Bila Kampus Jadi Lokasi
Filem Cinta
27/01/2004
[Harakahdaily]
**Artikel ini dikirim melalui
ruangan "Daripada Pembaca"
Oleh ALI BUKHARI AMIR
Bahagian Pertama
"SAYA tak faham kenapa budaya keilmuan sangat lembab
di Malaysia berbanding Indonesia,” demikianlah rungut
Azizi Abdullah (Seorang Tua di Kaki Gunung) ketika menyampaikan
ceramah semasa Bengkel Penulisan Aktivis Sosial di Ayer
Itam House, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), pada
18 Januari 2004 lalu, anjuran TERAS (Teras Pengupayaan Melayu).
Beliau mengulas, jika faktor
rakyat Malaysia yang kurang membaca bahan ilmiah menjadi
sebab utama merencatkan kegiatan ilmiah dan penterjemahan
buku-buku terbaru, hal ini tidak boleh diterima.
Menurut beliau, rakyat Indonesia lebih ramai penduduknya
dari Malaysia dan rata-ratanya mengalami fenomena malas
membaca yang sama. Namun, kegiatan penterjemahan buku-buku
baru, baik dari bahasa Arab, Inggeris, dan lain-lain ke
bahasa Indonesia menjadi cepat berbanding Malaysia. Dengan
demikian, penerbit yang enggan menerbit buku ilmiah lantaran
pasarannya yang kurang tidak dapat diterima.
Buku ilmiah
Saya berpandangan, kita tidak boleh lagi mementingkan pasaran
apabila ingin menerbitkan buku-buku ilmiah.
Akibat memikirkan soal ini barangkali, maka Mastika kini
telah mengubah coraknya kepada "human interest"
bagi menarik pembaca berbanding dahulu yang sangat sarat
dengan muatan isu-isu politik, kebudayaan dan lain-lain
yang mematangkan pembaca.
Dalam hal ini, saya berpandangan, kita mesti berani menongkah
arus demi membangkitkan kesedaran pembaca tanpa memikirkan
soal untung rugi.
Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengerusi Yayasan Karyawan berkata
bahawa Dasar Buku Negara (1988) gagal mencapai matlamat.
Dalam kertas kerjanya, “Dasar Buku Negara: Satu Penilaian
Semula”, beliau menegaskan bahawa dalam tempoh itu,
banyak perkembangan lain yang berlaku yang tidak memberangsangkan
pertumbuhan budaya suka membaca, mencintai buku dan ilmu
dalam kalangan masyarakat.
Semasa berucap di Konvokesyen UUM ke-16 pada September 2003
lalu, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Kol.
Profesor Dato’ Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri menyindir
pelajar yang lebih mengenali artis dari menteri kabinet
dan negarawan.
Sebagai siswa, saya langsung tidak hairan dengan hal ini.
Dasar dan polisi universiti yang terlalu kabur adalah jawapan
kepada fenomena tersebut.
Laluan mudah Astro
Contohnya, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memberikan
laluan mudah kepada stesen TV satelit ASTRO mengadakan pertunjukan
Akademi Fantasia tidak lama dahulu.
Baru-baru ini, filem cinta, “Kuliah Cinta” telah
dilakonkan berlatarbelakangkan UPM. Sama juga dengan “Soalnya
Hati” dan “Soalnya Siapa” di USM dahulu.
Saya dimaklumkan juga bahawa wujudnya konsert hiburan di
sekitar ‘mall’ di kampus UUM. Hal ini meranapkan
imej reputasi universiti sebagai sarang ilmu sekali gus
menjawab isu siswa yang lebih kenal artis daripada menteri
kabinet dan negarawan.
Penjelasan begini sangat mudah difahami oleh semua orang
dan sebagai menyahut saranan Perdana Menteri agar bercakap
benar terhadap apa juga situasi yang melanda masyarakat
kita.
‘Kuliah Cinta’ (Yusry dan Erra Fazira) yang
merupakan carbon copy "Kuch Kuch Hota Hai" jika
dibandingkan dengan ‘Ada Apa Dengan Cinta’ lebih
kurang sama.
Namun, seperti yang dikritik Azizi Abdullah di awal bicara
tadi, ada kelainannya antara Malaysia dan Indonesia dari
sudut intelektual.
Adunan watak ‘Cinta’ serta ‘Rangga’
digarap dengan ramuan intelektual. Egois Cinta tercabar
oleh kemenangan puisi Rangga. Semenjak itu, hubungan bermula
dan mereka handal dalam bidang sastera.
Watak Cinta cukup mencabar, wartawan dan editor majalah
sekolah sementara Rangga daripada aliran konservatif yang
sentiasa menerima tekanan ekoran daripada pendirian politik
ayahnya. Ditonjolkan juga tokoh puisi terkenal Chairil Anwar.
Adakah “Kuliah Cinta” menonjol pujangga negara,
misalnya Baha Zain, Usman Awang dan sebagainya? Di kesempatan
ini, saya mengucap sekalung tahniah buat Datuk Rahim Razali
yang menonjolkan Dr. Burhanuddin al-Helmy dalam “Abang
92”.
Plot stereotaip
Adakah wujud watak ini dalam babak percintaan di Malaysia?
Drama ‘Sembilu’, 'Gila-gila Remaja', dan lain-lain,
tidak diketahui temanya boleh membawa penonton ke mana.
Plot stereotaip -- bersekedudukan, lumba motor haram (Mat
Rempit), pergaduhan kerana merebut wanita dan sebagainya
menuntut kita berfikir keras untuk memulihkan reputasi artis.
