Berita-bil. 05/2004... 

Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas

 Pendidik
 Cakap-cakap
Berita
Cermin Diri
Daripada Pembaca
Koleksi Tinta
Mutiara Kata
Buku Pelawat
Jalinan




Harap maaf...masih dalam pembinaan

-PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.

Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 X 768 px

Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.

PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com

 



Praktikum: Ada yang "mempergunakan" guru pelatih

05/02/2004 [Portal Pendidikan Utusan]

GURU PELATIH mendakwa, ada kalanya pihak sekolah mengambil peluang `mempergunakan' mereka, terutamanya pelatih lelaki, untuk melakukan kerja-kerja seperti membuat kain pemidang, mengecat dinding dan meletakkan papan tanda.

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pensyarah Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) ke atas 44 guru pelatih bahasa Inggeris baru-baru ini turut mendapati guru-guru sekolah tidak memberi kerjasama kepada mereka untuk memberi tunjuk ajar mengenai kemahiran dan cara mengajar.

Ong Siow Kim, Ros Amisha Shabudin, Azlina Abdul Aziz, Sharnti Kulasingam dan Ho Lee Choo ketika membentangkan dapatan mereka pada Seminar Kebangsaan Pengajaran Bahasa Inggeris anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan MPIK di Putrajaya, baru-baru ini, turut mendedahkan nota ringkas guru pelatih sepertimana berikut:

1. ``Apa yang diajar di maktab dengan pengajaran sebenar di sekolah adalah jauh berbeza...pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak boleh digunakan sepenuhnya...saya akan memperbaiki apa yang telah saya cipta..teori saya sendiri yang praktikal.''

2. ``Sungguh menyedihkan..masalah berpunca daripada pelajar tetapi pensyarah menyalahkan guru pelatih. Mereka memarahi kami di depan pelajar, ini memalukan dan tidak adil.''

3. ``Guru yang membantu saya sentiasa sibuk kerana mereka mengajar di tahun 6. Sukar untuk saya berbincang dengannya jika timbul masalah.''

Tambah kajian itu:

``Lazimnya guru-guru keberatan untuk membenarkan guru-guru pelatih memerhati cara dan kemahiran yang digunakan oleh mereka untuk mengajar, kemungkinan mereka bimbang pendekatan yang dibuat akan dipertikaikan oleh guru pelatih.''

Menurut para pengkaji itu, latihan praktikum seharusnya dilihat satu tempoh penting yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak, terutamanya pengetua atau guru besar di sekolah.

Ini kerana ia menentukan kredibiliti bakal guru terutama yang melibatkan mata pelajaran penting seperti bahasa Inggeris, kata mereka.

Walau bagaimana pun berdasarkan kajian itu mendapati tidak banyak kemudahan di sekolah yang dapat membantu mereka menjalani latihan tersebut.

Selain sukar berhubungan dengan pengetua yang seringkali sibuk dengan tugas-tugas pengurusan, pihak sekolah tidak menyediakan peralatan yang mencukupi untuk membantu mereka menjalani latihan.

``Kemudahan lebih banyak terdapat di maktab,'' kata mereka.

Menurut mereka, sikap guru-guru tersebut tidak wajar kerana guru pelatih perlu belajar daripada pengalaman guru sekolah.

``Pemerhatian ini penting kepada guru pelatih untuk melihat sendiri pengurusan kelas yang dilaksanakan oleh guru bukan hanya sekadar mempelajari teori sahaja,'' kata mereka.

Sementara itu, walaupun rata-rata guru pelatih berkenaan berpuas hati dengan latihan praktikum yang dijalani namun masih banyak yang perlu diberi perhatian berdasarkan catatan pengalaman guru pelatih tersebut.

Antara yang dicatat oleh mereka ialah kebanyakan pensyarah mahu guru pelatih mengajar berdasarkan buku sedangkan guru pelatih merasakan mereka perlu diberi kebebasan untuk melaksanakan kaedah yang dirasakan sesuai.

Dalam pada itu majoriti guru pelatih berkenaan mahukan mereka dibebaskan daripada tugasan akademik semasa menjalani latihan praktikum kerana beban tugas yang banyak di sekolah.

Ini bagi membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap latihan berkenaan kerana banyak yang boleh dipelajari semasa latihan itu.

Sehubungan itu maktab perguruan, sekolah yang terlibat, guru-guru pembantu dan guru pelatih harus membantu satu sama lain untuk menterjemahkan persepsi kepada realiti.

Mereka yang terlibat dalam melatih guru harus sentiasa peka terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang diikuti oleh guru pelatih dan bukan hanya membuat rumusan daripada corak amalan.

Selain itu maktab-maktab perguruan perlu menyediakan kemudahan yang progresif, berpusatkan pembelajaran dan pendidikan yang demokratik.

Ini hanya akan dapat direalisasikan jika mereka mendengar pandangan dan keluhan hati guru pelatih dan guru baru.