Oleh : Ibn Rajab As-Syafie.
Setelah kita bercakap mengenai perahan umur, memperbanyakkan amalan soleh, mengamalkan nasihat menasihati dan seterusnya kita telah perhatikan bagaimana ulama silam menjaga dan menggunakan masa mereka, sekarang saya akan bawakan pembaca sekalian untuk berhadapan dengan satu nokhtah permulaan bagi mendapat sesuatu ilmu pengetahuan. Kerana pada kebiasaannya, nokhtah permulaanlah yang akan menentukan jatuh bangunnya kita di dalam satu-satu pekerjaan yang dilakukan.
Tujuan yang betul ialah nokhtah permulaan.
Sebagaimana yang kita ketahui, tujuan yang betul merupakan suatu asas di dalam menentukan kejayaan seseorang individu terutama dalam perkara menuntut dan menyampaikan ilmu pengetahuan. Justeru itu, tujuan yang betul terletak pada niat dan ikhlasnya seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan. Ikhlas semata-mata kerana Allah swt. Menuntut ganjaran pahala daripada-Nya yang Esa, serta mencari keredhaan-Nya.
Di dalam mencapai ikhlas, kita juga tidak seharusnya mengharapkan orang lain melihat pekerjaan yang kita lakukan. Juga tidak mengharapkan pujian dan pujaan mereka. Meniggalkan riya iaitu sifat menunjuk-nunjuk. Kerana sifat ini merupakan satu syirik dan menyekutukan Allah. Apabila ini terjadi, maka amalan dan pekerjaan yang kita lakukan akan terbengkalai di tengah jalan, selain itu, pahala juga akan lesap entah ke mana. Dan Allah swt. telah menyuruh kita melakukan sebarang amalan dengan niat ikhlas, semata-mata kerana-Nya yang Esa.
Ayat Al-Quran Menyeru Kepada Keikhlasan.
Firman Allah swt dalam suratul al-Bayyinah ayat 5 yang mafhumnya: Mereka tidak disuruh melainkan beribadah kepada Allah, melakukan segala pekerjaan agama dengan penuh keikhlasan, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat. Itulah agama yang betul lagi lurus.
Dalam surat az-Zumar ayat 2-3 Allah berfirman, mafhumnya: Sesungguhnya Kami telah turunkan kepadamu (wahai Muhammad) sebuah kitab (al-Quran) dengan kebenaran, maka sembahlah Allah dengan sebenar-benar ikhlas. Ingat-lah hanya bagi Allah sebuah agama yang suci murni (dari syirik).
Firman-Nya lagi dalam surah yang sama ayat 11-14. Mafhumnya: Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya aku telah disuruh beribadah kepada Allah swt. dengan ikhlas, taat mengerjakan agama-Nya dengan ikhlas. Dan aku juga telah disuruh menjadi orang pertama yang menyerah diri kepada-Nya. Katakanlah, sesungguhnya aku takut menghadapi siksaan yang pedih lagi lirih pada hari pembalasan jika aku derhaka kepada tuhanku. Katakanlah, Hanya Allah sahajalah yang aku sembah dan ikhlas mengerjakan agamaku.
Dan Firman-Nya lagi dalam suratul Insan 8-9 yang maksudnya: Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan. Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula ucapan terima kasih.
Hadis-hadis Sohih Mengajak Kepada Ikhlas.
Rasulullah saw. juga menyeru umatnya agar mengikhlaskan niat dalam setiap perkara yang dilakukan juga perkataan yang dituturkan secara zahir maupun batin. Kita dapati banyak hadis yang sohih berkaitan dengan perkara tersebut, antaranya:
1) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tarmizi dan an-Nasaai. Daripada saidina Umar al-Khattab ra. yang telah berkata: Ake telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan itu dengan niat, dan setiap orang melakukan perkara yang diniatinya, maka barang siapa yang melakukan hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan perolehi pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang berhijrah kerana kepentingan dunia, dia akan perolehinya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana seorang wanita, dia akan mengahwininya. Oleh yang demikian, setiap orang akan mendapat apa tujuan hijrahnya (apa yang dihajatinya).
2) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Abi Musa al-Asyari ra. berkata: Rasulullah saw. telah ditanya mengenai seorang lelaki yang telah berperang kerana berani, seorang yang lain kerana semangat dan seorang lagi kerana riya antara mereka yang manakah dikira sebagai jihad fi sabilillah. Jawab baginda saw.: Siapa yang berperang untuk menjadikan kalimah Allah (agama-Nya) di tempat yang tinggi maka dia termasuk di dalam golongan fi sabilillah.
