BIL 1: SURATUL ASR, PESANAN KEPADA KEBENARAN DAN KESABARAN.
Oleh : Ibn Rajab As-Syafié.
Bismillahirrahmanirrahim...
Allah swt. telah mewajibkan ke atas setiap orang Islam agar senantiasa nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Setiap muslim hendaklah rasa bertanggung-jawab untuk menasihati orang lain kepada kebaikan, menunjukkan jalan-jalannya dan menolong ke arahnya. Memberi peringatan tentang perkara-perkara agama yang mereka lalui dengan lalai, leka dan alpa dek perhiasan dan kesibukan dunia yang bersifat sementara ini. Seorang muslim hendaklah mencuba sedaya-upaya untuk menasihati seorang muslim lain, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran walaupun dalam keadaan susah, payah dan memerlukan pengorbanan yang besar daripada segi kewangannya.
Sejenak bersama Suratul Asr.
Sesungguhnya telah datang kebenaran kata-kata di atas di dalam satu surah yang paling pendek dalam al-Quran, iaitu Suratul Asr. Firman Allah swt.
Maksudnya:
Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian, malainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
Kita lihat Allah swt. bersumpah di dalam surah ini dengan Asr, iaitu masa.
Dengan ini, saya ingin mengemukakan kepada pembaca sekalian pengajaran-pengajaran yang terdapat di dalam surah tersebut, dan memulakan risalah ataupun karangan ini dengannya, semoga ianya menjadi peransang kepada mereka, untuk mentadabburkan (membaca dan mengambil istifadah) al-Quran, agar mereka dapat memerah (mengintensifkan) umur-umur mereka dan mengambil istifadah daripadanya.
Apakah dia perahan umur.
Perkataan perah dalam bahasa arab diambil daripada ayat: "Tekan sesuatu hingga keluar airnya". Kamu berkata; "Aku memerah pakaian, ketika kamu menekannnya sehingga keluar air". Dengan ini juga Allah swt. menamakan awan sebagai pemerah sebagaimana yang tertera di dalam ayat 14 suratul Naba'.
Maknanya; Dan kami turunkan air yang sejuk daripada pemerah itu.
Ayat ini mengambarkan kepada kita keadaan awan yang membawa hujan itu diperah, dan ditekankan sehingga terkeluar airnya yang mencurah-curah.
Sekiranya perahan sesuatu itu adalah tekanan yang dibuat untuk mengeluarkan isinya , maka sesuailah kita katakan masa manusia dan umurnya sebagai satu hasil perahan, kerana setiap manusia senantiasa memerahnya ataupun menekannya demi untuk mengambil istifadah yang terbaik serta mengeluarkan manfaat-manfaat dan kelebihan-kelebihannya.
Umur perahan manusia adalah suatu hasil perahan khas buat dirinya, oleh itu memang menjadi kewajibannya untuk memerahi, mengambil peluang yang baik dan menghidupkannya.
Maka perahlah umurmu wahai sahabatku, tekanlah ia, berjuanglah, dan curahkanlah setinggi-tinggi tenagamu untuk memerahnya, sehingga umur kamu yang sedikit itu tidak pergi begitu sahaja, dan sekiranya kamu tidak memerahnya dengan baik, serta tidak mengambil istifadah langsung daripadanya, maka kamu akan menyesal diatas pemergiannya.
Kerugian bagi sesiapa yang tidak memerah umurnya.
Sesungguhnya Allah swt. telah bersumpah dengan masa dan umur bahawa manusia sering berada di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
Setiap manusia berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman lagi soleh. Kerugian pada umur mereka, masa mereka, dan amalan mereka, mereka membuang masa dan umur tersebut begitu sahaja, tanpa mengambil istifadah yang baik, tanpa perahan dan tekanan yang baik, dan tanpa mengambil manfaat daripada waktu, hari, bulan malah tahun mereka.!
Empat sifat orang yang beruntung.
Manusia yang tidak merugikan masa dan umur mereka akan bersifat dengan sifat-sifat berikut. Sifat yang pertama ialah sifat keimanan kepada Allah swt. Sifat yang kedua pula sifat suka untuk berbuat amal kebajikan, manakala sifat ketiga dan keempat ialah sifat suka berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Jadi disini kita perhatikan suratul-Asr ini mengemukankan kepada kita empat sifat orang-orang beriman yang berjaya lagi beroleh keuntungan. Mereka adalah orang-orang yang pandai memerah umur dan waktu mereka. Inilah sifat-sifat yang dimaksudkan tadi. Begitu juga susunannya di dalam al-Quran pun membawa erti yang tersirat.
