|
Kandungan |
ASAL-USUL MASYARAKAT THAI DI MALAYSIA (MAKRO) Pengenalan Tajuk "Sejarah
Dan Persoalan Citra Budaya Masyarakat Siam Malaysia" telah disampaikan oleh
En. Siri Neng Buah, Pengarah Kebudayaan & Kesenian Pulau Pinang dalam
ceramah beliau di Seminar Kepimpinan Masyarakat Siam Malaysia di negeri Kelantan
pada 10.9.1998 dianjurkan oleh Persatuan Masyarakat Thai Kelantan. Tajuk ini
telah dikaji dan ditulis oleh beliau sendiri berdasarkan maklumat-maklumat dari
buku-buku sejarah Malaysia dan Thailand kerana dianggap amat penting bagi
memenuhi keperluan semasa. Penting sebagai bahan-bahan penerokaan akar umbi
masyarakat minoriti Siam di Malaysia dalam konteks pembinaan dan palestarian
imej atau citra budayanya agar terus wujud seiring dengan keperluan sumbangannya
bagi mengekalkan negara bangsa Malaysia yang kian menuntut bukti kesetiaannya. Bertujuan memberi
maklumat kepada semua masyarakat Siam warganegara Malaysia daripada berbagai
latar belakang. Kertas sejarah asal-usul masyarakat Siam ini adalah lahir dari
kesedaran seorang insan yang mulia iaitu Siri Neng Buah sebagai sumbangan beliau
kepada bangsanya yang tak ternilai. Semua penulisan
yang diketemui mengatakan bahawa orang Siam berasal dari kawasan tengah Asia
yang membentuk negara Mongolia dan Cina hari ini. Phrarajphongsawadarn oleh
Phrarajhatlekha (TB 2455 : TM 1912), Phongsawadarnchatthai oleh Phra
Boriharnthepthani dan Sejarah Asia Tenggara (1971) oleh D.G.E. Hall sepakat
mengisahkan perihal tanah asal orang Siam di Asia Tengah. Dipercayai bahawa
sekitar 7000 tahun dahulu mereka mendiami kawasan pergunungan Altai (Mongolia)
dan sekitar 2500 tahun kemudian berkembang hijrah ke selatan yang lebih subur
dan membina penempatan kekal di lembangan sungai Hoang Ho dan Yang Tze Kiang
kerana selain sebagai penternak nomad, mereka juga petani berkebolehan.
Penempatan kekal telah mewujudkan puluhan negara kota orang-orang Siam seperti
Sze Chuan, Cheang Tu, Hu Pe, Hu Nan, Auhui di wilayah Sze Chuan dan Kwang Chao
di negara Cina hari ini. Samada disebabkan
bilangan penduduk semakin ramai atau pergolakan sesama sendiri dan tekanan orang
Cina dalam rentetan sejarah yang panjang, orang Siam mulai bergerak turun ke
selatan dari penempatan besar mereka di Chungking. Orang Cina
sebelum ini hidup secara nomad mulai membina kekuasaan dan menekan pengaruh ke
atas orang Siam. Pada beberapa peringkat dengan diketuai oleh raja-raja mereka,
orang Siam dapat memperlahankan penghijrahan mereka ke selatan. Orang Cina,
menggelar nama kerajaan mereka sebagai ‘Syamkok' atau Ailao. Dari nama ini
barangkali kita mengenali orang Siam atau Lao. Antara tahun 757
masehi, kerajaan Siam Nancao di wilayah Yunan, selatan Cina telah wujud sebagai
sebuah empayar yang luas hingga ke Syam dan hulu sungai Irrawadi. Sedang lembah
Menam Chao Phraya masih di bawah pengaruh Khmer mulai didatangi oleh beberapa
gerombolan Siam dari Muang Se, Tong King dan Annam. Mereka menjarah lembangan
Mekong dan menjadi penduduk tetap Angkor Wat. Pada abad-abad seterusnya,
lembangan Sungai Ping, Wang, Yom dan Nan mulai menerima pendudukan Siam.
Beberapa kerajaan kecil yang merdeka wujud dan Phayao, salah sebuah wilayah di
Thailand hari ini telah wujud semenjak TM 1096, diikuti dengan negeri kota di
Ciengrai, Ciensen, Ciengmai, Sua (Luang Prabang) dan lain-lain. Penaklukan ke
atas Nancao oleh Kublai Khan (TM 1253) telah menrubah taburan penempatan orang
Siam di kerajaan kecil di selatan. Sukhothai (wujud sejak TM 1238) dan Luang
Prabang di lembah sungai U mulai berkembang membentuk empayar Lannathai,
walaupun akhirnya Sukhothai lebih dikenali. Kehancuran Nancao turut mengecilkan
perkembangan kerajaan Siam Ahom di Assam (India) tetapi menyemarakkan
perkembangan mereka di Sipsong Panna dan Sipsong Cuthai. Sukhothai
dianggap mencapai zaman keemasan semasa pemerintahan Rama Khamheng (TM 1283 -
1317) dan orang Siam mengingatinya sebagai pengasas huruf tulisan bangsa ini.
