Dalam tulisan bertajuk Orientasi peperiksaan
timbulkan gejala negatif yang tersiar dalam akhbar ini pada
30 Januari 2004, beliau mengulas mengenai sistem pendidikan
yang dikatakan terlalu berorientasikan peperiksaan.
Cikgu Lama juga ada menceritakan sukarnya
mendidik dalam melakukan program intervensi apabila ada
murid-muridnya di tahap dua masih belum menguasai kebolehan
asas membaca.
Beliau bersama-sama dengan rakan-rakannya
telah cuba sedaya upaya, sehingga pelajar itu boleh menguasai
kebolehan asas membaca, tanpa menuduh guru lain di tahap
satu (tahun satu, dua dan tiga) tidak melaksanakan tugasnya.
Tulisan Cikgu Lama tercetus berikutan laporan
dalam akhbar mengenai kemungkinan sebuah sekolah di Pulau
Chapa, Jitra Kedah memaksa pelajar lain untuk mengambil
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2002 bagi
pihak pelajar lain yang lebih lemah, supaya keputusan sekolah
itu lebih baik.
Kementerian Pendidikan Malaysia ingin menegaskan
bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan `penipuan'
itu, jika ia berlaku.
Perkara itu sedang dalam siasatan khas di
peringkat Kementerian Pendidikan, selain siasatan yang dibuat
oleh pihak polis.
Jika perkara ini terbukti benar, guru yang
terbabit dan perancang `penipuan' itu akan diambil tindakan
tegas, bagi mengelak berulangnya kejadian itu.
Kementerian Pendidikan tidak mahu dengan
adanya seorang dua guru yang kurang profesional dapat mencemarkan
imej profesion perguruan secara keseluruhan.
Kementerian Pendidikan yakin bahawa kebanyakan
guru adalah profesional dan setia kepada etika, dan dalam
banyak kes guru adalah wira yang tidak didendang kerana
sanggup berkorban masa dan kepakaran untuk mendidik anak
bangsa, dan ada yang sanggup berada jauh di pedalaman untuk
memastikan anak bangsa terdidik.
Mengenai sistem pendidikan yang dikatakan
berorientasikan peperiksaan, Kementerian Pendidikan ingin
menjelaskan beberapa usaha telah dilaksanakan dan sebahagian
lagi sedang rancak dibuat untuk memastikan sistem pendidikan
Malaysia kurang berorientasikan peperiksaan.
Di peringkat sekolah rendah, umpamanya,
tumpuan dan bentuk peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR) telah mula bertukar. UPSR bukannya lagi satu peperiksaan
terminal.
Ini bermakna semua pelajar termasuk mereka
yang berpencapaian tinggi dan rendah tetap dinaikkan ke
tingkatan satu. Tujuan UPSR ini sebenarnya adalah untuk
menilai proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di
peringkat rendah.
Justeru, UPSR mencatatkan keputusan pelajar
sama ada menguasai atau tidak menguasai sesuatu mata pelajaran.
Sejak tahun 2000, Kementerian Pendidikan
telah melakukan semakan semula Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Hasil semakan semula itu, peperiksaan atau
pentaksiran lebih ditumpukan kepada yang berasaskan sekolah.
Maka pelajaran seperti Kajian Tempatan, Pendidikan Jasmani,
Muzik dan Kemahiran Hidup tidak dinilai secara peperiksaan
rasmi dalam UPSR, supaya pelajar tidak terlalu berorientasikan
peperiksaan.
Peperiksaan berasas sekolah akan terus diperluaskan,
supaya tekanan pelajar terhadap peperiksaan rasmi seperti
PMR dan SPM dapat dikurangkan.
Di peringkat SPM, mata pelajaran vokasional
(MPV) di sekolah menengah harian biasa yang diperkenalkan
pada tahun 2001, juga dinilai berasaskan sekolah. Begitu
juga ujian lisan bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Selain itu, Kementerian Pendidikan menyedari
ada pelajar yang kurang cenderung kepada mata pelajaran
akademik, sebaliknya lebih berminat kepada pendidikan amali,
maka kementerian memperluaskan sekolah teknik, vokasional
dan memperkenalkan MPV di sekolah menengah harian biasa.
Kajian Kementerian Pendidikan mendapati
pelajar yang memilih mata pelajaran berkenaan lebih berminat
dan mencintai sekolah kerana menyediakan mata pelajaran
ini, selain memberi asas kemahiran seperti dalam bidang
lanskap, automotif dan pembinaan.
Jika dulu pelajar begitu takut untuk menghadapi
SPM kerana seolah-olah penentu mutlak kepada kerja dan masa
depan, mulai tahun 2000 peperiksaan itu dibuat berasaskan
secara terbuka.
Ini bermakna pelajar boleh memilih pakej
mata pelajaran yang tertentu supaya tidak terlalu tertekan.
Malah, bagi mata pelajaran yang gagal atau kurang cemerlang,
pelajar berkenaan boleh mengambil mata pelajaran itu sahaja
pada tahun berikutnya.
Begitu juga bagi pelajar lepasan SPM dan
STPM. Sistem Pendidikan Kebangsaan agak menyeluruh dan memberi
pelbagai pilihan kepada pelajar.
Bagi yang cemerlang akademik, biasanya mereka
akan memilih Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), swasta
(IPTS) atau universiti luar negara.
Bagi pelajar yang hanya mengambil SPM sama
ada lulus atau gagal, Kementerian Pendidikan menubuhkan
Kolej Komuniti sejak tahun 2001 bagi menawarkan kemahiran
di peringkat sijil dan diploma bagi membolehkan mereka memasuki
alam pekerjaan dengan kemahiran tertentu.
Selain Kolej Komuniti, politeknik seluruh
negara juga menawarkan kemahiran yang begitu sesuai untuk
alam pekerjaan. Kajian Kementerian Pendidikan baru-baru
ini mendapati lebih 70 peratus lulusan sijil dan diplomanya
mendapat pekerjaan, sebaik sahaja tamat pengajian.
Ini kerana Kolej Komuniti dan Politeknik
bekerjasama erat dengan industri di sekitar kawasannya dalam
melatih dan menawarkan kursus yang sesuai dengan kehendak
industri.
Sejak tahun 2001 juga, empat universiti
ditubuhkan khusus untuk pelajar yang berminat dalam bidang
kemahiran atau amali pekerjaan dengan setiap kursus menawarkan
nisbah 70 peratus kemahiran, manakala 30 peratus teori.
Universiti berkenaan seperti Kolej Universiti
Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) di Perlis, Kolej Universiti
Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) di Melaka, Kolej Universiti
Teknologi Tun Hussein Onn (Kuittho) di Johor dan Kolej Universiti
Kejuruteraan Teknikal Malaysia (KUKTEM) di Pahang menjadi
tarikan baru kepada pelajar yang kurang berminat kepada
teori atau peperiksaan.
Justeru, jelas bahawa sistem pendidikan
kita sudah mengurangkan orientasi kepada peperiksaan, walaupun
kementerian tidaklah boleh memansuhkan semua peperiksaan
rasmi setakat ini.
Begitupun, orang ramai khasnya Persatuan
Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diharap dapat bersama-sama dengan
Kementerian Pendidikan untuk menjadikan sekolah sebagai
tempat yang menarik untuk berlangsungnya proses pengajaran
dan pembelajaran, bukan mengutamakan keputusan semata-mata.