Hikmat dimulakan dengan keimanan.
Sebagaimana yang kita maklumi sebentar tadi, sifat yang pertama bagi orang mukmin yang beruntung adalah sifat beriman kepada Allah swt. Jadi kenapa Allah letakkan sifat ini di tempat yang pertama dalam suratul-Asr.
Allah berfirman :
Maksudnya : Orang-orang yang beriman.
Allah swt memulakan dengan keimanan kerana ia merupakan suatu asas, asas inilah yang memberi motivasi untuk insan memerah umur mereka serta membuat satu program untuk menjaga masa emas mereka. Ia juga antara lain merupakan bahan yang mencukupkan keperluan seseorang itu untuk memerah umur mereka, seterusnya membimbing mereka di atas jalan yang benar.
Iman ini juga merupakan suatu syarat untuk Allah menerima amalan hamba-hambanya, Apabila sesuatu urusan ataupun tindakan yang tidak disertakan dengan keimanan yang sejati kepada Allah, maka tidak syak lagi Allah tidak akan menerima amalan demikian, sudah tentulah amalan yang dibuat tadi akan dilemparkan kembali kepada tuanya tanpa apa-apa penilaian maupun balasan yang baik.
Amal soleh hasil keimanan.
Allah swt seterusnya berfirman :
Maksudnya : Dan mereka yang beramal soleh.
Sifat kedua bagi mukmin yang beruntung ialah sifat suka berbuat amal soleh. Jikalau diperhatikan, Allah swt. meletakkan amal soleh ini selepas keimanan, hal ini demikian kerana amal soleh itu sendiri merupakan hasil daripada keimanan yang sejati lagi hakiki kepada Allah Rabbul Izati.
Perlu kita ketahui disini, amal soleh itu sendiri terlalu banyak dan fleksibel, ia meliputi kesemua cabang kehidupan yang sihat, malah meliputi kesemua jenis kebaikan. Disamping itu ia juga merangkumi setiap detik umur mukmin bermula dari saat balighnya hingga ke hembusan nafas yang terakhir.
Amal soleh ini juga merupakan satu sifat yang terhasil daripada perahan umur itu sendiri, ianya dapat dihasilkan dengan merancang setiap detik yang dilalui. Perancangan ini terbahagi kepada perancangan harian, mingguan, seterusnya bulanan dan tahunan.
Apabila manusia merancang usia mereka, dengan itu terhasilah amal soleh, yang pastinya boleh dimanfaatkan oleh orang lain dan menguntungkan dirinya sendiri. Sifat yang terjadi hasil perahan masa dan usia ini menyerupai air hujan yang turun mencurah-curah dari langit hasil perahan awan. Firman Allah swt dalam suratun Naba'.
Mafhumnya : Dan Kami ( Allah swt. ) turunkan dari awan air yang banyak tercurah-curah. Supaya kami tumbuhkan dengannya biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. Juga kami suburkan taman-taman yang indah.
Cara-cara berpesan dengan kebenaran.
Sifat yang seterusnya bagi mukmin yang beruntung ialah sifat suka berpesan-pesan kepada kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan disini merupakan Islam itu sendiri yang diambil daripada al-Quran, as-Sunnah dan kefahaman umat-umat terdahulu (Ijma'). Malah ia juga meliputi apa jua bidang ilmu dan pengetahuan Islam yang diambil daripada sumber-sumber tersebut, seperti ilmu aqidah, tafsir, hadis, feqah, sirah, sejarah, pendidikan rohani, ilmu bahasa arab dan kesusasteraannya serta pelbagai ilmu yang lain.
Kebenaran adalah suatu hakikat keyakinan sebenar yang diambil daripada Islam dan asas-asasnya, yang mana manusia tidak boleh terkeluar daripada had-had tersebut dan juga tidak boleh menyalahinya sama sekali.
