Di mana ulungnya umat ini? Benarkah 'malaise' umat ini semata-mata disandarkan kepada hilangnya 'stand' di arena sosiopolitik dan ekonomi? Atau sifat 'religious' individu muslim yang semakin mengarat dan meruntuh, lalu melahirkan individu-individu yang angkuh, sombong dan fanatis dalam menyatakan pandangan. Ke mana hilangnya tokoh-tokoh seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Mas'ud, Hassan Al-Basri , Imam Asy-Syafie dan lain-lain lagi yang merupakan penghuni kurun terbaik, kurun kedua dan ketiga selepas kewafatan Rasulullah (SAW)?
Keadilan, ketinggian dan kemuliaan yang dijulang pepanji Islam gugur dicantas perihal manusia yang haloba. Lidah memang tidak bertulang tetapi Islamlah yang menulangkannya !! Pengabaian prinsip adil dan insaf dalam setiap tindakan dan hukuman hanyalah meranapkan konsep "Kesatuan Ummah".
Justeru itu, marilah kita mengembalikan "Principles of Justice" atau prinsip-prinsip keadilan menurut kaedah Islam yang moderat dan tepat dengan nilai-nilai etika dan akhlak muslim bagi sesiapa yang ingin mengkritik, memprotes atau memperbetul sesebuah jamaah atau individu tertentu.
Pertama : Bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya.
Inilah peringkat tertinggi yang sukar digapai oleh manusia, walhal ianya merupakan sifat yang sewajibnya dimiliki oleh setiap individu muslim. Sifat yang dapat membezakan darjat keimanan seseorang. Sifat yang menjadi pendorong kepada amal soleh dan pembenteng kepada amal mungkar. Sifat yang membenihkan perasaan wara'(takut), khusyu'(asyik), tadharru'(tunduk), roja'(berharap) dan selainnya. Ia juga merupakan sifat yang mengajak manusia kepada 'muhasabah'(menghitung amalan) dirinya dalam mencari keredhaan-Nya dan membongkar dosa-dosanya lalu memohon keampunan daripadaNya.
Alangkah indah apabila ditakdirkan Allah, setiap pengkritik, pemprotes dan sebagainya mempunyai sifat-sifat seperti ini. Sudah tentu segala tindakan atau tegurannya mahupun hukuman yang dikeluarkan pasti dipayungi oleh hikmah dan pengajaran yang baik. Ketika itu apa jua kritikannya akan didengar dan protesnya akan dinilai. Inilah martabat paling mulia yang terdapat pada jiwa Nabi Muhammad(SAW), para sahabat, tabi'in dan mereka yang berada di atas jalan mereka.
Kedua : Sucikan diri dari hawa nafsu.
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud "Janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah"(Surah Shaad:26). Ketahuilah bahawa hawa nafsu merupakan makhluk yang letaknya jauh di lubuk hati manusia sehinggakan ramai yang tidak menyedari akan kewujudannya. Akibatnya, manusia akan mudah terpedaya dengan hasutan hawa nafsu sebagaimana yang digambarkan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah di dalam kitab (Minhaj As-Sunnah An-Nabawiyyah) "Tuan punya hawa nafsu telah dibutakan dan dipekakkan hatinya, dia tidak lagi menghadirkan dirinya untuk Allah dan Rasul-Nya, lantaran itu redhanya adalah terletak pada redha hawa nafsunya, marahnya adalah terletak pada marah hawa nafsunya"
Ketiga : Dahulukan sangka baik.
Ingatlah ! Asal maruah manusia itu adalah suci dari segala dosa dan asal dalam pergaulan sesama muslim adalah bersangka baik sehinggalah datang bukti yang jelas tentang keburukan atau kemaksiatan yang dilakukan. Kewujudan penyakit-penyakit masyarakat seperti tuduh-tuduh, umpat-mengumpat, label-melabel, mengadu-domba, fitnah-memfitnah dan selainnya merupakan gejala yang timbul akibat prasangka buruk sesama muslim. Lalu berlakulah kacau bilau di dalam masyarakat Islam sehingga boleh melarat kepada pertumpahan darah.
Lihatlah kepada peristiwa fitnah yang berlaku ke atas Sayyidatina Aisyah (Ummul Mukminin), ketika semua manusia saling bersangka buruk terhadapnya, lalu Allah Ta'ala menurunkan ayatnya yang berbunyi : "Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan mengapa mereka tidak berkata : ini adalah suatu berita bohong yang nyata" (Surah An-Nur:12)
Persoalannya sekarang, mengapa kita perlu bersangka buruk? Apa salahnya kalau kita mendahulukan dengan bersangka baik kepada orang lain. Bukankah dengan berperasaan begini boleh menenangkan jiwa kita sendiri dan boleh menyelamatkan kita dari dosa !!!
Begitu juga perihal menghukum sesuatu kerana'sangka buruk' boleh menyebabkan 'kritik menjadi fitnah','memprotes menjadi mengutuk', lalu semua ini akan membawa perpecahan sesama masyarakat Islam. Awas! Perlu diingat sangka buruk tidak termasuk dalam bab menyatakan kebenaran. Kerana menyatakan yang hak adalah wajib apabila jelas sesuatu kemungkaran itu.
Keempat : Memastikan kesahihan sesuatu perkataan sebelum menghukum atau menerimanya.
