dataran
tinggi.”

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh
Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah bersabda yang
maksudnya:

“Akan datang kepada manusia suatu masa, di mana bagi
orang yang beragama tidak akan selamat agamanya
melainkan orang yang lari (hijrah) dengan agamanya
dari kampung ke kampung, dari dataran tinggi ke
dataran tinggi dan dari batu ke batu seperti pelanduk
yang pergi ke sana ke mari.”

Dari hadis ini jelas membayangkan kepada kita bahawa
hijrah atau uzlah tidak hanya dikhususkan di zaman
baginda semata-mata, tapi dianjurkan kepada setiap
manusia dan pada setiap masa.

Kalaupun hijrah yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu
bukannya satu kewajipan yang khusus, tapi pada
ketika-ketika tertentu ia menjadi wajib yang aradhi
wajib yang mendatang bila wujud sesuatu keadaan yang
boleh menjejaskan iman, akhlak dan syariat di dalam
sesebuah masyarakat atau alam sekeliling tempat kita
tinggal.

Sebelum dijelaskan tentang kelebihan hijrah, satu
perkara yang mesti diingat dalam pengertian hijrah
ialah kita juga jangan lupa bahawa uzlah juga satu
bentuk penghijrahan dalam ajaran Islam. Bila seseorang
itu beruzlah maka dia juga dikatakan berhijrah.

Imam Al Ghazali r.t menjelaskan, terdapat beberapa
kelebihan dalam beruzlah atau berhijrah. Pertama,
ialah untuk melepaskan diri dari perbuatan atau amalan
keji yang berlaku dalam masyarakat. Yakni menjauhkan
diri dari bercampur baur dengan masyarakat yang tidak
menghiraukan undang-undang dan peraturan Allah. maka
dengan itu boleh menyelamatkan diri dari terlibat
dengan mereka dan menjauhkan diri dari kemurkaan Allah
swt.

Kedua, kata Imam Al Ghazali, beruzlah juga berfaedah
ke arah untuk menyelesaikan diri dalam ibadah.
Maksudnya, menjinakkan hati dengan Allah dan
meninggalkan perkara-perkara yang boleh melalaikan
hati dari mengingati Allah. Sebab itulah Rasulullah
dari permulaan tugasnya lagi telah memutuskan hubungan
dengan dunia di gua Hira” sehingga teguh Nur Kenabian
pada diri baginda.

Ketiga, Imam Al Ghazali menjelaskan lagi di antara
lain kelebihan uzlah atau hijrah ialah melepaskan diri
dari segala fitnah dan permusuhan. Selain dari itu
dapat memelihara agama dan jiwa dari terjerumus ke
kancah fitnah dan tohmah yang boleh mengakibatkan
perpecahan.

Keadaan inilah yang menggesa umat Islam berhijrah
sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang
maksudnya:

“Akan datang kepada manusia suatu masa di mana bagi
orang yang beragama tidak akan selamat agamanya
melainkan orang yang lari dengan agamanya dari kampung
ke kampung, dari dataran tinggi ke dataran tinggi dan
dari batu ke batu seperti pelanduk yang pergi ke sana
ke mari.”
Bila sahabat bertanya, bilakah akan berlakunya
sebagaimana yang dikatakan oleh baginda itu, maka
Rasulullah menjawab:

“Apabila kehidupan ini tidak diperolehi lagi melainkan
dengan melakukan maksiat (ertinya orang terpaksa
melakukan maksiat untuk menyara kehidupan).”

Ertinya bila kehidupan sesebuah masyarakat sudah tidak
lagi berlandaskan syariat, maka ketika itu berlakulah
berbagai perkara keji dan mungkar. Pergaulan tidak
lagi secara Islam. Begitu juga ekonomi, pendidikan dan
sebagainya tidak lagi mengikut peraturan sebagaimana
yang terkandung di dalam Al Quran dan As Sunnah
Rasulullah saw. Maka Rasulullah memerintahkan supaya
umat Islam mengelakkan diri dari suasana itu dengan
berhijrah atau beruzlah ke tempat lain yang terselamat
samada secara seorang diri atau beramai-ramai.

