Disiplin: Pengetua lahirkan kekecewaan
25/03/2004 [Portal
Utusan]
Oleh Marzita Abdullah
SEORANG Pengetua
dari sebuah sekolah menengah di Muar, Johor meminta kerajaan
membentuk satu undang-undang yang mewajibkan ibu bapa yang
mempunyai anak bermasalah disiplin untuk menghadiri kursus
kemahiran keibubapaan.
Ini kerana katanya,
kebanyakan murid yang bermasalah selalunya berasal dari
keluarga yang bermasalah.
``Bukan sahaja
anak mereka yang perlu diberi pendidikan malah ibu bapa
mereka juga harus diberi pendidikan,'' tegasnya.
Beliau memberi
pandangan tersebut berikutan tekanan yang diberikan oleh
masyarakat terhadap sekolah jika berlaku kejadian jenayah
yang membabitkan murid sekolah masing-masing.
``Masyarakat
sering menuding jari kepada sekolah jika ada murid sekolah
yang melakukan jenayah di luar sekolah, sepatutnya masyarakat
juga harus melihat kepada latar belakang keluarga murid
berkenaan,'' tegasnya.
Beliau berkata
demikian semasa sesi soal jawab selepas pembentangan kertas
kerja oleh Dekan Fakulti Sains Kognitif Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI) Prof. Datin Dr. Noran Fauziah Yaakub
yang bertajuk Tingkah Laku Buli di Sekolah: Apa Yang Boleh
Kita Lakukan pada Seminar Kepengetuaan Kebangsaan ke-3 di
Kampus Kota, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru
ini.
Dalam pada itu,
seorang pengetua wanita dari sebuah sekolah di Kuala Lumpur
turut melahirkan kekecewaan dengan sikap masyarakat yang
membuat tanggapan dan tohmahan terhadap pihak sekolah apabila
berlaku kejadian jenayah yang membabitkan murid sekolah
berkenaan.
Beliau menceritakan
pengalamannya berhadapan dengan seorang murid sekolahnya
yang menghadapi pelbagai masalah disiplin di dalam sekolah
dan masalah jenayah di luar sekolah bermula dari tingkatan
satu sehingga tingkatan lima.
Tingkah laku
murid berkenaan menjadikan beliau seolah-olah berada dalam
keadaan trauma dan tidak tahu apa tindakan yang patut dilakukan
kepada murid berkenaan.
``Bermula dari
tingkatan satu, murid ini menjadi pembuli di sekolah sehingga
ke tingkatan seterusnya dia menjadi pencuri di sekolah dan
melakukan kes jenayah di luar sekolah,'' katanya.
Tegas beliau,
pelbagai pendekatan telah dilakukan untuk membimbing murid
berkenaan daripada kaunseling dan nasihat sehinggalah memanggil
ibu bapa murid berkenaan.
``Kita sudah
nasihat memberi tunjuk ajar yang sebaik-baiknya, kita peluk
dia seperti anak sendiri.''
``Kita ingatkan
selepas itu dia akan berubah perangai tetapi hati pengetua
seperti ibu yang lain terus `runtuh' apabila mendapati gambar
murid berkenaan terpampang di balai polis, dikehendaki kerana
terlibat dalam kes rompak kontena,'' katanya.
Tegas beliau,
pengalamannya itu bukan untuk meraih simpati cuma mahu masyarakat
memikirkan punca sebenar wujud murid-murid sedemikian selain
mengambil kira kedudukan sekolahnya yang terletak di dalam
kawasan berisiko tinggi terlibat dalam kes-kes jenayah.
``Sekolah saya
memang selamat tetapi kawasan sekeliling perlu diberi perhatian
kerana ia merupakan sebuah kawasan yang berisiko tinggi,''
katanya.
Justeru katanya,
masyarakat tidak boleh menuduh dan melemparkan tohmahan
kepada Pengetua sekolah sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab
jika berlaku kes-kes jenayah melibatkan murid sekolah terbabit.
Beliau turut
menegaskan, sewajarnya tingkah laku seseorang murid dipantau
dari kecil untuk melihat kecenderungannya terlibat sebagai
pembuli kerana jika ia dibiarkan akan menimbulkan kesan
yang lebih besar terhadap tingkah laku murid berkenaan apabila
dewasa sehingga terlibat dalam kegiatan jenayah.
Dalam pada itu,
beliau juga meminta Kementerian Pendidikan memberi perhatian
terhadap sekolah-sekolah sedemikian.
``Dalam kementerian
memberi perhatian kepada sekolah yang sering mendapat keputusan
yang cemerlang dalam akademik pihak berkenaan juga harus
memberi perhatian kepada sekolah yang berada dalam kawasan
sedemikian,'' katanya.