Assalamualaikum wrt
Disini saya ada beberapa masalah yg saya minta pihak doktor dapat memberi penjelasannya. Baru baru ni saya ada sedikit kekeliruan semasa saya berbincang dengan isteri saya tentang kedudukan seorang isteri terhadap suami dan keluarga suaminya.Apakah bila seorang isteri yg telah bersuami perlu melebihkan pihak keluarga sebelah suaminya berbanding keluarga siisteri.Sebagai contoh ,andaikata kedua2 ibu sisuami dan isteri sakit, apakah perlu bagi seorang isteri itu menziarahi ibu suaminya dulu kemudian barulah ibunya sendiri.?
Adakah dalam banyak hal siisteri perlu memberi keutamaan terhadap pihak suaminya dahulu?Andai kata siibu dipihak suami tidak begitu mesra dengan menantunya adakah patut siisteri bertindak menjauhinya?
Soalan saya yg seterusnya ialah adakah benar bahawa Rasulullah pernah bersabda yg maksudnya lebih kurang ; Andainya dibenarkan manusia itu meyembah sesama sendiri pasti disuruhnya siisteri menyembah suami? Wallahhualam
sekian terima kasih ..
HAMBA ALLAH, Jepun
Waalaikumussalam,,,
Masalah yang saudara timbulkan adalah berkaitan dengan hak-hak hidup berumah tangga yang digariskan oleh Islam. Apabila seorang perempuan telah berkahwin dia perlu menjaga kewajipannya terhadap suami. Di antara kewajipan disebut oleh ulama ialah :
Tidak keluar dari rumah melainkan disebabkan oleh faktor-faktor yang terlalu mendesak (dharurat) dan mendapat kebenaran suami. Ini adalah seperti :
Menziarahi kedua ibu bapanya yang sakit. Sekiranya sakit mereka berpanjangan dan memerlukan penjagaan, sedangkan tiada orang lain yang menjaga mereka selain daripada isterinya. Oleh itu dia perlu menjaga mereka walaupun tidak mendapat keizinan daripada suaminya. Ini adalah kerana ia merupakan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapanya. Tetapi di dalam keadaan ini si isteri perlu memastikan kewjipannya terhadap suami tidak terabai.
Jadi, seorang perempuan yang telah berkahwin, dia mempunyai dua tanggungjawab yang perlu dilaksanakan :
1) Menataati suami sebagai seorang isteri.
2) Mentaati kedua ibu bapanya sebagai seorang anak.
Keutaman di dalam hidup seorang perempuan yang bergelar isteri selepas suaminya ialah kedua ibu bapanya.
Jadi di dalam masalah yang saudara sebutkan, ibu sendiri yang harus diutamakan. Walupun begitu suami berhak untuk mengajak isteri menziarahi ibunya (mertua isteri) dahulu, kemudian barulah ibu isteri.
MASAALAH MENANTU DENGAN IBU MERTUA
Di antara tanggungjawab isteri juga ialah berbaik-baik (al-ihsan) dengan keluarga suami, terutamanya ibu suami.
Biasanya krisis yang berlaku di antara menantu dan mertua, disebabkan oleh si ibu merasakan dia perlu mengawasi hidup anaknya, sementara si isteri merasakan ia cukup matang untuk menguruskan kehidupan dia dan suaminya sendiri. Jadi, seolah-olah terdapat perebutan kasih sayang di antara ibu dan isteri. Seorang suami yang bijak akan memberikan kasih sayang yang sewajarnya kepada ibu yang melahirkannya dan kepada isteri, teman hidup dan ibu kepada anak-anaknya.
Begitu juga, seorang isteri yang bijak akan cuba sedaya upaya untuk memikat hati mertuanya kerana itu juga merupakan sebahagian tanda kasihnya kepada suami. Oleh itu tidak wajar sama sekali isteri bertindak menjauhi mertuanya. Sekiranya ini berlaku suami mesti bijak untuk merapatkan mereka kembali.
MASALAH HADIS
Hadis yang bermaksud : "Sekiranya aku memerintah seseorang supaya sujud kepada seseorang , nescaya aku akan memerintahkan seorang perempuan supaya sujud kepada suaminya."
Hadis ini adalah sahih. Ia diriwayatkan oleh Al-Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Ia menunjukkan betapa besarnya tanggungjawab seorang isteri kepada suami yang merupakan ketua rumah tangga. Apabila suami dan isteri saling menunaikan tanggung jawab masing-masing Insya Allah, rumah tangga mereka merupakan sebuah taman yang diberkati oleh Allah . Taman yang bakal melahirkan putera dan puteri Islam yang akan memimpin generasi akan datang !.