Perluasan empayar Sukhothai dipercayai hingga ke Hujung Tanah (Johor - Singapura)
walaupun tidak ada bukti kuukuh. Namun begitu, kerajaan Lavo, Khamphengphet
hingga ke Caiya dan Ligor di Segenting Kra dianggap sebagai sebahagian empayar
tersebut. Sewaktu Sukhothai
meniti zaman kemerosotan raja U Thong (nama Kerajaan) membina kota baru
‘Dvaravati Sri Ayudhya' di sebuah pulau di Sungai Chao Phara. Di sebelah Luang
Prabang pula, Fa Ngum berusaha membina empayar Sejuta Gajah (Lan Cang). Kota Ayudhya
berkembang pesat dan mulai dikenali sebagai ‘Kota Siam' di kalangan sekitar
dan Barat. pengaruhnya jauh ke selatan mengambil alih peranan Sukhothai,
Kerajaan Siam di Perak (Gangga Negara), Johor (Khlangkeo) dan Pahang (Inderapura)
tentulah mempunyai kaitan rapat dengan Ayudhya. Sejarah Melayu
(TM 1612) karangan Tun Seri Lanang menyebut bahawa negeri Ganggayu (Khlangkeo)
dibina oleh orang Siam asli terletak di hulu sungai Johor. Kotanya diperbuat
daripada batu hitam dan pemerintahnya, Raja Culan sebagai raja besar, dan segala
raja di sebelah timur ini boleh dikatakan kesemuanya takut kepada baginda.
Kerajaan Siam Gangga Negara dan Khlangkeo telah ditakluki oleh Raja Benua Hindi
dan kerajaannya di Pahang telah ditewaskan oleh Melaka. Walaupun gagal
memberikan tarikh sebagai suatu fakta sejarah, Tun Seri Lanang menegaskan bahawa
Ganggayu ialah negeri Siam asli dan kotanya masih wujud semasa beliau menyiapkan
buku tersebut. Buku
undang-undang Siam Kot Monthienraban (TM 1360) menyebut sebagai kerajaan
taklukan Siam, dikenali sebagai kerajaan Wurawari terletak di Johor Tua Ganggayu/Khlangkeo.
Para pengkaji sejarah hanya berbeza pendapat tentang nama kerajaan tersebut
tetapi tidak menafikan tentang kewujudan Kerajaan Siam asli di Johor. Ini
membuktikan bahawa orang Siam telah lama berada di Semennanjung Tanah Melayu,
menjalani kehidupan berkerajaan secara aman dan perang dengan pihak lain,
terutama Melaka yang kian muncul sebagai kuasa baru. Kehidupan mereka juga
bercampur baur dengan Kerajaan Melayu lain seperti Pattani, Kelantan, Kedah dan
lain-lain samada di bawah pengaruh Ayudhya atau tidak. Ayudhya, kota
besar dengan penduduk hampir sejuta jiwa itu telah dibumi hanguskan oleh tentera
Burma (TM 1767) itu tidak mampu dibangun semula oleh Phya Taksin maupun Cakri (Thongduang).
Dari Chanthaburi, kemudiannya Thonburi, saki baki tentera Ayudhya melancarkan
perang gerila hingga tentera Burma berundur 10 tahun kemudian. Kejatuhan Ayudhya
meninggalkan kesan amat parah kepada Siam. Kemusnahannya dahsyat dan Siam
kehilangan kuasa pusat. Kerajaan naungan dan jajahan mula berdiri bebas. Usaha
penyatuan semula oleh Phya Taksin memakan korban bukan sedikit. Pengiktirafan ke
atas karismanya dan kecekapan menyusun strategi ketenteraan dalam siri
peperangan penyatuan semula Siam membolehkan wilayah Ayudhya yang telah
mengistiharkan kemerdekaan atau sebagai kerajaan pusat ganti Ayudhya ditewaskan
satu persatu; Negari Fang di Utara, Phimai di Korat dan Nakhon Si Thammarat di
Selatan. Kerajaan Siam
zaman Rattanakosin (Bangkok) memperlihatkan pengaruh lebih jelas ke atas
negeri-negeri Melayu di Selatan; Pattani, Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu.
