Hikayat Kera Kecil

Salah sebuah cerita dalam kumpulan Nari! Nari!

 

Tidak lama selepas berkahwin, Anjana melahirkan anak. Anak itu diberi nama Hanuman. Kita semua tahu bahawa kera berwarna coklat. Akan tetapi, Hanuman memiliki bulu berwarna putih. Matanya pula berwarna hijau. Anjana dan Dewa Vayu sangat gembira menerima kelahiran Hanuman yang sangat istimewa itu.

“Mengapa anak kita berwarna putih?” tanya Anjana kepada suaminya.

“Hanuman bukan kera yang biasa. Dia anak dewa. Bulunya yang putih melambangkan hatinya yang bersih,” Dewa Vayu menjelaskan.

“Bagaimana pula dengan matanya yang berwarna hijau?” tanya Anjana lagi.

“Mata yang hijau itu bermakna Hanuman memandang semua orang dengan penuh kasih sayang. Hanuman akan menganggap semua orang sebagai adik-beradiknya.”

Anjana tersenyum gembira. Dia memeluk Hanuman dengan penuh kasih.

“Bukan itu sahaja,” Dewa Vayu berkata lagi. “Hanuman juga mempunyai kuasa untuk menjadikan badannya sangat besar. Dia juga boleh menjadi kecil seperti kuman. Oleh sebab dia anak Dewa Angin, dia juga boleh terbang seperti burung.”

 

Berkenalanlah dengan  watak Hanuman yang sangat istimewa ini. Ikutilah kisah pengembaraan Hanuman bersama-sama Rama. Bacalah Nari! Nari! (DBP, Cetakan Pertama 1995 & Cetakan Kedua 2000) dan Hanuman: Potret Diri (DBP, 1996) untuk kisah sepenuhnya.