Berita-bil. 01/2004... 

Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas

 Pendidik
 Cakap-cakap
Berita
Cermin Diri
Daripada Pembaca
Koleksi Tinta
Mutiara Kata
Buku Pelawat
Jalinan




Harap maaf...masih dalam pembinaan

-PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.

Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 X 768 px

Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.

PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com

 



Amalan Tuisyen Dalam Sistem Pendidikan

26/01/2004 [Portal Pendidikan Utusan]

Oleh Prof. Madya Dr. Mahzan Arshad, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya

KEMURAHAN hati kerajaan untuk membelanjakan sebanyak RM200 juta bagi tujuan Skim Baucer Tuisyen (SBT) telah menarik perhatian masyarakat keseluruhan amnya dan kalangan para pendidik khususnya.

Perkataan tuisyen bukanlah satu yang baru bagi masyarakat di negara ini, terutamanya di kalangan penduduk di bandar-bandar utama kerana pusat-pusat tuisyen ini sebenarnya tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di kawasan bandar dan kawasan kediaman.

Perkataan tuisyen ini menjadi negatif konotasinya apabila dikaitkan dengan pusat-pusat tuisyen swasta yang berorientasikan komersial serta berasaskan perhitungan keuntungan wang semata-mata.

Namun demikian pusat tuisyen tetap popular di kalangan pelajar yang akan mengambil peperiksaan awam seperti UPSR, PMR dan SPM, walaupun ada di kalangan pendidik dan ibu bapa yang memandang pusat ini dengan pandangan yang agak serong seperti di atas.

Sememangnya menghantar anak ke pusat tuisyen satu kebiasaan bagi ibu bapa yang mahu anaknya mendapat seberapa banyak A dalam mata pelajaran yang diambil dalam sesuatu peperiksaan.

Soalan pertama yang perlu dijawab dalam penulisan ini ialah adakah ibu bapa perlu menghantar anak ke pusat tuisyen? Soalan kedua ialah adakah sekolah perlu menyediakan pusat tuisyen? Soalan yang ketiga ialah dapatkah tuisyen menjamin pencapaian yang baik bagi pelajar dalam peperiksaan?

Jawapan bagi ketiga-tiga soalan tersebut boleh dijelaskan dengan melihat apakah faktor yang boleh menghalang keberkesanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di bilik darjah itu sendiri.

Faktor pertama yang sering disebut sebagai penghalang proses P&P ialah faktor jumlah pelajar dalam bilik darjah di sekolah-sekolah negara ini. Rata-rata sekolah di negara ini, terutamanya sekolah di bandar mempunyai jumlah pelajar yang ramai bagi sesuatu bilik darjah.

Sepanjang penulis berkhidmat sebagai guru dan pensyarah di universiti sebagai pelatih para guru baru, didapati bahawa setiap bilik darjah mempunyai pelajar yang tidak kurang daripada empat puluh orang.

Jumlah pelajar yang ramai ini akan menjadikan guru tidak dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada setiap individu pelajar, terutamanya pelajar yang perlu kepada tumpuan yang khusus.

Jumlah pelajar yang ramai ini juga menjadikan suasana pembelajaran di bilik darjah kurang selesa. Interaksi antara guru-pelajar dan pelajar-pelajar yang amat perlu bagi suasana pembelajaran yang berkesan tidak dapat dilaksanakan oleh guru dengan mudah.

Pergerakan pelajar bagi bilik darjah yang terlalu ramai akan mengganggu persekitaran pembelajaran yang sepatutnya kondusif dan tenang.

Masalah ini menjadikan sesetengah pelajar yang lemah dan kurang berkeupayaan mengawal daya pembelajaran mereka terus tercicir berbanding rakan mereka yang lain.

Faktor yang kedua ialah masa yang diperuntukkan bagi sesuatu mata pelajaran di sekolah. Masa pembelajaran yang pendek dan terhad juga merupakan satu faktor yang boleh mengakibatkan ada pelajar yang lemah terus tercicir dalam proses pembelajaran di bilik darjah.