Manakala berpesan-pesan dengan kebenaran ini tidak akan terjadi tanpa adanya ilmu yang mencukupi tentang hakikat tersebut. Oleh itu, setiap manusia dikehendaki mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu yang membawa kepada kebenaran yang hakiki tadi sebelum mereka terjun ke medan untuk memberi pesanan kepada orang lain.
Setelah itu, barulah mereka mampu untuk saling pesan memesan dan nasihat menasihati tentang kebenaran ini. Dengan ini juga, kita hendaklah memahami bahawa sifat berpesan-pesan ini merupakan satu kerja yang melibatkan kedua-dua pihak, pihak yang memberi dan pihak yang menerima.
Didalam ilmu bahasa Arab pun, huruf alif yang terletak ditengah-tengah perkataan watawaasau ( yang diberi nama alif mufa'alah ) itu menunjukkan adanya tindak balas antara dua pihak. Tindak balas ini secara langsungnya merupakan kerjasama di dalam amalan pesan memesan dan nasihat menasihati itu tadi.
Pada hakikatnya, seseorang individu muslim hendaklah mengetahui sedikit sebanyak mengenai kebenaran yang dibawa oleh Islam ini. Dia juga wajib mengikuti dan beramal soleh berpandukannya. Oleh yang demikian, apabila dia bertemu dengan individu muslim yang lain ( yang juga faham dengan hakikat ini serta beramal dengannya ) mereka akan bertukar-tukar nasihat, pandangan dan pesanan. Maka tidak dapat tidak kita selaku orang Islam yang inginkan keuntungan serta kejayaan disisi Allah, hendaklah senantiasa berpesan-pesan kepada kebenaran Islam.
Perbincangan kita tentang kebenaran inilah yang dinamakan muzakarah (ingat memperingati) dalam Islam atau lebih dikenali dengan majlis Ilmu. Oleh itu, marilah kita sama-sama menghidupkan majlis Ilmu ini di masjid-masjid kita, di rumah-rumah kita, di tempat-tempat kita bekerja, kedai kita, gedung kita, kilang kita seterusnya dimana sahaja kita berada dan bertemu. Alangkah eloknya, pabila kita berjumpa, kita saling ingat memperingati, nasihat-menasihati, berpesan-pesan dengan kebenaran Ilahi, agar kita tidak lupa leka dan alpa dek tipu daya dunia yang fana lagi hina dina ini.
Hikmat berpesan kepada kesabaran.
Sifat yang keempat bagi mukmin yang beruntung sebagaimana yang disebutkan di dalam suratul Asr ialah sifat berpesan-pesan kepada kesabaran. Sifat ini mengajak semua manusia agar bekerjasama menjayakannya.
Berdasarkan kepada tiga sifat yang terdahulu, datang pula sifat yang keempat ini sebagai pelengkap. Hal ini menunjukkan kepada kita betapa perlunya sifat-sifat tersebut ada pada setiap individu muslim yang berhajat kepada keuntungan dan kemenangan disisi Allah swt.
Oleh yang demikian, sifat berpesan-pesan kepada kesabaran ini amat penting bagi setiap orang Islam. Dengan sifat inilah mereka dapat berpegang teguh pada kebenaran, berterusan melakukan kebaikan dan amal kebajikan, bersabar di atas segala kesusahan yang datang menimpa, juga sabar menghadapi kepayahan yang menduga jiwa dan raga.
Kita selaku insan biasa dialu-alukan agar senantiasa berpesan-pesan dengan kesabaran, hal ini dilihat daripada sudut peri pentingnya sifat tersebut di dalam kehidupan. Sebagaimana yang kita ketahui, jalan ke arah kebaikan ini terlalu sukar lagi mencabar, sama susahnya untuk kita berdiri tetap di atasnya tanpa goyah. Oleh itu, kita selaku orang mukmin hendaklah mengorbankan apa sahaja yang kita miliki, samada pengorbanan untuk terus berada disamping kebenaran tersebut, pengorbanan untuk melawan hawa nafsu demi menetapkan pendirian kita kepadanya, ataupun pengorbanan untuk mengangkat darjat ketinggiannya juga pengorbanan untuk melawan musuh dan seterunya.
