PIMPINAN AL-BAARY

SIRI 2 : AD-DEEN ITU NASIHAT.

Oleh : Ibn Rajab As-Syafié.

Bismillahirrahmanirrahim...

Setelah kita sama-sama membincangkan suratul Asr dengan panjang lebar, dan kita juga telahpun menyentuh beberapa perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia, kita dapati bahawa orang-orang yang beruntung di dunia ini bahkan juga di akhirat sana mereka adalah orang-orang yang memerah umur mereka. Dengan kata lain, mereka memprogramkan masa dan usia mereka dengan keimanan yang jitu, amalan yang soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Sekarang dengan izin-Nya, marilah sekali lagi kita sama-sama membincangkan satu tajuk yang begitu popular di kalangan masyarakat tetapi masih kabur pada pandangan mereka. Tajuk yang penulis maksudkan ialah : Amalan nasihat menasihati dalam Islam. Tajuk ini merupakan kesinambungan daripada tajuk : Suratul Asr, pesanan kepada kebenaran dan kesabaran yang lepas.

 

Dua hadis menyeru amalan nasihat-menasihati.

Sebagaimana yang kita maklumi, terdapat banyak hadis yang membincangkan perkara ini, tetapi di sini, memadailah jikalau kita sama-sama merenung dua hadis berikut, kemudian kita akan bincangkannya secara ilmiah.

Hadis 1: Daripada Tamim ad-Daari r.a. bahawa nabi saw. telah bersabda: "Ad-deen itu nasihat ( 3 kali ) maka kami bertanya: Untuk siapa wahai Rasulullah? Sabdanya: Untuk Allah, kitabnya, rasulnya, pemimpin dan yang dipimpin. [ hadis dikeluarkan oleh Imam Muslim, no. 55 dalam kitabul Iman ]

Hadis 2: Daripada Jarir bin Abdullah al-Bajalli r.a. dia berkata: "Aku telah mengikat perjanjian taat setia (bai'ah) kepada Rasulullah saw. untuk menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat, dan memberi nasihat sesama muslim.

Hadis pertama yang diriwayatkan oleh Tamim r.a. itu tadi merupakan sebuah hadis yang terpenting dalam Islam. Oleh yang demikian kita dapati terlalu ramai ulama' yang mentafsir dan mensyarahkannya. Antara mereka ialah Imam an-Nawawi di dalam kitabnya (Syarah Sohih Muslim) dan juga Imam Ibn Rejab al-Hambali dalam kitabnya (Jaami' al-Ulum Wal Hikam), beliau telah meletakkan hadis tersebut pada bilangan ke tujuh.

 

Ringkasan kata-kata Ibn Rejab al-Hambali di dalam mentafsirkan hadis ini.

Disini saya ingin memaparkan sedikit ringkasan terhadap apa yang diperkatakan oleh al-Imam Ibn Rejab al-Hambali, berkenaan hadis yang pertama tadi, kerana ianya sedikit sebanyak berkait rapat dengan apa yang akan saya bawakan di dalam risalah ini.

( ...Nabi Muhammad saw. telah bersabda bahawa ad-Deen itu nasihat, ini menunjukkan bahawa nasihat meliputi setiap cabang ad-Deen iaitu Islam, Iman dan Ehsan. Ketiga-tiga cabang berkenaan telah disebutkan oleh Jibril dalam hadis yang diriwayatkan oleh abu Bakar dan kesemuanya di namakan ad-Deen ( agama ).

( ...Al-Khattabii telah berkata: Nasihat merupakan satu perkataan yang mewakili ayat " Tunjuk ajar yang baik kepada orang lain ". Di dalam bahasa arab, perkataan ini diberi makna pengasingan. Dikatakan: Aku telah menasihati madu lebah, apabila kita telah mengasingkan madu daripada sarangnya.] -rujuk kitab Ibn Rejab (1/218).