Penghantaran bunga emas, setiap dua atau tiga tahun sekali ke bangkok sebagai
tanda persahabatan dan kesetiaan. bahkan perlantikan seseorang raja di negeri
tersebut (kecuali Terengganu) harus disahkan oleh ‘Maharaja Benua Siam'. Surat
pengesahan dengan gelaran tertentu akan diberikan oleh Bangkok. Contohnya,
setiap raja/Sultan Kedah akan bergelar Phya Rithisongkramramphakdi Sri Sultan
Kedah Ratnarathmunintrasurinthra Wiwongsa, Phya Saiburi dan Raja Perlis pula
Phya Visedsongkram Ramwicidwillismara Phya Palis. Sultan Kelantan sebagai Phya
Phipidphakdi Willismara Phya Kalantan. Terdapat beberapa
pegawai Siam ditempatkan di beberapa negeri tersebut dan bagi rakyat jelata
Siam, negeri-negeri Melayu ini adalah negeri mereka juga. Mereka datang dalam
kumpulan petani mencari kawasan subur untuk menetap dan diteroka sebagai kawasan
pertanian. Sebagai rakyat biasa mereka tidak tertarik dengan urusan politik atau
‘kerja raja-raja' walaupun kita pernah juga mendengar beberapa penglibatan
penduduk Siam ini dalam perang saudara di Kelantan. Serangan tentera
Phya Taksin ke atas Nakon Si Thammarat dua tahun selepas Phya Nakon (Nu)
mengistiharkan kerajaan merdeka (TM 1770) memungkinkan rakyat jelata Siam
melarikan diri ke negeri Selatan dan terus menetap di sana. Hidup di bawah
perlindungan raja-raja Melayu. Ada yang mendapat sedikit sebanyak kedudukan atau
kurniaan. Umpamanya Tok Merah Chu Ding dijadikan Ketua Siam di Besut oleh Tengku
Muda, raja Besut (Terengganu) dengan gelaran Tok Helang Merah. Kerajaan Siam
zaman Bangkok menyaksikan tekanan perluasan kolonialisme Barat dari segenap
penjuru sempadannya. Siam mula kehilangan wilayahnya; Sipsong Panna, Sipsong
Cuthai, Siamreap, Batthabong kepada Perancis. Kok Song di Tenaserim, kepada
Inggeris dan TM 1909, melalui Perjanjian Bangkok, Siam menyerahkan Kedah, Perlis,
Kelantan dan Terengganu kepada Inggeris. Namun rakyat jelata Siam terus menetap
di negeri naungan British ini walaupun ada cerita lisan mengatakan hampir semua
keluarga Siam di Bukit Tempurong, Besut pulang ke wilayah Narathiwat, antara TM
1912 - 1915. Persoalan
Citra Budaya Hari ini orang
Siam hidup di negara Malaysia yang merdeka. Rata-rata orang Siam beragama
Buddha, dilambangkan oleh biara (wat) dan para bhikkhunya yang memakai jubah
serba kuning dengan kepala digondolkan sebagaimana bikkhu pertamanya; Putera
Sidharthak, pengasas agama ini dari Kabilavasthu (India). Bangunan wat yang unit
dengan ukiran seni tampak Siam merupakan satu citra/imej tersendiri. Rupabentuk
ini perlu terus dipelihara dengan beberapa penyesuaian, mungkin rekabentuk
tempatan, tulisan rumi dan bahasa Melayu. Bahasa sebagai
jiwa sesuatu bangsa itu wajar dipelihara dan diajar secara lebih formal dengan
tidak melupakan keperluan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Sekolah
bahasa Siam wajar diadakan di setiap perkampungan mereka. Ketaatan harus
diberikan kepada sebuah negara sahaja, iaitu Malaysia dan negara yang
mengamalkan toleransi agama dan budaya ini memberikan ruang cukup luas untuk
mereka mengamalkan segala aspeks agama dan budaya warisan turun-temurun. Pesta
Loy Khrathong kian mendapat perhatian dan kian meriah setiap tahun. Pucuk
pimpinan negara ini pernah menegaskan sewaktu kerapatan di Titi Akar (Ban Prai
Mai) pada 4 Januari 96, bahawa seni budaya Siam Malaysia wajar diberikan
perhatian kerana keunikannya yang lebih bercorak tempatan. Kerapatan itu turut
mengumumkan perlantikan Charern Intachat (Dato') sebagai senator mewakili kaum
Siam Malaysia sebagai hadiah Tahun Baru 1996. Sudah sampai
masanya agar dua pusat kebudayaan Siam diwujudkan (Kedah, Kelantan) sebagai
pusat sumber rujukan kepada yang berminat. Ini boleh dilakukan oleh Persatuan
Masyarakat Siam Malaysia atau persatuan di peringkat negeri. Institusi wat
sebagai pusat pendidikan tradisi wajar digembling ke arah pemupukan keperkasaan
seni budaya disamping projek penyelidikan dan kajian penyesuaian dengan Dasar
Kebudayaan Kebangsaan. Sebagai penutup,
beliau (Siri Neng Buah) mencadangkan agar masyarakat Siam Malaysia bersama
berfikir bagaimana kita dapat mengadakan satu perayaan sehari penuh penghayatan
terhadap para leluhur, "Hari Songkran Kebangsaan". Songkran sebagai
Tahun Baru Siam mengikut kalendar lama Tahun Piama mengandungi unsur-unsur murni
yang tidak boleh diketepikan. Bersembahyang, mengerjakan ibadat lain dengan
harapan Penciptanya. Meletakkan peranan Dhamma dan Sangkha di tempat tertinggi
disamping merapatkan hubungan persaudaraan sesama manusia. Kemurnian tersirat
ialah pemupukan sifat ‘Katawethi' di kalangan generasi baru terhadap
leluhurnya. Jasa bakti mereka diingati. kematian mereka harus didoakan
kesejahteraan rohnya kerana orang Siam juga percayakan syurga dan neraka. Dan,
tidak terelak, mereka juga pasti akan merasai mati. Sawaddi. |
|
|