Oleh : al-Akh Alang JB
Persoalan krisis identiti dan keruntuhan akhlaq generasi muda pada umumnya menjadi semakin ketara dan parah di tengah-tengah kesibukan kita membicarakan krisis kewangan di rantau Asia Tenggara, Krisis nuklear antara India dan Pakistan, pencerobohan Yahudi di bumi Palestin yang tidak berkesudahan dan lain-lain lagi permasalahan di dalam dan di luar negara.
Berbeza di antara krisis kewangan di Malaysia dan krisis akhlaq di kalangan muda-mudi, krisis akhlaq adalah lebih serius dan merupakan satu virus yang gagal dilawan, daripada pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman sehinggalah era Dr. Mahathir Mohamad yang telah melalui tiga penggal pentadbirannya. Bahkan semakin merebak dan berjangkit seperti wabak taun yang memerlukan tindakan tegas dan cepat iaitu kuarantin. Adapun krisis kewangan adakalanya menunjukkan pasang surutnya. Ada kalanya naik, ada kalanya turun dan jarang sekali stabil.
Apakah punca permasalahan ini?
Apabila bercakap mengenai punca permasalahan, maka setiap orang akan mempunyai pandangan tersendiri yang dilihat dari perspektif yang berbeza-beza. Seperti satu gambarajah yang bulat, ada yang mengatakan ia adalah lakaran bumi, ada yang mengatakan bulan, bola, planet, pinggan dan sebagainya. Tetapi pada hakikatnya siapakah yang betul? Jika orang bertanyakan saya soalan ini, saya akan katakan semuanya betul. Begitu juga dengan punca permasalahan akhlaq.
Namun antara sedar dengan tidak, faktor agama merupakan satu aspek penting di dalam masalah ini. Apabila manusia sudah tidak mahu mengikut ajaran dan saranan agama, maka inilah kesannya. Bukan Islam sahaja satu-satunya agama di dalam dunia ini yang mengajar manusia supaya berakhlaq mulia dan berperibadi luhur, tetapi hampir semua agama mempunyai pelajaran dan teori mereka mengenai akhlaq seperti Buddha dan Konfucius. Namun Islam lebih dominan di dalam persoalan-persoalan ini. Bahkan semua persoalan duniawi dan ukhrawi. Kenapa?
Kerana Islam adalah agama wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t pencipta alam semesta. Adanya ruh spiritual bagi orang yang mengamalkannya. Adanya konsep ibadat yang luas, mencakupi semua bidang kehidupan manusia. Dan konsep khaliq dan makhluq, dosa dan pahala, syurga dan neraka. Tidak seperti ideologi-ideologi yang berasaskan kepada pemikiran manusia semata-mata.
Tidak dapat kita nafikan dan tahan angin-angin kencang yang datang cuba untuk menggugat Islam dan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Mereka berkata tidak ada bezanya antara Islam dan bukan Islam. Menyalahkan Islam dengan bermacam-macam tohmahan yang berbukti. Kenapa? Kerana orang Islam pun mencuri, berzina, minum arak, menipu, berjudi dan banyak lagi perkara yang tidak enak didengar dan dilihat. Yusuf Islam ataupun namanya dahulu Cat Stevens menjawab persoalan ini dengan penuh hikmah. Kata beliau,
Islam today is one of the most misunderstood phenomena. Unfortunately, people are looking at Muslims by some of incidents which we see going on in the world today, which are supposed to be a reflection of Islam. They are not a reflection of Islam. They are a reflection of badly misbehaving Muslims. That is the problem which is besetting the Muslim Community.
There are, of course, very good elements and good practising Muslims but These are not normally seen. It is usually the bad and the most sensational elements which are shown on television and in the media, The way to solve This is for someone not to look at the vs Muslim, but to look at Islam. It would be wrong for someone to judge a car as being a bad car if the driver of the car was drunk and he crushed into a fence. You say , That car is a bad. It has nothing to do with the car. It is to do with the driver. So you must look at the car and see what kind of a car it is. How many miles it does for a gallon and so on. Once we look at the actual description of what the car is then you will see that there is nothing wrong with the car. It is the driver.