Keempat, Imam Al Ghazali mengatakan dengan beruzlah
itu boleh menyelamatkan diri dari kejahatan manusia.
Sebab ada manusia yang tabiatnya suka mengumpat, jahat
sangka, suka menuduh dengan berbagai tuduhan palsu.
Mereka itu hanya suka dedahkan keburukan kamu, kata
Imam Ghazali, tapi kebaikan yang dilakukan dipandang
seolah-olah tidak pernah wujud langsung.

Imam ghazali berkata lagi:

“Ada orang mengatakan bahawa bergaul dengan
orang-orang jahat itu boleh mewarisi jahat sangka
kepada orang yang baik-baik.”

Ini jelas bila kita bergaul dengan orang-orang yang
buruk akhlaknya, tidak ada lain yang diperkatakan oleh
mereka melainkan mencela dan menceritakan aib orang
lain. Perkara benar dikata salah dan begitulah
sebaliknya.

Faedah yang kelima ialah dengan beruzlah boleh
memutuskan harapan seseorang Muslim itu dengan
manusia. Maksudnya ialah dengan memutuskan hubungan
dirinya dengan manusia maka ia akan lebih menumpukan
pergantungannya dengan Allah kerana Allah-lah
sebaik-baik tempat bergantung. Begitu juga dengan
beruzlah boleh memutuskan harapan manusia lain
kepadanya.

Imam Al Ghazali mengatakan juga, seorang sahabat Amr
bin Al Ash berkata bahawa banyaknya teman maka
banyaklah orang yang akan memperhutangkan kita. Imam
Syafie pula berkata bahawa asalnya tiap permusuhan itu
ialah berbuat baik kepada orang-orang yang berjiwa
kotor. Memutuskan harapanmu dari orang-orang yang
berjiwa kotor itu besar juga faedahnya kerana orang
yang memandang kepada kembang dan perhiasan dunia,
nescaya tergeraklah keinginannya dan membangkitkan
kelobaan.

 Dengan kuatnya keinginan ia tidak akan melihat
melainkan melihat kekecewaan pada kebanyakan perkara.
lalu ia pun menderita dengan hal itu. Demikian kata
Imam Syafie.

Kemudian, kelebihan yang akhir sekali ialah dapat
membebaskan diri dari menyaksikan dan kurang akal
fikiran. Selain dari itu terlepas dari kekasaran,
kebodohan dan budi pekerti orang-orang itu. Sebab,
melihat orang yang jahat perangai itu mengakibatkan
buta hati.

Kata Imam Al Ghazali, bahawa Al A’msy pernah ditanya
orang apakah yang menyebabkan matanya buta? Maka jawab
Al A’msy, “Kerana memandang kepada orang-orang yang
jahat perangainya.”

Demikian hikmah mengapa Rasulullah menganjurkan supaya
umat Islam berhijrah atau beruzlah bila wujud sesuatu
keadaan yang boleh menjejaskan iman, akhlak atau
syariat, sesebuah masyarakat atau individu Islam. Dan
hijrah itu berlaku bila-bila masa dan pada setiap
orang yang berkenaan.
 


 

TAKKAN KUTINGGALKAN SINAR YANG INDAH

Aku dilahirkan dalam satu keluarga mewah berbangsa
Cina. Apabila aku tamat dalam SPMku, ayahku begitu
berminat untuk menghantarku menyambung pelajaran ke
Jepun di bidang kejuruteraan. Segala perbelanjaan
ditanggung sendiri oleh ayah. Apabila aku tamat nanti,
dia mahu aku membantunya dalam perniagaan. Setelah
sampai masanya, dan jawapan menyatakan aku telah
diterima untuk belajar di sana, jamuan secara
besar-besaran telah diadakan di rumahku. Kesemua sanak
saudara dan sahabat handai telah dijemput oleh ayah.

