PUTRAJAYA 31 Mac -
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan
polis bekerjasama sepenuhnya dengan Kementerian Pelajaran
bagi membanteras gejala samseng yang semakin serius di
sekolah seluruh negara.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan
Dalam Negeri turut menyatakan persetujuan supaya semua
perlakuan samseng yang serius diklasifikasikan sebagai
perbuatan jenayah bagi membolehkan polis membanterasnya
sehingga ke peringkat akar umbi.
Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin
Tun Hussein berkata, Perdana Menteri telah memberikan
persetujuan untuk kementeriannya bekerjasama sepenuhnya
dengan polis dalam penyiasatan kes-kes samseng seperti
yang berlaku di Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra
Maamor, Seremban.
``Perdana Menteri setuju kita bekerjasama
sepenuhnya dengan polis untuk membuat penyiasatan (dan)
kita akan layan mereka macam penjenayah.
``Kita anggap mereka (samseng) sebagai
penjenayah dan penjenayah akan dilayan sebagai penjenayah,''
tegas beliau kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat
pertama Kabinet baru yang dipengerusikan oleh Abdullah
di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Ahad lalu, seorang pelajar Tingkatan
Empat di Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor,
Muhammad Farid Ibrahim, 16, mati dipercayai akibat dibelasah
dengan teruk oleh sekumpulan pelajar Tingkatan Lima.
Kejadian yang berlaku di asrama
itu merupakan yang kedua melibatkan kehilangan nyawa dalam
masa kurang enam bulan di negara ini.
Pada 31 Oktober tahun lalu, seorang
pelajar, Ahmad Firdaus Zakaria, 15, maut selepas tiga
hari koma di Hospital Port Dickson, akibat dipukul oleh
sekumpulan pelajar.
Semalam, Hishammuddin yang mengisytiharkan
perang terhadap gejala samseng di sekolah mengumumkan
penubuhan sebuah pasukan khas bagi membanteras masalah
itu sepenuhnya.
Menurut Hishammuddin, semua kes
samseng yang serius di sekolah-sekolah selepas ini akan
diserahkan kepada pihak polis untuk disiasat dan hukuman
dijatuhkan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
``Polis akan bekerjasama rapat dengan
kita dan daripada laporan pasukan petugas khas yang akan
kita wujudkan ini kita akan sesuaikannya mengikut keseriusan
kes-kes.
``Mulai sekarang tidak ada lagi
tempat untuk penagih dadah, samseng atau gangster di sekolah-sekolah
kita,'' tegasnya.
Hishammuddin berkata, pasukan petugas
khas itu akan dibentuk secepat mungkin dengan dianggotai
oleh para pegawai Kementerian Pelajaran.
``Tidak mustahil juga ia akan turut
melibatkan badan-badan bukan kerajaan seperti Persatuan
Ibu Bapa dan Guru Malaysia atau juga Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan,'' katanya.
Sementara itu, mengulas gesaan Persatuan
Linguistik Malaysia supaya nama Kementerian Pendidikan
dikekalkan, Hishammuddin berkata, beliau berharap semua
pihak memberikan peluang kepada kementeriannya untuk menjalankan
tugas mereka terlebih dahulu.
``Kabinet hari ini pun bersetuju
bahawa yang penting adalah untuk kita menunaikan tugas
dan tanggungjawab kita; jadi berikanlah saya sedikit masa
untuk menunjukkan bahawa bukan nama itu yang penting.
``Apa yang penting ialah bidang
kuasa kita dan kalau saya jalankan tugas yang telah pun
diamanahkan, ia merupakan satu pendekatan yang menyeluruh.
``Sebab itu saya menjemput dan merayu
semua warga pendidik supaya melaksanakan tugas dahulu,
walau apa juga nama kementerian ini,'' katanya.