KELUARGA YANG KURANG BERAGAMA

SOALAN

assalamualaikum..

hmm..masalah? memang banyak...sampai kekadang tak tau ape yg dibingungkan.. firstly...pasal my family.. family saya..agak kurang mendalami agama islam..pengetahuan tu ade..kecik2 lagi..dah dihantar ke sekolah agama..tapi kurang perlaksanaan yang apabila saya renungkan ..maybe sebab parents kurang tegas.. tak melaksanakan seperti yang digariskan dalam islam..contohnya..bila one of us tak solat..tak pernah kena pukul..paling teruk pun..cuma kena leter jerr.. now.. i'm a student in one of the sydney's university..mungkin Allah nak bagi peluang saya improvekan diri..saya di beri responsible untuk conduct usrah kat sinih....so..bayangkan lah..camner conflict kat jiwa nih..tak taula..rase hipokrit sangat....menyeru pada yg maa'ruf..tapi keluarga kat malaysia???nilah kelemahan saya..tak tahu macam mana nak nasihat family sendiri..especially my parents.... ishh..pening..pening.... takpelah..sebenarnye ade lagi masalah..kang banyag pulak anta/anti nak menjawab..cukupla ni dulu...jazakallah..

ANA..Australia

JAWAPAN

Saudari yang dirahmati,

Sesungguhnya saya amat tertarik dengan persoalan yang telah ditimbulkan oleh saudari pada tempoh hari. Kerana bagi saya bukan sekadar persoalan itu sahaja yang menarik, tetapi pendirian saudari yang teguh dengan nilai-nilai agama dalam keadaan saudari berstatus pelajar yang tidak berjurusan agama. Sedangkan saya dapati ramai kawan-kawan kita yang belajar agama atau belajar di Timur Tengah yang masih lagi tertidur diulit ilmu yang mereka pelajari. Dan perkara inilah yang telah disebut oleh Imam al-Ghazali sebagaimana katanya “Salah satu golongan yang terpedaya ialah mereka yang belajar ilmu agama dan tidak beramal dengannya kerana mereka anggap ilmu yang ada pada mereka sudah cukup untuk menyelamatkan mereka daripada neraka”. Kita doakan semoga kita tidak termasuk kumpulan ini dan Allah mengketogorikan kita dalam golongan As-Siddiqiin wa-Syuhadaa’ wa-Soolihiin.

Masalah!!!

Inilah hikmat Allah menjadikan manusia dan menyediakannya dengan akal untuk berfikir dan Dia menyediakan segala kemudahan yang terdapat di sekeliling kita semata-mata untuk kemudahan kita, serta Dia yang menurunkan agama untuk kita beramal dengannya. ‘Masalah’ bukannya satu perkara yang pelik bahkan ianya perkara biasa yang disediakan untuk manusia. Hatta ‘masalah’ ini wujud semenjak Allah menempatkan Nabi Adam as.di dalam Syurga dan melarang Nabi Adam daripada memakan sejenis buah di dalamnya. Larangan seperti ini merupakan satu ‘masalah’ juga. Begitulah juga kita lihat sejarah rasul-rasul yang diutuskan kepada manusia. Semuanya menghadapi ‘masalah’ ataupun ‘ujian’ dalam menyampaikan dakwah mereka.

Oleh itu perkara pertama yang saya nak sentuh di sini ialah mengenai ‘Siapakah kita?”. Apabila kita utarakan persoalan ini maka setiap orang yang seumpama kita akan berkata “Saya orang Islam”. Jarang di kalangan kita yang mengatakan “Saya beriman”. Dan sememangnya kita hendaklah menjadi orang yang beriman. Apabila kita nak jadi orang yang benar-benar beriman maka segala ‘masalah’ hendaklah kita terima dengan hati yang terbuka. Jangan sekali-kali kita lari dari masalah bahkan menjadi tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah.

Tidakkah kita selalu membaca ayat yang kedua daripada Surah al-Ankabuut, yang mana di situ Allah swt menyatakan kepada kita “ Apakah manusia itu (kita) mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan ‘kami telah beriman’ sedang mereka tidak diuji?”. Begitulah hakikat permasahan yang kita selalu hadapi. Ia merupakan noktah ujian keimanan seseorang adakah ia benar-benar beriman atau berbohong di sebalik kata-katanya. Sekiranya dia bersabar maka itulah tanda daripada tanda-tanda keimanannya dan sekiranya dia tidak bersabar maka itulah tanda daripada tanda-tanda pendustaannya. Lagipun dalam hal ini para ulama’ mengatakan bahawa Allah swt menurunkan musibah ke atas hambanya yang beriman untuk dua perkara:-

1-mempertingkatkan darjat keimanannya.

