OLEH : AL-AKH ALANG JB
Beberapa hari yang lepas umat Islam seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban. Ia mengingatkan kita kepada sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail alaihima as-Salam. Pada hari ini umat Islam menunaikan ibadah korban dan bertakbir beramai-ramai mengagungkan Allah s.w.t. Menunaikan solat sunat Aidil Adha dan ziarah-menziarahi dikala Baitullah al-Haram pula dikunjungi oleh empat juta tetamu Allah yang menunaikan ibadah haji. Inilah antara agenda besar Islam yang difahami oleh kebanyakan umat Islam dan bukan Islam.
Apabila bercerita tentang Islam dan agama-agama di dunia, semua orang akan menceritakan tentang ajaran-ajaran dan kepercayaan yang terdapat di dalam agama-agama tersebut. Dan yang lebih jelas lagi ialah perayaan-perayaan yang ada di dalamnya. Maka tidak hairanlah apabila umat Islam sendiri lebih tahu mengenai hari raya yang terdapat di dalam Islam daripada apa yang terkandung di dalam syariat Islam itu sendiri. Muncullah orang-orang Islam yang hanya menjejakkan kaki ke masjid dua kali setahun iaitu pada Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Bahkan mereka lebih mengetahui perayaan-perayaan agama lain daripada mengetahui Rukun Iman dan Rukun Islam.
Maka tidak kurang bezanya dengan agama-agama lain di dunia ini seperti Kristian, Hindu, Budha dan kepercayaan-kepercayaan anamisme yang lain. Agama Kristian dikenali dengan Hari Natal atau Krismas, masyarakat Hindu meraikan perayaan Deepavali dan Thaipusam manakala penganut-penganut Budha dengan perayaan Ching Gey dan Chap Go Mey . Umat Islam percaya kepada Allah dan Nabi Muhammad, manakala kaum masihi mempercayai Nabi Isa sebagai anak tuhan, agama Hindu percaya kepada dewa-dewa dan penganut Budha kepada Gauthama Budha.
Justeru, tidak hairanlah fenomena murtad berlaku di kalangan umat Islam dewasa ini semakin berleluasa seperti meyalin pakaian. Kerana agama yang mereka tahu hanyalah kepercayaan-kepercayaan dan perayaan-perayaan sahaja. Tidak salah bagi mereka untuk tidak percaya pada sesuatu dan percaya pada sesuatu yang lain. Kerana Rukun Iman yang dipelajari semenjak di bangku sekolah rendah lagi ialah 'PERCAYA'. Juga tidak pelik untuk umat Islam menukar kepercayaan dan perayaan tradisi mereka setiap tahun, kerana kita telahpun biasa dengan perayaan-perayaan ini semenjak kecil lagi. TV-TV menyiarkan rancangan-rancangan khas hari raya, pelajar-pelajar sekolah dan kakitangan awam semuanya bercuti untuk menghormati dan meraikan bersama-sama perayaan-perayaan tersebut Akhirnya aqidah tergadai, maruah terburai.
Oleh itu, di dalam sessi pertama ini, penulis ingin membawa para pembaca semua menghayati Islam dari perspektif yang sebenar, yang akan membezakan Islam dengan agama-agama lain di dunia ini. Semoga api cinta kita terhadap ad-deen yang hak ini akan semakin marak, membuahkan benih-benih yang suci untuk perjuangan ad-deen ini.
APA ITU ISLAM? MENGAPA AGAMA INI DINAMAKAN ISLAM?
Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud "sesungguhnya ad-deen di sisi Allah ialah Islam" . Al-marhum Sayyid Abul A'la al-Maududi di dalam kitabnya yang berjudul (Asas-asas Islam) menjelaskan kalimah Islam ini. Islam memberi makna tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangannya tanpa bantahan. Dan dinamakan agama ini Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintahnya tanpa membantah.
Firman Allah azza wajalla di dalam firmannya ( an-Nisa:125 ):
Bermaksud, "dan siapakah yang lebih baik dirinya dari orang yang menyerahkan wajahnya ( dirinya ) kepada Allah, sedangkan dia berbuat ihsan dan mengikuti deen Ibrahim dengan hanya cenderung kepada Allah."
Daripada ayat ini, dapatlah diberi pengertian bahawa Islam itu sebagai penyerahan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan di hati.
Penyerahan diri ini merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Jasmani dan rohani, akal dan perasaan atau jiwa dan raga kepada Allah s.w.t. Islam dalam penyerahan diri kepada Allah merangkumi empat bidang asasi yang merangkumi kehidupan manusia iaitu:
1. Penyerahan diri kepada Allah dari sudut aqidah
2. Penyerahan diri kepada Allah dari sudut ibadah
3. Penyerahan diri kepada Allah dari sudut akhlaq
4. Penyerahan diri kepada Allah dari sudut perundangan atau syariah
Keempat-empat bidang asasi tersebut telah melambangkan universal deen Islam. Bahawa Islam bukan sekadar ibadah semata-mata atau kepercayaan yang boleh untuk dipercayai atau tidak, bahkan ia meliputi semua bidang kehidupan manusia.
Sekian sahaja untuk edisi pertama ini. Berjumpa lagi di dalam edisi yang akan datang dengan tajuk "Tujuan Hidup Dalam Islam". Sebarang kekurangan atau kelemahan, penulis memohon maaf kepada pembaca dan memohon ampun kepada Allah s.w.t. Sebarang teguran atau cadangan yang boleh dikongsi bersama bolehlah dialamatkan kepada alangmk@hotmail.com