Esoknya, aku ditemani sendiri oleh ayah berangkat ke
Jepun dan diiringi oleh sanak saudara hingga ke
lapangan terbang. Ayah turut sama ke Jepun dengan
tujuan di samping menghantarku, ia juga menguruskan
perniagaannya. Setelah ayah menguruskan tempat
tinggalku dan pendaftaran di Universiti tempat aku
belajar, barulah ayah berani meninggalkan aku
bersendirian.

Setelah dua hari aku belajar di situ, aku telah
berkenalan dengan seorang pemuda Jepun yang sangat
kacak rupanya dan beragama Islam. Bukan tidak ada
pelajar Malaysia untuk aku bergaul, malah memang
ramai, tapi entah mengapa pemuda Jepun itulah yang
menarik minatku. namun pemuda Jepun itu sendiri memang
suka bergaul dengan pelajar Malaysia terutama yang
berbangsa Melayu dan beragama Islam. Katanya, orang
Melayu lemah lembut, sopan santun dan pandai mengambil
hati orang.

Masa terus berlalu. Setelah agak lama berkenalan
dengannya, lama kelamaan aku begitu berminat terhadap
agama yang dianutinya, hingga aku suka bertanyakan itu
dan ini tentang Islam kepadanya. Manakala dia pula
begitu berminat untuk menceritakan kepadaku pelbagai
perkara tentang Islam, termasuklah tentang ke-Esaan
Allah. Memang agama yang aku anuti pada masa itu jauh
berbeza, malah aku merasakan agama Islam itu lebih
indah dan lebih cantik. Dan terasa agama yang kuanuti
itu banyak salah dan silapnya.

Akhirnya, aku tunduk dan mengakui ke Islamanku di
hadapannya. Pada hari yang ditentukan, aku telah
mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan
pelajar-pelajar Malaysia. Tetapi pengIslamanku itu
tidak aku ceritakan kepada keluargaku. Aku merahsiakan
segala-galanya.

Seperti biasa apabila tiba akhir tahun, aku pulang ke
Malaysia untuk menemui keluargaku. Kepulanganku tidak
menimbulkan apa-apa syak wasangka kepada mereka.
Ketika itu, pakaianku masih belum berubah. Aku masih
kelihatan biasa dan seperti dulu juga. Soal makanan
tidak merunsingkanku, kerana keluargaku tidak suka
makan babi. hanya yang merungsingkan, ayah begitu suka
memelihara anjing. Dan dulu pun, aku suka memanjakan
anjing yang dipelihara oleh ayah.

Namun setelah beberapa hari berlalu, ibu mula
mengesyaki sesuatu. Setiap kali suara azan kedengaran
dari masjid, ibuku sering mendapati aku mengurungkan
diri di bilik. Perubahan paling besar, aku tidak suka
kepada anjing peliharaan ayah. Bila ibuku mengajak aku
ke rumah ibadah, aku sering menolak dengan
bermacam-macam alasan.

Hinggalah menjelangnya Tahun Baru Cina, segala-galanya
telah terbongkar apabila ayah memanggilku untuk
meraikan Tuhan mereka pada malam tahun Baru Cina itu.
Aku enggan pergi. Bila ayahku bertanya, aku katakan
tidak sihat.

Tetapi tiba-tiba ibu menjawab, “Ah! Dia tu setiap kali
diajak ke rumah ibadah, dia selalu buat alasan. Tak
sihatlah, nak studylah, letihlah, mengantuklah,
macam-macam. Dulu takpun macam ni, ini mesti ada
sesuatu. Aku dah lama nak sampaikan pada kau perkara
ini, tapi kau selalu sibuk.”

Ayah merenungku dalam-dalam. Kemudian kakinya
melangkah masuk ke bilikku dan menghampiriku dalam
keadaan terbaring di katil. “Apa kau sudah membenci
agamamu Swee Eng?” Soal ayah.

