Berita-bil. 09/2004... 

Ilmu umpama air yang mengalir, tadahlah dengan hati yang ikhlas

-PENAFIAN-
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENGGAMBARKAN SIKAP PENGENDALI WEB.

Paparan terbaik menggunakan Internet explorer 4.0 dan ke atas dengan resolusi
1024 X 768 px

Tiada Hakcipta Terpelihara
.Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai.

PeNdiDik 2000-2004© Pendidikmy@yahoo.com

 



Rasuah: Beberapa kes melibatkan sekolah

26/03/2004 [Portal Utusan]

Oleh Marzita Abdullah

BADAN Pencegah Rasuah (BPR) mendapati banyak kes salah guna kuasa dan penyelewengan kuasa dalam kalangan pengurus sekolah dilakukan secara sengaja.

Timbalan Pendakwa Raya BPR Zulqarnain Hassan berkata, kebanyakan pengurus sekolah menyedari peruntukan undang-undang mengenai penyalahgunaan kuasa itu.

``Tetapi mereka dengan sengaja melakukannya dan pada pandangan saya mereka berbuat sedemikian disebabkan perasaan tamak, mahukan kemewahan dan merasakan mereka akan selamat,'' katanya.

Malah menurut beliau, terdapat kes iaitu pengurus sekolah melakukan perkara sedemikian setelah melihat rakan sejawatnya tidak dikenakan apa-apa tindakan setelah melakukan perkara yang sama.

Menurut beliau, kes-kes sedemikian didapati bertambah setiap tahun, menunjukkan peningkatan dalam kes penyalah gunaan kuasa oleh pihak berkenaan.

``Namun begitu ada juga pengurus sekolah yang tidak tahu perbuatan mereka itu menyalahi peraturan,'' katanya.

Beliau berkata, kes yang banyak membabitkan salah guna kuasa yang oleh pengurus sekolah ialah melantik syarikat yang mereka mempunyai kepentingan.

Antara contoh kes ialah melantik syarikat itu untuk membekalkan kertas dan alat tulis, membina pagar sekolah dan mengendalikan kantin.

``Maksud berkepentingan di sini ialah walaupun mereka bukan pemilik syarikat berkenaan tetapi syarikat itu dikendali oleh adik, adik ipar atau ahli keluarga yang lain,'' katanya.

Ada juga kes pengurus sekolah menerima tiket penerbangan untuk dirinya dan keluarga dari sebuah syarikat buku.

Beliau berkata demikian setelah membentangkan kertas kerja bertajuk Jenayah Rasuah, Salah guna kuasa dan Penyelewengan dalam Pengurusan Sekolah pada Seminar Kepengetuaan Kebangsaan ke-3 anjuran Institut Pengetua (IP) di Kampus Kota Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar selama dua hari bermula 16 Mac lalu, bertemakan Perundangan Dalam Pengurusan Pendidikan diadakan selama dua hari bermula 16 Mac lalu dan dihadiri lebih 400 Pengetua dari sekolah seluruh negara.

Dalam pada itu beliau menegaskan, seseorang pengurus sekolah perlu mengisytiharkan kepentingannya jika ada dalam kalangan saudara maranya yang menawarkan sebarang tender.

Beliau mengingatkan agar pengurus sekolah merekodkan pengisytiharan itu dan harus keluar daripada mesyuarat berkenaan.

``Setelah mengisytiharkan kepentingan tersebut pengurus perlu keluar dari mesyuarat dan membiarkan pihak lain membuat keputusan tanpa kehadiran beliau,'' katanya.

Bagaimana pun jika pengerusi jawatankuasa terlibat membuat keputusan memilih syarikat saudara mara pengurus berkenaan walaupun setelah pengisytiharan dibuat maka pengurus sekolah tidak melakukan sebarang kesalahan.

Menurut Zulqarnain, kesalahan rasuah yang melibatkan Pengurus sekolah atau penjawat awam dirangkumi oleh Akta Pencegahan Rasuah (Apr) 1997.

Selain daripada akta ini, akta-akta lain yang melibatkan Pengurus sekolah dengan penyelewengan ialah Kanun Keseksaan, Seksyen 168, 403, 406 dan 409.

Melalui Akta Pencegahan Rasuah 1997, kesalahan yang melibatkan akta ini ialah Seksyen 10, 11 dan 15.

Seksyen 10 Apr 1997 memperuntukkan kesalahan meminta, memberi, menawarkan dan menerima suapan.

Tiga jenis hukuman di bawah akta ini ialah Seksyen 16 Apr 1997 memperuntukkan penjara antara 14 hari dan 20 tahun dan denda antara lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Seksyen 36 memperuntukkan harta suapan berkenaan hendaklah dilucut hak kepada kerajaan.

Kesalahan lain selain daripada akta pencegahan rasuah 1997 ialah menyalahgunakan harta sekolah di bawah Sek. 403 Kanun Keseksaan dan pecah amanah di bawah Seksyen 405, 406 dan 409 Kanun Keseksaan.

Sekiranya sesuatu harta sekolah seperti wang, peralatan digunakan untuk kegunaan peribadi, maka ia menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Hukumannya penjara mandatori antara enam bulan dan lima tahun dan sebat dan mahkamah boleh juga mengenakan denda.

Bagi kesalahan pecah amanah hukumannya ialah penjara antara satu sehingga 10 tahun dan juga sebat dan mahkamah juga boleh mengenakan hukuman denda.

Sementara itu, seseorang penjawat awam termasuk pengurus sekolah yang mengambil bahagian dalam perniagaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 168 Kanun Keseksaan.

Hukuman sekiranya seseorang pengurus sekolah mengambil bahagian dalam perniagaan ialah penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.