ISLAM PASTI GEMILANG
Di segenap ceruk penjuru dunia kedengaran kelantangan suara-suara sebahagian pendakwah yang mengenengahkan perihal-perihal yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman, tidak kurang juga mereka yang memperkatakan tentang hadis-hadis yang berkaitan dengan fitnah-fitnah yang akan menimpa umat islam dan tanda-tanda hampirnya Kiamat. Kebanyakan daripada pendakwah-pendakwah tersebut mentafsirkan hadis-hadis fitan (fitnah akhir zaman) seakan-akan membayangkan Islam adalah agama birokrasi dan terkebelakang manakala kekufuran mengatasi segala-galanya. Segala kemungkaran dan kejahatan akan mendapat sanjungan manakala kebajikan dan kebaikan diabai dan dirungkai satu persatu .
Segala tanggapan dan pentafsiran yang tidak terperinci ini telah memutuskan segala urat saraf usaha pejuang-pejuang di jalan Allah secara tidak langsung. Seolah-olah ianya sudah tidak dapat diperbaiki kembali. Ramai di kalangan kita yang hanya melihat dan memerhatikan kejatuhan Islam tanpa membina kembali usaha-usaha untuk mendirikan dan menegakkan kembali tunjang-tunjang Islam jesteru itu, bertambahlah keburukan demi keburukan sehingga datangnya ketentuan Allah taala iaitu menculnya hari Kiamat.
Inilah antara kesilapan pentafsiran yang berlaku ke atas sesetengah nas al-Quran dan hadis Rasulullah, dengan itu kita terlupa dan leka akan janji-janji Allah Taala tentang berita gembira, tentang kemenangan dan kegemilangan Islam pada masa hadapan.
Oleh itu, sepatutnyalah pejuang-pejuang agama Allah sentiasa meneruskan dan menyebarkan berita gembira kemenagan Islam itu. Semoga dengan tersebarnya berita gembira tersebut, segala keazaman yang telah luput dan muram akan dipulihkan kembali dan segala sindron-sindrom sifat putus asa yang berputik di lubuk jiwa para pejuang agama Allah dapat dihapuskan sama sekali.
Berita gembira mengenai kemenagan Islam ini telah banyak disebut berulang kali di dalam nas-nas Al-Quran dan Sunnah. Tidak ketinggalan juga pengajaran yang diambil daripada peristiwa-peristiwa lampau tentang keunggulan dan kemenangan Islam.
Diantara nas Al-Quran dan Hadis yang mengenengahkan berita gembira tersebut adalah firman Allah Taala (a-Ruum ayat 47)
Mafhumnya : Dan memang patutlah bagi kamu menolong orang-orang yang beriman.
Ayat yang lain (Yunus: 103) : Kemudian kami memperlihatkan kemenangan dan kejayaan yang berpihak di sebelah Rasul-Rasul kami dan orang-orang mukmin, demikianlah patut bagi kami memenangkan orang-orang yang beriman.
Manakala Hadis pula sebagaimana yang diriwayatkan oleh Tamim Ad-Daari "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: Akan tercapai dan tersebarnya hal-hal ini (hal-hal berkaitan dengan Islam) sebagaimana tercapainya pertukaran malam dan siang, tidak akan ada rumah-rumah yang diperbuat daripada batu dan juga bulu-bulu binatang melainkan tersebar di dalamnya agama Allah, ianya dimuliakan oleh yang Maha Perkasa dan diberi kehinaan, iaitu Allah taala memuliakannya dengan Islam dan menghina kekufuran"-Riwayat Imam Ahmad
Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Islam pasti mencapai kemenangan dan akan tersebarnya keseluruh alam sebagaimana tersebarnya keadaan malam dan siang.
Kemenangan Islam juga telah terbukti ketika pembukaan Rom selepas usaha pelancaran serangan terhadap Andalus ( Sepanyol ) dan Balkan, dangan itu Rom menjadi jalan utama Islam untuk menakluki Empayar Eropah. Dengan termaktubnya peristiwa tersebut juga, membuktikan kemenangan akan sentiasa berpihak kepada mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan Islam dan yang tidak ada kompromi dengan agama-agama lain.
Natijahnya, kita yang bergelar umat Islam akhir zaman semestinya berpegang dan beriktiqad bahawa Islam pasti gemilang, bakal menyinari kembali bumi ini. Pun begitu, haruslah kita sedar dan renungi kembali, apakah yang terjadi kepada umat-umat Islam di dunia ini sekarang? Apakah yang telah terjadi kepada umat Islam di Bosnia, Algeria, Turki, Libya, Somalia, Malaysia dan seterusnya umat Islam yang lain. Apakah yang telah dilakukan oleh musuh-musuh Islam terhadap mereka ini? Di manakah umat Islam di seluruh dunia yang merupakan penganut majoriti 1/3 dunia? Apakah mereka masih leka dan lena dengan hanya memerhatikan Islam dipermainkan, dipinggirkan dengan hinanya? Apakah mereka menyedari janji-janji Allah dan berita gembira kemenangan serta kegemilangan Islam di akhir zaman?
Wahai Umat Islam!!! Bangunlah dari tidurmu yang lena itu, kejutkan mereka yang masih lena dengan mimpi yang ngeri serta perkhabarkan kepada mereka tentang berita gembira dan kemenangan serta kegemilangan Islam di akhir zaman. Percayalah!! Sinar dan pancaran Islam pasti akan memancar dengan gilang-gemilangnya menyinari bumi yang kontang dan tandus dengan keimanan terhadap pencipta maya pada ini.
Rujukan : (Al-Munsyiraat bin-Tisooril Islam) karangan Dr. Yusoff al-Qardhawi.