Kalau ditanya orang Barat siapa Siti Nurhaliza dan Misha
Omar? Mereka sendiri tidak kenal. Tapi, jika ditanya orang
Timur, siapakah Mariah Carey, Craig David, dan Linkin Park?
Kita sendiri tahu jawapannya.
Oleh itu, cabaran terbesar artis kita ialah bagaimana mahu
memasarkan budaya kesenian kita kepada industri hiburan
Hollywood agar suatu hari nanti mereka juga dapat menerima
budaya kita yang tidak ternilai harganya.
Saya menyeru kepada pelajar yang mendalami bidang penyiaran
di universiti agar bersama-sama memikirkan hal ini. Kita
perlu fikirkan bagaimana pelan tindakan kita untuk terus
memasarkan budaya kita kepada Barat bagi menangkis agenda
globalisasi yang tidak seimbang.
Kegemaran pihak penganjur sama ada dari dalam dan luar negeri
dalam membawa artis-artis ini sangat mengecewakan. Konsert
Linkin Park pada 15 Oktober 2003 ketika persidangan OIC
dijadualkan, mendapat bantahan dari khalayak dan NGO dalam
negeri. Bahkan, konsert Craig David (11 Oktober 2003) di
Pulau Pinang, tajaan Salem mendapat bantahan dari NGO luar
negeri, Pertubuhan Anti Merokok United Kingdom (ASH).
Pinda Akta Imigresen
Untuk mengelak kebanjiran artis-artis luar negeri dalam
negara yang merosakkan akhlak dan moral khalayak, maka tulisan
ini mencadangkan agar Parlimen meminda Akta Imigresen (Akta
155), Perkara 8 (3), “Imigran-imigran larangan”,
sebagai berikut:
“Mana-mana individu yang memasuki negara ini bagi
tujuan program-program hiburan dan lain-lain upacara yang
secara niat jelas atau pun samar-samar, bakal mengundang
kerosakan kepada akhlak dan moral rakyat negara dan masyarakat”
Berbalik kepada mahasiswa sebagai agen “gerakan pembaharuan
dan pemulihan budaya”, saya berpandangan, sepatutnya
kelas tutorial kita lebih menumpu kepada aspek perdebatan
ilmiah antara mahasiswa.
Misalnya, suatu isu dikupas dan sudah tentu wujud pro dan
kontra dalam isu tersebut. Mahasiswa dibahagikan kepada
dua kumpulan (pro vs. kontra) serta saling berbahas dalam
tempoh sejam mengenai isu semasa itu. Pensyarah akan memberikan
markah kepada mereka yang paling banyak berbahas.
Saya fikir, akhbar dan majalah perlu wujudkan konsep “akhbar
& majalah dalam kuliah-tutorial” seperti konsep
Akhbar Dalam Darjah (ADD) oleh Utusan Malaysia itu. Dengan
ini, mereka dapat mengguna keratan akhbar yang ditulis oleh
pemimpin pelajar di dalam akhbar dan majalah berkenaan.
Hal ini kerana, mahasiswa bukan lagi dihinggapi “buta
huruf”, tetapi “buta ilmu”.
Ilmu tidak hanya dibina melalui pembacaan, tetapi digarap
dan diupayakan melalui beberapa siri perdebatan yang sihat.
Oleh itu hipotesis awal yang menyatakan bahawa penyakit
‘buta huruf’ mesti dibanteras ke arah melahirkan
masyarakat berilmu perlu dinilai semula.
Menjadi suatu keperluan bagi pihak universiti agar menggarap
pendekatan baru melalui perdebatan ilmiah dalam kalangan
siswa. Penulis merasa takjub apabila melihat siswa-siswi
USM boleh membuat cop tapak kaki dan tapak tangan terpanjang
di atas kain rentang dan diletakkan sepanjang laluan di
Perpustakaan Utama dan di sekitar kafeteria. Jika hanya
itu, kanak-kanak tadika dan pra-sekolah juga mampu berbuat
demikian.
Pelajar tadika lebih pandai
Alangkah baiknya jika pelajar wujudkan tempat penulisan
terpanjang (Gelanggang Mahasiswa) di sepanjang perpustakaan
supaya siswa/i dapat melontarkan segala idea dan pandangan
mereka kepada khalayak untuk diambil tindakan.
Peliknya, hal ini tidak dipersetujui HEP sedangkan projek
seperti inilah yang bakal menaikkan taraf mahasiswa dari
‘cop kaki & tangan’ terpanjang yang menjatuhkan
imej dan reputasi mahasiswa melebihi pelajar pra-sekolah
atau tadika.
Masih lagi membicarakan krisis kebudayaan di IPT. Pelajar
masih kabur dengan kesungguhan pihak pentadbir dalam isu
ini. Berita BHEPP USM (Bahagian Hal Ehwal & Pembangunan
Pelajar), Keluaran ke-2 : 22 September 2003 contohnya telah
menyiarkan berita mengenai program “Malam Bintang
USM2003” di bawah tajuk “Malam Bintang USM2003
melahirkan bakat baru”.
Hal ini jelas sekali membuktikan bahawa program hiburan
yang bercanggah dengan semangat keilmuan universiti masih
mendapat tempat oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) USM sendiri.
Sedangkan resolusi kedua Kongres Mahasiswa Nasional, pada
10 – 12 April 2003 lalu di USM telah menggariskan
sebagai berikut:
"Bahawa kegiatan hiburan di kampus hendaklah diasaskan
kepada nilai intelektual, agama, dan adat ketimuran."
Lantas, di mana pendirian sebenar pentadbir IPT dalam menangani
isu dan krisis kebudayaan di dalam IPT sendiri khususnya
di USM?