Harian Metro
Khamis 26 Julai 2007
>>Oleh Badrila Jamlus
Baja lahar gunung berapi
Escott Zeolite galak tumbesar tanaman, tingkat daya tahan
penyakit pokok, lebih mesra alam
Utama Medigold Enterprise (Utama Medigold),
syarikat Bumiputera yang dilantik sebagai pembekal dan pengedar tunggal
baja organik Escott Zeolite dari Australia mensasarkan import produk itu
meningkat antara 30 hingga 50 peratus sebulan, tahun ini.
Ketika ini, syarikat mengimport kira-kira 22 tan
baja itu sebulan daripada pengeluarnya, Zeolite Australia Pty Ltd
yang menghasilkan baja tambahan organik menerusi penyelidikan dan
pembangunan sejak lapan tahun lalu.
Pengurus Utama Medigold, Dr Ramizi Ishak, berkata
sejak produk itu diperkenalkan di pasaran lapan bulan lalu pihaknya
menerima banyak maklum balas dan pertanyaan daripada syarikat
perladangan besar.
Beliau berkata, produk Zeolite yang
dihasilkan menerusi campuran lahar gunung berapi didapati mampu
menggalakkan tumbesaran pokok tanaman, meningkatkan daya tahan penyakit
pokok, mengurangkan penggunaan baja kimia dan lebih mesra alam sekitar.
"Zeolite juga boleh digunakan sebagai makanan
tambahan kepada haiwan ternakan seperti ayam, kambing dan lembu selain
sesuai untuk kegunaan akuakultur bagi merawat kandungan air," katanya
katika ditemui Bisnes Metro di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dr Ramizi berkata, antara kelebihan Zeolite ialah
memaksimumkan penggunaan baja, menyimpan air dan organisma dalam tanah
serta membantu melepaskan ion phosporus untuk kegunaan tanaman.
Menurutnya, kaedah penggunaan baja itu bagi tanaman kelapa sawit, getah,
padi, atau koko ialah empat hingga lapan beg baja bagi setiap satu ekar
dengan tempoh kekerapan ialah setiap tiga bulan sekali.
Katanya, Zeolite turut disediakan dalam pek bersaiz satu kilogram
dengan harga runcit RM5 sesuai digunakan sebagai baja tambahan kepada
pokok buah-buahan, pokok hiasan, sayur-sayuran atau rumput golf.
"Ujian penggunaan baja itu di ladang sawit milik saya seluas dua hektar
mendapati hasil tanaman bertambah dari tiga tan sebulan kepada lima tan
sebulan," katanya. Dr. Ramizi berkata, pihaknya
bercadang melantik lebih ramai ejen untuk memasarkan produk itu.
Sehubugan itu, mereka yang berminat menjadi pengedar produk itu boleh
menghubungi 06-9752886 atau maklumat lanjut juga boleh diperolehi
menerusi laman web www.zeolite.com.au. |