JAKARTA 5 Jan. - Sekurang-kurangnya 1,000 orang
guru terkorban atau hilang manakala hampir 60
peratus infrastruktur pendidikan musnah dalam
bencana gempa bumi dan ombak tsunami yang melanda
Aceh dan Sumatera Utara, 26 Disember lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan Rendah dan Menengah,
Indra Djati Sidi berkata, jumlah tersebut termasuk
500 orang guru di Banda Aceh merupakan kiraan
awal dan jumlahnya dijangka lebih dari itu.
Katanya, keadaan tersebut menyebabkan proses
belajar dan mengajar di Aceh buat masa ini tidak
dapat dijalankan dan Jabatan Pendidikan akan mendirikan
sekolah-sekolah darurat mulai 20 Januari ini.
``Kita akan persiapkan kemudahan sekolah ini
setelah data guru, pelajar dan sekolah yang masih
boleh digunakan selesai.'' katanya kepada wartawan
di sini hari ini.
Kata beliau, Jabatan Pendidikan akan menghantar
kira-kira 1,000 orang guru ke daerah-daerah yang
terjejas bagi memastikan proses pendidikan dapat
diteruskan secepat yang mungkin.
Jelasnya, Jabatan Pendidikan sudah menyediakan
peruntukan awal sebanyak RM70 juta untuk membangunkan
semula kemudahan sekolah menengah dan RM95 juta
bagi sekolah rendah.
Mahkamah Agung pula hari ini memutuskan untuk
menangguhkan sementara waktu proses perbicaraan
di semua mahkamah di Aceh dan Sumatera Utara.
``Untuk sementara waktu perbicaraan kes ditangguhkan
kerana banyak dokumen hilang dan orang-orangnya
juga sukar dikesan,'' kata Setiausaha Agung Mahkamah
Agung, Gunanto Suryono.