Penutup
Trend pendidikan matematik tidak boleh lari daripada peredaran masa. Kalau dahulu, trend pendidikan ditentukan oleh revolusi perindustrian, kini ianya dicorak semula oleh revolusi teknologi maklumat. Sehubungan dengan itu, corak pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah perlu diubahsuai agar ianya mampu berjalan seiringan dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Keperluan untuk berubah semakin jelas dan semakin mendesak dengan pencapaian pelajar kita yang tidak setanding pencapaian jiran terdekat kita. Perubahan perlu dibuat dan ianya perlulah diteraskan kepada kefahaman manusia tentang bagaimana kanak-kanak itu berfikir dan tentang matematik itu sendiri. Hasil kajian kini, dengan lantang dan jelas mencadangkan bahawa satu jalan keluar adalah melalui pendekatan konstruktivisme yang secara amnya mengatakan bahawa pelajar belajar hanya apabila mereka telah membina makna untuk diri mereka sendiri. Seiringan dengan perubahan dari segi proses pengajaran dan pembelajaran, maka rasanya tidak sistemik peubahan tersebut sekiranya trend dalam pentaksiran tidak juga diubah. Bukanlah hasrat perbincangan ini untuk mengatakan bahawa ujian bertulis dan ujian berpusat perlu dihentikan. Pentaksiran sedia ada bolehlah dikekalkan tetapi ianya hendaklah ditambah dengan alat-alat pengukur yang lebih relevan agar pendidik bukan sekadar menilai aspek kognitif, tetapi juga aspek afektif da psikomotor.