3) Hadis yang diriwayatkank oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra. Rasulullah saw. telah bersabda: Sesungguhnya Allah tidak akan melihat wajah-wajah kamu, dan tidak juga kepada harta benda kamu, sebaliknya Allah melihat dan menilai hati-hati kamu dan juga amalan-amalan yang kamu lakukan.
4) Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim, at-Tarmizi dan an-Nasaai. Abu Hurairah telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw. telah bersabda: Sesungguhnya orang pertama yang dihakimi pada hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Di datangkan kepada beliau segala amalannya seterusnya dia akan disoal: Apakah yang telah kamu lakukan? Jawabnya: Aku telah berperang keranamu Ya Allah sehingga aku mati syahid. Di katakan kepadanya lagi: Kamu telah berbohong!. Malah kamu berperang supaya orang kata kamu berani!, dan mereka telah pun katakan (di dunia), kemudian diseret mukanya dan dicampakkan ke lubang neraka.
Kemudian didatangkan pula seorang penuntut dan penyampai ilmu dan juga merupakan pembaca al-Quran. Kemudian dihadapkan kepadanya segala amalan yang telah dilakukan di dunia, dan dia mengakuinya. Justeru itu dia ditanya: Apakah yang telah kamu lakukan? Jawabnya: Aku telah belajar dan mengajar ilmu, aku juga membaca al-Quran, semuanya keranamu Ya Allah. Kemudian Allah menjawab: Bohong!!, bahkan kamu belajar supaya orang kata kamu alim, dan kamu baca al-Quran supaya orang kata kamu seorang qari. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia. Setelah itu dia diseret dan dicampakkan ke dalam neraka.
Akhirnya dibawakan pula seorang yang dikurniakan harta benda serta kemewahan hidup di dunia, dan dia juga mengakui segala nikmat yang dikecapinya. Kemudia dia disoal: Apakah yang kamu lakukan dengan harta benda tersebut? Jawabnya: Aku tidak akan tinggalkan satu peluang bantuan yang engkau sukai Ya Allah sehingga aku akan keluarkan wang bantuan keranamu Wahai Tuhan. Allah menjawab: Bohong!!, tetapi kamu keluarkan bantuan tersebut supaya orang katakan kamu seorang yang pemurah. Mereka semua telahpun berkata demikian di dunia. Akhirnya dia juga diseret dan dihumbankan ke dalam api neraka.
Apabila saidina Muawiyah mendengar hadis ini, beliau menagis sehingga tidak sedarkan diri, apabila sedar beliau berkata: Benarlah firman Allah dan Rasul-Nya. Allah juga telah berfirman dalam surah Hud ayat 15-16. Mafhumnya: Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami akan berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia demgan sempurna, tanpa apa-apa kerugian. Itulah orang-orang yang tidak beroleh sesuatu di hari akhirat melainkan api neraka yang marak menyala.
5) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah ra. berkata: Aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Allah swt. berfirman di dalam hadis al-Qudsi: Aku (Allah swt.) tidak memerlukan sesiapa untuk bersekutu denganku, barang siapa yang melakukan sesuatu pekerjaan dan meletakkan bersamaku selain daripadaku (mensyirikkan Allah), maka aku akan tinggalkannya dengan sekutunya.
6) Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Majah dan Imam Ahmad dengan sanad-sanad yang sohih. Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Barangsiapa yang mempelajari ilmu Allah dengan niat untuk mencari kepentingan dunia semata-mata, dia tidak akan mencium bau syurga di hari kiamat.
Permulaan yang baik menentukan kesudahan yang baik juga.
Memang menjadi kewajipan ke atas setiap muslim yang mencari ilmu itu perlulah mempunyai suatu tujuan yang baik, permulaan yang baik dan asas yang kuat lagi berkat. Dan ada kaedah ataupun pepatah yang mengatakan demikian: Barang siapa yang baik pada permulaannya, nescaya dia akan dapat membuat sesuatu itu dengan berterusan yang akhirnya membawa kepada kesudahan yang baik juga. Sebaliknya, barang siapa yang pada permulaannya tidak baik (niatnya), nescaya dia akan menempuhi satu jalan yang bengkang bengkok yang akhirnya menghasilkan kesudahan yang tidak baik.
