PERIBADI INSAN ANTARA YANG TERPUJI DAN DI KEJI
Oleh : Ust. Jai.
Islam sebagai satu agama yang unggul, menjadikan pendidikan dan pentadbiran jiwa sebagai salah satu asas utama dalam usaha untuk membaiki keadaan masyarakat dan umat manusia seluruhnya. Pendidikan jiwa dengan asas-asas dan prinsip-prinsip Islam merupakan perkara penting yang perlu dipelihara oleh manusia kerana bila jiwa dapat di kuasai oleh iman, maka ia tidak akan mudah tunduk dan terpengaruh dengan apa jua perubahan yang mendatang. Kekuasaan imanlah yang akan memandu jiwa manusia untuk simpati kepada matlamat hidupnya.
Keruntuhan moral merupakan faktor utama yang menimbulkan kekacauan dalam masyarakat. Walaubagaimana baik sekalipun sistem kehidupan manusia, tapi bila disertai bersamanya orang-orang yang rosak jiwanya, maka hancurlah sistem itu, tetapi jiwa yang tenang, beriman dan meletakkan pengharapan hanya kepada Allah maka penampilnya akan tetap baik dan mantap walaupun mereka berada di tengah-tangah masyarakat yang rosak.
Jesteru itu, jelaslah bahawa pentarbiahan jiwa manusia merupakan aset utama dalam mewujudkan kegemilangan dalam kehidupannya. Firman Allah SWT :
Maksudnya : Dan jiwa serta penyempurnaanya adalah ciptaan-Nya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kedurhakaan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya, dan sesunguhnya rugilah orang-orang yang mengotorinya.
Di dalam menangani masalah peribadi dan kejiwaan manusia dengan maksud untuk memperbaikinya, Islam memandang perkara tersebut dari dua sudut.
Dalam jiwa manusia sebenarnya terdapat fitrah yang baik, yang selalu menginginkan dan selalu merasa senag bila dapat mengerjakannya. Ia tidak suka pada kejahatan dan akan merasa berdosa bila terlibat dengannya.
Di samping itu dalam jiwa manusia terdapat juga kecenderungan untuk menjadi liar, ingin lari meninggalkan jalan yang benar, merasa puas sekiranya dapat melakukan sesuatu yang mendatangkan kemudharatan yang akan menjerumuskannya ke lembah kehinaan.
Selain itu, Allah menjelaskan bahawa Islam adalah agama fitrah yang sama sekali bersih dari segala bentuk kekurangan, Firman Allah :
Maksudnya : ( Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, dan tetaplah berada di atas fitrah Allah yang telah mencipta manusia menurut fitrah itu. Tidak ada penambahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengatahuinya.)
Namun dalam situasi ini manusia lebih cenderung untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu daripada mengejar ketinggian martabat di sisi Allah. Kehidupan mereka dipandu dan dikuasai oleh hawa nafsu yang akhirnya menyeret mereka kelembah kebinasaan, Allah taala telah berjanji bahawa golongan ini selayaknya diletakan di tempat yang paling rendah sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran.
Maksudnya : Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam dengan sebaik-baik kejadian, kemudian kami kembalikan mereka ke tempat yang serendah-rendahnya kecuali orang-orang beriman dan melakukan perbuatan yang baik.
Manakala tindakan Islam terhadap tabiat jahat manusia adalah dengan memperingatkannya dan berusaha untuk mengekangnya daripada belenggu hawa nafsu sehingga dapat tunduk kepada akal fikiran yang sihat dan fitrah yang baik. Marilah kita sama-sama merenungi beberapa hadith Rasullullah SAW yang menceritakan mengenai tabiat dan peribadi manusia.
Anak Adam ( manusia) menjadi dewasa bersama kematangan dua sifat yang ada pada dirinya iaitu tamak dan harapan yang tidak ada kesudahannya.
Manakala sifat paling buruk yang ada pada manusia ialah terlampau penakut dan terlalu kikir.
Seandainya anak Adam diberi lembah daripada emas tentu dia menginginkan lembah yang kedua dan jika diberi yang kedua dia menginginkan lembah yang ketiga, perut anak adam (manusia) tidak akan puas melainkan disumbat dangan tanah, namun Allah mengampuni orang-orang yang bertaubat.
Kesimpulan:
Islam menghargai fitrah murni dan mengingatkan bahawa tuntutan hawa nafsu tidak ada penghujungnya.
Amal ibadat yang disyariatkan oleh Islam adalah untuk menegakkan kesucian fitrah dan menundukkan hawa nafsu, tetapi seandainya ibadat yang dilakukan itu tidak mencapai tahap kesempurnaan, maka tidak tercapailah matlamat tersebut dan ia tidak dapat membentuk peribadi yang mulia.
RENUNGAN & PENILAIAN DIRI
Di tahap manakah ( paling layak ) kita akan letakkan mutu peribadi kita sekarang?
Adakah kita tergolong daripada kalangan mereka yang dibelenggu oleh hawa nafsu?
Atau adakah kita tersenarai dalam golongan mereka yang diberi rahmat dan petunjuk Allah, lalu menjadikan iman sebagai perisai diri???
Carilah segera jawapan kepada persoalan ini sebelum kita dipanggil mengadap Allah swt.