Biasanya sesuatu mata pelajaran akan diperuntukkan lebih kurang 30 hingga 40 minit setiap kali dan beberapa kali seminggu bergantung pada keperluan kurikulum.

Masa bagi guru melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dalam tempoh 30 atau 40 minit ini sebenarnya amat terhad. Ditambah pula masa pengajaran tersebut terkena pada masa selepas perhimpunan, selepas rehat, atau sebelum loceng untuk pulang ke rumah.

Sekurang-kurang lima hingga lima belas minit akan terbuang bagi menenangkan para pelajar dalam bilik darjah pada waktu-waktu tersebut. Masa yang sebenar bagi pelaksanaan pengajaran hanya tidak lebih dua puluh atau dua puluh lima minit sahaja.

Guru pula terpaksa mengejar masa yang sedikit ini bagi menamatkan sukatan yang telah dirancangkan untuk masa tersebut.

Dalam hal yang demikian ini, maka tidak semua aktiviti yang dirancangkan dapat dilaksanakan. Kesannya ialah tidak semua objektif pengajaran pada hari tersebut akan tercapai.

Faktor seterusnya ialah faktor guru itu sendiri. Sememangnya guru kadang-kala dipersalahkan sekiranya pelajar tidak berkeupayaan dalam mencapai sesuatu kemahiran atau mencapai matlamat pengajaran.

Antara banyak kajian yang dilakukan mendapati bahawa kelemahan pelajar mencapai matlamat pengajaran ialah akibat kelemahan guru dalam menyampaikan pengajaran tersebut.

Dapatan kajian juga menunjukkan pelajar yang lemah biasanya adalah akibat daripada guru yang banyak membuang masa untuk menyampaikan kandung pengajaran.

Bukti yang diperolehi daripada kajian menunjukkan guru yang terlalu banyak terlibat dalam tugas yang tidak berkaitan pengajaran akan menyebabkan lebih ramai pelajarnya ketinggalan dalam pelajaran.

Guru yang baik biasanya guru yang banyak membaca dan lebih mendalami kandungan mata pelajaran yang diajarnya. Oleh yang demikian jelas bahawa faktor guru memang kuat mempengaruhi pencapaian pelajar.

Bagi menjawab ketiga-tiga soalan di atas, rasanya cukuplah tiga faktor yang sering mengakibatkan halangan dalam proses P&P yang berkesan dalam sesuatu bilik darjah.

Faktor pertama yang mengakibatkan halangan dalam proses P&P boleh diatasi sekiranya guru boleh memperuntukkan masa tertentu di luar waktu pengajaran biasa bagi sekumpulan kecil pelajar yang agak tertinggal dalam proses P&P biasa.

Masa yang khusus ini boleh digunakan guru bagi membimbing pelajar yang tercicir tersebut dengan lebih mudah dan menjelaskan dengan lebih mendalam bahagian pelajaran yang masih sukar difahami oleh sekumpulan kecil pelajar ini.

Sesi ini juga boleh kenali sebagai sesi tutorial bagi institusi pengajian tinggi, yang sering digunakan oleh pensyarah untuk memperkukuhkan pengajarannya dalam sesi kuliah biasa.

Konsep ini boleh dipindahkan ke sekolah, khususnya bagi membantu pelajar yang lemah atau pelajar yang menghadapi masalah dalam proses pembelajaran biasa.

Sesi tuisyen atau tutorial ini diambil daripada konsep mentor-mantee dalam kaedah pendidikan yang banyak dijalankan bagi memperkukuhkan proses P&P di sekolah-sekolah grammar di barat.

Penulis kira tidak ada salahnya jika konsep ini digunakan dalam kelas-kelas tuisyen, sama ada pusat tuisyen swasta atau pusat tuisyen di sekolah di negara ini.

Langkah kerajaan memperkenalkan SBT adalah satu landasan yang baik bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan mendapatkan tuisyen dari pusat tuisyen swasta.

Sekali gus, faktor kedua yang menjadi penghalang kepada proses P&P dapat diatasi sekiranya konsep tuisyen yang dinyatakan di atas dapat dilaksanakan.

