Karekteristik Matematik
Persoalan utama dalam pendidikan
matematik adakah para pendidik memahami akan apa yang dimaksudkan dengan
matematik. Kalau ditanya, rata-rata pendidik mengatakan bahawa matematik
adalah satu cabang ilmu yang berkait rapat dengan nombor. Pemahaman
sedemikian rupa adalah sangat sempit. Matematik bukanlah sekadar
berinteraksi dengan nombor semata-mata. Ianya mencakupi skop yang
jauh lebih luas daripada itu. Matematik sebenarnya adalah bahasa
universal yang unik yang menjangkau batasan sosial, budaya dan bahasa menggunakan
simbol dan sintaksis yang diterima secara global. Descartes menyatakan
bahawa matematik adalah kajian tentang pola. Science for All American
(AAAS) pula menyatakan bahawa matematik adalah kajian tentang pola dan
perhubungkaitan. Sebagai kajian pola, matematik adalah satu cara
inkuiri yang mendedahkan kebenaran utama tentang pola yang wujud di sekitar
kita. Matematik adalah juga satu bentuk komunikasi yang melengkapi
perbendaharaan kata bahasa seharian atau sedia ada sebagai satu alat untuk
menerangkan dunia yang kita diami. Dengan bahasa tersebutlah, maka
kita boleh saling berkomunikasi dengan alam semulajadi, tentang pola pertumbuhan
dan percambahan biji benih, tentang perubahan musim, dan sebagainya.
Selain daripada itu, matematik adalah bahasa yang jitu dan tepat untuk
dunia perdagangan dan perniagaan. Ahli-ahli koporat dan ekonomi berkomunikasi
sesama sendiri dengan bahasa matematik untuk menerangkan tentang untung-rugi,
turun-naik prestasi syarikat atau negara masing-masing. Jelaslah,
matematik itu adalah suatu proses yang kreatif dan aktif, bukannya sekadar
suatu proses penguasaan konsep dan prosedur secara pasif. Ianya adalah
satu tabiat minda yang membantu menjelaskan situasi yang kompleks.
Ianya merupakan satu cabang ilmu yang dinamik, yang sentiasa mengalami
perubahan atau revolusi.
Matematik sangat mempengaruhi
kehidupan kita. Kita tidak boleh lari daripadanya sama ada kita suka
ataupun tidak. Semasa membeli-belah, matematik mengekori kita.
Semasa memasak di dapur, matematik mengintip kita. Matematik adalah
penting untuk kehidupan seharian. Itulah hakikatnya. Selain
daripada itu, matematik merupakan satu warisan budaya di mana hasil-hasil
seni dilukis dan dibina. Lihat sahaja kepada bangunan Twin Tower
yang tersergam indah di ibu kota kita, Kuala Lumpur, tanpa adanya matematik
maka, tiadalah jurutera dan arkiteksnya yang berkaliber. Memandangkan
matematik sangat memainkan peranan dalam kehidupan kita, ianya merupakan
satu fungsi ekonomi bagi menentukan siapa yang berada di atas dan siapa
yang berada di bawah. Pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang
lumayan, pastinya memerukan penguasaan matematik yang tinggi. Malah
di peringkat rendah sekalipun, matematik sangat mempengaruhi jenis pekerjaan
yang layak dipohon oleh seseorang individu. Akhirnya, matematik ini
berperanan untuk membentuk satu komuniti saintifik dan teknikal yang menjadi
faktor penentu kerjaya seseorang individu.
Jadi, apakah sebenarnya matlamat
pendidikan matematik? Daripada huraian di atas, bolehlah dirumuskan
bahawa matlamat pendidikan matematik adalah untuk melahirkan warga
yang bukan sahaja mampu untuk mengaplikasi pengetahuan matematik mereka,
tetapi juga menyelesai masalah baru. Dalam erti kata lain, individu
berliterasi matematik yang kreatif dan kritis. Pada akhir persekolahan,
adalah diharapkan agar individu yang dihasilkan boleh menghargai matematik
dari segi nilai sejarah, budaya, dan saintifiknya dan yakin dengan kebolehan
kuasa matematik masing-masing. Pelajar yang sedemikian akan berkemampuan
untuk menyelesai masalah matematikal dan berkebolehan untuk berkomunikasi
dengan menggunakan bahasa matematik serta mampu pula untuk membuat keputusan
secara matematikal. Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan rakyat
Malaysia yang boleh berkomunikasi, berfikir, dan membuat justifikasi secara
matematikal dan menggunakan kuasa matematik masing-masing untuk menyelesaikan
masalah sama ada masalah yang sedia ada dalam situasi dunia sebenar mahupun
masalah baru yang belum nyata lagi penyelesaiannya, menjurus kepada pendemokrasian
pendidikan matematik, bagi mewujudkan keseimbangan peluang sosial dan ekonomi
sekaligus menyediakan rakyat Malaysia yang berkeupayaan menghadapi cabaran
dalam kehidupan pada alaf baru.
Justeru itu, matematik perlu
diajar sebagai satu seni, atau satu permainan, atau sebagai sains semulajadi,
ataupun berorientasikan teknologi. Aspek penting dalam pengajaran
dan pembelajaran matematik adalah menjadikan ianya sebagai satu penaakulan.
Hal ini dicapai melalui penyelesaian masalah. Setiap kali pelajar
mencuba untuk menyelesaikan masalah, mereka akan menggunakan akal mereka
untuk menaakul. Selain daripada itu, aspek lain yang perlu ditekankan
dalam pengajaran matematik adalah matematik sebagai komunikasi. Pelajar
perlu dilatih untuk menyampaikan idea mereka yang diperolehi secara individu
ataupun kumpulan dengan jelas dan tepat agar orang lain boleh memahami
dan membuktikan semula pendapat mereka. Penyampaian idea sebegini
membantu pelajar untuk membina konsep di samping membina perkaitan idea
yang tidak formal, intuitif, bahasa abstrak dengan simbol. Ia menggalakkan
aktiviti sosial di mana dalam proses penyampaian idea ini, pelajar akan
menerima idea melalui mendengar, membaca, dan visualisasi.
Aspek yang ketiga dalam pengajaran
dan pembelajaran matematik melibatkan penyelesaian masalah itu sendiri.
Malah tujuan utama proses pengajaran dan pembelajaran adalah menyelesaikan
masalah. Justeru, wajarlah pengajaran dan pembelajaran di kelas difokuskan
kepada aspek ini. Penyelesaian masalah yang dimaksudkan di sini adalah
penyelesaian kepada masalah situasa yang tiada penyelesaian yang nyata.
Ini akan memangkinkan proses penaakulan pelajar yang bersistematik dan
mengikut semantik yang teliti. Kejayaan dalam menyelesaikan masalah
tersebut adalah satu unsur motivasi dalaman di mana pelajar akan berasa
puas kerana telah menemui penyelesaiannya. Sehubungan dengan itu
juga, fokus pengisian dan kemahiran hendaklah ditumpukan kepada beberapa
perkara seperti yang disenaraikan di bawah.