Justeru itu, kepada sesiapa yang berniat untuk menuntut ilmu yang bermanafaat dan boleh memanfaatkan orang lain, dia hendaklah membetulkan niatnya pada peringkat permulaan lagi. Selain itu, dia hendaklah sentiasa merujuk dan membuat persiapan untuk menghadapi ilmu tersebut setiap hari (tahdhir), sehingga sampai ajal yang menjemputnya menemui Allah swt. Begitu juga, dia hendaklah meniatkan ilmu yang bakal dipelajarinya itu merupakan satu amalan yang akan mendekatkan dirinya kepada Allah swt sama ada dalam bentuk bacaan, penulisan ataupun pengajaran (penyampaian) kepada orang lain.
Sebaliknya, jika seseorang itu menuntut ilmu kerana selain daripada Allah, nescaya Allah tidak akan menerimanya, dengan itu dia akan rugi di dunia dan di akhirat. Dan sekiranya dia menkagumi ilmu yang dipelajarinya, merasakan dirinya sempurna, memiliki sifat-sifat seperti bangga diri, gah, takabbur dan tinggi diri, nescaya Allah akan mencela dan murka kepadanya, serta Dia (Allah) akan menghilangkan keberkatan pada ilmu tersebut.
Kata-kata ulama di dalam mencela sifat-sifat keji.
Abu Darda ra. telah berkata: Tanda-tanda kejahilan itu tiga; menkagumi diri sendiri, banyak bercakap yang tiada erti, melarang sesuatu tetapi mendekati. Begitu juga kata-kata Imam Ali ra.: Hairan (kagum pada diri sendiri) itu tanda pengecutnya orang-orang yang mempunyai akal fikiran.
Kata al-Fadhil bin Iyadh pula: Seseorang itu tidak dikira gilakan pangkat kepimpinan kecuali ada padanya sifat-sifat seperti; hasad dengki, melampaui batas, sentiasa mengikuti keaiban (keburukan) orang lain serta benci apabila ada manusia yang menyebut kebaikan orang lain.
Begitu juga pendapat Sufian as-Thauri: Barang siapa yang gilakan pangkat kepimpinan maka eloklah dia menyediakan kepalanya untuk dicantas. Sesungguhnya aku telah mengilai kepimpinan pada masa mudaku, dan aku telah mengimpikan seperti seorang lelaki yang memberi fatwa di dalam masjid, tetapi apabila aku diberi kepimpinan baru aku rasakan betapa hebat dan susahnya ia.
Berkata Malik bin Dinar: Barang siapa yang mempelajari ilmu, nescaya dia akan dibentuk dengan ilmu tersebut dan dia akan tawadhuk, sebaliknya barang siapa yang mempelajari ilmu tanpa amalan dan tindakan, dia telah menambahkan sifat bangga dan takabbur dalam dirinya.
Bagaimana hilangnya usaha dan penat lelah dengan riya.
Sudah menjadi satu kewajipan bagi setiap penuntut ilmu agar menjaga proses pengajiannya, waktunya, usahanya malah penat lelahnya. Disamping itu, dia hendaklah bersungguh-sungguh dan berusaha sedaya upaya demi mencari ilmu tanpa leka serta alpa mencari kebanggaan dan kemegahan. Dia juga hendaklah menjauhkan diri daripada sifat-sifat terkeji seperti riya (menunjuk-nunjuk) dan tidak juga mencari puji-pujian manusia.
Dia perlulah bertanyakan dirinya, kenapa aku harus mengkhianati segala usahaku hanya kerana perkara-perkara kecil begini? (Riya, takabbur dll.) Apakah yang aku dapat sekiranya semua manusia memandang usahaku ini? Apakah sumbangan mereka kepadaku apabila mereka memuji dan memujaku?
Harus kita ingat bahawa seorang yang peka dan sedar sahaja yang akan menghalakan segala usaha, penat lelah, kesungguhannya mencari ilmu kepada Allah swt. Dia hanya mengharapkan balasan yang baik daripada yang Esa semata-mata.
Malah, dia juga sentiasa mengingatkan hadis-hadis sohih yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar menceritakan kelebihan ilmu dan kelebihan penuntut ilmu. Juga yang mengkhabarkan martabat seorang alim di sisi Allah swt. Seterusnya, dia hanya merindui dan mengharapkan balasan pahala yang berlipat kali ganda yang dijanjikan-Nya sahaja.
Padanya, itu semua sudah memadai untuk membuang segala sifat yang terkeji seperti godaan riya, perasaan bangga dan ujub dengan diri sendiri. Dengan itu juga dia tidak akan menggunakan ilmunya sebagai satu jalan mencari pangkat dan darjat kepimpinan, malah tidak juga untuk mengemis sebarang tujuan selain mendapat keredhaan Allah semata-mata.
Sekian, wassalam.