Logo Yosri
Bendera Malaysia
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Undur | Daftar Utama | Depan | Pengenalan
Pengenalan
Buku Digital
Cerita Seram.
Daftar Negara
Alam Haiwan
Tokoh Dunia
Daftar Penyakit
Lagenda Dunia

TARAF 
BACAAN 
UMUM

 

 Siri Haiwan.
Harimau Indochina.

Harimau menerkam.
29 Jamdil Awal 1423
 

Setiap rencana yang ditulis di laman WEB ini adalah
ciptaan dan hakmilik Mohamed Yosri Mohamed Yong sepenuhnya melainkan apabila dinyatakan sebaliknya. Anda boleh menggunakannya semula bagi tujuan bukan perniagaan dengan syarat menyatakan akuan pengarang.
 
http://geocities.yahoo.com/home/
http://www.oocities.org/harimau_yosri
 


 
 
 
 
 
 

Harimau Indochina.
Oleh Mohamed Yosri Mohamed Yong

Harimau Indochina tergolong dalam kerajaan haiwan dalam filum kordata (bersaraf tunjang), sub-filum vertebrata (bertulang belakang), kelas mamalia (berdarah panas, berbulu dengan kelenjar menyusu), susunan maging (Carnivor), keluarga felidae (kucing), genus panthera, spesies tigris (harimau), sub-spesies Panthera tigris corbetti.

Harimau dipercayai berasal daripada sejenis haiwan pemangsa zaman purba yang dikenali sebagai Miacids. Miacids hidup pada akhir zaman Cretaceous kira-kira 70-65 juta tahun dahulu semasa zaman dinosaur di Asia Barat (Andrew Kitchener, "The Natural History of Wild Cats").  Sulur-galur harimau kemudiannya berkembang di kawasan timur Asia di China dan Siberia sebelum berpecah dua, satunya bergerak ke arah hutan Asia Tengah ke barat dan baratdaya menjadi harimau Caspian. Sebahagian lagi bergerak dari Asia Tengah ke arah kawasan pergunungan barat, dan seterusnya ke Asia tenggara dan kepulauan Indonesia, sebahagiannya ke barat sehingga ke India (Hemmer,1987)

Dalam spesies harimau modern, terdapat lima sub-spesies harimau dalam Genus Panthera yang masih hidup pada masa sekarang dari jumlah asal lapan sub-spesies harimau moden. Tiga sub-spesies harimau yang selebihnya telah pun dianggap pupus secara rasmi. Sub-spesies harimau yang diketahui adalah seperti berikut :-

  1. Harimau Indochina (Panthera tigris corbetti) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Malaysia, Kemboja, China, Laos, Myanmar, Thailand, dan Vietnam.
  2. Harimau Bengal (Panthera tigris tigris) - yang terdapat di kawasan hutan hujan dan padang rumput Bangladesh, Bhutan, China, India, dan Nepal.
  3. Harimau Cina Selatan (/amoy) (Panthera tigris amoyensis) - yang tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput tengah dan barat China.
  4. Harimau Siberia (Panthera tigris altaica) - atau juga dikenali sebagai Amur, Ussuri, Harimau Timur Laut China, atau harimau Manchuria. Harimau Siberia tinggal di kawasan hutan hujan dan padang rumput China, Korea Utara, dan Asia Tengah di Russia.
  5. Harimau Sumatra (Panthera tigris sumatrae) - yang tinggal hanya di kepulauan Sumatera, Indonesia.
  6. Harimau Caspian (Panthera tigris virgata) - yang telah pupus sekitar 1950an. Harimau Caspian ini pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan dan padang rumput Afganistan, Iran, Mongolia, Turki, dan kawasan Asia tengah Russia.
  7. Harimau Jawa (Panthera tigris sondaica) - yang telah pupus sekitar 1972. Harimau Jawa pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Jawa, Indonesia.
  8. Harimau Bali (Panthera tigris balica) - yang telah pupus sekitar 1937. Harimau Bali pernah berkeliaran di kawasan hutan hujan kepulauan Bali, Indonesia.
Harimau Indochina

Harimau Indochina atau Panthera tigris corbetti, terdapat dikawasan hutan tropika dan kawasan padang rumput di Malaysia, Myanmar (Burma), Kemboja, Laos, Thailand, Cina, dan Vietnam. Di kawasan ini, harimau Indochina selalunya tinggal dikawasan hutan terpencil yang berbukit atau di banjaran gunung, yang kebanyakannya terletak di sempadan negara berlainan. Disebabkan kebanyakannya terletak di sempadan negara, tidak banyak kajian mengenai harimau Indochina liar dapat dijalankan disebabkan kawasan sempadan merupakan kawasan terkawal dan tidak dapat dimasuki sewenang-wenangnya.