Masa tuisyen yang agak lebih panjang daripada kelas biasa dan kurangnya gangguan daripada elemen yang lain dalam waktu persekolahan biasa akan dapat membantu guru memberikan tumpuan yang lebih kepada pelajar yang lemah ini.

Di samping jumlah pelajar yang lebih kecil dalam sesebuah kelas tuisyen membolehkan guru menjalankan langkah-langkah pengukuhan dan pengayaan bagi membantu pelajar lemah memahami konsep atau menguasai kemahiran yang perlu dalam masa yang lebih sesuai.

Pemilihan guru yang sesuai bagi kelas tuisyen juga dapat mengatasi masalah guru yang masih kurang mahir dalam kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai bagi membantu pelajar yang lemah.

Kita perlu ingat bahawa kelas tuisyen tidak boleh menggantikan kelas biasa kerana tujuan kelas tuisyen ialah bagi memperkukuh atau memperkayakan keupayaan pelajar memahami sesuatu konsep atau menguasai sesuatu kemahiran sahaja.

Bagi pelajar yang telah dapat melakukan kedua-dua perkara tersebut seharusnya merasakan kelas tuisyen hanyalah pengulangan apa yang mereka pelajari di bilik darjah bagi proses penambahbaikan yang berterusan, bukannya mempelajari sesuatu yang baru lagi.

Oleh yang demikian tiada persoalan bahawa kelas tuisyen dapat menggantikan kelas biasa. Perlu diingat ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka ke pusat tuisyen swasta perlulah memastikan prinsip di atas dipatuhi.

Ibu bapa perlu berhati-hati menghantar anak ke pusat tuisyen agar tidak menjadikan pusat tuisyen sebagai sumber utama untuk memperoleh pendidikan dan sekolah hanya menjadi tempat bersosial dan menghabiskan waktu pagi semata-mata sebelum pergi ke pusat tuisyen di sebelah petang atau malam.

Dalam pelaksanaan kelas-kelas tuisyen sama ada pusat tuisyen swasta atau di sekolah, pihak pentadbir dan guru perlu mengambil perhatian terhadap beberapa perkara seperti yang berikut:

Kelas tuisyen bukan kelas biasa. Salah satu tujuan kelas ini adalah bagi membantu pelajar yang lemah dalam pelajaran mereka kerana salah satu faktor yang disebutkan di atas.

Sementara bagi pelajar yang sederhana pula, tuisyen perlu digunakan bagi menambahbaik kefahaman dan kemahiran mereka bagi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Kelas tuisyen mestilah kecil (tidak melebihi 10 orang) kerana faktor interaksi antara guru-pelajar dan pelajar-pelajar perlu diambil kira bagi memperkukuhkan pemahaman atau penguasaan kemahiran.

Kelas tuisyen di sekolah perlu dijalankan luar waktu sekolah kerana waktu ini boleh diberikan tumpuan oleh guru tuisyen yang telah dikenal pasti.

Kelas tuisyen perlu digunakan bagi langkah-langkah pengukuhan dan pengayaan. Tidak ada yang baru diperkenalkan dalam kelas ini. Kandungan atau kemahiran yang baru perlu diperkenalkan dalam kelas biasa.

Pemilihan guru yang khusus, terutamanya guru yang mendapat latihan khusus perlu bagi mengajar kelas tuisyen ini agar mereka dapat melaksanakan konsep pengukuhan dan pengayaan ini dengan lebih berkesan.

Kesimpulannya kelas tuisyen memang perlu dan amat penting dilaksanakan dengan tujuan yang dikemukakan dalam penulisan ini.

Bagi menjadikan perkataan tuisyen ini lebih positif, maka pihak Kementerian Pendidikan mungkin boleh mengubah perkataan ini dengan perkataan yang lebih sesuai, seperti Kelas Pengukuhan dan Pengayaan.

Oleh itu skim ini bolehlah dinamakan Skim Baucer Pengukuhan dan Pengayaan (SKPP). Di samping itu pelaksanaan yang jujur daripada pihak sekolah dan guru di pusat-pusat tuisyen di sekolah pula akan dapat memanfaat skim baucer tuisyen ini kelak.