Pengawal kawal murid, sekolah kawal pengawal
TRAGEDI pencabulan dan pembunuhan ke atas
dua murid di bawah umur, Harirawati Saridi, di Menggatal,
Sabah dan Nurul Huda Abd Ghani di Gelang Patah, Johor, dikutuk
oleh semua pihak. Mujur peristiwa itu tidak berlaku di premis
sekolah. Jika tidak, sudah pasti akan timbul isu lain yang
hebat membabitkan sekolah berkenaan dan Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun, kita berharap dua peristiwa
itu dan masing-masing satu lagi di Kelantan dan Negeri Sembilan
akan dijadikan iktibar oleh pihak sekolah untuk mengelak
sama sekali kemungkinan berlaku perkara yang sama. Ini disebabkan
semua sekolah menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan
yang dibekal oleh pihak syarikat keselamatan swasta.
Justeru, pihak yang berkaitan di Kementerian
Pendidikan hendaklah mestikan hanya syarikat keselamatan
yang berwibawa dan mempunyai trak rekod yang terbaik saja
dipilih. Manakala setiap pengawal yang dihantar bertugas
di sekolah hendaklah dipastikan di kalangan mereka yang
benar-benar bersih daripada sebarang kes jenayah termasuk
penagihan dadah.
Penelitian terhadap kedua-dua aspek ini,
iaitu syarikat yang berwibawa dan pengawal yang bersih,
hendaklah juga membabitkan syarikat yang mendapat tawaran
atau beroperasi pada masa ini dan pengawal sedang berkhidmat,
bukan dilaksanakan untuk pengambilan akan datang.
Hanya syarikat yang berwibawa dan pengawal
yang bersih layak untuk menyambungkan perkhidmatan. Manakala
sistem memberi tender kepada syarikat keselamatan juga harus
diperkemas supaya lebih telus.
Kini adalah masanya untuk guru besar dan
pengetua mengadakan pelbagai langkah tambahan yang sesuai
sebagai langkah pencegahan.
Contohnya, guru besar dan pengetua mestilah
memantau agar pengawal keselamatan tidak membenarkan orang
luar mengunjungi balai pengawal atau pondok keselamatan.
Balai pengawal tidak boleh sama sekali digunakan sebagai
tempat melepak dan bersembang oleh mana-mana pihak.
Kita bimbang jika tidak dibendung, pondok
pengawal akan dijadikan markas jenayah termasuk berjudi
dan tempat pengambilan dadah.
Sikap sesetengah guru besar dan pengetua
yang bertolak ansur dengan pengawal keselamatan terutama
dari segi disiplin dan masa bekerja hendaklah diberhentikan
sama sekali. Mereka tidak boleh keluar dari kawasan sekolah
sewaktu bertugas, terutama pada waktu malam.
Sekiranya syarikat mengganti pengawal lain,
walaupun untuk sementara, pengawal yang mengganti itu hendaklah
dimaklumkan dan mendapat persetujuan pihak sekolah terlebih
dulu. Profil pengawal yang mengganti itu juga perlu diserahkan
kepada sekolah untuk diteliti.
Murid dan guru hendaklah diingatkan bahawa
mereka tidak dibenarkan sama sekali berada di pondok pengawal
pada bila-bila masa. Ini adalah peraturan. Peraturan ini
meliputi murid perempuan dan lelaki serta guru perempuan.
Pencabulan juga boleh berlaku terhadap murid lelaki.
Apabila pengawasan terhadap pengawal dilakukan,
bermakna wujud ironi. Pihak sekolah terpaksa mengawal mereka
yang diberi tanggungjawab untuk mengawal keselamatan. Bagaimanapun,
ia terpaksa dilakukan demi menjaga maruah dan integriti
sekolah.