AQIDAH

SIRI PEMURNIAN AQIDAH DAN PENYUCIAN HATI

OLEH: DAARIJU MADARIJIS SAALIKIIN BAYNA MANAZIL IYYAAKA NA’BUDU WA IYYAKA NASTA’IIN..

BIL 2.

TAJUK: CINTA HAKIKI LAGI ABADI

 

Muslimin dan muslimat yang dihormati sekalian;

 

Sekali lagi kita bertemu di dalam ruangan ini untuk sama-sama mengorak langkah yang seterusnya dalam menuju destinasi kita iaitu (Iyyaaka na’budu wa Iyyaaka nastai’iin). Oleh itu, saya akan bersama-sama dalam ruangan ini dengan Syaikhul Islam Al-Hafiz Ibn Qayyim Al-Jauziyyah yang akan menerangkan kepada kita bagaimanakah caranya untuk memperolehi kemanisan tauhid.

Ikhwah,

Kenapa umat Islam pada hari ini lemah? Anak ramai, tetapi semuanya tidak beradab dan menderhakai kedua ibu bapa. Harta melimpah ruah, tetapi hati tidak tenang dan musuh keliling pinggang. Sembahyang lima waktu tetapi mengingkari pelaksanaan Syariah Islam yang menyeluruh. Hari-hari mengucap dua kalimah syahadah dalam solat, tetapi tidak memakai tudung syarie, memakai seluar pendek dan mendedahkan aurat. Mengapa Laa ilaha Illa Allah yang disebut oleh orang Islam hari ini tidak mampu menimbulkan rasa takwa dan takut akan azab Allah? Kenapa manusia pada hari ini begitu mudah sekali murtad dan menolak pelaksanaan Daulah Islamiah.

Jawapannya ialah kerana umat islam hari ini gagal menghayati Laa ilaaha Illa Allah. Jadi Aqidah yang bagaimanakah yang akan meresap dalam sanubari manusia, lalu dia sedar akan tangungjawabnya sebagai hamba Allah di muka bumi ini? Tidak lain dan tidak bukan ialah Aqidah Salafussoleh yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Ramai golongan yang belajar agama samada di dalam atau luar negeri, tidak mementingkan soal Aqidah. Sepatutnya mereka ini pulang ke tanah air lalu memberikan kefahaman yang sebenar tentang Aqidah Ahlil Hadith. Kita mahu melahirkan manusia yang bukan sahaja bermaklumat tentang Aqidah, tetapi gerak gerinya, tingkah lakunya dan kata-katanya menunjukkan dia faham Laa ilaaha Illa Allah. Aqidah inilah yang akan menjadikan manusia yakin dengan agama Allah dan tidak murtad, Aqidah inilah yang akan melahirkan anak-anak yang soleh dan berakhlaq mulia. Aqidah ini juga yang akan melahirkan umat Islam yang berlumba-lumba menghadiri majlis-majlis agama di masjid serta mentaati nasihat-nasihat ulamak muktabar!

Ikhwah yang dirahmati Allah,

Berkata Syaikhul Islam Ibnu Qayyim As-Salafy di dalam kitabnya ‘Al-Fawaaiid’ muka surat 70 "Sesungguhnya kelazatan tauhid itu bergantung kepada cinta Ilahi, jika teguhnya cinta itu maka teguhlah tauhid. Oleh itu, setiap kali bertambahnya cinta dan rindu kepada Allah makin sempurnalah kelazatan menuju keredhaan Allah Taalla. Cinta dan rindu pula bergantung kepada pengetahuan seorang hamba dan ilmunya dalam mengenali Allah. Setiap manusia itu mengenali Allah dengan Ilmu, semakin sempurna ilmu tersebut bertambahlah cinta dan kasih sayangnya kepada Allah, hal ini membawa kepada kesempurnaan nikmat di Akhirat. Kesempurnaan kelazatan itu bertitik tolak daripada Ilmu dan Cinta. Apabila seseorang itu beriman kepada Allah dan nama-namanya al-Husna serta sifat-sifatnya maka bertambahlah cintanya kepada Allah, bertambah sempurnalah kelazatannya untuk menuju Allah, mendampinginya serta melihat wajah Allah dan mendengar kalamnya. Sesungguhnya segala nikmat dunia, kelazatan, kegembiraan dan kebahagiaannya umpama setitik air hujan di dalam lautan luas. Oleh itu, bagaimanakah seseorang yang berakal itu mengutamakan nikmat dunia yang sementara, lemah dan penuh dengan onak duri ini lebih dari kelazatan akhirat yang hebat lagi kekal abadi? Oleh yang demikian, kesempurnaan seseorang hamba itu bergantung kepada iIlmu dan cinta, dan sebaik-baik ilmu ialah ilmu mengenal Allah, dan sehebat-hebat cinta ialah cinta kepada Allah dan kelazatan yang sempurna bergantung kepada ilmu dan cinta. Wallahul Mussta’aan.

Ikhwah sekalian,

Masalah umat Islam hari ini ialah Aqidah dan Islam yang dianuti oleh mereka adalah Islam dan Aqidah tradisi. Lahir saja ke dunia sudah Islam. Tetapi perangai dan prinsip-prinsip hidupnya bertentangan dengan Islam. Adakah Aqidah itu sekadar membaca Al-Fatihah sahaja supaya boleh makan nasi minyak di majlis kenduri? Adakah Islam itu sekadar menyebut Laa ilaaha illa Allah tetapi dia pergi berjumpa bomoh yang karut lagi penipu, yang mengamalkan sihir untuk mengubati penyakit, lalu dia meninggalkan jampi yang diamalkan oleh Nabi saw, yang diambil dari Al-Quraan dan Sunnah? Inilah masalah kita. Oleh itu saya tegaskan disini bahawa kita tidak mahu Aqidah dan Islam Tradisi. Kita mahukan Aqidah dan Islam yang diajar oleh baginda Nabi saw!!! Aqidah Baginda saw diwarisi oleh para sahabat , Taabi’iin dan Taabi’ taabi’iin. Oleh itu Aqidah yang paling indah ialah Aqidah Salafussooleh. Selagi mana kita tidak kembali kepada Aqidah mereka, selagi itulah kita akan lemah, kita akan tension, kita akan syak dan kita akan sedih. Aqidah ini tidak boleh dikecapi melainlkan dengan ilmu yang bermanafaat, amal soleh, cinta Allah dan cinta Rasul.

Firman Allah: surah Aali I’mran ayat 31:

Mafhumnya: Katakanlah "Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Penyayang."

Sekian dulu dari saya. Semoga iman kita sentiasa bertambah dengan ibadat dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk meneruskan perjalanan yang masih lagi jauh dalam menuju ( Iyyaka na’budu wa Iyyaka nastai’iin ). Semoga bertemu lagi di dalam keluaran yang akan datang. Wassalam.


This page hosted by Get your own Free Homepage