Bergelumang dengan riba

 

SOALAN

Dulunya saya aktif 'bermain' saham (bermain disini bermaksud membeli untuk keuntungan segera dan bukan untuk tujuan melabur) sehinggalah saya mengalami kerugian yang berjumlah berpuluh-puluh ribu ringgit. Untuk membayar kerugian tersebut, saya terpaksa meminjam daripada bank manakala sebahagian lagi saya bayar dengan wang gaji saya. Olehkerana kesempitan, saya terpaksa menggunakan kad kredit bagi menyara hidup saya dan keluarga.

Masa terus berlalu dan akhir-akhir ini timbul bibit-bibit keinsafan dalam diri saya dan saya selalu menangis ketika sembahyang dan membaca Ayat-ayat Allah. Saya selalu ke surau dan masjid dan juga ke majlis-majlis ilmu. AlhamduliLlah, mungkin ini peluang yang Allah berikan untuk saya bertaubat.

 Apa yang menjadi kemusykilan saya adalah, adakah taubat saya diterima sedangkan dalam masa yang sama saya terpaksa bergelumang dengan riba dalam kehidupan harian saya dan keluarga. Untuk pengetahuan tuan, saya tidak nampak cara lain untuk melangsaikan semua hutang-hutang saya buat masa ini.

Sekian, wassalamualaikum.

JAWAPAN

Saudara yang dikasihi ,

Seperti yang kita semua ketahui bahawa riba adalah di antara salah satu daripada dosa besar . Sesiapa sahaja yang terlibat dengan riba hendaklah berhenti dengan segara . Ini adalah kerana Allah s.w.t. di dalam Al-Quran mengistiharkan perang kepada pengamal riba .

Saudara ,

Di antara syarat taubat ialah :
  1 ) Meminta keampunan daripada Allah dengan apa yang telah dilakukan .
  2 ) benar-benar menyesal dengan apa yang telah dilakukan dan meninggalkan perbuatan tersebut .
  3 ) berazam tidak akan mengulangi apa yang telah dilakukannya .
  4 ) sekiranya berkaitan dengan hak orang lain maka hendaklah dikembalikan .

Oleh itu tidak dinamakan taubat sekiranya berterusan dengan dosa tersebut . Berbalik kepada masalah saudara , apa yang penting adalah ketakwaan kepada Allah s.w.t. Ketakwaan dan keyakinan kita kepada kekuasaan Allah adalah kubu yang paling kukuh untuk menghadapi hari-hari yang mencabar ini . Segala ujian yang menimpa ke atas diri kita adalah satu pengajaran yang paling berguna untuk menyelamatkan kita di hari kemudian . Berapa ramai manusia yang yang terpedaya dengan nikmat dunia yang sementara ini ? Berapa ramai manusia yang lupa kepada keagungan Allah sewaktu kemewahan menyaluti hidup mereka , tetapi apabila musibah menimpa mereka menjadi putus asa kepada rahmat Allah ? Apa yang dapat saya katakan di sini adalah satu nasihat , agar kita sama terselamat daripada penderitaan di hari abadi buat kita . Oleh itu berhentilah daripada amalan tersebut , carilah sumber kewangan lain yang halal , seperti berniaga secara sampingan dan sebagainya . Ini adalah kerana rezeki yang halal biarpun sedikit tetapi ia adalah berkat . Pastikan setiap rezeki yang saudara suapkan ke mulut anak dan isteri adalah rezeki yang diberkati .


This page hosted by Get your own Free Homepage