Aku terdiam kaku.

“Kau dah jadi free-thinker ke?” Begitulah yang ayah
faham. Ayah tahu, ramai anak muda yang ke luar negeri
tidak mempercayai Tuhan.

Aku hanya menggelengkan kepada.

“Habis? Kau sudah tukar agamamu? Kau telah Kristian
Ke?”

Aku gelengkan kepala. Melihatkan keadaanku,  ayahku
lantas menuju ke almari pakaianku. Ayah jadi terkejut
bila melihat dalam almariku tersimpan sepasang
telekung.

“Swee Eng…. Apa benarkah ini!?” Jerit ayah.  Aku lihat
ibuku juga turut terkejut.

“Swee Eng!!!” Jerit ibuku.

Pada malam itu sisi keluarga berkumpul di bilikku.
Termasuk abang dan kakakku.

“Swee Eng….. usia kau belum dua puluh satu tahun lagi,
kau belum boleh diberi kunci lagi untuk berlaku bebas
dalam rumah ini!” Herdik ayah tak dapat menahan sabar
lagi.. Dia mengangkat tangannya untuk menamparku.
Ibuku menangis sambil dipujuk oleh kakakku. Aku
terpaku di katilku sambil merenung bantal dan hanya
mampu menitiskan air mata. Dalam hati ku berdoa,
semoga Allah selamatkan diriku. Aku sudah cintakan
Islam dan tidak mahu tinggalkan agama yang suci ini.

“Ayah, sabarlah ayah. Berilah dia tempoh untuk
berfikir,” pujuk abangku.

“Baik! Aku beri kau masa untuk berfikir. Bila kau
pulang ke Jepun nanti, kau fikirkanlah perkara ini
masak-masak. Bila kau dan bertukar fikiran, kau
kirimlah surat untuk kami di sini. Atau bila ayah ke
Jepun nanti, kau beritahulah ayah. Dan ayah harap, kau
jangan tinggalkan untuk sambut Tahun baru bersama-sama
esok.’ kata ayah dan terus meninggalkan bilikku.
Kemudian seorang demi seorang meninggalkan bilikku.

Akhir sekali meninggalkan bilikku ialah abangku.

“Kau fikirlah seadil-adilnya Swee Eng, kerana kau
berhak menentukan masa depanmu sendiri,” kata abang.
Kata-kata abang itu dapatlah menenangkan sedikit
fikiranku yang kusut apabila mendengar amaran ayah
tadi.

Esoknya, Tahun Baru Cina, aku tetap berdegil tidak
mahu keluar dari bilik meskipun dipujuk oleh ayah dan
ibu sendiri. Hingga ayahku menyumpah-nyumpah dengan
kata-kata yang sungguh menyakitkan hati.

“Anak sial. tak bawa untung. Kita suruh dia belajar di
luar negeri untuk bantu kita, dia buat perangai pula.
Nantilah dia, nanti dia tau siapa aku. Ingat. Kalau
kau masih tak kembali kepada agama datuk nenek kau,
aku bukan ayahmu lagi. Hari ini berkurunglah kau dalam
bilik ini, anak sialan! Letih ibumu melahirkanmu. Tak
ada hasil….. Bawa celaka……” Kemudian ayahku berlalu.

Pada hari itu, aku hanya mengurugkan diriku di bilik.
Suara riuh di ruang tamu rumahku benar-benar
membingitkan telingaku. Maklumlah, pada hari itu ayah
mengadakan hari terbuka, kerana ayah adalah seorang
yang berpangkat Datuk.

Dari awal pagi lagi aku tidak memasukkan apa-apa ke
dalam perutku. Aku terpaksa berpuasa pada kerana semua
masakan yang dimasak oleh ibu benar-benar tidak lagi
menyelerakanku. Walaupun keluargaku tidak suka makan
daging babi, tapi aku tahu masakan ibu pasti
memasukkan juga sedikit minyaknya. Ini menyebabkan
tekakku menolaknya dari menerima makanan tersebut.