Kegiatan pihak penentang bersenjata kerajaan dan konsortium pengedar dadah yang bergerak aktif dikawasan sempadan, contohnya di kawasan segi tiga emas, secara tidak langsung memudahkan senjata api didapati dikawasan sempadan. Jumlah senjata api yang banyak ini telah menggalakkan lagi kegiatam pemburuan haram secara persendirian ataupun sebagai sumber kewangan pihak pemberontak dan pengedar dadah tersebut, dengan itu menambah bahawa ancaman kepupusan kepada harimau. Dianggarkan hanya terdapat 1,000 - 1,800 harimau sub spesies Panthera tigris corbetti  yang masih hidup liar, dan terdapat juga 50 hingga 70 ekor lagi yang dipelihara di dalam zoo Asia dan Amerika Syarikat.

Harimau Indochina lebih gelap dan kecil sedikit daripada harimau Bengal. Selain itu harimau Indochina juga mempunyai belang yang lebih halus dan pendek. Harimau Indochina jantan mempunyai panjang purata 2.7 meter (9 kaki) dari kepala hingga ke hujung ekor dengan berat purata 180 kilogram (400 paun). Harimau Indochina memburu babi liar, rusa, dan kerbau liar. Harimau Indochina dianggarkan memerlukan kawasan seluas 100 kilometer persegi (39 batu persegi), untuk setiap 4 hingga 5 ekor harimau dewasa dalam keadan optima. Keadaan optima termasuk kawasan tersebut tidak dicerobohi atau berpecah-pecah (fragmented), dan mempunyai haiwan buruan yang mencukupi.

Pada bulan Julai 1995, beberapa agensi hidupan liar dan zoo dari Malaysia, Vietnam, Laos, Kemboja, Myanmar, dan Singapore telah berbincang mengenai analisa asal harimau di zoo dan peranan zoo dalam menyokong pembiakan harimau liar, di Organisasi Taman Zoologi (Zoological Parks Organization), Thailand. Pada masa ini hanya empat ekor harimau Indochina dalam kurungan telah membiak dan diharapkan ini dapat diperbesarkan di masa akan datang. Diharapkan langkah sebegini akan menggalakkan lagi perbincangan dan aktiviti menyelamatkan harimau sub-spesies Indochina  daripada terhapus sama sekali dari muka bumi ini.

Pencerobohan kawasan yang dihuni oleh harimau Indochina yang disebabkan oleh pembangunan, dan pertanian menyebabkan kewujupan harimau Indochina semakin tertekan. Walaupun harimau dianggap sebagai haiwan yang perkasa dan menjadi lambang kegagahan dan keberanian, kesemua spesies harimau kini berhadapan dengan ancaman untuk terus hidup. Sekiranya tidak ada sesiapa yang bertindak untuk menyelamatkan mereka, harimau Indochina akan tinggal nama sahaja dimasa akan datang.

 

- TAMAT -

Rujukan :
http://www.everwonder.com/david/tigers/living/
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/about.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/evolu.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/bengal.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/extinct.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/sochina.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/basics2.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/siberian.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/ichinese.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Subsp_distribution/sumatran.htm
http://www.5tigers.org/Basics/Phys_Ecol_Sociol/colors/white.htm
National Geographic December 1997,"Wild Tigers", Geoffrey C. Ward, m.s. 2 - 47
Dari Ibnu Umar r.a. katanya, Nabi s.a.w. bersabda : 
"Hai, manusia ! Taubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku taubat kepada-Nya 100 kali setiap hari." 
      Doa berkat penutupnya amin 
      Jari lentik memukul gendang 
      Mempelai berangkat di atas pelamin 
      Sama cantik sama padan

Pantun Asli saya


Hakcipta terpelihara 9/08/2002 © Mohamed Yosri Mohamed Yong. 
Setiap rencana yang ditulis di laman WEB ini adalah
ciptaan dan hakmilik Mohamed Yosri Mohamed Yong sepenuhnya
melainkan apabila dinyatakan sebaliknya. Anda boleh menggunakannya semula
bagi tujuan bukan perniagaan dengan syarat menyatakan akuan pengarang.
http://www.oocities.org/harimau_yosri
Pembangunan dan Rekabentuk menggunakan http://browsers.netscape.com/browsers/main.tmpl