KEMENTERIAN Pelajaran perlu mengiklan jawatan kenaikan pangkat guru besar
atau pengetua bagi memastikan hanya mereka yang
layak dan berpengalaman dalam pengurusan dibenarkan
mentadbir sekolah.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan
Sri Abdul Shukor Abdullah bimbang guru besar atau
pengetua yang dilantik menjawat jawatan itu ketika
di ambang persaraan tidak mampu mentadbir sekolah
dengan baik.
Katanya, perkara tersebut berlaku sekarang dalam
Kementerian Pelajaran yang melantik guru besar
dan pengetua berdasarkan kenaikan bedasarkan tempoh
kenaikan.
Menurut beliau, melalui situasi itu, guru hanya
berpeluang menjawat jawatan tersebut apabila berumur
lebih 50 tahun, iaitu hampir penghujung hayat
perkhidmatan.
``Soalnya bagaimanakah situasi akan berkesan
dan dapat mempamerkan kepengetuaan yang dinamik
sekiranya ia hanya ada baki kurang satu tahun
sebelum bersara.''
``Dan bilakah masanya seseorang pengetua tersebut
bergerak ke jawatan seperti Pegawai Pendidikan
Daerah (PPD), Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia (TKPPM) dan Ketua Pengarah
Pelajaran Malaysia (KPPM),'' katanya.
Menurut beliau, pergerakan yang cepat dalam tempoh
waktu yang singkat dan kekurangan pengalaman akan
menjejaskan pemikiran `multi frame' dan kebolehan
mereka bentuk.
Pengurusan
Ini kerana mereka melalui pengalaman yang terbatas
kepada satu atau dua jawatan beserta situasi pengurusan.
``Saya bernasib baik kerana pada umur 26 tahun
telah dilantik menjadi seorang pengetua dan lantikan
itu memberi peluang selama 25 tahun untuk saya
bergerak dengan pelbagai pengalaman dan situasi,''
katanya pada Seminar Nasional Pengurusan Kepemimpinan
Pendidikan Ke-12 di Institut Aminuddin Baki (IAB),
Genting Highlands, baru-baru ini.
Sebelum menjawat jawatan KPPM Abdul Shukor pernah
menjawat jawatan penolong kanan, pengetua bagi
tiga jenis sekolah, Timbalan Pengarah BPPP, Pengarah
Pendidikan Negeri, TKPPM.
``Saya khuatir melihat situasi Kementerian Pelajaran
sekarang, memandangkan pembinaan multi frame dalam
kalangan pemimpin pelajaran negara akan terbatas
oleh faktor jangka waktu,'' katanya.
Menurut beliau, jika sesuatu tidak dilakukan,
kemungkinan wujud barisan pemimpin pendidikan
negara yang berfikiran single frame iaitu kurang
berkemampuan melakukan pemikiran multi frame.
Sekiranya perkara berkenaan meluas dalam organisasi
kementerian tersebut, kebolehan mereka bentuk
akan terjejas dan memandangkan pendidikan sering
berubah, pembatasan pemikiran tersebut dalam kalangan
pemimpin pelajaran boleh menjejaskan pembangunan
sistem pelajaran negara.
Jelas beliau, Kementerian Pelajaran perlu memastikan
perancangan kakitangan yang komprehensif kerana
ia merupakan satu budaya yang dirancang secara
sistematik.
``Saya rasa di sinilah kekurangan yang ada pada
kementerian sekarang, akibatnya, ada pegawai yang
menjadi Pengarah atau Ketua Pengarah Pendidikan
tanpa melalui jawatan pengetua atau melalui kursus-kursus
lanjutkan yang amat diperlukan apabila seseorang
itu menjawat jawatan tertinggi atau jawatan lain,''
katanya.