 Bila hari hampir menjelang Maghrib, aku memohon izin
dari ayah untuk pergi ke rumah sahabatku. Pada mulanya
ayah enggan mengizinkan aku ke mana-mana hari itu.
tapi atas pujukan abangku, akhirnya ayah melepaskan
juga aku pergi.

“Daripada dia lari, baiklah dia pergi dalam
pengetahuan kita ayah. Lepaskanlah derita hatinya,
mudah-mudahan, dia dapat berfikir dengan tenang dan
kambali kepada Tuhan kita,” pujuk abang.

Aku terus ke rumah Marlia, sahabat Melayuku untuk
berbuka puasa pada hari itu. Beliau kasihan mendengar
ceritaku, dan mempelawa aku untuk tinggal di rumahnya
sepanjang cutiku ini. Tapi aku enggan. Aku memberi
alasan. “Tak apalah dulu Marlia, selagi aku boleh
mempertahankan imanku, selagi itulah aku akan tinggal
di rumah. Kerana kalau aku lari dari mereka, ia lebih
menyakitkan hati mereka,” jawabku.

Setelah habis cuti aku kembali ke Jepun. Pemergianku
kali ini tidak lagi diiringi oleh sanak saudara, jauh
sekali ayahku. Cuma abangku saja yang simpati padaku.
Dialah yang menghantarkan aku ke lapangan terbang dan
dia jugalah yang memberikan perangsang untukku terus
belajar tanpa putus asa.

Setelah tiga bulan, ayahku datang sendiri ke Jepun
untuk menemuiku. Kalau dulu soalan yang pertama yang
selalu ditanyakan oleh ayah adalah, “Apa khabar Swee
Eng?”, tetapi kali ini yang ditanya oleh ayah,
“Bagaimana, kau sudah fikirkan masak-masak masa
depanmu?”

“Sudah ayah,” jawabku sepatah.

“Kalau begitu, bagaimana pilihanmu? Masihkah engkau
membenci agama datuk nenekmu?”

Aku menjawab, “Ayah, saya lebih sukakan Islam. Dan
saya lebih kasih dan cintakan Islam daripada
segala-galanya, ayah.”

“Cih sial! Betul-betul kau kena sihir. Mana orang yang
bertanggungjawab meng-Islaman kau? Aku mahu jumpa.
Kalau boleh aku mahu bunuh dia!” Marah ayahku.

“Dalam hal ini ayah tak boleh menyalahkan sesiapa, ini
semua atas kehendak Swee Eng sendiri ayah,” kataku.

“Baiklah, kalau atas kehendak engkau, kautinggallah di
sini. Aku benci kau. Apa nak jadi dengan kau, jadilah.
Kau bukan anakku lagi. Jangan harap duit untuk kau
akan sampai. Aku tak akan mengirimkan walau sesen
pun!” Itulah keputusan ayah. Dan dengan itu ayah terus
pergi meninggalkanku. Tinggallah dan keseorangan dalam
kesedihan.

Tika itu aku merasakan dunia ini terlalu sepi, tiada
siapa tempat untuk aku mengadu. Tiada siapa yang dapat
aku minta pertolongan. Apakah sahabat-sahabatku yang
dulunya di waktu aku senang, sudi menolongku? Oh
Tuhanku! Apakah hikmah kejadian ini? Aku benar-benar
buntu, tiada tempat untukku mengadu. Segala-galanya
aku serahkan kepada Allah.

Lalu aku mengadu pada Tuhanku, “Tuhan! Selalunya orang
yang mempertahankan kebenaran itu akan dihina dan
disisih. Biasanya dia dalam kemiskinan dan kesepian
kerana dibenci. Tapi Tuhan! Aku yakin dengan kemurahan
dan kekuasaan-Mu. Oleh itu wahai Tuhan, pada-Mu
sajalah yang aku harapkan agar Kau bantulah aku dan
tolonglah aku.”

