KPPK gesa naikkan kadar bayaran pemeriksa kertas
04/02/2004 [Berita
Harian]
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
KESATUAN Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (KPPK) menggesa Kementerian Pendidikan menaikkan
kadar bayaran untuk guru yang memeriksa kertas peperiksaan
di bawah pengendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).
Presidennya, Ismail Nihat, berkata kadar bayaran memeriksa
kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tidak pernah
dinaikkan sejak 11 tahun lalu, iaitu sejak UPSR mula diperkenalkan
pada 1988.
Selain itu, Ismail berkata,
guru yang membuat penilaian dalaman bagi beberapa mata pelajaran
pada peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) juga wajar mendapat imbuhan kerana
mereka menjalankan tugas LPM.
Beliau berkata, penilaian
dalaman bagi kerja kursus untuk subjek seperti Geografi,
Sejarah dan Kemahiran Hidup pada peringkat PMR adalah tugas
luar yang perlu dilakukan oleh guru di sekolah.
Pada masa sama, katanya,
guru perlu menjalankan tugas hakiki mengajar dan menghabiskan
sukatan pelajaran dalam tempoh tertentu sebelum pelajar
menduduki peperiksaan.
Penilaian dalaman bagi kerja
kursus peringkat PMR dilakukan oleh guru sejak 1993, tanpa
sebarang imbuhan daripada LPM.
“Selain imbuhan untuk
penilaian dalaman, KPPK menggesa Kementerian Pendidikan
menyemak semula kadar bayaran untuk memeriksa kertas UPSR
terutama kertas Bahasa Melayu (Pemhaman), Bahasa Inggeris
dan kertas lain yang bukan objektif.
“Kadar bayaran untuk
pemeriksa kertas PMR dan SPM juga sudah beberapa tahun tidak
dinaikkan dan kita menganggap kadar sedia ada tidak setimpal
dengan keadaan semasa.
“KPPK berharap pengorbanan
guru mempertingkat kualiti pendidikan di negara ini mendapat
perhatian sewajarnya oleh kerajaan,” katanya ketika
dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bayaran pemeriksa kertas
bahasa Melayu (Penulisan) pada peringkat UPSR ialah RM0.75
bagi setiap skrip, kadar yang tidak berubah sejak UPSR pertama
pada 1988.
Kadar bayaran memeriksa kertas
Bahasa Melayu bagi PMR ialah RM1.85 setiap skrip, kadar
yang tidak dinaikkan sejak diperkenal pada 1993. PMR menggantikan
Sijil Rendah Pelajaran (SRP) yang dijalankan sejak 1960.
Bagi kertas Bahasa Melayu
SPM pula, kadar bayaran ialah RM2.85 setiap skrip, kadar
yang dibayar sejak 1993 dan bayaran itu kekal sehingga SPM
2003.
Ismail berkata, KPPK juga
meminta LPM menyediakan bayaran untuk guru yang dilantik
sebagai Pemeriksa Pentaksiran Lisan Berasaskan Sekolah (PLBS)
dan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS).
Katanya, PLBS dan ULBS menggantikan
Ujian Lisan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sejak tahun
lalu dan keputusannya diguna pakai untuk peperiksaan SPM.
Sebelum ini, beliau berkata,
guru yang mengendalikan Ujian Lisan BM atau BI mendapat
elaun khas pengendalian ujian berkenaan.
“Dalam ujian lisan
SPM kaedah lama, guru Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris
diminta mengendalikan ujian di sekolah lain dan mereka boleh
menuntut elaun pergerakan dan pengendalian ujian lisan.
“Tetapi, selepas PLBS
dan ULBS dilaksanakan, guru sekolah itu sendiri yang mengendalikan
ujian untuk calon SPM dan mereka tidak dibayar sebarang
imbuhan.
“Keadaan ini tidak
sewajarnya berlaku kerana mereka menjalankan tugas LPM,
bukannya tugas hakiki guru. Pada masa sama, kakitangan LPM
dibenarkan membuat tuntutan,” katanya.
Ujian lisan Bahasa Melayu
peringkat SPM diadakan sejak 1973 dan guru yang mengendalikan
ujian itu mendapat elaun sebelum PLBS dan ULBS diperkenal
tahun lalu.
Ismail berkata, KPPK sudah
menghantar kertas kerja kepada Kementerian Pendidikan memohon
supaya kadar itu disemak semula oleh LPM.