Detik penentuan yang mengadili karier Sil Khannaz kini telah berdetik kembali apabila album terbaru mereka 'Bara Pawaka' mencetuskan paranorma dalam industri irama berat tempatan. Sil Khannaz adalah pejuang Metal tempatan yang ditubuhkan pada 1987 di kangar, Perlis. Berbekalkan satu tekad, mereka telah berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1990 hanya untuk satu tujuan iaitu untuk melihat Sil Khannaz berjaya kerana di Perlis ianya tidak menjanjikan apa-apa buat mereka.
Dalam tahun 1990 kita boleh lihat banyak kumpulan-kumpulan underground tempatan yang lain mengambil keputusan yang sama seperti Sil Khannaz setelah mereka seakan-akan terhimpit di tempat mereka sendiri. Penghijrahan tersebut sememangnya membawakan gemerlapan sinar kejayaan kepada mereka kerana pada tahun 1990 mereka berpeluang merakamkan demo pertama 'Doctrine To Hell' diikuti dengan demo 'Assassin Led By Blasphemy' pada tahun 1992.
 Sil Khannaz di zaman '80an!!
Penghijrahan Sil Khannaz semakin bererti apabila mendapat peluang untuk merakamkan album pada tahu 1992 dari Valentine Sound Production. Album pertama 'Conception Of Madness' dirakam pada lewat 1992 dan pada awal 1993 ianya telah mula dipasarkan. Album ini benar-benar bersinar menyuluh karier mereka sebagai sebuah kumpulan Death Metal yang disegani. Dicelah-celah sinar kegemilangan mereka, kesinambungan karier Sil Khannaz disusuli dengan album mini 'Pendita Gila' yang menyelinap pasaran pada tahun 1995.
Diterbitkan sendiri oleh label mereka, Nebiula Production, keseragaman muzik Sil Khannaz berubah haluan apabila angin perubahan melanda mereka dalam album kedua yang dirakamkan pada penghujung 1996 dan mula merebut pasaran tempatan di awal 1997. Kini setelah hampir tiga tahun album 'Gerbang Kayangan' dikeluarkan, mereka telah kembali lagi dengan penaklukan terbaru iaitu 'Bara Pawaka', album yang akan menyemarakkan lagi 'api' irama Death Metal yang baru sahaja 'menjilat' kembali arena muzik underground tempatan...
|