SIRI III

PERIBADI MUSILIM : PERSAUDARAAN DALAM ISLAM

Oleh : Ustaz Jai

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13:

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya kami telah menciptakan kalian terdiri daripada lelaki dan perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak agar agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya manusia yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling tinggi ketaqwaannya Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenali.

Berdasarkan ayat di atas jelaslah bahawa tidak ada satu pun alasan logik yang boleh diterima akal untuk mendorong manusia hidup dalam keadaan berpecah belah, bersengketa dan salin tidak mengenali. Rasa kasih sayang di antara sesama manusia merupakan fitrah semula jadi dan realiti yang semestinya diterima oleh setiap insan yang berfikiran, kewujudan sifat ini dapat membantu dalam melahirkan masyarakat harmoni yang diliputi suasana saling sayang menyayangi dan hormat menghormati kerana Allah. Dengan terbentuknya masyarakat yang sedemikian maka sudah pastinya keamanan dan kedamaian di muka bumi ini akan terjamin.

Tetapi apa yang mendukacitakan, saban hari kita mendengar berita-berita mengenai perbalahan, perpecahan, peperangan dan bermacam jenis pengsengketaan yang melanda hidup masyarakat pada hari ini. Kenapa ini semua terjadi? Apakah rasa kasih sayang dan persaudaraan Islam sudah hilang dalam diri manusia? Seolah-olah manusia di akhir zaman ini ketandusan sifat-sifat tersebut, atau apakah mereka sengaja mengikis dan mengenepikan fitrah semulajadi yang sememangnya wujud dalam diri mereka. Sama-samalah kita fikir dan renungi sejenak sebab-sebab yang mendorong manusia bersifat sedemikian

Egoisme :

Egoisme atau semangat mengutamakan kepentingan diri sendiri secara berlebih-lebihan adalah salah satu penyebab yang merosakan kemulian fitrah semulajadi manusia. Apabila tuntutan egoisme itu telah mencengkam jiwa sesorang maka akan hilanglah kebaikkan dan muncullah keburukannya. Mereka yang dikuasai oleh sifat ini hanyalah melihat dunia dan isinya sebagai unsur-unsur untuk memenuhi tuntutan dan keinginannya sendiri atau sebagai sesuatu yang mengancam kepentingannya sendiri tanpa melihat kepada sumbangan dan kepentingan terhadap orang-orang di sekelilingnya.

Islam menyatakan penentangannya terhadap egoisme yang melampau dengan menegakkan persaudaraan yang adil. Islam mendidik umatnya untuk memahami erti kehidupan yang sebenar, hidup bukan berdasarkan kepentingan diri sendiri tetapi perlu di ambil kira tentang hak-hak dan kepentingan orang lain. Dengan demikian rasa egoismenya akan dapat ditundukkan sedikit demi sedikit.

Sabda Nabi SAW

Ertinya : Perumpamaan orang Islam dalam ikatan persaudaraan berkasih sayang diibaratkan sekujur tubuh, jika salah satu anggota badannya ditimpa kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya dan tidak dapat tidur.

Salah satu tanda wujudnya persaudaraan yang luhur ketika kita merasa senang dan tenang bilamana melihat saudara kita beroleh kebaikkan dan kesenangan, bahkan akan berusaha untuk meraih kesenangan untuk dirinya sendiri pula. Bila anda benar-benar telah berusaha ke arah itu, bererti anda telah mendekati diri kepada Allah swt. melalui cara ketaatan yang paling tinggi nilainya dan paling besar ganjarannya.

PERSOALAN : Apakah kita telah sampai pada tahap ini? Atau adakah lagi sejalur niat dan usaha untuk sampai ketahap ini??

RENUNGILAH DIRI SENDIRI&ldots;

Sebelum penulis mengakhiri ruangan ini, marilah sama-sama kita merenungi dan menghayati beberapa hadith yang berkaitan dengan ikatan persaudaraan.

Rasullullah saw bersabda :

Ertinya : Perumpamaan orang yang beriman terhadap orang beriman yang lain seperti sebuah bangunan, saling bantu membantu dan memperkuatkan antara satu sama lain.

Rasullullah saw bersabda :

Ertinya : Jangan sekali-kali ada di kalangan kamu yang berdiam diri melihat saudaranya teraniaya, Sesungguhnya kutukan Allah menimpa orang yang hadir menyaksikan tetapi tidak mahu membelanya.

Rasullullah saw bersabda :

Ertinya : Barang siapa berjuang bersama-sama orang yang teraniaya ( dizalami ) sehingga orang yang teraniaya itu dapat kembali hak-haknya, Allah akan menetapkan kaki orang itu di atas Titian Sirat pada hari di mana banyak kaki yang tergelincir, ( yakni hari Kiamat ).


This page hosted by Get your own Free Homepage