Kesimpulannya, memberi nasihat ini terlalu fleksibel sebagaimana yang dibawakan dalam hadis, ianya meliputi nasihat untuk Allah, rasul,nya kitabnya dan umat Islam itu sendiri, Jadi nasihat untuk Allah swt.merupakan kesucian aqidah di dalam mengesakan-Nya, disamping mengikhlaskan niat ketika beribadah. Manakala nasihat untuk kitab Allah pula bererti beriman dan beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya. Seterusnya nasihat untuk Rasulullah ialah dengan membenarkan kerasulannya, berusaha mentaati segala yang disuruh dan meninggalkan segala apa yang dilarang. Akhirnya nasihat untuk umat Islam seluruhnya diertikan sebagai memberi tunjuk ajar kepada mereka ke arah mencapai kemakmuran hidup dan kesejahteraannya.

 

Pendapat ulama' terdahulu mengenai nasihat.

Muhamad bin Nasr al-Maruzi menjelaskan di dalam kitabnya ((Ta'ziim Qadr as-Solat)) : Sesetengah ahli cerdik pandai berpendapat bahawa sebaik-baik terjemahan kepada 'nasihat' ini ialah bimbingan serta didikan yang baik terhadap seseorang tanpa mengira bentuk bimbangan dan tunjuk ajar tersebut. Disini kita melihat bahawa, nasihat tidak terhenti pada perkara solat, puasa semata-mata bahkan ia meliputi setiap cabang kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Ianya termasuklah kata-kata perangsang, motivasi, semangat dan sebagainya yang bertujuan menghasilkan kesejahteraan hidup sesama manusia.

Beliau juga menegaskan bahawa nasihat yang paling besar ialah nasihat yang diberikan apabila seseorang meminta kita menasihatinya. Hal ini dikuatkan oleh sabda baginda saw. : Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat maka hendaklah kamu menasihatinya.

Selain itu kita juga melihat al-Hassan berpendapat : "Sesungguhnya kamu tidak dikira memberi nasihat yang baik sehingga kamu memberikan sesuatu yang sempurna dan memuaskan hati penerimanya". Beliau juga pernah mendengar sebahagian sahabat Nabi saw. berkata : "Demi Allah yang berkuasa ke atas hidup dan matiku, kalau kamu semua mahukan, aku akan bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya orang yang paling dikasihi Allah daripada kalangan hamba-Nya ialah orang-orang yang menanamkan sifat cinta kepada Allah ke dalam jiwa orang lain dan orang-orang yang berkasih sayang sesama manusia hanya kerana Allah kemudian mereka menghidupkan bumi dengan amalan nasihat-menasihati".

Abu Bakar al-Mazni pula berkata: "Tidak ada satu sifat terbaik pada Abu Bakar as-Siddiq r.a jika hendak dibandingkan dengan sahabat-sahabat Nabi saw. yang lain melainkan sifat cintanya kepada Allah dan sifat nasihat-menasihati sesama manusia".

Manakala al-Fadhil bin 'iyadh pula berkata : " Tidak ada seorang pun di kalangan kami yang banyak mengerjakan solat maupun puasa, tetapi ada di kalangan kami orang-orang yang bersih jiwanya, suci hatinya dan suka nasihat menasihati antara satu sama lain". Beliau juga menambah: "Orang mukmin akan menyimpan rahsia dan suka menasihati orang lain, sebaliknya orang-orang fasik (suka buat dosa) pula suka membuka rahsia dan memburuk-burukkan orang lain".

Abdullah bin al-Mubarak telah ditanya : "Apakah amalan yang paling baik?" Maka dia menjawab: "nasihat menasihati untuk Allah". Selain itu kita juga melihat Abdul Aziz bin Abi Rawwad juga berkata: "Telah berlaku ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, apabila melihat sesuatu terjadi ke atas seseorang, mereka akan menasihatinya dengan lembut, maka dia akan diberi ganjaran (upah), tetapi jikalau mereka berkasar (semasa memberi nasihat) dan perbuatannya itu membangkitkan kemarahan orang yang menerima nasihat tadi, nescaya akan dibukakan segala rahsia-rahsianya".

 

Bersambung ....

Jika ada sebarang pertanyaan atau komen yang membina, sila alamatkan kepada penulis di alamat e-mailnya IbnRajab@Yahoo.com


This page hosted by Get your own Free Homepage