Menteri Kewangan membangkitkan tentang tanggungjawab entiti yang diswastakan dan mengingatkan Dewan ini tetang seruan Perdana Menteri supaya IPP menstandardkan kadar elektrik mereka supaya tidak membebankan Tenaga Nasional Bhd dan para pengguna.
Di pembukaan Persidangan ke-11 Industri Pembekal Kuasa Elektrik Isnin lepas, Perdana Menteri berkata bahawa harga letrik IPP yang ditawarkan kepada Tenaga Nasional harus ditentukan dengan cara di mana Tenaga Nasional tidak dibebankan dengan kos yang tinggi di samping mensubsidi kos pembekalan tenaga letrik ke kawasan-kawasan pendalaman. Beliau juga berkata bahawa kerajaan mungkin akan menghentikan pembinaan lebih banyak IPP.
Masalah yang paling besar bukannya masalah ujudnya terlalu banyak IPP tetapi masalah untuk memastikan ujudnya syarat perniagaan yang adil di mana IPP tidak diberi perlindungan dari kerajaan sehinggakan meminta kadar jualan yang terlalu tinggi dari Tenaga Nasional serta para pengguna Malaysia.
Bukannya suatu rahsia lagi bahawa Tenaga Nasional sungguh tidak gembira dengan perjanjian pembelian tenaga letrik yang ia dipaksa terima dari berbagai IPP, dan baru-baru ini, kuasa letrik yang bakal dijana oleh empangan Bakun.
Dalam tahun 1995, jumlah pembayaran Tenaga Nasional kepada IPP merupakan 40% dari kos operasi Tenaga Nasional, di mana sungguhpun Tenaga tidak berupaya menjualkan kelebihan bekalan elektriknya yang dijana dengan harga kurang dari 10 sen seunit, tetapi masih dipaksa untuk membeli dari IPP dengan harga yang lebih tinggi. Di salah satu kontrak ‘take-or-pay’ yang dikenakan ke atas Tenaga Nasional ini, ia terpaksa membayar 75% tenaga elektrik yang dijanaoleh YTL dengan harga 15.5 sen seunit, sunguhpun ia tidak memerlukan sebarang bekalan elektrik darinya.
Adalah dilaporkan juga bahawa hasil dari kontrak yang tidak adil ini, salah satu IPP, iaitu YTL Power Generation Sdn Bhd, berupaya mengaut keuntungan RM800 juta dalam masa satu tahun - hampir setengah dari jumlah keuntungan Tenaga.
Ketidakadilan pengaturan seperti ini terhadap Tenaga Nasional merupakan masalah kedua bila dibandingkan dengan persoalan yang lebih besar mengenai ketidak adilan pengaturan seperti ini terhadap para pengguna Malaysia, kerana keuntungan IPP ini semuanya dibayar oleh pengguna dan bukannya oleh Tenaga Nasional dalam bentuk tarif yang tinggi.
Oleh sebab Tenaga Nasional tidak dibenarkan bertindak bebas dalam mengatur perjanjian pembeliannya dengan IPP, maka ia telah dipaksa untuk bersetuju dengan kadar jualan yang tinggi yang diminta oleh IPP, yang berbeza-beza seperti berikut:
IPP Kuasa Letrik yang dijual kepada Tenaga (sen per unit)
Genting Sanyen Power Sdn Bhd 11.8
Port Dickson Power Sdn Bhd 13.0
Powertek Bhd 13.1
Segari Energy Venture Sdn bhd 13.5
YTL Power Generation Sdn Bhd 15.5
Bakun Hydroelectric Corp Bhd 16.5
Oleh sebab kos penjanaan oleh Tenaga Nasional adalah jauh di bawah 10 sen seunit, maka satu Suruhanjaya Pemerhati Penswastaan harus ditubuhkan untuk menjaga kepentingan para pengguna dan mencadangkan penstandardan kadar bagi elektrik yang boleh dikenakan oleh IPP ke atas Tenaga Nasional dan para pengguna - dan menjadikan semua ini labih selaras dengan kadar elektrik yang dikenakan oleh Genting Sanyen Power Sdn Bhd pada 11.8 sen seunit.
Kerajaan harus juga dengan seriusnya mempertimbangkan cadangan bahaws penjanaan tenaga letrik dibebas dari kawalan, supaya pengeluar-pengeluar - termasuk kilang-kilang yang dikendalikan oleh Tenaga - semuanya dapat bersaing di pasaran terbuka.
Di Negeri Thai umpamanya, Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT) telah mempelawa tawaran terbuka untuk pembekalan kuasa letrik dari firma-firma swasta dan telah mendapat harga tawaran serendah 10 sen per kilowatt per jam - jauh lebih baik dari apa yang boleh ditawarkan oleh IPP di Malaysia.