GURU ibarat ibu
bapa di sekolah. Seperti kata Allahyarham Hamka
"Seorang murid mestilah mengakui akan kelebihan
gurunya dan menghormatinya kerana guru itu adalah
sama dengan ibu bapa tentang kebesaran jasanya.
Ibu bapa mengasuh tubuh sejak kecil, tetapi guru
melatih jiwa supaya berfaedah setelah besar".
Begitulah peranan
guru, satu tugas yang amat berat tetapi mulia
dan murni. Profesion perguruan cukup diberi perhatian
oleh kerajaan melalui Kementerian Pelajaran. Maka
tidak hairanlah begitu banyak maktab-maktab perguruan
didirikan malah kini telah wujud sebuah universiti
perguruan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) yang terletak di Tanjung Malim, Perak.
Di peringkat universiti
banyak kursus yang berkaitan bidang perguruan
ditawarkan. Malah Kementerian Pelajaran merancang
meramaikan lagi bilangan guru yang berpendidikan
diploma dan ijazah. Menurut Rangka Rancangan Jangka
Panjang Ketiga 2001-2010, pada tahun 2000 negara
mempunyai 298,083 guru (peringkat prasekolah hingga
menegah). Jumlah ini akan ditambah kepada 369,756
pada tahun 2010.
Dalam usaha meningkat
mutu pendidikan, Kementerian Pelajaran membuka
peluang kepada guru-guru yang memiliki sijil dan
diploma melanjutkan pengajian ke peringkat yang
lebih tinggi bertujuan meningkatkan tahap akademik
mereka. Ini selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran
untuk menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan
ilmu serantau yang pastinya memerlukan tenaga
pengajar yang berkaliber di sekolah.
Kerjaya sebagai
guru membuka peluang yang begitu luas. Semakin
meningkat jumlah penduduk, maka semakin banyak
guru diperlukan tidak kira di bandar raya, bandar
mahupun di luar bandar. Pendek kata di mana ada
sekolah, maka di situ pastinya ada guru.
Lulusan institusi
pengajian di bidang ini tidak perlu bimbang kerana
lepasan sijil, diploma dan ijazah pertama pasti
dilamar oleh Kementerian Pelajaran selepas menamatkan
pengajian. Terdapat juga guru-guru yang ditawarkan
untuk berkhidmat di sekolah-sekolah swasta.
Dari segi pendapatan,
seseorang guru akan ditawarkan gaji dan elaun
berdasarkan kelulusan mereka sama ada di peringkat
sijil, diploma atau ijazah. Calon yang memiliki
ijazah sarjana muda dengan kepujian dan diploma
pendidikan akan ditawarkan gaji dan elaun sebanyak
RM2,000 sebulan.
Maktab-maktab perguruan
dan universiti menawarkan pelbagai kursus yang
berkaitan dengan mata pelajaran yang diajar di
sekolah rendah atau menengah. Maktab-maktab perguruan
menawarkan kursus berkaitan mata pelajaran sekolah
rendah dan menengah rendah, sementara universiti
menawarkan kursus yang diajar di peringkat menengah
atas. para pelajar boleh memilih kursus yang sesuai
sama ada aliran sains, sastera, agama, teknik,
vokasional atau bahasa.
Seperti profesion
lain, seorang guru dalam tugasan seharian harus
berpegang kepada etika dan tatasusila profesion
perguruan supaya tidak lari daripada matlamat
murninya.
Mereka juga harus
minat terhadap profesionnya serta mata pelajaran
yang diajar.
CIRI-CIRI PERIBADI
YANG DIPERLUKAN
(i) Meminati profesion
ini
(ii) Mempunyai
pengetahuan dalam bidang yang diajar
(iii) Sanggup mendidik
dan menunjuk ajar murid-murid
(iv) Bersifat sabar
(v) Berkeperibadian
mulia
(vi) Boleh berkomunikasi
dengan baik
(vii) Mampu menghadapi
cabaran dunia pendidikan
(viii) Sanggup
bekerja tanpa mengira tempat sama ada di bandar
atau luar negara.
SYARAT UNTUK
MENCEBURI BIDANG INI
Untuk menjadi seorang guru, individu harus menamatkan
pengajian dan memiliki sama ada sijil, diploma
atau ijazah perguruan dalam sebarang disiplin
pengajian di sekolah.
TEMPAT MELANJUTKAN
PENGAJIAN
Para pelajar boleh melanjutkan pengajian sama
ada di maktab-maktab perguruan atau universiti
tempatan dan luar negara. Universiti-universiti
tempatan yang menawarkan kursus perguruan di peringkat
ijazah sarjana muda ialah Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti
Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia
(UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti
Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sarawak
(UNIMAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti
Teknologi Mara (UiTM) dan UPSI. Selain itu Universiti
Terbuka Malaysia ada menawarkan kursus-kursus
perguruan.
SYARAT YANG
DIPERLUKAN
(i) Peringkat sijil dan diploma
Pelajar harus lulus
dengan baik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia
(STPM) serta kepujian Bahasa Melayu. Calon-calon
akan ditawarkan mengikuti pengajian perguruan
di maktab-maktab perguruan tempatan.
(ii) Peringkat
ijazah sarjana muda
Terdapat beberapa
cara untuk mengikuti kursus perguruan di peringkat
ijazah sarjana muda:
Cara pertama: Pelajar
perlu mendapat kelulusan yang baik di peringkat
SPM untuk dipilih masuk ke program matrikulasi
atau asasi. Selepas menamatkan pengajian di peringkat
ini, para pelajar akan ditawarkan ke peringkat
ijazah pertama.
Cara kedua: Para
pelajar harus mendapat keputusan yang baik dalam
peperiksaan STPM. Calon akan ditawarkan terus
ke peringkat ijazah pertama mengikut bidang yang
diminati.
Cara ketiga: Mereka
yang memiliki sijil atau diploma serta telah mengajar
beberapa tahun juga berpeluang melanjutkan pengajian
di peringkat ijazah pertama sesuai dengan mata
pelajaran yang diajar di sekolah.
Cara keempat: Bagi
pemegang ijazah sarjana muda yang berminat menjadi
guru tetapi tidak mempunyai asas dalam kaedah
mengajar, mereka juga boleh berbuat demikian dengan
syarat perlu memohon untuk mengikuti kursus Diploma
Pendidikan di universiti-universiti atau Kursus
Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di maktab-maktab
perguruan untuk tempoh setahun.
Cara kelima: Calon-calon
boleh memohon program khas pengsiswazahan guru
secara Pendidikan Jarak Jauh anjuran Kementerian
Pelajaran dan Universiti Terbuka Malaysia. Program
ini khusus kepada guru-guru terlatih dan pegawai-pegawai
perkhidmatan pendidikan bukan siswazah iaitu pemegang
sijil atau diploma.