INDAHNYA ISLAM

Oleh : Ateh

Islam adalah satu sistem hidup yang terlalu unggul . Apabila kita meneliti ajaran yang terdapat di dalamnya, kita dapati ia memenuhi setiap tuntutan kehidupan manusia. Semua sistem yang ditunjukkan olehnya, samada dalam permasalahan ekonomi, politik dan sosial merupakan sistem yang tidak mampu ditandingi oleh mana-mana agama, doktrin-doktrin ataupun ideologi-ideologi. Ini adalah kerana ia diturunkan oleh Allah, yang megetahui keperluan dan kehendak hidup manusia.

As-Syahid Syed Qutub, menegaskan bahawa manusia perlu kembali kepada sistem yang telah diatur oleh Allah s.w.t. untuk memastikan berlakukannya keseimbangan di dalam kehidupan di maya ini. Apabila terdapat makhluk di maya ini cuba untuk keluar daripada sistem yang telah diatur, maka di sini bermulanya kehancuran .

Sebagai satu contoh, mari kita bersama fikirkan, apa yang terjadi sekiranya mentari cuba keluar daripada sistem putaran yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t untuknya, tidakkah ini menandakan satu kehancuran? Pusingan siang dan malam menjadi tidak menentu, bilangan hari dan tahun menjadi kelam kabut, semua hidupan yang bergantung kepada matahari tidak dapat meneruskan kehidupan. Perkara yang sama akan terjadi kepada manusia apabila ia cuba keluar daripada sistem yang telah diaturkan kepadanya dalam kehidupan.

Inilah apa yang kita saksikan pada masa ini. Kerosakan dan kehancuran di dalam hidup manusia sangat nyata. Nilai akhlak berada di peringkat yang menggerunkan, intitusi kekeluargaan berada diambang kehancuran, etika-etika kehidupan masyarakat menjadi punah. Akibatnya individu dan masyarakat menderita setelah keberanian mereka keluar daripada sistem hidup ini.

Apabila Islam menetapkan perkahwinan sebagai satu sistem, maka sesiapa menolak sisem ini bererti dia menolak keseimbangan kehidupan yang ditetapkan itu. Akibatnya, seperti yang kita lihat pada hari ini, apa yang terjadi pada muda-mudi kita apabila mereka gagal untuk memahami bahawa perkahwinan adalah satu sistem yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi memenuhi tuntutan naluri dan syahwat yang wujud pada setiap manusia secara umumnya. Di sinilah bermulanya kehancuran. Bayi-bayi comel yang dilahirkan di luar sistem ini dicampakkan ke dalam tong-tong sampah, menjadi mangsa kepada anjing-anjing liar ataupun menjadi habuan kepada serangga-serangga.

Jadi saya rasa cukuplah setakat ini sebagai muqaddimah siri yang saya namakan " Indahnya Islam" untuk kita menyedari peri pentingnya kita kembali kepada sistem yang telah ditetapkan oleh Islam .

AL-LAQIIT

Sebagai permulaan siri ini saya akan membincangkan salah satu sistem yang disediakan oleh Islam untuk menyelesaikan masalah bayi yang terbuang di jalan-jalan, tong-tong sampah dan sebagainya. Islam melihat bahawa bayi-bayi comel ini perlu diselamatkan dan dia tidak harus dijadikan mangsa untuk membayar harga kesilapan yang telah dilakukan oleh manusia yang tidak bertanggujawab terhadap kelahirannya. Kehadirannya mesti diterima oleh masyarakat, kemanusiaannya harus dihormati dan dia perlu mendapat haknya untuk hidup sebagai seorang manusia yang telah ditakdirkan untuk hidup seperti mana kita juga ditakdirkan untuk hidup .

MAKNA AL-LAQIIT

Daripada penjelasan yang diberikan oleh para ulama' kita dapat membuat kesimpulan bahawa Al-Laqit bermaksud: "Anak-anak kecil yang belum mencapai peringkat baligh, mereka terbuang disebabkan takut kepada kemiskinan, fitnah ataupun anak hasil daripada perzinaan, tanpa ada orang memeliharanya dan tidak diketahui siapa bapa ataupun ibunya."

Hukum memungutnya :

Seperti yang saya jelaskan, bahawa bayi tersebut berhak untuk hidup, oleh itu, menjadi fardhu kifayah kepada masyarakat Islam untuk memungutnya. Apabila salah seorang daripada angota masyarakat Islam memungutnya maka anggota-angota masyarakat yang lain terlepas daripada dosa.

Kelayakan-kelayakan orang yang memungut :

1) Beragama Islam.

2) Mencapai umur akil baligh.

3) Merdeka.

4) Adil.

 

Bersambung...

 


This page hosted by Get your own Free Homepage