Apa yang tinggal padaku hanyalah wang simpanan dalam
buku akaunku. tapi ia hanya cukup untuk tambang pulang
ke Malaysia dan tidak mencukupi untukku tinggal
setahun di sini. Aku serba salah untuk menceritakan
perkara ini kepada rakan-rakanku kerana aku sendiri
faham masalah kami pelajar-pelajar yang tinggal di
luar negeri.

Dalam aku kebuntuan itu, tiba-tiba aku mendapat
sepucuk surat dari abangku. Abang faham kedudukanku,
setelah diceritakan oleh ayah sewaktu pulang dari
Jepun. Abang begitu simpati dengan nasibku dan
menyuruh aku meneruskan pelajaranku dan berjanji akan
membantuku.

Menurut abangku, dia juga berminat untuk memeluk
Islam, tapi belum masanya kerana dia mahu anak-anak
dan isterinya turut sama memeluk agama Islam.

Namun begitu, pertolongan abang tidak lama. Ayah
akhirnya dapat tahu apa yang dilakukan oleh abang.
Ayah melarang abang dari membantuku.

Rasa-rasanya di saat itu ingin saja aku berhenti dari
belajar dan pulang saja ke Malaysia. Siap lagi yang
mahu menolongku untuk aku meneruskan pelajaranku? Aku
benar-benar gelisah. Wang yang ada padaku hanya
benar-benar cukup untuk tambang balik ke Malaysia.
Tapi di Malaysia pun, di mana aku mahu pergi? Di
mana??? mana ada saudara maraku yang beragama Islam?
Mohon pertolongan pada kawan-kawan? Sudikah mereka
menolongku? Rasa-rasanya di ketika itu ingin aku
kembali menukarkan agamaku ke agama asal.

Tapi lama kelamaan, keresahan hatiku dapat juga dibaca
oleh rakan karibku iaitu pemuda Jepun itu. Dia mahu
aku meneruskan pelajaranku dan mahu mengambilku
sebagai isterinya agar aku mendapat perlindungan dan
bimbingan dalam Islam, kerana keluarganya kesemuanya
beragama Islam. Setelah berfikir panjang, aku setuju
menjadi isterinya.

Di saat itu, barulah aku terasa dunia yang gelap ini
kembali cerah dan bersinar kembali. Setelah aku
berkahwin, aku kembali ke Malaysia dengan membawa
suamiku untuk aku perkenalkan kepada keluarga. Ayah
tidak dapat berkata apa-apa lagi kerana aku sudah
menjadi milik orang. ibu hanya meraung melihat
perubahan sikapku. manakala abangku hanya berkata
kepadaku, “Semoga kau bahagia.”

Ketika itu betapa syukurnya aku kerana Allah telah
melepaskan aku dari segala kedukaan dan kebuntuan.

Begitulah Maha Pengasih dan Penyayangnya Allah swt.
Setiap mehnah yang ditimpakan kepada hamba-hamba-Nya
hanyalah untuk menguji sejauh manakah kesabaran kita
dalam menghadapi ujian-ujian yang ditentukan-Nya.
Allah yang maha Penyayang tidak akan membiarkan
hamba-hamba-Nya terus dalam penderitaan. Setelah hati
benar-benar berserah dan memohon pada-nya, Dia akan
berikan bantuan tanpa diduga-duga. Sesungguhnya Allah
tidak kejam. Setiap penderitaan akan sentiasa
diselang-seli dengan kegembiraan.

Andainya hamba itu seorang yang bersyukur bukan saja
kegembiraan itu Allah berikan di dunia ini, malah di
Akhirat lebih-lebih lagi. Itulah keadilan Allah dan
bijaksananya Allah. Oh Tuhan! Kaulah Maha Penyayang
yang melepaskan penderitaan ini. Semoga kau akan
sentiasa membantu dan menolongku wahai Tuhan!