pertandingan bahas antara sekolah menengah


PIALA BERITA HARIAN
2004

laporan dari ruangan akhbar / Cyberita

BH JUMAAT 02 APRIL 2004

Perbahasan ala 'American Idol'

BAYANGKAN selepas si pembahas penat lelah berhujah lancar tanpa nota dalam genggaman, Simon Cowell dari American Idol memberikan komennya secara spontan.

Mungkinkah komen laser si pengadil dengan dahinya berkerut dan senyuman 'lenyap' dari bibir menjatuhkan semangat pembahas dan rakan sepasukannya yang menanti giliran 'dihentam' habis-habisan?

Atau dapatkah ia menjadi pengukuh semangat bagi meneruskan perjuangan di medan perbahasan?

Inilah senario yang mungkin akan disaksikan apabila dua 'gergasi' perbahasan, Raffles Institution (RI) dan St Joseph's Institution (SJI) 'bertembung' di peringkat akhir Bahas Piala Berita Harian 2004 pada 25 April ini.

Format baru ala program realiti hiburan, American Idol, itu adalah antara pembaharuan yang sedang difikirkan untuk menyemarakkan peraduan anjuran Kelab Coretan Remaja (KCR).


Pembahas sahut cabaran, penonton nantikan hiburan

Penggulung pasukan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Nadiah Sukma, 15 tahun, yang meraih gelaran pembahas terbaik (suku akhir), berkata:

'Perbahasan ala American Idol boleh diterima kerana ia hampir sama dengan membidas. Malahan, saya dapati lebih mudah menjawab soalan pengadil daripada membidas pihak lawan.

'Kalau nak bidas, kita perlu memahami mauduk panjang lebar dan berfikir sedalam-dalamnya. Ini berbeza apabila soalan ditujukan kepada kita dan pandai-pandailah kita menjawabnya.

'Saya yakin banyak yang boleh dipelajari dari kutukan pengadil.'

Mr Extra Cool, Azizul Kamal Syah Sohaimi, 15 tahun, dari RI, dan yang digelar puan pengerusi, Norzaidah Suparman, sebagai pakar pembuang sampah (kerana menghempaskan kad-kad ke lantai), pula sudah cukup bersedia.

'Rasanya saya boleh handle perbahasan ala American Idol. Sebagai penggulung, saya lebih bersifat spontan kerana tidak menyediakan teks lebih awal.'


Penggulung Sekolah Perempuan Cedar, Suanggita Emerlin, 17 tahun, bagaimanapun menganggap perbahasan dan American Idol sebagai konsep yang tidak boleh dicampuradukkan sebab ia berlandaskan penilaian berbeza.

'Sesuatu perbahasan yang baik itu mesti disokong dengan isi yang mantap dan cara penyampaian hujah yang jelas. Namun, jika diadakan sebegini rupa ala American Idol, saya tetap bersedia menjawab bidasan pengadil,' katanya yang suka membahaskan topik-topik remaja.

Hai, kalau si pembahas nampaknya bersifat all-out menyahut cabaran BH, pastinya penonton pun tidak sabar melihat pembahas 'didera' dengan soalan-soalan laser ya? Seronok bukan?

Pelajar SJI, Abdul Muhsin Zulkifli, 16 tahun, berkata soalan pengadil bukan saja membantu pembahas memahami kelemahannya, bahkan penonton memahami mauduk bahas secara lebih teliti.

Suri rumah, Cik Sayumi Yadiman, 40-an tahun, ibu seorang pembahas pula menambah: 'Kalau adakan Debate Idol, kita boleh lihat sama ada pembahas boleh menjawab soalan dengan lancar atau tidak di luar persiapan dan lingkungan teks bahas mereka.'




- Gaya Puan Pengerusi pun bagaikan berhujah -

 



- Aiseh! Macam orang laungkan azan lah! -

 



- Makcik pun tumpang sekaki! -

Encik Abd Malek

- Pengadil En. Abd Malek ada gaya macam Randy... -  

 

Encik Darwis Said

- En. Darwis berhati-hati mengira markah... - 

 

Pengadil bersikap terbuka tetapi belum sedia 'pegang rotan', lontarkan komen laser sebab...

Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS), Encik Abdul Malek Ahmad, bagaimanapun, lebih selesa dengan konsep penilaian biasa yang dianggap lebih sistematik.

'Konsep pengadilan bahas sekarang sudah digunakan untuk beberapa tahun dan ternyata berjaya. Kita belum cuba cara American Idol, jadi saya kurang yakin jika ia berjalan lancar atau diterima.

'Rasanya orang Melayu belum cukup terbuka menerima kritikan di khalayak ramai sebab kita dikenali dengan sifat berbudi bahasa.

'Saya juga tidak mampu jadi Simon Cowell sebab tak biasalah nak lontar kata-kata negatif. Saya biasanya memberikan komen positif sebab yakin ia berkesan sebagai sumber galakan,' katanya.

Koresponden Meja Ekoniaga, Berita Harian, Encik Darwis Said, pula menambah konsep pengadilan ini boleh dijalankan tetapi ia bergantung kepada reaksi peserta, sekolah mereka dan guru-guru.

'Soalnya, mampukah mereka menerima kritikan sebegini. Berbeza dengan American Idol, bahas ialah peraduan melibatkan kerjasama berkumpulan dan bukan medan uji bakat seorang individu saja.

'Kesan kritikan pengadil kepada seorang pembahas boleh menjejas kelancaran dan keyakinan pembahas lain dalam kumpulannya.

'Tetapi, jika saya seorang pembahas, saya terbuka kepada apa saja konsep baru. Tidak salah untuk mencuba. Belum cuba, belum tahu,' jelasnya.


laporan BH 13 Mac 2004>>>

laporan BH 19 Mac 2004>>>

laporan BH 26 Mac 2004>>>

kembali ke lelaman utama >>>