Oleh kerana setiap orang mengetahui dimana titik kelemahan yang ada pada dirinya, serta kelemahan yang ada pada diri sahabat-sahabatnya, malah mereka ini sering dihantui perasaan takut berlaku sebarang perubahan pada diri masing-masing, maka tidak ada jalan lain bagi mereka kecuali berazam dan berjanji untuk bersabar di atas segala onak duri yang menghalang mereka daripada mencapai kebenaran tersebut, sehinggalah mereka semua bertemu dengan Tuhan yang mereka rindui dan kasihi, Rabbul Izati.
Keseragaman sifat-sifat yang empat.
Sememangnya ada kesesuaian dan keseragaman diantara sifat-sifat yang empat bagi orang mukmin yang beroleh keuntungan, sebagaimana yang disebutkan di dalam suratul Asr. Sifat-sifat tersebut adalah keimanan, amal soleh, berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.
Keimanan merupakan suatu asas bahkan syarat serta bekalan yang penting bagi manusia yang ingin memerah dan memanfaatkan masa dan usia mereka. Amal soleh pula ibarat natijah kepada perahan itu sendiri, kerana ia adalah hasil keimanan yang tulen lagi sejati seorang hamba kepada penciptanya.
Manakala sifat berpesan-pesan kepada kebenaran pula lebih tertumpu kepada pendidikan tentang hakikat sebenar kebenaran tersebut. Ianya boleh dihasilkan melalui proses pembelajaran, amalan muzakarah, ingat-mengingati, nasihat-menasihati, membetulkan segala kesilapan demi mencapai kesejahteraan hidup, juga membetulkan segala kesilapan di dalam melakukan amal kebaikan dengan mengembalikan setiap perkara kepada asal usulnya berpandukan al-Quran, as-Sunnah dan juga ijma' ummah.
Akhirnya, sifat keempat ialah berpesan-pesan kepada kesabaran, sifat ini merupakan suatu ikatan yang diperlukan antara seorang muslim dengan muslim yang lain. Ianya penting kerana ia merupakan satu syarat bagi kita mencapai tahap yang lebih tinggi dan darjat yang mulia. Selain itu, sifat ini juga mampu meneguhkan kita untuk berdiri di atas kebenaran, disamping itu ia juga menolong kita untuk menentang segala bentuk kebatilan yang ada di atas muka bumi ini.
Setiap manusia yang bersifat dengan sifat-sifat demikan, iaitu beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, mereka inilah orang-orang yang berjaya, mereka jualah orang-orang yang beroleh keuntungan sebagaimana yang disebutkan di dalam suratul Asr. Sebaliknya, sesiapa yang menyimpang daripada sifat-sifat itu, mereka adalah orang-orang yang rugi, mereka ini dikatakan telah merugikan masa dan usia seterusnya merugikan segala-galanya yang berkaitan dengan diri serta kehidupan mereka dunia dan akhirat.
Dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa tulisan yang sedikit ini merupakan suatu kajian ilmiah keatas suratul Asr yang mengajak manusia supaya bersifat dengan sifat-sifat terpuji, sifat-sifat yang hanya dimiliki oleh orang-orang yang beruntung, berjaya dan beroleh kemenangan disisi Allah, mereka tidak pandai membuang masa begitu sahaja tanpa apa-apa pekerjaan yang menguntungkan jiwa, masyarakat dan agama.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama memerah masa dan usia kita, serta memanfaatkan setiap detik yang kita ada, selain itu sama-samalah kita nasihat menasihati antara satu sama lain, berpesan-pesan dengan kebenaran yang hakiki dan kesabaran yang sejati, semoga dengan usaha kita untuk memperbaiki diri kita sendiri, juga membaiki ummah dan masyarakat tempatan malah negara kita, ianya dapat memberi saham menaikan syiar Islam di atas muka bumi Tuhan ini.
Akhirnya kita mengambil syiar tersebut, menjadikan ia sebagai petunjuk sepanjang tempoh pengembaraan kita ke alam kekal abadi, juga sebagai petunjuk kehidupan kita didunia yang bersifat sementara lagi hina dina ini. Kepada Allah jualah kita memohon hidayah dan pertolongan, serta menagih belas simpati.
Wallahu a'laam.
Bersambung di keluaran yang akan datang...
Jika ada sebarang pertanyaan atau komen yang membina, sila alamatkan kepada penulis di alamat e-mailnya IbnRajab@Yahoo.com