PIMPINAN AL-BAARY

SIRI 2 : AD-DEEN ITU NASIHAT.

Oleh : Ibn Rajab As-Syafié.

Sambungan

Pengertian Nasihat Untuk Allah.

Perlu dijelaskan di sini bahawa Allah swt. tidak memerlukan sebarang nasihat daripada makhluk-makhluk-Nya, tetapi nasihat yang dimaksudkan untuk Allah di sini ialah nasihat sesama manusia, nasihat yang bertujuan untuk mengembalikan mereka kepada Allah, kepada tuhan, kepada pencipta.

Al-Imam an-Nawawi r.h menerangkan dengan panjang lebar makna nasihat untuk Allah ini di dalam kitabnya (Syarah Sohih Muslim), di sini penulis ingin memetik beberapa perenggan yang dikira memadai untuk mengisi ruang risalah ini.

Makna nasihat untuk Allah ialah beriman kepada-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain, menyifatkan-Nya dengan sifat-sifat yang sempurna lagi agung, membersihkan-Nya daripada segala sifat yang bertentangan, mentaati segala perintah-perintah-Nya, mencegah segala kemurkaan-Nya, berkasih sayang kerana-Nya, benci juga kerana-Nya, mengasihi orang-orang yang mentaati-Nya, memusuhi orang-orang yang menderhakai-Nya, berjihat menentang manusia yang kafir dengan-Nya, mengakui segala nikmat-nikmat-Nya, mensyukuri setiap pemberian-Nya, ikhlas dalam setiap perkara menuju keredhaan-Nya, mengajak manusia ke arah mencapai sifat-sifat tersebut, berusaha mendapatkannya serta berbuat baik pada sekalian makhluk-Nya.

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa pengertian sebenar nasihat untuk Allah ini kembali kepada individu manusia itu sendiri, sesungguhnya Allah tidak berhajat kepada sesiapa yang akan menasihati-Nya, bahkan Dialah yang menasihati hamba-hamba-Nya.

 

Pengertian Nasihat Untuk Kitab Allah.

Sebagaimana maksud nasihat untuk Allah, nasihat untuk kitab Allah juga kembali kepada diri manusia. Oleh itu pengertian nasihat untuk kitab Allah ini ialah beriman bahawa ia adalah kalam Allah, diturunkan oleh -Nya untuk menunjukkan jalan yang lurus kepada manusia, tidak akan menyerupai kalam sebarang makhluk, juga tidak ada seorangpun (dari dahulu sampai sekarang) yang mampu menandingi serta mencipta sepotong ayat menyerupainya. Kemudian kita mengagongkannya, membacanya dengan bacaan yang betul (hukum tajwidnya), memperelokkan bacaan dan khusu' ketika membacanya, membenarkan segala apa yang dibawa olehnya, memahami dan beramal dengan perintah-perintah yang terkandung di dalamnya, juga kisah-kisah terdahulu serta per-umpaannya, menyebarkan pengajarannya, serta menyeru manusia kepadanya.

 

Pengertian Nasihat Untuk Rasulullah.

Manakala nasihat untuk Rasulullah pula dimengertikan sebagai membenarkan kerasulannya, beriman dengan apa yang dibawanya, taat perintah dan tegahannya, bersama-sama semasa hidup dan matinya,memusihi musuh-musuhnya, mengikuti orang-orang yang menguikutinya, menghidupkan sunnah-sunnahnya, menyebarkan dakwah yang diperjuangkannya, melawan segala bentuk tohmahan yang menimpa dakwah tersebut, menyambung sinar ilmu-ilmu yang ditinggalkan, belajar, mengajar, menyeru orang ke arah ilmu-ilmu tersebut, mengagongkan dan beradab ketika berhadapan dengannya, Selain itu, berakhlaq dengan akhlak Rasulullah, mengasihi ahli-ahli keluarga juga sahabat-sahabat baginda, menyanggah segala bid'ah dan pendustaan yang disandarkan kepada baginda.

 

Pengertian Nasihat Untuk Pemimpin.

Nasihat untuk pimpinan Islam ini ditafsirkan sebagai bekerjasama dengan mereka untuk menegakkan kebenaran, mentaati mereka, menyuruh mereka melakukan kebaikan, menegur mereka dengan baik, menyedarkan mereka dengan kesilapan dan kelalaian, seperti tidak menunaikan tanggungjawab terhadap orang-orang yang memerlukan, tidak menyalahi mereka, menyeru manusia ke arah mentaati perintah mereka, mendoakan mereka, berjihad bersama mereka, tidak menebarkan pujian-pujian yang menipu kepada mereka, menisbahkan kepada mereka perkara-perkara yang baik dan sebagainya.

Ini semua berkaitan dengan pimpinan yang dimaksudkan khalifah, ataupun mereka yang menguruskan hal ehwal orang-orang Islam.

Tetapi sekiranya ia dinisbahkan kepada alim ulama' ataupun cerdik pandai Islam, nasihat untuk mereka ditafsirkan sebagai menerima ajaran yang dibawa, mengikuti mereka di dalam melakukan ibadah dan hukum hakam agama dan menyangka baik terhadap mereka.

 

Pengertian Nasihat Untuk Orang-Orang Islam.

