Pelantikan 5 pengetua
ke Jusa C martabatkan profesion guru
KATA di kota. Demikianlah
terlaksananya janji Perdana Menteri sewaktu sambutan Hari
Guru tahun lalu mengenai pengwujudan pengiktirafan tertinggi
terhadap profesion keguruan. Jawatan yang sama sekali
tidak pernah dibayangkan oleh kaum guru selagi mereka
bertugas di sekolah bertaraf guru biasa mahupun guru besar
atau pengetua.
Sejarah baru tercatat pada majlis perutusan tahun baru
Kementerian Pelajaran di Putrajaya Selasa lalu apabila
lima Pengetua Cemerlang dilantik ke Gred Jusa C, iaitu
gred yang dinikmati oleh segelintir pegawai tinggi perkhidmatan
pelajaran yang menyandang jawatan pengarah bahagian di
Kementerian Pelajaran atau pengarah jabatan pelajaran
negeri (JPN). Malah di kalangan pengarah JPN, bukannya
semua penyandang Jusa C, sebahagian besar adalah DG54.
Penyandang Jusa C bukan saja menikmati kenaikan gaji dan
tambahan elaun, tetapi faedah lain seperti kereta, pemandu
dan pembantu rumah.
Begitulah tingginya pengiktirafan terhadap guru yang dinikmati
hari ini. Apa yang menarik kesemua yang menerima pelantikan
adalah terdiri di kalangan pengetua wanita. Bermakna mereka
berjaya mengatasi teman sejawat di kalangan pengetua cemerlang
yang beberapa orang di antaranya adalah lelaki.
Pada majlis yang sama, 28 guru turut menerima pelantikan
sebagai Guru Cemerlang menyandang Gred DG54 (daripada
sebelumnya DG48). Kita berharap di kalangan Guru Cemerlang
akan ada yang dilantik sebagai penyandang Jusa C dalam
pengumuman tahun depan.
Pelantikan lima Pengetua Cemerlang menyandang Gred Jusa
C dan 28 Guru Cemerlang ke Gred DG54 daripada DG48 memartabatkan
profesion keguruan.
Pengwujudan Guru Cemerlang adalah pengiktirafan kepada
guru yang dedikasi dan inovatif dalam melaksanakan kerja
hakiki mereka sebagai guru yang mengajar di bilik darjah.
Mereka adalah pakar dalam mata pelajaran yang diajar.
Bukan kerana faktor lain seperti ketrampilan di bidang
kokurikulum atau dalam kepimpinan.
Demikian juga dengan pengetua dan guru besar. Mereka adalah
terbaik dalam mengurus semua aspek terutama dari pengurusan
kurikulum. Sehinggakan seseorang yang datang ke sekolah
dapat melihat iklim persekolahan yang berbeza di antara
sekolah yang ditadbir oleh seorang pengetua cemerlang
dengan pengetua biasa.
Kelainan itu ketara terutama dari segi suasana pembelajaran
membabitkan guru dan pelajar. Masalah salah laku atau
disiplin pelajar berada di tahap minimum. Kebanyakan pelajar
bermotivasi untuk belajar. Masalah guru mengajar sambil
lewa tidak berlaku. Demikian juga tidak ada guru lewat
apatah lagi untuk tidak masuk kelas. Jelasnya wujud suasana
pembelajaran yang sangat kondusif.
Pengukur nyata ialah pencapaian yang tinggi dalam peperiksaan
awam dibandingkan dengan sekolah lain yang sama kategori.
Sekolah berkaitan juga tertonjol dalam kokurikulum membabitkan
sukan, pertubuhan atau pasukan beruniform. Jelasnya sekolah
yang diterajui oleh Pengetua Cemerlang adalah sekolah
yang mempunyai karakter atau disebut sebagai sekolah berkesan
yang menjadi idaman ramai ibu bapa yang ingin melihat
anak merekamendapat tempat di sekolah berkenaan.
Sebenarnya ciri cemerlang yang ada pada guru besar atau
pengetua berkenaan bukan dilihat pada individu itu sendiri
tetapi keadaan sekolah, sikap guru dan pelajar. Itulah
pancaran daripada seorang pengetua atau guru besar yang
diiktiraf sebagai pengetua cemerlang.
Kita percaya, ramai pengetua akan dibawa melawat ke sekolah
pengetua cemerlang, terutama di kalangan pengetua yang
menerima pelantikan Jusa C, supaya kecemerlangan mereka
dapat dicontohi pentadbir sekolah lain.
Bagi orang ramai, khususnya ibu bapa, lebih ramai pengetua
atau guru besar cemerlang adalah lebih baik untuk perkembangan
pendidikan. Tetapi hakikatnya biarlah mereka yang dilantik
itu benar-benar cemerlang dalam menjalankan tugas hakiki,
bukan kerana faktor lain.