SOALAN
Assalammualaikum Dr,
Saya seorang wanita berumur 26 tahun sudah berkahwin ketika umur saya 24 tahun, dan telah mempunyai anak perempuan berumur 1 tahun 4 bulan. Masalah saya ialah saya gemar kepada kebaikan dan saya sentiasa ingin menjadi wanita solehah. Tapi niat saya sentiasa terhalang. Jika saya mengerjakan solat, setiap kali berdoa saya akan menangis mengenang kelalaian saya. Buat pengetahuan Dr, saya ini ikutkan hati jika ingin solat saya solat jika tidak saya tidak akan solat. Tapi sekiranya ada ceramah ugama atau tentang mendidik hati saya sentiasa menyukainya. Tetapi saya tidak dapat mengamalkannya. Saya ingin mempunyai anak yang solehah, dan saya ingin anak saya menjejaki saya dan saya kini juga sedang mengandung anak yang kedua, kandungan saya berumur 1 bulan setengah. Suami saya tidak pernah bersembahyang tapi dia tidak pernah mengerjakan perbuatan yang keji. Dia bersifat baik kepada kedua ibubapa serta ahli keluarga dan juga terhadap saya serta anak.Wassalam.
Azie, Sepang.
JAWAPAN
waa'laikum Salaam
Puan Azie yang dirahhmati Allah,
Dr. Muhazzibun Nufus bersyukur kepada Allah dan berbangga dengan soalan puan. Ibu mana yang tidak mahu anak yang solehah. Semua ibu mahukan anak yang solehah. Anak yang solehah merupakan balasan yang paling baik buat seorang ibu. Tidak guna mempunyai rumah besar dan kereta mewah serta harta yang banyak tetapi anaknya derhaka dan tidak solehah. Oleh itu, niat puan adalah sangat murni dan mulia. Dr. akan cuba memberikan panduan daripada al-Quran dan As sunnah demi untuk merealisasikan niat puan, Insya Allah.
Jika puan ingin anak yang soleh dan solehah seperti Abu Bakar, Khadijah, Aishah bte. Abu Bakar, Ibnu Hajar, Ibnu Mundah, Abu Hatim Arrazi, Yahya bin Maii'n, Ibnu Hibban dan Attobary misalnya, maka puan mestilah mendidik anak puan semenjak dari kandungan lagi. Tempoh mengandung adalah sangat penting dalam proses mendidik anak. Inilah rahsia yang diamalkan oleh ibu-ibu solehah sehingga berjaya melahirkan anak-anak yang soleh. Panduan-panduan tersebut ialah :-
1) Menjadilah ibu dan ayah yang soleh dan solehah yang senantiasa menunaikan solat 5 waktu dan tidak meninggalkannya. Solat yang ditinggalkan wajib di qodo'. Ini adalah syarat yang paling utama.
2) Seseorang ibu yang mengandung mestilah memakan makanan yangg halal dan berzat. Jangan sesekali memakan makanan yang haram ataupun meminum arak!.
3) Melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya.
4) Menjaga kesihatan dan selalu berjumpa doktor.
5) Membuang segala sifat-sifat terkeji dan penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, sombong dan takabbur.
6) Mengeratkan hubungan silaturrahim dan persaudaraan Islam.
7) Mendidik hati dengan Iman dan Taqwa dan melawan hawa nafsu.
8) Amalan yang sangat penting semasa mengandung ialah membanyakkan amal ibadat, doa dan zikrullah. Antara amal ibadat yang boleh dipraktikkan oleh seorang ibu yang mengandung :-
1) Membaca al-Quran.
2) Qiamullail (bangun malam untuk beribadat).
3) Membaca ayat al-Kursi selapas solat 5 waktu.
[Hadis diriwayatkan oleh Annasaai di dalam Aa'malul Yawmi Wallailah no:100, Ibnu Assinni no:121, dan disohihkan oleh Albany di dalam Sohih Aljamik Assoghir (5/339) dan Silsilah al-Ahadiis Assohihah (2/697) no:972]
4) Membanyakkan zikir seperti : Lailaha Illallah (Tiada Tuhan selain Allah).
Sabda Nabi Muhammad SAW; Sesungguhnya sebaik-baik doa ialah ALHAMDULILLAH dan sebaik-baik zikir ialah LAILAHA ILLALLAH. [Jami'k at-Tarmizi (5/462), Sunan Ibnu Majah (2/1249) disohihkan oleh al-Hakim di dalam al-Mustadrak dan dipersetujui akan kesohihannya oleh Azzahaby, Sohih al-Jamik Assoghir; al-Bany (1/362)]
5) Membaca ayatul Kursi setiap pagi dan petang.
[Hadis diriwayatkan oleh Annasaii dan disohihkan oleh al-Bany di dalam Sohih attargghiib Wat Tarhiib (ms 273) no : 658]
6) Membaca 3 Qul (al-Ikhlas, al-Falak dan Annas) setiap pagi dan petang. [Hadis Hasan; Sohih Jamik Attarmizi (3/182)]
7) Membanyakkan tasbih, tahmid, tahlil dan takbir.
Sabda Nabi SAW; Sebaik-baik kalam yang disukai oleh Alllah (4) perkataan; kamu tidak akan beroleh mudarat apabila menyebutnya: Subhanallah, Walhamdulillah, Walailaha Illallah Wallahu Akbar. [Sohih al-Kalaim Attoyibah; Albany, ms15, no:10]
8) Mendengar kaset-kaset bacaan al-Quran.
9) Memperbanyakkan selawat ke atas NAbi SAW.
Sabada Nabi SAW; Jangan kamu menjadikan kuburku perayaan dan berselawatlah kepadaku, maka sesungguhnya selawat kamu sampai kepadaku walau di mana sahaja kamu berada. [Abu Dawud (2/218), Ahmad (2/367) dan disohihkan o;ehAlbany di dalam Sohih Sunan Abi Dawud (2/383)]
10) Beristighfar dan bertaubat.
Sabda Nabi SAW; Demi Allah sesungguhnya Aku beristighfar kepada Allah dan bertuabat kepadanya setiap hari lebih dari 70x. [Sohih Bukhari bersamaFathul Baary; Ibnu Hajar (11,101)
Bersabda Nabi SAW; Wahai manusia! bertaubatlah kamu kepada Allah, maka sesungguhnya Aku bertaubat 100x setiap hari. [Sohih Muslim (4/2076)]
Sabda Nabi SAW; Orang yang bakhil ialah siapa yang tidak berrselawat kepadaku apabila disebut namaku. [Attarmizi (5/551), Sohih al-Jamik Assoghir (3/25) dan sohih Jamik Attarmizi; Albany (3/177)]
Dan banyak lagi zikir-zikir dan amalan ibadat yang lain. Sesungguhnya anak di dalam kandungan seorang ibu yang solehah sentiasa berzikir kepada Allah dan rajin menunaikan solat akan menjadi anak yang soleh, dengan izin Allah.
Akhirnya Dr. Muhazzibun Nufuus bertawassul kepada Allah dengan Asmaaullah al-Husna dan sifat-sifatNya Yang Maha Tinggi agar Allah mengurniakan kepada kalain berdua anak soleh/solehah yang taat kepada Allah dan rasulnya serta berakhlak mulia dan membahagiakan kedua ibu bapanya. Aamiin Ya Rabbal Aa'lamin.
Sekian. Wassalam.