KEPUTUSAN Penilaian Menengah Rendah (PMR) telah
diumumkan. Tahniah kepada yang berjaya dan masih
ada masa untuk berusaha lebih gigih lagi untuk
yang gagal mencapai keputusan cemerlang. Ini kerana
persimpangan hidup yang utama bagi seorang pelajar
dalam konteks peperiksaan di Malaysia adalah peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Harus diakui bahawa
kecemerlangan dalam hidup bukan berasaskan keputusan
akademik semata-mata tetapi ia merupakan salah
satu elemen penting untuk mengecapi hidup yang
bahagia di hari muka. Keputusan akademik masih
menjadi rujukan terpenting walaupun kita telah
meninggalkan alam persekolahan 20 tahun yang lepas.
Begitu juga ujian urin, kita akan rasa dunia ini
gelap dan tiada harapan lagi jika ujian urin (air
kencing) berjaya dikesan dan menunjukkan ada rekod
penggunaan dadah atau positif dadah.
Jika PMR kita takut gagal tetapi ujian urin kita
takut berjaya. Ini kerana jika kita berjaya dalam
PMR mungkin kita ke universiti tetapi jika kita
berjaya ujian urin kita ke pusat serenti! Kedua-dua
ujian ini adalah satu mekanisme untuk menapis
mereka yang berpotensi menjadi aset negara atau
sebaliknya sebagai sampah masyarakat.
Pelbagai usaha dilakukan untuk mencapai kejayaan
dalam peperiksaan. Ada yang sanggup pergi kelas
tambahan pada waktu malam walaupun telah letih
di sekolah pada waktu siang harinya, sanggup bersengkang
mata setiap malam untuk mengulang kaji pelajaran.
Semuanya sanggup dilakukan untuk berjaya dalam
peperiksaan dan berjaya masuk ke universiti. Sebaliknya
untuk ujian urin, jika berjaya kita akan dihantar
ke pusat serenti! Marilah kita insafi, berusaha
untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan untuk
faedah kepada diri kita, keluarga, masyarakat
dan negara, dan berusaha untuk gagal dalam ujian
urin.
- AADK, Putrajaya