Awas!Pastikan setiap berita yang sampai ke pengetahuan anda adalah tepat dan benar. Elakkan daripada menerima 'khabar-khabar angin', 'dengar-dengar khabar','khabarnya' atau apa jua bentuk maklumat yang tidak meyakinkan. Apatah lagi sekiranya anda merupakan seorang 'student'. Alaskan kata-kata anda dengan 'evidence' yang konkrit dan 'definitive'! Jangan ambil sikap "hentam kromo' dan 'sembrono'! Hayatilah firman Allah Ta'ala : "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang yang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada satu kaum tanpa mengetahui keadaannya.. " (Surah Al-Hujurat:846)
Perlu diketahui&ldots; mengambil suatu maklumat dari orang lain tanpa usul periksa, tanpa mengambil kira sumbernya, sejauh mana kesahihannya, merupakan DOSA BESAR bagi orang yang menerimanya lalu membuat hukuman semerta, apatah lagi apabila disebarkan kepada orang lain.
Kelima : Kenalilah kebenaran, anda akan mengenali ahlinya.
Kita diperintahkan supaya mentaati Al-Quran dan As-Sunnah dan ditegah dari meniru serta memahami sesuatu perkara secara membabi buta, sesuatu pandangan secara 'tradition'dan 'imitation'. Fahaman Ahlus-Sunnah wal-Jamaah menetapkan bahawa kita tidak boleh mendahulukan pandangan manusia dari nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah melainkan setelah diakui pandangan tersebut bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
Pada zaman mutakhir ini kita menyaksikan timbulnya permasalahan pertentangan da perbezaan pendapat di antara pengikut mazhab atau jamaah-jamaah tertentu atau individu-individu tertentu. Secara dasarnya, ia merupakan suatu perkembangan yang baik kerana kita dapat mempamerkan prinsip-prinsip seperti kebebasan berfikir dan keanjalan syariat Islam. Tetapi dari sudut yang lain ianya boleh mengakibatkan unsur-unsur negatif seperti fanatisme (ikutan yang keterlaluan) atau ta'asub terhadap syeikh-syeikh tertentu yang lebih besar seperti mengkafir antara satu sama lain.
Al 'Allamah, Ibnu Qayyim ada menyebut di dalam kitabnya (I'lam Al-Mauqi'in): "Demi Allah sesungguhnya pengambilan sesuatu pendapat dari seseorang dengan menyamakan martabatnya di sisi Al-Quran dan As-Sunnah, juga tanpa mengambil kira pendapat-pendapat lain.. hukumnya adalah Haram!! Ianya tidak pernah wujud melainkan selepas berakhirnya kurun-kurun yang terbaik"
Oleh itu kenalilah hakikat kebenaran kerana kebenaran tidak semestinya wujud pada jamaah-jamaah tertentu tetapi ianya wujud pada mereka yang mengenali kebenaran!!!
Keenam : Setiap anak Adam tidak lari dari kesilapan dan kesalahan.
Sesungguhnya kesalahan dan kesilapan merupakan suatu yang sinonim dengan kehidupan manusia. Tiada manusia yang terselamat daripada melakukan salah dan silap kecuali para nabi yang ma'sum . Hadis Rasulullah(SAW) ada menyebut bahawa setiap anak Adam itu bersalah dan sebaik-baik orang yang bersalah itu adalah mereka yang bertaubat".
Demikianlah juga para sahabat Nabi (SAW) dan para Tabi'in, mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Terkadang berlaku juga perselisihan pendapat sesama mereka, tetapi tidak kedengaran di antara mereka yang salah menyalahkan sesama sendiri. Bukankah kaedah telah menetapkan bahawa mujtahid yang betul, baginya dua pahala dan mujtahid yang tidak tepat baginya satu pahala.
Ibnu Abi al-Iz al-Hanafi R.A telah berkata dalam kitabnya (Al-Atba'): "Terkadang pendapat mujtahid menyalahi nas, tetapi mujtahid dimaafkan kerana tiada manusia yang dapat lari dari kesilapan menta'wil."
Kesimpulannya, lihatlah betapa tingginya sifat insaf, taqwa dan tawadhu' yang dimiliki oleh generasi-generasi terdahulu, walaupun mereka tidak dapat mengelakkan perselisihan pendapat, tetapi setiap pendapat yang menyalahi mereka, ditangani dengan penuh adab dan penghormatan.
Ketujuh : Persiapkan diri dengan jawapan di Akhirat kelak.
Kita semua bakal berhadapan dengan Allah (SWT). Ingatlah! Segala perbuatan kita akan dihitung dengan penuh teliti dan terperinci. Dikala itu, segala perbuatan dan percakapan kita akan dinilai, sekiranya berat timbangan kita berada di sebelah kanan, maka syurgalah buat kita, tetapi apakah akan terjadi jika berlaku sebaliknya???
Oleh itu , jika anda seorang pengkritik atau pemprotes atau ingin menghukum sesuatu, pastikan anda telah bersedia untuk menjawab satu persoalan di Akhirat kelak
"Mengapakah di dunia dahulu , engkau berkata demikian &ldots;&ldots;demikian&ldots;&ldots;?"
Akhirnya, insaflah dan berlaku adillah dalam apa jua tindakan. Jangan biarkan lidah kita menghukum sebelum dibuat kajian. Letakkan diri kita di hadapan Allah sebelum kita meletakkan diri kita di hadapan manusia.
Wassalam
Diterjemah dan digarap semula dari kitab "Qawa'id
Al -I'tidal Liman Arada Taqwim al-Jama-at wa Ar-Rijal"
karangan Ustaz Aqil bin Muhammad bin Zaid al-Maqthira.