Aqidah

 

SALASILAH PEMURNIAN AQIDAH DAN PENYUCIAN HATI

OLEH: DAARIJU MADARIS SAALIKIIN BAYNA MANAZIL IYYAAKA NA’BUDU WA IYYAAKA NASTA A’IIN

BIL: 1

Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia yang dikasihi sekelian;

Adalah menjadi tanggungjawab seorang muslim atau muslimah yang mengucap (Laa ilaaha illa Allah) untuk memahami makna kalimah syahadah dan syarat-syaratnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasulnya. Apabila seseorang muslim memahaminya maka bertambahlah iman kepada Allah. Kemudian dia akan mengetahui siapakah dirinya dan mengapakah dia dilahirkan di dunia ini. Adakah sekadar mengucap (Laa ilaaha illa Allah) sahaja, tanpa merasa takut dengan azab Allah, bebas bergaul dengan wanita-wanita, minum arak, berjudi, berzina dan sebagainya? Disebabkan tidak memahami dan menghayati kalimah syahadahlah manusia itu murtad dan sanggup meninggalkan agama Islam sermata-mata ingin berkahwin dengan orang kafir. Disebabkan oleh perkara yang sama juga manusia melaknat kedua ibubapanya, meninggalkan solat, ingkar melaksanakan syariat Allah dan menghina ulamak-ulamak.

Jadi Aqidah yang bagaimanakah yang dapat melahirkan hamba Allah yang mengtauhidkan Allah dengan sebenar-benar Tauhid? Tidak lain dan tidak bukan ialah Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jamaah. Apabila seorang muslim itu memahami hakikat (Laa ilaaha illa Allah), maka dia tidak akan berzina, kerana dia telah beriman bahawa Allah maha melihat. Dia tahu bahawa dia tidak boleh berzina di tempat yang sunyi daripada pengetahuan Allah kerana Allah itu maha melihat. Maka Aqidah inilah yang kita mahu dan amalkan.

Seorang muslim itu tidak memahami hakikat Aqidah yang sebenar jika dia sekadar bermaklumat sahaja, tetapi kesan-kesan Aqidah itu tidak terserlah pada amalannya zahir dan batin. Oleh itu atas dasar inilah kita perlu menaiki tangga-tangga yang akan menyampaikan kita ke peringkat (Iyyaka na’budu wa iyyaaka nasta a’iin).

Perjalanan untuk menuju ke Ubudiah Taammah ( kehambaan yang sempurna ) penuh dengan liku-liku perjuangan. Seorang muslim itu perlu melepasi banyak tangga-tangga dan tingkat-tingak untuk sampai kepada Ubudiah yang diredhai Allah. Oleh itu marilah kita mulakan langkah yang pertama dengan memahami seterusnya menghayati makna dan syarat-syarat kalimah syahadah. Semoga Allah Taala menetapkan iman kita agar terus meningkatkan ibadah kepada Allah. Amin.

(1) Makna (Laa Ilaaha illa Allah) : Tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah.

(2) Rukunnya: 1- Menafikan (Laa Ilaaha)

  2- Menetapkan ( Illa Allah)

Maka ( Laa Ilaaha ): menafikan Uluhiah dari setiap sesuatu.

# AL-ULUUHIYAH : Mengesakan Allah Taala didalam Ibadah tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu pun selain daripadanya, sebagaimana firman Allah dalam surah An-Nisa’, ayat 36:

Maksudnya: Sembahlah kamu semua akan Allah dengan sebenar-benarnya dan janganlah kamu menyekutukan Allah dengan sesuatupun.

(3) Syarat-syarat Laa Ilaaha illa Allah

1. Pemahaman terhadapnya menafikan kejahilan:-

Kita telah pun tahu bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Maka semua tuhan-tuhan yang disembah oleh manusia selain daripada Allah adalah batil dan salah.

2. Keyakinan yang menafikan syak/ keraguan:-

Seseorang yang menyebut Laa Ilaaha illa Allah wajib meyakini bahawa Allah Taala sahajalah yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya.

3. Ikhlas: - Seorang hamba Allah itu mestilah mengerjakan segala ibadah kepada Allah dengan hati yang ikhlas. Apabila seorang insan mengerjakan ibadat bukan kerana Allah, tetapi dengan menyekutukan Allah seperti beribadat kerana berhala atau Jin atau ahli sihir atau orang yang telah mati atau syaitan, maka dia telah menyekutukan Allah. Secara tidak langsung dia telah melanggar syarat (ikhlas).

4. Membenarkan: Seorang muslim wajib membenarkan apa yang diucapkannya. Hatinya menepati apa yang diucapkan oleh lidahnya, begitu juga lidahnya menepati apa yang dipercayai dalam hatinya. Jikalau dia mengucap kalimah syahadah sedangkan hatinya tidak beriman dengannya maka sia-sia sajalah syahadah tersebut. Oleh itu, dia menjadi seperti golongan munafiqin.

5. Cinta: Seorang muslim itu wajib mencintai Allah dengan melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Jika dia mengucapkan kalimah syahadah tetapi tidak mencintai Allah, dia menjadi kafir seperti orang-orang munafik.

6. Taat dan patuh: Dia wajib beribadah kepada Allah dan mematuhi syariat-Nya dan beriman dengannya dan beriktiqad bahawa kalimah syahadah adalah besar. Jika dia menyebutnya tanpa mengabdikan dirinya kepada Allah serta melanggar syariat-Nya, bahkan dia takabbur dan sombong dengan kekufurannya maka dia bukanlah seorang muslim, tetapi Iblis.

7. Penerimaan pada apa yang dituntut oleh kalimah syahadah. Hendaklah dia menerima apa yang dituntut oleh kalimah tersebut seperti mengikhlaskan ibadat kepada Allah dan tidak menyembah selain daripada-Nya, berpegang teguh dan redha dengannya.

8. Mengkafirkan segala yang disembah selain daripada Allah. Ertinya, seseorang muslim itu hendaklah meninggalkan ibadah selain daripada Allah dan beriktiqad bahawa setiap yang disembah selain dari Allah adalah batil.

Begitulah wahai umat Islam sekelian, langkah pertama kita dalam memperolehi kemanisan kehambaan pada Allah. Maka fahamilah maklumat-maklumat diatas dan hayatilah ia. Kemudian berusahalah agar gerak geri serta tingkah laku kita menunjukkan bahawa kita itu beraqidah. Taqwa yang terserlah pada jiwa mukmin yang memahami LAA ILAAHA ILLA-ALLAH akan melindunginya dari murtad kepada Allah dan maksiat. Mahabbatullah ( cinta kepada Allah ) pula akan menjadikan dirinya taat beribadat kepada Allah, mengasihi kedua ibu-bapanya, tidak bergaul bebas, suka berjemaah di masjid dan berakhlak mulia. Sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh bukhari dan Muslim:

Maksudnya: Maka sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka kepada mereka yang mengucap Laa Ilaah illa-Allah demi untuk mencari keredhaan Allah.

Akhirnya: Saya bertawassul kepada Allah dengan Asmaaullah Al-Husna dan sifat-Nya agar Allah memberi hidayah kepada golongan manusia sejagat dan memberikan hidayah kepada orang mukmin agar terus mentaati-Nya sehinggalah kita semua bertemu Allah. Sekian dulu dari saya, semoga kita akan menaiki tangga yang seterusnya dalam menuju kehambaan Allah melalui rencana-rencana yang seterusnya.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Oleh: Al-Faakiru ila-Afwi Rabbi: Daarijul Madaarij Bayna Manazil Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’iin.


This page hosted by Get your own Free Homepage