Islam sangat mementingkan pendidikan akhlaq ke atas umatnya. Dan sebaik-baik contoh daripada kalangan umat manusia ialah Rasullah s.a.w. Allah s.w.t berfirman di dalam surah al-Qalam ayat : 4
Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai budi pekerti yang agung.
Anas bin Malik khadam Rasulullah s.a.w bercerita mengenai Rasullah s.a.w, Adapun Rasullah s.a.w. itu adalah sebaik-baik akhlaq di kalangan manusia.
Saidatina Aishah r.a. apabila ditanya mengenai akhlaq Rasullah s.a.w. berkata Adapun akhlaq baginda ialah al-Quran. Sekaligus menolak pemikiran dan amalan umat Islam di Malaysia secara umumnya yang telah diperdaya oleh musuh Islam sehinggakan tidak dapat membezakan antara akhlaq dan moral.
Sebagai contoh yang jelas, seorang pemuda yang berkenan pada seorang anak gadis, meminta izin daripada kedua ibu bapa gadis tersebut untuk keluar bersiar-siar dengannya. Dan datang menjemput di rumah dan menghantar pulang semula dalam keadaan selamat. Apakah pandangan kedua ibu bapa gadis tersebut terhadap pemuda tersebut?
Pemuda tersebut jujur, sopan-santun, berakhlaq dan sesuai dijadikan calon menantu. Tetapi pada hakikatnya pemuda ini tidak berakhlaq kerana perbuatannya keluar bersiar-siar dengan orang yang bukan mahram adalah haram, bertentangan dengan al-Quran dan akhlaq Rasulullah s.a.w. Oleh itu perlulah dibezakan antara akhlaq dan moral supaya tidak tertipu dengan pemikiran kita sendiri , bisikan iblis dan nafsu syahwat.
Diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Abu Hurairah r.a. sebuah hadis, Apabila ditanya Rasulullah s.a.w. tentang bilangan yang paling ramai masuk syurga. Maka Rasullah s.a.w. bersabda: mereka adalah orang yang bertaqwa yang berakhlaq mulia.
Ayat al-Quran dan hadis-hadis ini merupakan bukti bahawa Islam sangat-sangat mementingkan pendidikan akhlaq ke atas umatnya.
Media elektronik
Media massa dan media elektronik juga telah menyumbangkan peratusan yang besar kepada keruntuhan akhlaq. Sebagai contoh televisyen mempunyai peranan yang besar di dalam pembentukan peribadi.
Menurut satu penyelidikan, di Amerika remaja berumur 17 tahun rata-rata telah menonton TV selama 15 000 jam berbanding dengan 11 000 jam persekolahan. Di Malaysia pula, dalam setahun kanak-kanak menghabiskan 1 200 jam menonton TV berbanding 1 040 jam di sekolah. Menurut tinjauan SRM 1993, kanak-kanak Malaysia menghabiskan waktu 2.3 jam sehari menonton TV. Fakta membuktikan bahawa TV sudah mengambil tempat guru dan ibu bapa sebagai pembentuk watak kanak-kanak.
Fakta yang dikemukakan tadi hanyalah purata waktu menonton TV sahaja. Tidak termasuk mendengar radio, membaca majalah-majalah hiburan dan internet yang lebih hebat kesan dan pengaruhnya daripada TV ketika ini. Dan pengguna bebas memiliki maklumat apa sahaja sama ada baik atau buruk. Banyak unsur-unsur seks yang tidak sepatutnya dilihat oleh sesiapa sahaja, kini bebas dilihat dan ditatapi di dalam ruang cyber ini.
Apakah akan terjadi kepada generasi sekarang apabila terus menerus disogokkan dengan budaya-budaya kuning seperti ini?
Siapakah yang bakal mewarisi pemerintahan negara suatu hari nanti? Akan terus berdaulatkah Melayu di bumi Malaysia? Persoalan demi persoalan yang mesti kita jawab dengan positif dan matang.
Berusahalah kita membentuk peribadi kita dengan peribadi yang mulia berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Dengan cara mendapingi alim ulama dan menghadiri kelas-kelas dan syarahan agama, membaca buku-buku Islam dan banyak bertanya. Seterusnya bentuklah peribadi anak-anak kita dengan akhlaq yang mulia dan diredhai Allah. Semoga anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan mendoakan kebaikan untuk kita serta berbakti kepada kita di hari tua.