SEJENAK KITA BERFIKIR.
Oleh: Ateh.
Hari ini Ateh hendak berbincang dengan saudara-saudara Ateh, tidak kiralah di mana berada, Jordan ke, Mesir ke, U.K ke, Jepun ke, Australia ke, U.S, Malaysia, atau di mana-mana sahaja mereka berada. Tapi tajuk apa yang sedap kita hendak bincang ya? Tak apalah kita bincang mengenai kawan-kawan kita yang sedang tersadai di Dataran Merdeka, di komplek-komplek membeli belah, ataupun yang sedang terkinja-kinja di disko-disko, kelab-kelab malam dan sebagainya. Kesian mereka ya. Kesian la, sebab mereka adalah darah daging Ateh juga, rambut mereka hitam macam rambut Ateh juga, agama mereka pun agama Ateh juga.
Apa yang mereka cari sebenarnya di tempat-tempat seperti itu? Ateh rasalah, mereka sedang mencari ketenangan dan kebebasan. Biasalah jiwa tengah membara katakan. Tetapi mengapa mereka terus tersilap langkah sebegitu. Adakah harapan untuk mereka di dalam kebangkitan Islam ini?
Jadi Ateh ingin mengajak teman Ateh, melihat kembali keadaan masyarakat Jahilliyah sebelum kebangkitan Islam kerana keadaan masyarakt kita sekarang adalah sama seperti keadaan Jahilliyah dulu. Ada yang sembah Allah, ada yang sembah berhala, ada Yahudi, ada Nasrani, ada baik, ada jahat, ada judi, ada arak dan ada segala maknekanya.Sekarang mari kita lihat salah seorang tokoh unggul yang pernah di lahirkan oleh Islam iaitu Umar bin Al-Khattab.Umar sebelum tibanya Rasullullah saw, jahat, ganas dan kejam bukan main lagi. Anaknya sendiri ditanam hidup-hidup. Seolah-olah keadaannya tidak berbeza lagi dengan binatang.
Jika hendak dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh kawan-kawan kita di tempat-tempat yang Ateh sebutkan tadi, rasanya tak boleh hendak lawan apa yang Umar buat lagi .Tapi lihat apa yang terjadi kepada Umar apabila datangnya Islam? Umar yang namanya sahaja mampu menggegarkan dan menggentarkan kepala lutut musuh-musuh yang benci kepada Islam. Apabila cahaya Islam menyinari jiwa Umar, beliau terus berubah, daripada sifat ganas kepada pengasih dan hidup dengan penuh kehambaan. Tetapi satu sifat yang ada pada Umar menjadi kebanggan kita semua adalah sifat berani. Apabila Umar mendapati Islam sahaja yang memberi ketenangan dan kebebasan hidup yang sebenar, Umar tidak peduli lagi kepada sesiapa. Orang nak bunuh ke, nak maki ke, nak halau ke, biarlah, kerana Umar telah mendapati erti kehidupan yang sebenarnya. Lihat betapa beraninya Umar bila hendak keluar berhijrah, keluar mencari sebuah kebebasan dan ketenangan. Sewaktu orang lain, keluar secara senyap-senyap Umar melaung kepada puak-puak yang tidak hendakkan Islam dengan berkata lebih kurang bermaksud : "Sesiapa yang rasa hendak bagi isteri dia jadi janda, ataupun anak dia jadi yatim silalah tunggu aku di wadi sana."
Sekarang mari kita lihat pula keadaan kawan-kawan Ateh di sana. Mereka rasa di sana ada ketenangan, di sana ada kebahagian. Mereka rasa mereka bahagia dengan 'skin head' mereka, dengan budaya 'punk' mereka, Lantas mereka tidak peduli apa yang orang nak kata dekat mereka, apa orang hendak cop dekat mereka kerana mereka buta dengan kebahagian yang sebenar. Mereka buta kerana keadaan membuatkan mereka menjadi buta. Keaadaan masyarakat kita yang di'control' oleh cara hidup Jahiliyah, samada dari peringkat keluarga, masyarakat dan negara ataupun dari aspek politik, ekonomi dan sosial yang membuatkan mereka jadi begitu. Jadi sikap mereka seperti lasak, berani, tidak ambil kisah dengan kritikan oleh lain, sebenarnya dari satu aspek merupakan satu sifat yang mulia. Tidak mustahil, apabila keadaan negara kita dapat kita ubah kepada Islam sepenuhnya, mereka akan menjadi tokoh-tokoh Islam yang digeruni seperti Umar. Tidak mustahil kerana sejarah pernah membuktikan.
Ateh lihat mereka adalah seperti pokok-pokok renek di musim panas. Tak cantik langsung!! Warnanya hitam, bercampur coklat, kemudian ranting-rantingnya pula rapuh, berdebu hatta kambing arab yang paling bodoh sekalipun pun, tak ada selera nak makan.Tapi apabila datang musim bunga, semuanya berubah. Daunnya kembali menghijau, ranting-rantingnya kembali subur, bersinar dipancar dek matahari waktu pagi, suasana begitu indah sekali, tak puas mata Ateh menikmati keindahannya apatah lagi apabila ia dihiasi dengan bunga-bunga yang pelbagai warna.
Tetapi bila pula akan tibanya musim bunga? Biasanya sebelum tiba musim bunga, hujan akan turun mencurah-curah, banjir akan melanda dan meruntuhkan kasino-kasino di Genting Higland, meranapkan hotel-hotel di Jalan Bukit Bintang, tempat menyimpan pelacur-pelacur pelbagai kelas, melemaskan orang-orang yang berperut buncit akibat terlampau banyak mengkhianati harta orang ramai, membersihkan longkang-longkang, tong-tong sampah yang dikotori dengan uri-uri dan darah-darah bayi yang baru dilahirkan dan menghanyutkan semua jenis kondom-kondom yang tidak mampu dipungut lagi oleh pekerja-pekerja Dewan Bandaraya.
Tetapi siapa pula hujan itu? Adakah kita hujan itu. Allah lebih mengetahui. Tetapi Ateh tetap yakin bahawa hujan tersebut akan turun kerana inilah janji Allah .Firman Allah di dalam surah ar-Ra'd ayat 17 :
Maksudnya : "Demikianlah Allah mengumpamakan yang hak dan batil. Adapun buih itu maka lenyaplah sebagai sampah, dan adapun yang memberi manfaat kepada manusia maka ia akan kekal di muka bumi.
Salam sayang daripada Ateh untuk semua.