2-Menghapuskan dosanya.

Berkenaan dengan ini Nabi saw ada menyebut di dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud “Barang siapa yang Allah swt nak beri kebaikan kepadanya maka Allah akan menurunkan musibah (kesusahan ) kepadanya”.

Keluarga!!!

Saudari sepatutnya bersyukur kerana mempunyai satu keluarga yang masih lagi mempunyai asas-asas agama. Saudari juga patut berterima kasih kepada kedua-dua orang tua kerana masih lagi berusaha untuk memberi pelajaran agama kepada saudari dan adik beradik saudari. Oleh itu ,bagi saya saudari tidak mempunyai masalah yang besar untuk mendidik keluarga, kerana orang tua sauadari sememangnya orang suka kepada agama. Buktinya mereka menghantar saudari dan adik-beradik sauadari ke sekolah agama. Cuma yang tinggal sekarang ini ialah tugas saudari untuk memahamkan mereka tentang agama. Dalam proses memahamkan dan mendidik keluarga ini Saudari hendaklah mengikut kaedah-kaedah yang tertentu dengan meraikan beberapa perkara yang berkaitan.

Pertama ialah Saudari hedaklah memulakan pentarbiahan diri sendiri dengan menjadikan diri Saudari contoh kepada mereka. Perbanyakan amalan-amalan sunat di samping amalan-amalan wajib. Kerana amalan-amalan sunat inilah yang menyempurnakan amalan-amalan wajib dan membentuk syakhsiah diri. Dan yang paling pentingnya di sini ialah istiqamah (berterusan) dengan amalan tersebut. Selalulah membaca al-Quran tambah-tambah lagi di masa kesempitan, kerana al-Quran itu ubat kepada hati.

Kedua Saudari sendiri hendaklah memberi galakan kepada keluarga untuk beramal dengan amalan agama. Langkah awal yang perlu Saudari buat dalam hal ini ialah dengan menceritakan kepada mereka tentang hal diri saudari di tempat Saudari belajar setiap kali berhubung dengan mereka. Saudari boleh ceritakan tentang program-progran agama dan ‘usrah’ sendiri. Sekurang-kurangnya cerita yang seumpama ini dapat menarik hati mereka dan kerja untuk mendidik mereka lebih senang pada masa hadapan. Kemudiannya, Saudari boleh berterus terang dengan kedua-dua orang tua Saudari dengan cara ‘hikmah’ (bijaksana). Kerana kata-kata seorang anak memberi kesan yang mendalam kepada ibu bapa. Tapi perlu dingat, jangan sampai menyinggung perasaan mereka. Seterusnya Saudari hendaklah bersedia dan berazam untuk mengubah keluarga apabila pulang ke tanah air kelak. Apa yang paling pentingnya di sini selalulah berdoa semoga Allah memberi petunjuk kepada mereka.

Ketiga, Saudari hendaklah memberi tumpuan kepada ‘usrah’ yang dipertanggung jawabkan kepada Saudari. Sumbangan tenaga, masa, dan fikiran saudari merupakan aset tetap Saudari. Latihan mengendalikan usrah yang Saudari hadapi sekarang ini merupakan bekalan terbaik untuk saudari menghadapi keluarga dan masyarakat. Lagipun Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah swt suka apabila seseorang itu melakukan pekerjaan dengan tekun”.

Akhir sekali, saya nasihatkan kepada Saudari agar menganggap setiap masalah itu adalah ujian daripada Allah swt untuk Dia menaikan martabat Saudari dan menghapuskan dosa-dosa Saudari. Jadikan amalan membaca al-Quran sebagai pengubat di kala kesempitan. Teruskan usaha untuk mentarbiah diri, keluarga dan kawan-kawan dan selalulah berdoa kepada Allah swt serta bertawakkal kepadaNya.”Allah tidak membebankan hambanya dengan perkara yang dia tidak mampu.” “Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak mampu untuk memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi (Abu Talib), Tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa sahaja yang Dia mahu”.

Wallahua’lam&ldots;


 This page hosted by Get your own Free Homepage