Menasihati orang-orang awam muslim ini merupakan tunjuk ajar untuk kebaikan mereka di dunia dan di akhirat, ianya seperti tidak menyakiti mereka, mengajar mereka tentang hal ehwal agama, menolong mereka dengan kata dan anggota, menjaga keaiban mereka, menyuruh mereka melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan, menghormati mereka yang tua, merahmati mereka yang muda, tidak mengkhianati dan membohongi mereka, menerima pendapat mereka dan sebagainya.

Telah terjadi di zaman sahabat dan salafus Soleh, ada di antara mereka yang terlalu mementingkan amalan nasihat menasihati ini sehingga membawa kepada kemudharatan kehidupan di dunia.

 

Kisah Jarir al-Bajalli menasihati penjual kuda.

Apabila imam an-Nawawi mentafsirkan hadis yang kedua tadi (yang diriwayatkan oleh Jarir r.a) beliau membawa satu kisah yang ajaib daripada Jarir r.a sendiri. Secara ringkasnya, Jarir telah menyuruh seorang hambanya membeli seekor kuda, maka hamba tadi membeli seekor kuda dengan harga tiga ratus dirham. Penjual tadi dibawa berjumpa dengannya (Jarir) untuk mendapatkan wangnya.

Jarir berkata: "Kuda kamu ini lebih mahal daripada tiga ratus dirham, apa kamu mahu menjualnya dengan harga empat ratus dirham?."Jawan penjual tadi: "Bergantung padamulah wahai Abu Abdullah." Jarir berkata lagi: "Kuda kamu ini lebih baik daripada itu lagi, apa kamu mahu menjualnya dengan harga lima ratus dirham?"...

Begitulah seterusnya Jarir menambah harga kuda tadi seratus demi seratus dirham, manakala tuannya hanya mengiakan sahaja, sehingga beliau membeli kuda tersebut dengan harga lapan ratus dirham. Dengan peristiwa itu hebohlah berita ini ke segenap pelusuk negeri, apabila Jarir mendengarnya dia hanya menjawab: "Beginilah aku mengikat janji taat setia pada Rasulullah untuk menasihati setiap orang Islam."

 

Pengajaran daripada kisah Jarir.

Marilah sama-sama kita hayati amalan murni yang dipegang oleh Jarir r.a, menghantar hambanya untuk membeli seekor kuda, hamba tadi telah menetapkan harga,yang sesuai, manakala penjual juga redha dengan harga tiga ratus dirham, mereka pergi berjumpa dengan Jarir semata-mata mahu mengambil bayaran sahaja.

Tetapi sebaliknya, apabila Jarir melihat kuda yang dibawa, dia tahu bahawa kuda tersebut sepatutnya memiliki harga yang lebih mahal, pada masa yang sama, beliau harus menerima apa yang telah disepakati antara hambanya dengan penjual, tetapi Jarir selaku seorang sahabat yang telah mengikat perjanjian taat setia dengan Rasulullah untuk nasihat menasihati antara manusia, dengan tidak semena-mena beliau menolak harga tersebut kerana ditakuti beliau akan menipu penjual kuda tadi.

Dengan sebab itulah Jarir menaikkan harga seratus-seratus sehingga beliau yakin harga kuda tersebut tidak lebih daripada lapan ratus dirham, beliau pun membelinya dengan harga tersebut.

Walaupun begitu, kedapatan antara sahabat beliau yang mencela perbuatannya dan menganggap perbuatan tersebut telah membawa kepada kerugian. Tetapi pada Jarir, (yang suka mengamalkan konsep nasihat menasihati antara sesama muslim, tambahan pula beliau mahu melaksanakan janjinya bersama Rasulullah saw.) sepatutnyalah beliau berlaku benar terhadap Allah,, Rasul-Nya, dirinya sendiri malahan terhadap sahabat-sahabat yang lain. Oleh sebab itu dia menasihati sahabatnya (penjual) walaupun terpaksa mengorbankan wang sebanyak lima ratus dirham lagi.

 

Amalkan nasihat menasihati antara kita.

Kita hendaklah menghiasi kehidupan ini dengan amalan nasihat menasihati sesama kita, berikutan dengan hadis Nabi dan teladan para sahabat baginda sebagaimana yang telah diterangkan tadi, dan juga sebagaimana yang ditunjukkan oleh Jarir ra. Hal ini kerana tabiat orang Islam ialah suka nasihat menasihati di antara satu sama lain, manakala tabiat orang munafiq pula mengamalkan konsep tipu menipu sesama mereka. Telah menjadi hak seorang muslim untuk memberi nasihat jika ia dipinta, perlu juga diingati bahawa seseorang muslim itu merupakan cermin kepada saudaranya yang lain.

Bertitik tolak daripada perkara inilah, saya kemukakan sedikit panduan dan nasihat serta pimpinan kepada saudara dan saudari sekalian, semoga melalui program yang bakal saya sampaikan ini akan menjadi pedoman buat kita semua. Semoga kita akan menjejaki langkah Rasulullah saw. dan para sahabat serta ulama'-ulama' terdahulu.

 

Jika ada sebarang pertanyaan atau komen yang membina, sila alamatkan kepada penulis di alamat e-mailnya IbnRajab@Yahoo.com


This page hosted by Get your own Free Homepage