RUKUN ISLAM DAN PEMBENTUKAN PERIBADI MUSLIM

Kelolaan Ust. Jai

 

Rasulullah saw telah diutuskan oleh Allah swt sebagai rasul dan dan penyelamat kehidupan manusia dengan cara yang jelas serta terang dalam dakwahnya.

Pengutusan baginda rasululah saw adalah sebagai perintis jalan yang memimpin manusia kepada hidayat dan keredhaan Allah. Soal-soal ibadat yang telah disyariatkan di dalam Islam yang diistilahkan sebagai tiang keimanan bukanlah semata-mata bertujuan untuk membelenggu manusia dengan amalan-amalan ghaib yang tidak dapat difahami dan bukan pula gerakan-gerakan atau paksaan supaya melakukan sesuatu yang tidak jelas maksud dan tujuannya. Tetapi hakikat yang perlu difahami di sebalik simbolik tersebut merupakan latihan dan didikan yang berulangan untuk membiasakan manusia hidup dengan budi pekerti yang tulin berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam.

Umpamanya solat fardhu yang diperintahkan oleh Allah swt. mempunyai hikmat tersendiri, Allah telah berfirman:

Mafhumnya: Dirikanlah sembahyang sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah daripada perbuatan keji dan munkar.

Inilah hakikat sebenar diwujudkan ibadat solat iaitu menjauhkan manusia dari segala perilaku buruk dan membersihkannya dari segala bentuk kejahatan.

Zakat yang diwajibkan oleh Islam bukanlah bertujuan menganiayai mana-mana pihak tetapi ianya semata-mata untuk menanamkan rasa kasih sayang dan mengeratkan hubungan persaudaraan di antara berbagai lapisan masyarakat, miskin maupun kaya. Allah telah berfirman dalam surah at-Taubah 103 mafhumnya:

Ambillah zakat dari harta mereka kerana dengan zakat itu engkau akan menyucikan jiwa mereka.

Berdasarkan ayat diatas, jelaslah bahawa hikmat yang terkandung dalam kewajipan zakat ialah untuk membersihkan jiwa dari kekotoran dan kekurangan dan mengangkat martabat masyarakat ke taraf yang lebih mulia.

Islam juga mensyariatkan puasa dan Islam tidak memandang puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum tetapi jauh lebih penting sebagai langkah untuk mendidik diri daripada mengikut nafsu syahwat dan dorongan naluri yang terlarang.

Rasulullah telah bersabda:

Mafhumnya: Puasa itu bukan hanya dengan meninggalkan makan dan minum, tapi puasa juga adalah dengan meninggakan kata-kata nista, jika sesorang mengumpat dan memaki hamun, katakanlah sesungguhnya aku berpuasa.

Pemergian ke tanah suci untuk menunaikan ibadat haji merupakan salah satu kewajipan yang ditetapkan oleh Islam kepada mereka yang mempunyai kemampuan. Mungkin ada dikalangan kita yang menyangka bahawa urusan ini tidak mempunyai ajaran-ajaran budi pekerti. Jika ini yang kita anggapkan, maka kita telah tersilap dalam membuat andaian. Allah telah menegaskan dalam firmannya mengenai haji dalam surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud:

Musim Haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan tersebut untuk menunaikan Haji, maka ia tidak boleh melakukan persetubuhan, berbuat derhaka dan berbantah-bantahan selama masa menunaikan Haji. Dan sesungguhnya Allah mengetahui segala kebaikan yang dilakukan. Siapkan bekalan, sesungguhnya bekalan yang terbaik adalah taqwa, maka bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal.

Itulah secara ringkasnya tentang beberapa jenis ibadat yang diwajibkan dalam islam dan dikatakan sebagai rukun Islam. Dari sini jelaslah bahawa Islam sebagai syariat yang unggul mempunyai kaitan dan hubungan erat dalam pembentukan peribadi muslim.

Jika dilihat daripada segi penampilan dan bentuk-bentuk ibadat, sememangnya ia berbeza dari pandangan zahir, tetapi hakikatnya ia berpusat dan bertaut pada satu matlamat yang telah digariskan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya.

Mafhumnya: Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan peribadi yang mulia.

 

Kesimpulan

Solat, puasa, zakat, haji adalah merupakan latihan ketaatan kepada Allah demi mencapai tahap kesempurnaan yang diidamkan, di samping itu ia juga sebagai agen penyucian jiwa dan meninggikan kedudukannya. Sifat-sifat mulia yang lahir daripada ibadat tersebut merupakan saham dalam menegakkan agama Allah dimuka bumi ini...

Wallahu a’lam ...


This page hosted by Get your own Free Homepage